Saturday, January 29, 2011

KENANGAN 7.

Ilmu Dari Ustaz.

Saya juga mempunyai pengalaman mendengar perbualan Ustaz hingga ke pagi. Sepanjang pengalaman, mendapatkan ilmu secara tidak formal akan meningkatkan keyakinan dan kepercayaan diri terhadap SC. Oleh itu, saya akan bersungguh-sungguh mencari ruang untuk mendekatkan diri dengan Ustaz. Maka terpaksalah saya menunggu dengan penuh kesetiaan di pejabat silat yang merupakan kediaman Ustaz.

Saya sering bersama dengan seorang sahabat yang secara kebetulan tinggal di kawasan yang sama. Sahabat saya itu masih setia dari dulu hingga sekarang. Hubungan kami sangat rapat dan sering bersama. Malah ’mengajar’ silatpun dalam kumpulan yang sama.

Hubungan saya dengan sahabat tersebut, sering saya jadikan panduan dan pengetahuan untuk anak didik saya. Saya sering mengingatkan anak didik silat saya. Mencari sahabat yang benar-benar sehati dan sejiwa bukannya senang. Bentuklah hubungan yang luar biasa dalam konteks mewujudkan hubungan yang istimewa dengan mereka. Masukkan sifat empati dan bukannya simpati. Susah senang dikongsi bersama. Ketika sahabat kita berada dalam kesusahan, jangan sesekali melarikan diri. Lebih malang lagi jika bersama menuding jari ke atasnya.

Dalam konteks sahabat, kita perlu mewujudkan suasana hubungan yang luar dari kebiasaan. Setakat hubungan biasa, itu nampaknya berjalan seperti biasa. Misalnya kunjung-mengunjung ke rumah sahabat yang ada sesuatu aktiviti seperti perkahwinan atau kenduri kendara. Bila-bila masa boleh kita lakukan jika ada masa lapang.

Kalau kita tafsirkan sahabat yang sehati dan sejiwa, hubungan yang wujud itu mestilah berada dalam satu kedudukan yang teristimewa. Hubungan itu dapat membezakan hubungan kita dengan sahabat yang istimewa itu dengan hubungan kita bersama orang lain. Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa hubungan kita sesama ahli dalam SC perlu diletakkan dalam satu kedudukan yang luar dari kebiasaan. Jika tidak ada, maka kuranglah maknanya kita membicarakan hubungan sesama ahli dalam konteks sesama ahli tidak boleh bergaduh. Saya akan lanjutkan perbincangan tentang tajuk ini pada tulisan yang lain.

Dalam proses menambahkan ilmu, hubungan baik antara saya dengan sahabat saya tersebut telah banyak membantu. Kami selalu balik bersama secara berjalan kaki kerana arah yang dituju adalah sama. Tengah malam mana ada bas. Kalau nak naik teksi tentunya rugi. Mahal. Ketika itu, beliau tinggal di penghujung Jalan Gurney. Manakala saya perlu berjalan sejauh setengah kilometer lagi. Walau bagaimanapun, saya tidak terasa penat atau tidak terasa takut. Maklumlah masih muda. Tidak banyak tanggungjawab dan tidak banyak perkara yang perlu difikirkan.

Kami selalu balik jam satu atau dua pagi. Kadang-kadang tiga pagi. Sebabnya, Ustaz akan bercerita hal-hal yang “pukal” pada waktu menjelang pagi tersebut. Oleh itu, kami berdua setia menunggu bersekengkang mata hingga ke pagi. Esok pagi kami tetap bergerak seperti biasa ke tempat kerja atau ke tempat belajar. Tidak terasa mengantuk atau badan lesu. Jelas terbukti, keazaman menambahkan ilmu telah mengatasi segala kesan sampingan yang ada. Perbuatan tersebut berlarutan dari malam ke malam. Kecualilah jika terdapat halangan besar pada malam berkenaan.

Berlain malam maka berlain tajuk perbincangan. Oleh itu, banyak perkara yang saya dapat buat panduan hidup atau buat pegangan kerana sentiasa ada setiap malam. Semuanya bergantung pada tajuk yang dibualkan. Kalau tajuk yang dibual menyentuh hal-hal silat, maka petua silatlah yang saya peroleh. Kalau tajuk yang dibual bersangkutan dengan petua-petua tertentu maka petua-petua tersebut merupakan kelebihan yang saya ada. Hal yang demikian telah menambahkan pengetahuan dan pengalaman saya tentang gerak dan kefahaman SC.

Melalui kesetiaan menunggu malamlah petua-petua yang ’mahal’ banyak saya peroleh. Sama ada orang lain telah memperolehnya atau tidak, kami tak ambil peduli. Yang pentingnya ada kelebihan yang kami perolehi. Semua ilmu atau petua yang diperoleh akan disimpan dengan sepenuhnya. Umpama genggaman air yang tak tiris.

Kalau perbualan dengan Ustaz di malam hari habis awal, dalam perjalanan pulang kerap kali kami singgah di gerai yang ada. Setakat minum sahaja bagi melepaskan dahaga. Dia yang belanja kerana saya masih menuntut manakala sahabat saya itu telah bekerja. Itupun kalau ada gerai yang dibuka. Biasanya ada antara gerai yang dibuka. Jika tiada, kami akan meneruskan perjalanan balik.

Ketika minum atau dalam perjalanan balik, kami akan berbincang semula tajuk perbualan yang disampaikan ustaz. Pastinya soal petua tidak dibincangkan. Ilmunya sedikit dan mudah difaham. Tajuk-tajuk perbualan yang lain, kadang kala ada yang memerlukan penjelasan. Hasil perbincangan maka banyak juga timbulnya persoalan. Maka kami minta penjelasan pada malam berikutnya jika ada peluang. Selalunya kami ada peluang dan ruang yang diberikan Ustas. Perkara yang kusut telah dapat dirungkaikan. Perkara yang kurang jelas telah jelas maksud dan tujuan. Satu kepuasan bagi kami.

Bagus juga. Makin jelaslah sesuatu perkara yang terkusut di fikiran. Persoalan yang timbul adalah hasil perbincangan di jalanan sewaktu pulang. Ada persoalan menyenangkan kami membuka bicara. Tidaklah menjadi sebagai pendengar sahaja. Soalan terbit hasil perbincangan di kedai kopi. Penjelasan Ustaz lebih memahamkan kami. Hati berasa puas. Banyak faedahnya. Terutama ketika memimpin pesilat-pesilat di cawangan sendiri.

Teringat kisah lama, tinggal kenangan. Pengalaman yang tak mungkin berulang lagi. Betullah kata orang-orang tua atau orang tua-tua. Masa dan peluang tidak boleh dikembalikan sesuka hati. Masa dan peluang yang berlalu, akan tetap berlalu. Oleh itu, ketika masa dan peluang masih ada, maka rebutlah, ambillah, carilah dan lah-lah yang lain.

Dalam proses merebut peluang dan masa yang ada, jangan ditangguh-tangguh apa yang dihajati. Terus terang dan jangan peduli apa orang lain kata. Pedulikan apa yang kita nak kata. Ambil peduli apa yang Ustaz perkata. Jangan sesekali melayan atau menjaga hati orang lain hingga terlepas peluang kita atau kita sendiri ketinggalan masa.

Di samping ilmu dan pelajaran yang diperoleh melalui kesetiaan menunggu di malam hari, keluar bersama-sama Ustaz di masa-masa tertentu amat banyak manfaatnya. Saya teringat pengalaman saya ketika Ustaz tinggal di Jalan Putera. Setiap petang jika saya ada di pejabat, Ustaz akan mengajak keluar dengan kereta Volkswagennya. Kerap kali kami berada di kedai Pak Husin. Di situ juga banyak “perkara” yang saya terima. Secawan kopi cukup untuk diminum hingga dua atau tiga jam.

Kadang kala Ustaz berjalan kaki dengan saya di sekitar bandar melihat gelagat manusia. Dalam perjalanan pulang, Ustaz akan mengupas satu tajuk yang berkaitan denga apa yang dilihat semasa berjalan. Itulah kenangan yang tidak mudah saya lupakan.

Banyak sekali peranan Ustaz dalam pembentukan peribadi dan pembentukan sikap saya melalui kaedah yang tidak formal tersebut. Hal yang demikian bukan hanya sesekali berlaku, tapi kerap kali semasa Ustaz tinggal di Jalan Putera dan ketika saya masih di sana. Bukan saya bermegah tapi berasa bangga. Saya nyatakan di sini sekadar mengingatkan pengalaman saya yang tidak mungkin dilupakan.

Pengalaman yang saya lalui boleh dijadikan ikutan agar kita sentiasa berdamping erat dengan Guru Utama. Lantaklah orang lain mengecap kita dengan pelbagai jenama. Pastinya hal yang demikian terbit daripada perasaan iri hati atau perasaan cemburu yang akhirnya memakan diri sendiri.

Sambung lagi.