Thursday, January 20, 2011

KENANGAN 2.

Kehebatan Seorang Sahabat.

Dalam tulisan terdahulu dan tulisan-tulisan seterusnya, saya akan menyingkap kenangan-kenangan lama yang berkaitan dengan tugas seorang Jurulatih. Segala peristiwa bukanlah berdasarkan cerita-cerita yang didengar, melainkan berdasarkan apa yang saya alami ketika zaman Ustaz.

Saya menulis tajuk-tajuk berkenaan kerana diminta untuk menceritakan pengalaman. Penulisan ini akan membawa pelbagai tafsiran. Semua tafsiran tersebut berkait rapat dengan budaya fikir yang ada pada seseorang pembaca. Tentu tidak sama antara pemikiran yang luas dengan pemikiran yang sempit. Antara mereka yang berprasangka buruk dengan berfikiran terbuka dan sebagainya.

Kadang kala kisah-kisah lama amat sukar dibayangkan. Anak-anak yang ada sekarang tentu sukar menggambarkan tentang jumlah belanja persekolahan dulu-dulu sebanyak sepuluh sen sehari. Lima sen untuk mee sepinggan dan lima sen untuk air sirap segelas. Malah, apabila dikatakan ayah saya yang dia berbelanja setengan sen sehari, lagi sukar saya bayangkan. Ketika itu suku sen untuk mee sepinggan dan suku sen untuk air sirap segelas.

Walau bagaimanapun, tulisan saya boleh dibuat kenangan sejarah dalam perkembangan SC. Daripada penceritaan, komitmen antara dulu dan sekarang mana mungkin sama. Kalau dulu, kami berlumba-lumba membuka kelas-kelas latihan, tapi sekarang ada yang giat berusaha menutup kelas-kelas latihan akibat tidak sehaluan. Peredaran zaman telah mendesak perubahan. Buatlah perbandingan pada waktu-waktu lega para pembaca.

Perbandingan boleh dibuat antara dulu dan sekarang berdasarkan bentuk pemikiran dan kepentingan diri. Namun begitu, sekurang-kurangnya kita nampak betapa masalah kenderaan dulunya amat sukar. Mungkin sekarang ini tidak mendatangkan masalah. Masalah yang wujud ialah ruang untuk mempelajari kemahiran. Zaman saya, kelas-kelas kemahiran senang dilakukan. Kelas-kelas latihan tidak banyak. Tumpuan dapat diberi pada kebolehan pesilat yang sedang menuntut dan kebolehan Jurulatih yang memandu pesilatnya.

Dalam tulisan ini, saya sambung lagi tentang kenangan sebagai Jurulatih dalam usaha menyebar luas SC. Buat perkongsian kenangan.

Jurulatih selalu berperanan untuk membuat pertunjukan silat. Biasanya antara kalangan kami sesama sendiri akan ‘memajak’ satu-satu persembahan dalam setiap pertunjukan. Jarang sekali bertukar ganti jika pertunjukan itu diadakan dalam majlis-majlis yang melibatkan ramai Jurulatih. Misalnya, kalau serangan empat penjuru maka saya juga pernah berperanan sebagai heronya. Kalau persembahan pisau maka terkenallah pasangan ‘Tombei’ yang diberi gelaran. Kalau tongkat maka adalah rujukan Jurulatihnya. Begitu juga dengan jenis-jenis persembahan yang lain.

Terdapat satu peristiwa yang masih segar dalam ingatan saya. Peristiwa berlaku ketika pertunjukan SC di Padang Kota, Pulau Pinang. Kalau tak salah saya pada tahun 1978. Ketika pertunjukan pisau diadakan, semua penonton kagum melihat pendekar Cekak menunjukkan kebolehan yang agak luar biasa. Kagum kerana kebolehan yang ditunjukkan nampak bersahaja dan dalam keadaan sebenar.

Itulah kelebihan pasangan pisau ketika membuat persembahan. Salah seorang daripada mereka bergelar ‘Tombei’. Persembahan mereka hebat sekali. Penonton akan berasa kagum dan memberi tepukan gemuruh setiap kali mereka membuat persembahan. Namun begitu, saya difahamkan kini, pasangannya telah tiada di dunia ini.

Walaupun pertunjukan mereka nampak hebat tapi ada sesuatu yang kami rasakan macam “tak kena”. Namun begitu persembahan tetap berjalan dengan diakhiri perasaan kagum dalam kalangan penonton. Selesai pertunjukan kami bergegas bertanyakan sesuatu pada mereka. Rupa-rupanya sahabat yang “mengambil” pisau itu dalam keadaan separuh sedar kerana sebelum ini beliau terkena satu pukulan di tengkuk yang menyebabkan fikirannya tidak stabil. Pukulan Paras yang tepat pada sasarannya.

Walau apapun yang berlaku, pertunjukan perlu diteruskan. Kerana azam dan semangat yang kental, beliau meneruskan persembahan. Dikawalnya perasaan dan fikiran supaya tidak terpesong dalam dunia tidak sedar. Selesai juga persembahannya. “Hebat pulak tu.” Memang beliau seorang yang hebat dan tidak ada tolak bandingnya ketika itu dalam persembahan pisau.

Begitulah lahirnya kehebatan seorang tokoh yang dianggap “pakar” dalam persembahan pisau ketika itu. Orangnya rendah tapi tegap dan bertubuh sasa. Setiap pertunjukan silat, pasti beliau bersama pasangannya yang akan diberi peluang. Pisau umpama ‘mainan’ pada mereka.

Pergerakan mereka tepat, kemas dan benar kerana mereka yang melihat persembahan, tidak dapat melihat atau mengesan unsur-unsur berpakat atau bermalam. Kebolehan mereka amat disegani. Hal yang demikian menjadikan pasangan pisau yang lain akan tetap memberi laluan kepada mereka membuat persembahan pisau dalam pertunjukan yang besar-besar.

Menyingkap ketokohan mereka, sememangnya mereka pasangan pisau yang hebat. Hubungan mereka dengan Ustaz adalah sangat rapat. Sahabat saya yang bergelar Tombei itu kerap menjadi pemandu kereta Ustaz ke sana ke mari dan ke kelas-kelas silat dalam negara ini. Hubungan yang rapat itu pasti mempunyai satu-satu kelebihan yang hanya beliau sahaja yang mengetahuinya. Itulah tafiran kami ketika itu padanya.

Ramai yang cuba menyungkil apa jua rahsia sebalik hubungan yang rapat itu. Sudah menjadi kefahaman ketika itu, mereka yang rapat dengan Ustaz pasti ada kelebihannya. Kelebihan itulah yang cuba dicungkil. Namun begitu, kalau itu merupakan matlamat ketika berhubung dengannya, pasti hampa.

Beliau cukup tahan rahsia. Sekurang-kurangnya kerana kurang bercakap. Berwatak pendiam. Itulah bentuk satu amanah rupanya. Tidak mudah diceritakan pada mereka yang tidak ada hak. Setiap ilmu atau kelebihan yang ada dalam SC hanya boleh disampaikan oleh yang empunyanya. Itulah Guru Utama.

Saya tidak berpeluang bersama-sama dengannya dalam satu kumpulan untuk menyampaikan pelajaran SC pada satu-satu kelas latihan. Tetapi saya berpeluang melihat cara beliau menyampaikan buah-buah SC pada kelas yang dikendalikan. Beliau tidak banyak bercakap tetapi bersungguh-sungguh menyampaikan pelajaran. Jarang dapat melihat beliau ketawa melainkan hanya tersenyum apabila orang lain ketawa. Ketika berbual, beliau lebih banyak mendengar daripada banyak bercakap. Sikap ini menjadikan beliau disegani anak buahnya di samping rakan-rakan.

Walau bagaimanapun, saya kerap bersamanya dalam kelas-kelas kemahiran anjuran Ustaz. Ketika bersama-sama dengan beliau dalam kelas kemahiran tersebut, jelas menampakkan kesungguhannya berlatih. Tak banyak bercakap. Lebih banyak berlatih silat daripada membuat penerangan silat pada rakan yang lain.

Pada satu ketika, kami berlatih silat berkongsepkan mata hati, bukannya mata kepala. Kena tutup mata. Tidak ramai yang ingin mencuba sebagai pesilat yang ditutup mata. Ustaz mengarahkan beliau sebagai ‘model’ utama. Diturutinya tanpa membantah. Maka Ustaz mengarahkan kami menyerang beliau dengan menggunakan tumbukan. Beliau menepis melalui konsentrasinya. Sungguh hebat.

Berdasarkan peristiwa di Padang Kota tersebut, dapat kita jadikan beberapa pengajaran dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Jurulatih. Pengajaran tersebut sering saya ingatkan kepada Jurulatih yang saya asuh.