Friday, January 7, 2011

PERJUMPAAN TENAGA JURULATIH

Saya berpeluang menghadiri majlis perjumpaan Jurulatih yang lalu. Rasanya telah lama saya tidak turut serta. Apabila dibandingkan usia mereka yang ada bersama, terasa benar diri telah lama. Pejam celik, siang dan malam, rupa-rupa telah lebih tiga puluh tahun saya bergiat dalam persilatan SC. Yang kecil telah menjadi besar. Yang muda telah jadi tua.

Banyak peristiwa suka duka yang berlaku sepanjang tahun berkenaan. Perkara pastinya, Silat Cekak mula didukung oleh pelbagai jenama persatuan. Nampaknya, strategi persatuan akan memainkan peranan penting untuk kemajuan silat yang dikendungnya. Dalam hal ini, peranan Jurulatih akan memberi makna yang besar dalam perkembangan persilatan SC.

’Hari Tenaga Pengajar’ saya anggap sebagai medan utama untuk mendapatkan komitmen Jurulatih dalam proses memperkembangkan silat. Tanpa penglibatan jelas yang mereka berikan, pasti akan mempengaruhi perkembangan SC. Kita mesti meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada mereka tanpa ada sedikitpun perasaan curiga. Kecurigaan perlu dihapuskan sama ada dengan kaedah penyingkiran sementara atau buat selamanya.

Oleh itu, mereka yang terlantik atau dilantik tidak perlu dipersoal akan kesetiaan atau keikhlasan. Kalau telah ada proses keutuhan, maka jangan ragu-ragu pada mereka. Tidak perlu menggelapkan mata untuk mengawasi riak mereka.

Saya terkenang satu peristiwa ketika menghadiri satu persidangan dewan peringkat negeri baru-baru ini. Terkejut dibuatnya melihatkan suasana yang luar dari kebiasaan. Terdapat sekumpulan pengawal muda yang bertaburan dalam dewan persidangan. Masing-masing berdiri megah dengan baju seragam sambil berpeluk tubuh. Namun begitu tidaklah mencapai tahap kumpulan panca kirana yang terkenal dengan ’larut malamnya’.

Kehadiran dan keterampilan mereka manarik minat ramai orang termasuk diri saya. Salah seorang daripada mereka sangat saya kenali. Anak murid saya. Maka saya ajukan soalan kepadanya akan gerangan mereka berada di situ dan dalam keadaan yang sebegitu. Lantas dijawabnya, ”Bagi menjaga keselamatan spiker dewan”. Maklumlah, yang hadir di pihak pembangkang ramai yang berupa naga dan buaya. Bila-bila masa sanggup menerkam ketua sidang pada hari tersebut. Wujud keyakinan.Pengawal muda akan menjadi benteng utama. Rela berkorban hatta nyawa sekalipun.

Itulah suasana yang berlaku pada organisasi yang tidak mantap dan berada dalam ambang perebutan kuasa. Yang berkuasa akan terus berusaha bagi mengekalkan kuasa manakala yang telah kehilangan kuasa atau yang tiada kuasa akan bergiat bagi mendapatkan kuasa. Alhamdulillah, keadaan yang sedemikian tidak mungkin berlaku lagi dalam organisasi kita. Gerakan pembersihan telah dilakukan. Kalau adapun yang ingin menunjukkan belang maka anggaplah mereka umpama belalang. Bila-bila masa boleh dihempuk dengan balang bagi mematikan gerak terbang.

Saya pernah menulis dalam Sidang SC tentang peranan Jurulatih pada tahun 2005 yang lalu. Dalam tulisan ini, saya bincangkan semula isi penulisan tersebut untuk renungan dan perhatian pada Jurulatih yang muda-muda sekarang.

Mengulas ucapan GU dalam perhimpunan Tenaga Pengajar yang lalu, saya berpendapat peranan Jurulatih boleh kita rangkumkan sekurang-kurangnya pada tiga perkara utama.

1. Jurulatih sebagai pendidik.
2. Jurulatih adalah wakil kepada Guru.
3. Keperluan Jurulatih memiliki kualiti diri yang tinggi.

Saya rasa, ketiga-tiga tanggungjawab di atas selalu dibincangkan dalam sidang ini. Istilah mendidik ada kaitan dengan istilah mengajar atau memandu. Saya selalu tekankan konsep memandu dalam kalangan Jurulatih. Memandu akan mengarah kepada sifat mendidik. Pesilat yang dipandu akan mudah didekati dan mudah dibentuk, sesuai dengan niat mereka melibatkan diri dalam SC. Para Jurulatih akan bertindak dengan sepenuh hati bagi memandu anak didiknya menguasai pembelajaran SC.

Guru Utama sendiri dalam ucapannya mengakui betapa para Jurulatih memainkan peranan penting menyebarkan SC bagi pihak beliau. Oleh itu, kesetiaan terhadap Guru Utama perlu ada bagi mempastikan ilmu yang disampaikan mempunyai kesinambungan dari pewaris yang sah. Kehebatan para Jurulatih amat dititikberatkan. Kehebatan mereka akan dapat disalurkan kepada anak didik silat melalui kelas-kelas yang dianjurkan. Kehebatan diri bermaksud juga kualiti diri para Jurulatih.

Bagaimana para Jurulatih dapat mengetahui bahawa diri mereka telah mencapai tahap kualiti tinggi seperti yang dikehendaki oleh kepemimpinan SC. Pada saya sekurang-kurangnya terdapat dua cara sebagai kayu ukur untuk melihat dan mengukur kualiti persilatan yang ada pada diri.

Membandingkan diri kita dengan matlamat yang ingin dicapai adalah merupakan salah satu kaedah mengukur kehebatan atau kualiti diri. Jika matlamat yang dihasrat telah tercapai maka secara langsung Jurulatih tersebut berada di tahap berkualiti. Kadang kala ukuran mereka yang lulus kepujian dalam sebarang ujian di peringkat kelas boleh dijadikan kayu ukur untuk menentukan pencapaian matlamat.

Itu sebabnya saya berpendapat bahawa perbincangan antara Penyelia Kelas bersama-sama kumpulan Jurulatih yang terlibat dengan satu-satu kelas adalah amat penting. Apakah sasaran yang ingin dicapai dalam kalangan pesilat semasa dan selepas pembelajaran silat.

Dalam perbincangan tersebut, jangan lupa berbincang hal-hal yang berkaitan dengan kesetiaan dan jumlah ahli yang belajar dari awal hingga akhir pelajaran. Hal yang demikian bagi mempastikan bilangan pesilat yang belajar secara berterusan tidak susut dengan begitu ketara. Semua matlamat yang dibentuk perlulah jelas dan boleh diukur.

Guru Utama juga telah menyentuh tentang aspek keperluan kehebatan pada Jurulatih bagi mempastikan pesilat yang mereka pimpin akan turut hebat. Seperti yang saya tegaskan, kehebatan ada kaitan dengan kualiti diri. Kita juga boleh menilai kualiti diri kita melalui perbandingan. Tidak salah rasanya jika kita membandingkan kelas yang kita ajar dengan kelas-kelas lain yang berada di bawah penyeliaan Jurulatih lain. Apabila dibuat bandingan secara positif, kita boleh tahu akan kewibawaan kita berada di tahap mana. Secara langsung kita juga boleh mengetahui kualiti diri kira sendiri.

Mungkin ada kaedah-kaedah lain untuk mengukur kualiti diri. Walau bagaimanapun saya yakin melalui dua kaedah yang saya terangkan di atas secara ringkas, memadai untuk melihat kualiti diri kita sebagai Jurulatih.

Sebagai tenaga pengajar, kelas yang dipertanggungjawabkan kepada kita merupakan amanah. Sesuatu yang berupa amanah perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab. Kalau tidak berupaya memikul amanah maka eloklah mengundur diri. Salah satu amanah Jurulatih ialah mengurus kelas-kelas silat. Mengurus kelas memerlukan kita mempunyai komitmen yang tinggi. Jurulatih perlu sering meminta nasihat daripada mereka yang berkaitan dan sentiasa menambahkan pengetahuan bagi membolehkan diri mereka membuat keputusan yang tepat dan rasional tentang perjalanan kelas dan organisasi yang mereka pimpin.

Dalam konteks ini, sentiasalah berusaha mengemaskini pengetahuan dalam bidang persilatan khususnya penguasaan silat kita sendiri. Hal yang demikian boleh dilakukan melalui pertukaran pendapat, mendengar ceramah atau melalui pembacaan. Perkara pentingnya ialah Jurulatih itu sendiri suka akan usaha-usaha penambahbaikan diri. Janganlah kita merasakan ’terhimpit’ dengan peraturan-peraturan. Percayalah pada kebolehan diri sendiri. Perubahan sikap akhirnya akan meningkatkan keupayaan diri.

Penuntut yang menuntut di bawah seliaan kita, perlu dilayan dan diselia dengan sebaik mungkin. Kita perlu mengambil berat prinsip hubungan dengan mereka. Tunjukkan sikap positif dan sentiasa bersedia untuk membantu dalam semua hal yang berkaitan dengan silat. Hal yang demikian, secara langsung akan menambah minat kita terhadap perkembangan anak didik kita. Pertuturan dan pergerakan silat kita biarlah selari umpama ’cakap serupa bikin’ untuk dicontohi mereka. Kuasailah kemahiran komunikasi yang baik, jelas, dan mempunyai suara yang boleh mendatangkan semangat pada kelas yang dipimpin.

Satu faktor lagi yang amat penting, jangan lupa, ’keadaan badan’ kita. Kita perlu mempunyai tubuh badan yang baik. Oleh itu jagalah berat badan, stemina dan saiz badan. Saya selalu sarankan agar aspek-aspek tersebut dijaga kerana kesannya boleh dilihat pada pergerakan dan semangat Jurulatih dalam mengendalikan kelas.

Di samping itu jangan lupa hak penuntut kita untuk mendapatkan pelajaran silat. Sikap ini sememangnya menjadi amalan kita. Yang tertinggal buah, akan tetap kita ulang dan berikan buah. Fahamilah penuntut kita. Sebagai Jurulatih, mereka perlu mempunyai minat terhadap kebolehan penuntut. Kekurangan pengetahuan tentang penuntut akan menjejaskan tumpuan Jurulatih ketika menurunkan buah.

Ketahuilah kekuatan dan kelemahan mereka. Di samping itu aspek keselamatan penuntut perlu juga diambil kita. Tetapi ini tidak bermakna kita akan mengubah teknik mengambil buah. Sesuaikan dengan kebolehan penuntut. Jika penuntut itu mempunyai daya tahan dan kebolehan yang tingggi, sampaikan buah dalam bentuk yang sesuai dengan kebolehan mereka. Kalau perlu, kenakan ’perasa’ sebenar setiap buah dalam SC pada mereka. Perkara penting, kita jangan bersifat emosional atau memberi layanan yang berat sebelah walaupun kita mempunyai sifat berat sebelahnya sendiri. Dalam satu-satu ketika, utamakan kehendak penuntut kita dalam proses penurunan ilmu SC.

Dalam konteks pesonaliti Jurulatih, mereka perlu mempunyai sifat boleh bergurau dan sentiasa berminat dan bersemangat serta menetapkan mutu yang tinggi pada pencapaian penuntut. Hal yang demikian akan mewujudkan kemesraan dalam suasana kelas. Sekurang-kurangnya akan membantu menambat kesetiaan mereka belajar SC hingga tamat. Aspek sabar, bertolak ansur dan bersungguh perlu sangat dipupuk dari masa ke masa.
Sambung lagi.