Thursday, January 27, 2011

KENANGAN 5.

Kepuasan Bersilat.

Mereka yang bergelar Jurulatih dalam SC patut berasa bangga dengan gelaran tersebut. Bukan mudah menjadi Jurulatih. Pastinya pelantikan mereka ada kaitan dengan kelebihan-kelebihan diri yang diperakui oleh Guru Utama. Kalau Guru Utama memberi persetujuan, bermakna beliau juga menaruh harapan pada Jurulatih itu untuk mengembangkan persilatan. Harapan Guru dilahirkan bersekali sebagai wakilnya di kelas-kelas silat berkenaan. Prinsip wakil guru dilambangkan melalui pelantikan secara pemberian sijil dalam majlis pelantikan Hari Tenaga Pengajar.

Saya selalu menggunakan istilah memandu dalam konsep seseorang Jurulatih itu menjalankan tugas yang diamanahkan pada mereka. Memandu akan menjurus ke arah perbuatan mendidik dan pembinaan diri pesilat SC itu sendiri. Saya dapat saksikan betapa ramai dalam kalangan ahli yang hebat bersilat tapi tidak dibenarkan Ustaz menjadi Jurulatih. Jelas hal yang demikian telah memahamkan saya betapa hebat sekalipun sesorang itu dalam SC, tapi jika tidak ada upaya menyampaikan pelajaran SC kepada orang lain, akan diketepikan daripada peluang menjadi Jurulatih. Kalau nak disebutkan nama, memang ramai. Tak sesuai dalam tulisan ini.

Sebaliknya ada juga dalam kalangan Jurulatih yang tidak ‘hebat’ persilatannya. Geraknya dianggap lembut dan perlahan. Namun begitu, Ustaz telah melantik mereka sebagai Jurulatih dan memegang jawatan penting di cawangan. Jelas lagi kefahaman saya betapa faktor menyampaikan ilmu adalah merupakan perkara yang amat penting. Sesuailah konsep ‘memandu’ seperti yang saya katakan. Konsep memandu sangat dipentingkan dalam proses penurunan ilmu SC dalam kalangan penuntut yang ingin menguasai pelajaran SC.

Sesungguhnya diri Jurulatih itu sendiri tidak dapat dipisahkan dengan silat dan kelas silat. Walau bagaimanapun mungkin dalam kalangan Jurulatih terdapat beberapa tahap komitmen. Walaupun hal yang demikian tidak perlu dibincangkan, namun begitu adat manusia ada kelebihan dan kekurangannya. Pastinya ada Jurulatih yang hebat penglibatan dan pengetahuan serta pengalamannya dan ada Jurulatih yang kurang hebat dari segi penglibatan, pengetahuan dan pengalamannya.

Walau bagaimanapun, konsep hebat pasti terlalu umum dan bergantung erat pada tafsiran seseorang. Cuma, sebagai Jurulatih, jangan terlalu perasan. Biarlah orang lain memberi kepastian atau membuat kesimpulan. Tugas kita adalah menyebarkan pelajaran. Ikhlaskan hati dan tumpukan pada tanggungjawab yang diamanahkan.
Mereka yang berminat dan menjadikan silat sebagai hobi, akan berasa resah jika tidak bersilat atau merenggangkan diri dari silat, walaupun hanya pada waktu yang seketika. Pada Jurulatih kumpulan ini, silat adalah umpama besi berani yang menarik diri mereka hingga roboh sebarang benteng yang dikira sebagai pemisah. Benteng itu termasuklah larangan daripada isteri yang begitu rapat dengan mereka. Penglibatan dalam silat adalah satu kepuasan buat diri mereka. Hal yang demikianlah telah mewujudkan satu suasana yang tidak menyenangkan ‘orang rumah’ atau sanak saudara. Dikatakan kita terlalu taksub pada Guru secara tidak bertempat.

Kepuasan ketika bersilat dalam kalangan Jurulatih berkenaan, ada banyak fasanya. Salah satu dari fasa tersebut ada kaitan dalam proses pengendalian kelas. Ada ketikanya setelah selesai kelas silat, hati mereka berasa puas dan lega. Ilmu yang diturunkan membawa makna sama ada pada penuntut atau pada diri mereka sendiri.

Jurulatih akan berasa puas apabila penuntut senang menerima segala ilmu yang diperturunkan ketika itu. Kepuasan ini lahir atas kebolehan mereka menyampaikan pelajaran silat dengan mudah dan teratur. Fikiran Jurulatih tersebut akan menjadi tenang apabila sewaktu tidur.

Namun begitu, ada ketikanya, kelas silat diakhiri dengan jiwa Jurulatih tertekan akibat “frust” atau hati kecewa dan tidak tenang. Hal yang demikian tentu banyak puncanya. Kalau ramai penuntut yang tidak dapat menguasai pelajaran pada malam atau hari tersebut, pasti akan kurang menyenangkan Jurulatih yang bertugas. Lebih-lebih lagi jika ada penuntut yang menunjukkan riaksi degil atau berfaham nagetif. Jika Jurulatih tersebut gagal menguasai suasana yang sebegitu maka alamat tak lelaplah mata ketika hendak tidur. Masa tidur, datang mimpi ngeri.

Berdasarkan pengalaman saya, sekurang-kurangnya terdapat tiga situasi yang menyebabkan warga persilatan dalam satu-satu kelas berasa puas dan hati semakin bersemarak setelah bersilat. Kepuasan itu sama ada di pihak Jurulatih atau di pihak pesilat.

Situasi yang pertama ialah bilangan yang ramai ketika bersilat. Kalau ada lebih daripada dua puluh orang yang datang bersilat, semangat yang lemah menjadi kuat. Penuntut rancak bersilat dan jurulatih yang mengendalikan kelas, bersemangat hebat memberi arahan dan penerangan. Itulah kesannya apabila bilangan ahli yang ramai ketika bersilat. Suasana cukup meriah. Nampak ’kesibukannya’. Agaknya itulah salah satu sebab bila kita hendak membuka kelas baru, selalu ditekankan supaya bilangan ahli yang ada biarlah tidak kurang daripada dua puluh orang. Pada peminat angka ganjil, mereka akan menetapkan sekurang-kurangnya dua puluh satu orang. Pada dasarnya, lagi ramai, lagi baik. Banyak kesannya dalam aspek motivasi bagi semua pihak.

Ketika bersilat, jurulatih yang mengajar cukup tegas. Kalau tidak diberi rehat, tiada siapa yang berani rehat hatta mencuba minum air walaupun seteguk. Habis tenaga pesilat diperah. Baju habis basah. Semua pesilat tetap akur dengan arahan jurulatih. Akur kerana sikap jurulatih yang tegas dan sikapnya tidak berubah dari mula hinggalah kelas tamat. Tidak ada “double standart”. Puas pada mereka yang ketagihan ilmu. Cuma, dalam situasi yang tertentu Jurulatih membenarkan rehat sikit-sikit sahaja.

Kalau sudah dua jam bersilat tanpa minum, huhhhh di situlah ada nikmat rupanya. Maka apabila mereka dibenar berehat dan menikmati minuman, suasana yang timbul amat meriah sekali. Ketika itu tenaga kaki dan tangan telah habis; minda sahaja yang bergerak. Sekali duduk, hendak bangkit terasa malas. Sangat malas. Malas hasil kepuasan bersilat.

Pada ketika itulah Jurulatih pandai mengambil “peluang”. Mereka memberi syarahan atau taklimat atau apa-apa saja kata perangsang atau penerangan tentang silat. Setuju atau tak setuju, pesilat kena dengar. Nak bangkit terasa malas. Kaki tangan belum pulih. Kena dengar. Agaknya macam kita dengar kutbah Jumaat. Nak bangkit tak boleh. Setuju tak setuju, dengar. Dalam keadaan letih inilah syarahan bernas yang diberi sebenarnya telah memberi kepuasan pada jiwa penuntut. Bila balik, terasa puas.

Satu lagi keadaan yang menyebabkan hati cukup berasa puas bersilat ialah apabila Ustaz sendiri turun ke kelas. Biasanya ketika Ustaz bermalam di cawangan. Berdasarkan pengalaman bersilat, apabila kelas rancak dengan suara riuh jurulatih memberi arahan, akan menarik minat Ustaz untuk menjenguk dan turun ke kelas. Ketika ’mengajar’, Ustaz cukup tegas. Sekali sekali, suaranya tinggi tanda sesuatu gerak yang tak kena. Biasa di depan mata saya, Ustaz membetulkan pergerakan kaki pesilat dengan menggunakan ranting kayu kerana tak betul-betul geraknya. Sakit juga agaknya. Kebetulan berdekatan kelas ada pokok.

Itu semua melambangkan ketegasan Ustaz ketika pembelajaran silat. Yang pastinya penuntut tidak “tension”. Megah ada, kerana ditegur atau diajar oleh Ustaz. Walaupun penglibatan Ustaz dalam kelas-kelas berkenaan tidak lama, kedatangan dan tegurannya memberi satu kepuasan yang tidak terhingga kepada pesilat dan Jurulatih yang ada. Kesimpulan pada saya, jika kepimpinan kita memberi perhatian maka kelas berkenaan boleh berkembang dengan hebatnya.

Tidak ada sesuatu yang menyeronokkan kita bersilat, melainkan perasaan puas. Kepuasan adalah sesuatu yang kita bentuk. Oleh itu, berilah kepuasan kepada anak didik kita.
Sambung lagi.