Monday, January 24, 2011

KENANGAN 4.

SC Bukan Penghibur.

Kita tunjuk silat bukan untuk suka-suka. Ketika kita membuat persembahan, berhati-hatilah dengan keselamatan diri. Jangan asyik melakukan persembahan hingga kita lupa diri. Contoh peristiwa di Cawangan Utara jangan diulang lagi. Perkara pokoknya, apa yang ingin ditunjukkan adalah semata-mata memberi pengetahuan dan panduan kepada para penonton untuk memilih silat yang bakal dijadikan teman setia sepanjang masa.

Walaupun ingatan tentang keselamatan diri sering saya tanamkan pada Jurulatih, ada kalanya tidak mudah untuk dituruti. Luar dari pengawasan atau kawalan kita sendiri. Pernah terjadi satu peristiwa yang mencemaskan ketika membuat persembahan di Maktab Perguruan Kinta pada satu masa yang lalu.

Tujuan persembahan adalah untuk mengambil penuntut baru. Persembahan diadakan dalam dewan yang berlantaikan kayu. Ketika pesilat mengambil buah Kilas Belakang, kepala pasangan jatuh ke lantai terlebih dahulu. Hal yang demikian terjadi kerana kelajuan mengambil buah tersebut adalah di luar kawalan. Akibatnya, kepala pesilat terhentak ke lantai. Pertunjukan diteruskan. Para penonton mengkagumi jenis pertunjukan yang sebegitu. Namun, pada kami yang lebih arif tentang silat merasakan bahawa gerak jatuh yang berkenaan, pasti membawa kemudaratan.

Ketika pesilat berkenaan selesai menunjukkan persembahan, rakan-rakannya cepat-cepat mendapatkannya dan dibawa keluar dari kumpulan pertunjukan. Rupa-rupanya, pesilat berkenaan telah menjadi lupa. Bukan lupa daratan tapi lupa fikiran. Hinggakan beliau tidak dapat mengingati tujuan membuat pertunjukan. Malah tidak ingat tempat tinggal apabila dimajukan soalan demikian.

Setelah selesai mengacarakan majlis, saya mendapatkannya. Fikirannya masih lupa. Saya menjadi risau. Terpaksa kami memberi ruang kepadanya supaya tidur merehatkan diri. Tentunya saya berasa cemas. Terutamanya, saya yang menjadi ketua. Tanggungjawab tetap ada pada saya.

Mujurlah apabila beliau sedar, fikirannya pulih sedikit demi sedikit. Kejadian tersebut benar-benar menarik perhatian kami supaya menjaga keselamatan diri ketika membuat sebarang pertunjukan. Ketika membuat pertunjukan, pasangan perlu sangat berhati-hati. Sifat tolak ansur sesama mereka perlu ada ketika membuat gerak-gerak persembahan.
Keduanya kita perlu akui betapa persembahan kita bukannya untuk hiburan kepada para penonton. Kita bukannya penghibur. Sebaliknya tujuan kita membuat pertunjukan atau persembahan adalah bagi memahamkan penonton tentang konsep dan prinsip SC. Harapan kita agar SC akan berupaya menarik minat penonton untuk pelajari silat. Kalau sesaja membuat pertunjukan atau bermaksud menghiburkan penonton maka buat habis air peluh sahaja. Hampas.

Saya berpendapat, konsep menegakkan kebenaran dan bukannya hiburan, telah menyebabkan kita mempunyai beberapa pegangan. Pegangan tersebut sentiasa saya praktikkan.

Pertamanya, saya tidak akan menerima sebarang undangan membuat persembahan dalam majlis-majlis perkahwinan. Malah jika melibatkan ahli sekalipun, saya tidak akan berbuat demikian dengan mengadakan persembahan. Namun begitu, bagi memenuhi permintaan ahli untuk pertunjukan silat dalam majlisnya, saya akan menyusun persembahan silat lain. Silat itu tetap dipersembahkan oleh ahli SC. Cuma persembahan silat tersebut berdasarkan silat tari atau gerak silat pentas yang lebih kasar pergerakannya. Pengalaman saya dalam gerak silat Melayu adalah banyak. Maka senanglah direka gerak untuk membuat persembahan.

Saya masih ingat tentang satu pertandingan silat seni peringkat negeri saya. Pertandingan berdasarkan kategori persembahan silat secara solo, berpasangan tanpa senjata dan berpasangan dengan menggunakan senjata. Sudah semestinya SC tidak dapat menyertai pertandingan tersebut.

Oleh sebab SC dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan pertandingan itu di peringkat negeri, maka kami telah mengambil keputusan. Kami perlu menyertainya atas sifat rekaan satu nama silat Melayu yang lain. Kalau tak salah saya, kami namakan kumpulan kami sebagai kumpulan Silat Gerak Pendekar. Selesai kelas SC, kami berlatih mereka gerak untuk tiga kategori yang dinyatakan.

Keputusan pertandingan amat memeranjatkan atau mungkin melucukan. Daripada berbelas penyertaan, kumpulan kami mendapat tempat ‘top five’. Berpasangan dengan senjata mendapat tempat naib johan. Selesai pertandingan, di kelas silat, kami tertawa yang amat sangat. Kalau kita memahami tentang gerak tapak tiga dan empat, banyak perkara yang boleh direka. Namun begitu, SC bertapak dua. Amat sukar direka-reka. Itu sebab agaknya, mereka yang membuat silat seru pada gerak SC, semuanya hampa. Gerak silat kita tidak dijumpa.

Berbalik pada pegangan kita dalam pertunjukan. Saya menetapkan bahawa persembahan silat kita dalam satu-satu pertunjukan adalah berdasarkan susunan acara persembahan pada mula atau di akhir sahaja. Tidak ada sifat tolak ansur. Kita ada fahaman atas sikap kita tersebut. Kalau silat kita yang mula ditonton maka tontonan pada silat-silat yang berikutnya akan menjadi ‘tawar’.

Kalau silat kita membuat persembahan di akhir pertunjukan, bermakna itulah kesimpulan gerak. Pertunjukan itu akan diakhiri dengan satu kepuasan pada penonton dan membolehkan mereka lupa pada kehebatan silat-silat yang sebelum daripada persembahan kita.

Saya pernah menceritakan pengalaman saya sebagai Jurulatih yang membuat persembahan atau pertunjukan semata-mata untuk menghiburkan orang lain. Persembahan tersebut dilakukan di depan duta Perancis. Masing-masing ghairah menunjukkan kehandalan bagi menghiburkan penonton. Rugi dan malang yang dapat. Ramai yang tercedera. Ada yang terkeluar kepala lutut, pecah bibir atau bengkak di sana sini. Semuanya gara-gara lagak penghibur. Hilang pegangan silat yang membuat pertunjukan dengan tujuan memahamkan penonton bagi menarik perhatian mereka menyertai SC.

Ketiganya, kalau kita membuat persembahan, kita perlu pastikan persembahan tersebut dibuat secara bersungguh. Tonjolkan kehebatan kita bersilat berdasarkan prinsip SC. Jangan sesekali persembahan kita umpama “main wayang Cina”. Tak masuk dek akal walaupun dapat menarik minat penonton yang ada. Mereka yang untung, tapi kita yang rugi kerana mengamalkan gerak yang tidak betul atau tidak sebenarnya dalam persilatan kita. Orang tepok kerana diri mereka terhibur tapi diri kita yang ‘merana’.

Jelas pada kesimpulan saya betapa kesungguhan adalah merupakan faktor utama kejayaan seseorang dalam sebarang bidang terutamanya bidang persilatan SC. Di samping kesungguhan, kita perlu membina keyakinan sendiri. Hal yang demikian akan membolehkan kita menjadi pesilat yang hebat.

Walaupun saya tidak lagi bergerak aktif, sumbangan dalam dunia persilatan SC tetap ada. Kesunguhan dapat dijadikan amalan. Jika kita bersungguh-sungguh berlatih pasti akan membuahkan hasil. Faktor bakat lebih merupakan faktor sampingan. Oleh itu, bersungguhlah walaupun pada mulanya kita gagal menguasai gerak SC. Akhirnya tetap akan berjaya menguasai SC. Beri masa sedikit. Jangan gopoh atau merancang cepat nak habiskan pelajaran. Tempoh masa latihan yang disusun Ustaz, amat sesuai bagi melahirkan pesilat yang hebat. Teruskan usaha-usaha gigih dalam kalangan Jurulatih untuk mengembangkan silat kita. Tapi jangan lupa menghebatkan diri dari masa ke masa. Sambung lagi.