Tuesday, December 28, 2010

Sambungan... LATIHAN SERANG DAN BUAH UMUM

Konsep menyerang ’penanti’ dalam senarai buah umum, saya fahamkan sebagai serangan pada ’tapak’ silat-silat Melayu yang ada. Kebanyakan silat Melayu mempunyai kedudukan atau tapak yang tertentu sama ada dalam proses bertahan atau dalam proses menyerang. Kedudukan tapak tersebut mempunyai maksud gerak yang tertentu. Oleh itu ketika menyerang, pesilat perlu berhati-hati dan menggunakan akal pemikiran yang tepat dan yakin bagi memintas maksud gerak yang ingin dilakukan oleh pasangan mereka. Keyakinan pada arah gerak pasangan kita yang membuat kepelbagaian tapak tersebut adalah berdasarkan kepada beberapa prinsip.

Pertamanya, pesilat perlu mengetahui kedudukan tangan dan kedudukan kaki pasangan. Pemerhatian pada kedudukan tangan dan kaki akan menentukan sama ada serangan yang dibuat berbentuk tumbukan atau berbentuk hanyunan seperti yang terdapat pada pukulan Sendeng Atas. Pada kebiasaannya, pasangan yang bertapak dengan kaki kanan di hadapan maka tangan kanan lebih aktif daripada tangan kiri. Begitulah sebaliknya, jika kaki kiri berada di depan atau di mana-mana sebagai berperanan utama maka tangan kiri pasangan adalah lebih aktif berbanding dengan tangan kanannya.

Prinsip kedua ada kaitan dengan kejutan. Setiap serangan sama ada secara tumbukan atau ayunan, perlu berbentuk kejutan. Saya telah banyak kali menyentuh tentang kemahiran ini dalam menunggu serangan atau semasa serangan dilakukan pesilat. Kejutan akan menghasilkan gerak yang tangkas, kemas dan akan menyebabkan pasangan berada dalam suasana yang tidak seimbang. Dalam suasana yang sebegitu, pesilat akan bertindak dengan pantas bagi menyudahkan serangan.

Prinsip ketiga, gerak memotong memerlukan gerak semula jadi pesilat. Gerak itu perlu secara secara spontan. Kalau pesilat mereka-reka atau berfikir-fikir ketika proses serangan, biasanya serangan tersebut kurang ’menjadi’. Oleh itu kita membenarkan para pesilat membuat geraknya sama ada secara gerak potong berbentuk spring atau gerak potong berbentuk tidak spring. Dalam proses ini juga ketika bertindak, pesilat boleh menggunakan bentuk-bentuk blok tepisan seperti pukulan kaki atau jab atau pukulan siku. Semuanya bergantung pada keadaan dan situasi yang ada.

Prinsip keempat, pada setiap serangan tapak tersebut, pesilat perlu mempunyai sifat keluarbiasaan dalam geraknya. Ketika belajar dulu, kami dipopularkan dengan ayat, ”Orang masuk ikut pintu, kita masuk ikut tingkap”. Maknanya, jika pasangan mengharapkan serangan pada bahagian dada, pesilat akan menyerang di bahagian muka. Begitulah seterusnya. Dalam konteks ini, pesilat ’memotong’ jangkaan pasangannya. Gerak yang berupa luar dari kebiasaan tersebut akan menyebabkan pasangan tidak dapat menjangka bentuk serangan yang kita lakukan.

Terdapat gerak-gerak penanti seperti tinju atau tomoi yang memerlukan gerak serangan yang mantap, yakin dan mengelirukan pasangan. Gerak-gerak itu juga adalah merupakan gerak yang luar biasa. Gerak yang luar biasa ini akan berupaya mengatasi penanti yang luar dari kebiasaan dalam silat Melayu.

Dalam konteks serangan tapak ini, terdapat persoalan tentang bentuk serangan yang membabitkan buah-buah umum yang terdahulu seperti Sendeng Pertama, Sendeng Makan Dalam, Judo Banting dan sebagainya. Jika pasangan menggunakan tapat untuk membuat buah-buah tersebut, kita lebih utamakan serangan pada tapaknya. Itulah yang kita lihat dan itulah jangkaan yang jelas pada mata kita. Saya selalu tegaskan betapa dalam serangan, kita lebih berdasarkan kedudukan pasangan. Walaupun niatnya ingin membuat buah-buah umum yang berkenaan, serangan pesilat masih lagi berdasarkan kedudukan kaki dan tangan pasangan. Kita tidak mempedulikan apakah buah yang bakal digunakan pasangan ataupun lawan.

Dalam masa latihan, beberapa penekanan telah diberikan. Setiap serangan yang dilakukan jika menghadapi masalah maka konsep enam tolak enam adalah sangat diperlukan. Pesilat akan keluar dari medan pergaduhan bagi menyusun balik strategi bagi membuat satu serangan yang lain.

Saya selalu kaitkan konsep enam tolak enam dalam aplikasi sikap kita dalam dunia kehidupan. Dalam satu-satu situasi yang tertentu, mengalah atau mengundur diri bukanlah bermakna kita bacul atau bersifat penakut. Sebaliknya kita menyusun strategi bagi menentukan kemenangan mutlak di akhir peristiwa atau di akhir perkara dalam satu isu. Di sinilah lahirnya sifat sabar dan ketenangan diri. Minyak jika disimbah dengan api pasti akan membakar diri.

Pelajaran menggunakan kaki akan dikhaskan pada satu sesi latihan. Walaupun SC tidak menggunakan kaki untuk membuat serangan akan tetapi kebanyakan seni mempertahankan diri yang lain amat suka menggunakan kaki. Malah ada seni bela diri dari luar yang menjadikan kaki sebagai punca geraknya yang utama.

Walau bagaimanapun, SC masih lagi menggunakan kaki dalam geraknya. Langkah-melangkah tetap menggunakan kaki. Malah, terdapat pukulan-pukulan yang menggunakan kaki. Penggunaan pukulan kaki banyak diperkenalkan ketika latihan umum. Oleh itu, penggunaan kaki bukanlah asing bagi kita. Memperkenalkan pelajaran kaki adalah berdasarkan kepada prinsip asas. Prinsip ini juga dapat dikatakan sebagai syarat-syarat utama jika berlatih menggunakan kaki. Saya akan membincangkan dalam tulisan ini tentang prinsip-prinsip asas penggunaan kaki tersebut.

Pertamanya, ‘Bila tangan digunakan musuh maka tangan pula balasannya. Jika musuh menggunakan kaki, maka kakilah balasannya tanpa menggunakan tangan menepis serangan kaki.’ Oleh itu latihan mengatasi serangan kaki dengan kaki adalah merupakan asas yang utama. Penguasaan yang mantap akan banyak membantu para pesilat untuk mengendalikan sebarang bentuk serangan kaki.

Walaupun ada kekecualian, prinsip ’kaki ditepis dengan kaki’ adalah merupakan prinsip asas dalam SC. Sepak Minang yang cuba diambil dengan kaedah tangan, amat membimbangkan, melainkan cara sepakan tersebut umpama sepakan lajak. Apa yang saya perhatikan, penggunaan kaki untuk menangkis serangan kaki sangat kurang diperturunkan kepada penuntut. Hal ini amat merugikan.

Keduanya, pesilat perlu membuat keputusan secara semula jadi sama ada melangkah sambil menepis terlebih dahulu atau membuat langkahan terus sambil mengenakan pukulan. Gerak yang sedemikian adalah seperti mana yang terdapat semasa menangkis sepakan luar. Kedua-dua gerak berkenaan dikira selamat. Namun begitu kesan yang diperoleh pasangan adalah berbeza.

Prinsip ketiga adalah berhubung kait dengan diri pesilat itu sendiri. Semasa mengambil kaki, pesilat perlu mempunyai semangat, keyakinan, keberanian dan jangan teragak-agak semasa melakukan gerak. Pesilat tidak boleh berhenti dalam proses gerak dilakukan. Jika salah gerak sekalipun, mereka perlu menghabiskannya. Setelah pembetulan maka latihan yang sama diteruskan hingga mereka menguasai gerak yang betul dan tepat. Gerak yang betul ini perlu diulang-ulang latihannya hingga bersebati dalam kalangan diri pesilat itu sendiri. Sifat-sifat yang berkenaan boleh dipupuk melalui latihan yang berterusan dan mendapat bimbingan yang sempurna daripada Jurulatih.

Penggunaan senjata juga merupakan pelajaran yang dipandang berat. Pelajaran ini adalah merupakan pelajaran akhir setelah pesilat benar-benar dapat menguasai pergerakan dua tangan dan dua kaki. Untuk pergerakan tangan dan kaki, pemberatan adalah pada penggunaan tangan dan kaki kanan dalam pemulaan serang. Kecekapan dan penguasaan gerak kanan akan membolehkan mereka berlatih secara kiri. Hal yang demikian tidak mendatangkan masalah yang besar. Cuma, para pesilat perlu membuat penyesuaian pada gerak yang berlainan. Pembelajarannya hanyalah setakat mendapatkan pengetahuan dan pengalaman.

Umumnya saya bahagikan senjata kepada dua iaitu senjata tongkat dan senjata pisau. Tersangat jarang saya membincangkan tentang senjata-senjata panjang. SC sangat sesuai untuk mengatasi segala bentuk serangan senjata pendek. Penggunaan senjata panjang seperti tongkat panjang hanya diajar dalam konsep habuan sesak. Hal yang demikian kerana gerak mengatasi senjata panjang tersebut adalah menyimpang daripada konsep dan prinsip gerak SC.

Ketika memperkenalkan senjata dalam kalangan pesilat, saya pastikan mereka telah menguasai segala bentuk buah jatuh yang ada dalam senarai sukatan pelajaran. Penguasaan tersebut perlu diiringi dengan ketangkasan, ketepatan dan kekemasan. Kegagalan menguasai kemahiran-kemahiran tersebut akan menganggu pembelajaran senjata yang cuba diperkenalkan.

Sebelum mempelajari latihan gerak pisau, para penuntut diperkenalkan dengan latihan gerak tongkat. Ada banyak cara menyerang dengan tongkat. Pada peringkat awal, segala bentuk serangan tongkat akan diambil berdasarkan buah-buah jatuhan yang ada. Apabila pesilat menguasai buah-buah tersebut, aplikasi kemahiran buah jatuh diperkenalkan dalam kalangan mereka. Mereka dikehendaki mengambil pelbagai jenis serangan tongkat tanpa diberitahu arah serangan. Terdapat kaedah yang jelas dalam latihan tanpa pakat tersebut.

Terkenang betapa para pesilat menggunakan topi keledar ketika menghadapi serangan dari atas sama ada semasa berdiri dan semasa duduk. Kaedah duduk ketika itu kami gelar sebagai cara duduk orang ’kalah judi’. Punggung duduk dan kedua-dua tangan akan mengampu. Pemakaian topi keledar menyebabkan pukulan pesilat tidak perlu dibrek. Dalam masa gerak serangan inilah Jurulatih akan dapat perhatikan ketangkasan dan kesungguhan para pesilat menghadapi serangan tongkat dalam situasi sebenarnya sama ada duduk atau berdiri. Keberanian yang wujud itu akan memudahkan mereka mempelajari senjata pisau. Kalau gerak tongkatpun sukar dihadapi maka apatah lagi dengan pisau.

Kemahiran menggunakan sejata pisau adalah merupakan kemahiran senjata yang terakhir. Bukan mudah berlatih dengan mengunakan kaedah untuk menghadapi gerak pisau. Mereka yang teragak-agak dalam gerak, sukar untuk menguasai pelajaran pisau. Namun begitu pelajaran pisau tetap disampaikan pada mereka. Latihan adalah secara menggunakan pisau sebenar. Oleh itu, para pesilat perlu berhati-hati. Sifat teragak-agak membuat buah akan menyebabkan kecederaan kepada pesilat itu sendiri. Ketika inilah pakatan gerak sesama pasangan silat amat diperlukan. Lebih-lebih lagi ketika ini penumbuk serang semakin menjadi. Sekian.