Friday, January 28, 2011

KENANGAN 6.

Penambahan Ilmu.

Corak penyampaian ilmu atau pelajaran silat yang disampaikan Ustaz atau wakilnya adalah pelbagai. Umumnya, ilmu atau pelajaran yang disampaikan secara formal lebih tersusun atau teratur. Aktiviti penyampaian secara formal melibatkan juga aktiviti syarahan dalam majlis-majlis rasmi. Hal yang demikian termasuklah majlis-majlis pengijazahan.

Jawatankuasa pusat dan negeri sering mengadakan majlis-majlis khas yang tertentu. Antara lain, majlis-majlis agama seperti sambutan Maulidul Rasul dan majlis-majlis yang berkaitan dengan Jurulatih. Misalnya Hari Tenaga Pengajar, kursus pengendalian kelas dan sebagainya. Dalam majlis-majlis tersebut, banyak perkara atau ilmu yang disampaikan Ustaz atau kepemimpinan tertinggi yang lain kepada sasaran kumpulan yang ditentukan.

Banyak faedah yang diperoleh hasil daripada aktiviti yang sedemikian. Di samping ilmu persilatan, para pesilat disemai dengan disiplin ilmu-ilmu yang lain. Misalnya, bidang pengurusan, kepemimpinan, motivasi, komunikasi dan sebagainya. Banyak perkara yang boleh dijadikan panduan. Sambutan yang diberikan ahli adalah menggalakkan. Secara langsung kesan sampingan, aktiviti-aktiviti berkenaan mengukuhkan hubungan sesama ahli dan antara ahli dengan barisan kepimpinan persatuan.

Ilmu atau pelajaran SC juga disalurkan secara tidak formal. Saya berpendapat, kaedah secara tidak formal ini, telah banyak membantu ahli atau pesilat itu. Mereka berupaya untuk mendapatkan penjelasan, huraian dan pengetahuan pada satu-satu perkara yang kurang jelas. Kadangkala saya dapat rasakan betapa kaedah penyampaian ilmu secara tidak formal ini lebih banyak mendatangkan manfaat. Para pesilat akan memperoleh penjelasan yang lebih jelas. Interaksinya dua hala dan memudahkan kedua-dua pihak yang terlibat berbincang hingga puas.

Setelah selesai satu-satu majlis formal, para pesilat akan berbincang dan mengupas atas tajuk yang sama. Selalunya perbincangan itu akan diketuai oleh Jurulatih senior atau mereka yang lebih ilmunya. Terasa juga betapa tabiat atau tindakan tersebut dapat juga memuaskan hati pendengar. Sekurang-kurangnya majlis yang telah tamat ada kesinambungannya dan tidaklah begitu cepat turun klimaksnya.

Saya selalu tegaskan pada para Jurulatih. Mengharapkan persatuan atau silat semata-mata untuk membentuk kehebatan atau keperibadian pesilat, tentunya tidak memadai. Faktor penting ialah ada orang yang berperanan untuk membentuk peribadi seseorang pesilat berdasarkan kefahaman SC. Carilah dan dekatilah orang itu, terutamanya dengan Guru Utama.

Sebenarnya, kita sering mengait-kaitkan persatuan dan silat sebagai pembentuk utama keperibadian pesilat. Sengaja kita mengada-adakan penyesuaian atas pendapat demikian. Itu semua hanya merupakan harapan dan andaian. Kita memerlukan ’orang’ yang dapat memandu kita dalam proses memahami falsafah SC supaya dapat dijadikan pegangan.

Dalam hal ini, siapakah yang berperanan untuk membentuk peribadi pesilat. Sudah tentu, peranan Guru Utama adalah merupakan tunjang utama. Orang-orang kanan juga patut berperanan bagi membantu Guru Utama mencapai hasrat dan niatnya. Oleh itu, mereka perlu perkayakan diri dengan ilmu dan pengalaman. Fikirlah sendiri akan cara-cara untuk berbuat demikian.

Saya ingin mengungkap semula pengalaman saya bersama Ustaz. Banyak ilmu atau pelajaran yang saya peroleh secara tidak formal. Pelajaran tersebut antara saya dengan Ustaz. Hati berasa puas.

Biasanya, sudah menjadi ketetapan fikiran ketika itu. Sesiapa yang rapat dengan Ustaz, pasti ada kelebihannya. Kelebihan apa, hanya mereka yang memperoleh ’kelebihan’ tersebut sahaja yang mengetahuinya. Tentu orang lain ingin juga berkongsi ilmu dengan mereka yang rapat dengan Ustaz. Tapi ketika itu ada juga sifat kedekut. Pelajaran yang diperoleh tetap dianggap sebagai habuan masing-masing. Mustahil boleh dikongsi-kongsi bersama. Oleh sebab itulah ramai yang cuba merapatkan diri dengan Ustaz dalam apa cara sekali pun. Bak kata pantun empat kerat:

Taat ke Guru membawa berkat,
Sedikit belajar banyak yang dapat.
Jika menderhaka menjadi mudarat,
Semua ilmu tiada yang lekat.


Sumber ilmu yang utama ialah pada Guru Utama. Hubungan baik yang terjalin dengan guru akan mewujudkan hubungan mesra. Itu juga melambangkan konsep ketaatan yang ditunjukkan pada Guru. Kita tidak akan berasa tertakut-takut sewaktu berbual atau berbincang dengannya. Hal yang demikian akan memudahkan kita berfikir dan meluahkan persoalan yang terlintas dalam hati tanpa ada sekatan. Tapi tetap ada adabnya.

Persoalan yang ditimbulkan pada guru akan dapat mencungkil lebih banyak ilmu yang guru ada. Setiap jawapan pada persoalan kita adalah merupakan ilmu tambahan yang amat berharga. Kalau setakat disuap sahaja dengan ilmu yang ada, tidak mengembangkan pemikiran kita. Pemikiran yang kaku tidak akan meluaskan ilmu pesilat dalam usaha mendapatkan kehebatan dalam SC.

Pantun itu juga mengingatkan kita supaya jangan sesekali menderhaka pada guru. Konsep derhaka dalam zaman moden pastinya memberi banyak makna. ’Tikam belakang’, mengumpat kepimpinan, engkar perintah, lalai dalam menjalankan tugas dan pelbagai lagi sifat nagatif adalaah melambangkan konsep menderhaka. Hal yang demikian menyebabkan hubungan kita dengan guru akan menjadi renggang.

Kerengganan hubungan dengan guru bermakna tertutupnya peluang untuk terus menerus menambah ilmu. Kita tidak berupaya menunjukkan sifat berpura-pura di hadapan guru. Menjadi salah satu bidang tugas guru ialah mengenali sifat dan perangai anak muridnya. Sesuatu yang ada dalam hati akan terpancar melalui air muka. Guru kita mempunyai keupayaan untuk membacanya. Tak payah susah-susah menyembunyikan niat buruk di hati pesilat. Jika niat buruk kita dapat dikesan oleh guru maka guru sendiri akan mewujudkan suasana agar ahli yang berkenaan terpaksa menyisihkan diri. Maka hilanglah punca ilmu SC pada diri ahli silat berkenaan.

Lebih malang lagi jika pesilat itu bermusuh pula dengan gurunya. Benci pada guru akan terbawa-bawa hingga membenci hal-hal yang ada hubung kait dengan guru. Pastinya silat merupakan salah satu penghubung antara pesilat dengan gurunya. Akhirnya silat itu sendiri turut dibenci. Maka semua ilmu yang selama ini diperoleh, akan hilang sikit demi sikit. Tak payah muntah-muntah. Ilmu bukannya bahan yang boleh dimuntah-muntah.

Berbalik pada tajuk perbincangan. Satu bentuk usaha yang sering dilakukan mereka untuk merapatkan diri dengan Ustaz ialah sentiasa berada bersama dengannya. Ketika itu, Ustaz tinggal di pejabat silat. Rumah Ustaz yang ada sekarang belum dimilikinya lagi. Ada sebuah bilik khas Ustaz sama ada di pejabat lama atau di pejabat Jalan Putera.

Ketika Ustaz tinggal di pejabat lama, ramai yang sentiasa berada di sana. Ramai menunggu hingga larut malam, semata-mata ingin mendengar perbualan Ustaz. Ada ketikanya, Ustaz akan tidur awal. Ada dalam kalangan ahli yang tidak mahu balik. Tetap menunggu. Kebiasaannya Ustaz akan bangkit dan menemui mereka yang menunggu. Nasiblah. Kalau awal, sekitar jam sebelas atau tengah malam dapatlah mereka mendengar perbualan Ustaz. Perbualan tersebut akan belarutan hingga masuk kawasan pagi. Siapa yang setia manunggu maka mungkin ’banyak perkara’ yang diperoleh. Dalam tulisan berikut, saya menceritakan pengalaman kami menmbahkan ilmu daripada Ustaz.