Wednesday, January 19, 2011

KENANGAN 1.

Pengorbanan Ke Kelas

Setiap kali saya menghadiri perjumpaan Jurulatih, pasti saya akan terkenang zaman-zaman muda ketika saya hadir ke majlis berkenaan. Dalam setiap perjumpaan, akan ada pilihan. Sama ada saya dapat bertemu kembali dengan rakan-rakan seperjuangan ataupun tidak dapat berjumpa. Kalau tidak dapat berjumpa, bermakna sama ada mereka telah tiada di dunia ini lagi atau telah berpencen daripada kegiatan SC atau telah beralih haluan ke persatuan lain.

Dalam perjumpaan tersebut, kalau dapat berjumpa kerana mereka hadir bersama dan masih setia, pasti ternampak kelainan dari segi rupa dan bentuk fizikal. Perubahan yang ketara adalah dari sudut rambut yang kurang atau perut yang meningkat. Apa pun, semuanya akan bergembira kerana masih dapat bersama dalam perjuangan SC. Banyak cerita dan kenangan lama. Elok juga diungkap buat tatapan generasi baru yang ada.

Setelah sekian lama berjuang dan bersama setia dalam SC, pastinya banyak kenangan manis yang saya alami. Saya sering mengimbau kembali sejarah detik-detik perjuangan bersama rakan-rakan dalam mengembangkan SC selama hampir tiga suku tahun usia. Mungkin ruangan ini kita dapat kongsi besama dengan rakan-rakan lain yang baru menceburi SC tentang beberapa peristiwa manis saya yang berlaku sejak tahun tujuh puluhan yang lalu.

Ketika itu pengorbanan tenaga dan wang ringgit amat ketara sekali. Saya masih ingat lagi. Ada ketikanya dalam mesyuarat AJK pusat, ahli-ahli jawatankuasa perlu mengeluarkan derma berbentuk wang untuk sesuatu tujuan atau aktiviti persatuan. Semua Jawatankuasa yang ada adalah merupakan Jurulatih SC juga. Hal yang demikian membawa makna bahawa para Jurulatih juga perlu mengorbankan wang di samping pengorbanan masa dan tenaga.

Pengorbanan adalah juga merupakan satu sumbangan. Mengharapkan sumbangan ahli ketika itu, perlu didahului pengorbanan dari Jawatankuasa atau Jurulatih yang ada. Kepemimpinan melalui teladan. Semua pihak berkorban masa, tenaga dan wang ringgit. Tapi, pastinya kami tidak merenget atau mengungkit-ngungkit suasana yang ada. Pengorbanan atau sumbangan tersebut adalah berlandaskan keikhlasan.

Kekuatan kewangan ketika itu belum ketara. Tidak ramai antara kami yang mempunyai pekerjaan yang hebat. Saya sendiri merupakan seorang mahasiswa yang sikit sangat jumlah dermasiswanya. Setiap ringgit amat besar maknanya pada saya yang masih menuntut. Namun begitu, saya berasa amat kagum dengan pengorbanan saya sebagai AJK Pusat ketika itu. Siapa lagi nak puji.

Jurulatih yang ada amat kurang. Bilangan yang boleh aktif sepenuh masa tidak ada dan penglibatan agak terhad. Untuk menyampaikan ilmu SC kepada pesilat pada satu-satu kelas yang jauh, menjadikan kami mengharapkan pada Jurulatih yang ada kereta. Tidak ramai Jurulatih yang berkereta. Boleh dihitung dengan jari. Nasib baik dalam kalangan Jurulatih tersebut ada yang baru menjawat jawatan sebagai pegawai kerajaan setelah tamat pengajian di universiti. Bolehlah mereka berkereta dalam keadaan perlu bayar ansuran setiap bulan. Pada merekalah diberi pengharapan untuk menyediakan kemudahan pengangkutan pada Jurulatih yang bertugas.

Jika tuan punya kereta tiada berupaya pergi ke kelas yang dijadualkan, maka Jurulatih yang dipertanggungjawabkan pada kelas berkenaan akan pergi ke kelas dengan menggunakan motor. Duit minyak, tuang sendiri. Tak tergamak minta duit minyak daripada Ustaz. Malu pasti ada. Tabung Jurulatih atau tabung kebajikan belum ada.

Saya pernah alami pengalaman apabila tayar motor “pancat” dalam perjalanan. Terpaksa menolak motor ke kedai baiki motor. Kalau hujan, berlenjun. Nasib menjadi baik kalau dapat berhenti teduh dalam perjalanan menolak motor. Akibatnya dua pagi sampai ke pejabat latihan.

Saya ada satu pengalaman bersama rakan dalam perjalanan balik dari kelas. Saya difahamkan rakan saya tersebut masih bertugas sebagai seorang pensyarah. Kelas yang dimaksudkan itu ialah kelas di Institusi Teknologi Mara (ITM) Shah Alam. Sekarang ini bertaraf universiti.

Kami ditugaskan untuk mengendalikan kelas di ITM pada suatu malam. Saya menumpang motor yang ditunggang oleh rakan tersebut. Dalam perjalanan balik, hujan lebat mencurah-curah. Basah lenjun sebelum kami dapat berteduh di sebuah restoran mamak. Jam ketika itu hampir tengah malam. Kami menggigil. Nak masuk ke restoran rasa serba salah. Duit memang tak banyak. Ada le beberapa ringgit. Setakat minum bolehlah lepas. Tapi kalau dua orang tentu banyak susahnya.

Cuma, kebetulan pada malam itu kami ada membawa yuran penuntut yang dikirim melalui kami. Wang tersebut akan diserahkan pada Ustaz. Teringat peristiwa di malam itu. Saya nukilkan berdasarkan ingatan yang ada. Saya memandang tepat pada rakan saya tersebut. Begitu juga dengan rakan saya. Tiba-tiba terpancul kata-katanya mengatakan dirinya lapar. Duit yang dibawa tidak mencukupi. Melainkan adalah duit yuran yang dikirim melalui kami. Banyak juga helaiannya. Sambil bergurau beliau mengajak saya ‘merasai’ sikit duit yang ada.

Saya sangat memahami situasi pada malam itu. Kesejukan mengundang kelaparan. Kalau cerita Si Merah Padi, kesejukan mengundang kedahagaan. Nafsu yang ada tentu tak tertahan. Berlaku proses menganu yang tidak boleh ditahan-tahan.

Begitu juga dengan nafsu lapar yang kami hadapi. Lantas saya menyambut kata-katanya. “Kalau berani apa salahnya. Balik nanti beritahu saja pada Ustaz.” Begitulah nekad saya pada pelawaanya.

Kami pun masuk ke dalam restoran. Tentunya nasi menjadi juadah utama. Lapar yang dihadapi tidak terkira. Makanlah kami bagi memanuhi nafsu yang melonjak tidak terhingga. Badan yang menggigil pulih semula. Tenaga mula tiba. Hujanpun reda. Maka kami meneruskan perjalanan ke ibu pejabat.

Ustaz masih ada bersama ahli SC yang lain. Kami mencari ruang untuk berbicara dan menyatakan ketelanjuran yang telah berlaku. Memenuhi nafsu perut. Terasa malu. Malu yang amat sangat. Macam-macam ramalan yang tiba. Malas nak cerita.

Sampai peluang tiba, maka saya nyatakan segala. Ustaz diam sahaja. Tidak menunjukkan riak marah. Ustaz terima saja wang yang dikirim bersama penyata. Penyata yang belum ditolak dengan potongan belanja pada malam itu. Hati berasa lega. Maka itulah pengalaman pertama dan terakhir buat diri saya tentang berbelanja makan tanpa kebenaran terlebih dahulu. Tak mungkin berlaku lagi sepanjang masa saya bersamanya. Terasa tersangat malu.

Tapi ada pengajarannya. Jelaslah bahawa kelaparan akan mengundang ketelanjuran. Hilang sifat malu dek kerana tuntutan nafsu. Dan kesejukan juga mengundang sifat ketelanjuran. Nasib baik tidak melibatkan anu. Oleh itu, berhati-hatilah berdating ketika kesejukan. Pasti cerita ‘Si Merah Padi’ akan menjadi.

Berjalan kaki pergi atau balik ke pejabat silat di Lorong Haji Sirat ketika itu, perkara biasa. Hal yang demikian berlaku di kelas-kelas latihan di ibu negara. Sepanjang pengalaman saya, kelas-kelas yang saya maksudkan, termasuklah di UTK, UM dan UKM. Pengangkutan yang ada ketika itu amat susah sekali. Bas yang lalu silih berganti. Semuanya penuh dan tidak mahu berhenti. Bas mini juga amat kurang sekali. Untuk menaiki teksi, pasti tak mampu. Bayaran meter. Banyak duit yang diperlukan. Kami tidak mempunyai tabung Jurulatih bagi membiayai perjalanan kami ke kelas-kelas latihan. Semuanya tanggung sendiri. Tapi kami tak pernah merintih atau memberi sebarang komen. Kami terima tuntutan suasana yang ada. Ikhlas untuk menyebarkan SC tanpa ada terlintas sedikitpun perasaan tak puas hati.

Pernah terjadi sebagai pengalaman ketika saya dijadualkan mengajar satu kelas. Tidak ada rakan dan tidak ada kenderaan. Kelas tersebut jauh sekali iaitu di Universiti Pertanian, Serdang. Maka berlakulah satu peristiwa yang tidak boleh saya lupakan.

Apabila Ustaz mengetahuinya, Ustaz mempelawa saya untuk pergi bersamanya. Kami berdua berkereta Volkwagen merah, kepunyaan Ustaz Hanafi. Sampai ke kelas, kami disambut oleh murid-murid SC yang ada. Semuanya seramai lebih kurang enam puluh orang. Budak-budak belaka. Saya pun masih bebudak ketika itu. Umur dua puluh dua sahaja.

Peristiwa itu memberi gambaran perwatakan Ustaz berhubung dengan tanggungjawabnya sebagai Guru Utama. Sepanjang ingatan saya, Ustaz tidak pernah marah atau membuat amaran keras pada Jurulatih yang ponteng mengajar silat. Semua teguran disalurkan melalui Lembaga Pelajaran. Yakinlah dan fahamlah saya betapa mengajar silat itu merupakan tanggungjawab Guru Utama. Jurulatih yang terlantik adalah merupakan mereka yang diberi amanah untuk menunaikan tanggungjawab. Amanah itu boleh ditarik bila-bila masa, bergantung pada kehendak Guru Utama.

Pada malam itu, Jurulatih lain tidak ada. Hanya saya seorang bersama Ustaz. Ustaz tidak turun ke kelas. Hanya duduk sambil memerhati. Sungguh tension sekali. Tension yang timbul bukan kerana ‘mengajar’ penuntut silat yang ramai tapi kerana saya diperhatikan oleh orang yang amat saya hormati dan amat disegani. Mungkin yang saya takuti ketika itu. Tapi saya yakinkan diri. Stamina masih banyak. Setiap penumbuk yang datang pasti ada jawapan. Mana yang laju maka disambut dengan laju. Mana yang kasar maka akan disambut dengan kasar. Ada yang tepat dan ada yang sasar.

Namun begitu, saya kagum dengan Ustaz Hanafi. Sedikitpun Ustaz tidak menegur atas kesalahan yang saya lakukan ketika mengajar. Mula-mula saya berasa serba salah. Lama-lama saya yakinkan diri. ‘Membujur lalu melintang patah.’ Saya tumpukan pada pelajaran silat pada malam itu.

Selepas kelas, saya tertunggu-tunggu kalau-kalau Ustaz akan membuat komen atau marah atau atau yang lain. Tiada sebarang komen. Ustaz bercakap pada tajuk yang lain ketika kami pulang bersama pada malam tersebut.
Peristiwa atau kenangan pengalaman tersebut selalu saya jadikan kiasan pada Jurulatih yang saya bimbing. Saya kiaskan kepada Jurulatih yang mengajar SC atas mandat yang telah diberi. Pergunakan mandat itu dengan penuh rasa tanggunjawab dan amanah. Kalau rakan Jurulatih kita mengajar menyampaiakan ilmu SC dalam kelas, jangan dibuat teguran secara sepontan. Biarkan mereka melaksanakan tugas jika amanah atau tanggungjawab telah diperturunkan. Namun begitu, di pihak Jurulatih tersebut, tanamkan fahaman betapa baik buruk mutu pengajaran SC adalah juga di tangan Jurulatih. Jika rasa wujud kelemahan, maka baiki sendiri. Jadikan juga tanggungjawab membaiki kelemahan tersebut sebagai tugas hakiki seorang Jurulatih.

Saja saya menulis di ruangan ini untuk berkongsi pengalaman. Banyak kenangan saya bersama SC yang berkaitan dengan Universiti Pertanian. Pernah saya ceritakan dalam tulisan-tulisan yang lalu tentang gelagat pemandu kereta yang saya tumpang.

Ada seorang sahabat yang memandu, pantang melihat Jurulatih lain yang menumpang keretanya tertidur ketika beliau memandu. Nak buat macam mana. Maklumlah. Perjalanan dari UPM ke Kuala Lumpur bukannya dekat sangat. Hampir sejam juga. Selepas mengajar silat tentunya badan berasa letih dan ingin berehat. Maka perlu juga melelapkan mata.

Ketika kami melelapkan mata maka akan dibreknya kereta secara tiba-tiba. Apa lagi. Kami terperanjat dan terpinga-pinga. Beliau selamba saja dan meneruskan perjalanan. Dari kata-katanya fahamlah kami. Ketika beliau memandu, semua penumpang mesti berjaga. Betul juga. Beliau juga turun ke kelas. Letihnya pasti sama. Tak adil beliau memandu dan kami melelapkan mata. Kami akur akan kehendaknya.

Ada juga sahabat yang memasang spot light, tapi lampunya berfokas pada pemandu kereta yang berselisih dengan kami. Setiap kali berselisih kereta di tempat gelap maka akan dipasang lampu tersebut. Jelas lampu itu menuju ke muka. Maka menjeritlah pemandu kereta tersebut. Rupa-rupanya perbuatan tersebut membawa ketawa kepadanya. Sengaja dilakukan. Sakit jiwa agaknya pada fikiran saya sekarang. Ketika itu jadi bahan ketawa.

Sesungguhnya SC yang sekarang ini dikenali sebagai SC Hanafi telah banyak membawa kenangan pada diri saya. Hal yang demikian tetap membawa tekad, selagi bergerak dua tangan dan dua kaki, saya akan terus bergiat dalam Silat Cekak Ustaz Hanafi. Kalau tak turun ke kelas pun, saya akan beri buah fikiran. Terima atau tak terima, lain bicara.

Itulah sebahagian daripada kenangan saya bersama SC. Sekarang hati terasa sayu. Sudah Maghrib. Tapi saya tak rasa tua, cuma lama. Masih boleh berbakti untuk menyembangkan fahaman SC.
Sambung lagi.