Friday, January 14, 2011

KOMITMEN

Banyak tulisan mengenai tajuk ini. Di sini saya tulis lagi untuk meneguhkan tanggungjawab kita kepada pesilat dalam kelas latihan. Semoga kelas yang kita pimpin akan sentiasa maju dan riuh rendah dengan suara-suara ahli silat yang sedang menjalani kursus SC selama sekurang-kurangnya enam bulan. Kemeriahan dalam kelas melambangkan komitmen Jurulatih sebagai pemimpin dalam satu-satu kelas. Perkara yang baik biarlah diulang-ulang akan perbincangannya. Sekurang-kurangnya boleh dijadikan sumber rujukan atau pengetahuan.


Istilah kometmen adalah melambangkan penangungjawaban dan kemahiran yang sangat diperlukan dalam kalangan Jurulatih yang memimpin pesilat. Banayak kelas yang hebat kerana dipimpin oleh Jurulatih yang hebat. Saya dapat mengatakan bahawa Jurulatihlah yang sebenar-benarnya bertanggungjawab atas apa yang berlaku dalam kelas. Sepanjang pengalaman dan penglibatan saya dalam SC, saya tetap percaya bahawa kelas yang hebat pastinya akan dipimpin oleh Jurulatih yang hebat seiring dengan pengurusan kelas yang hebat. Dalam konteks ini, jatuh atau bangunnya sesuatu kelas SC itu dapat dihubungkan dengan kepemimpinan Jurulatih yang ada pada kelas-kelas berkenaan.

Setelah hampir tiga puluh tahun penglibatan dalam SC, saya dapat melihat sendiri perubahan yang berlaku. Perubahan yang berlaku dalam organisasi persatuan ini adalah turut melibatkan sistem pembelajaran atau adab dan adat dalam proses penurunan ilmu. Adatnya, perubahan tidak dapat dielakkan walaupun wujud harapan agar sistem dan buah SC tetap kekal dan tidak berubah.

Kalau kita berfikir secara positif, acap kali perubahan adalah sesuatu yang perlu. Perubahan merupakan sebahagian daripada kehidupan kita. Perubahan di suatu bahagian menyebabkan perubahan di bahagian yang lain. Secara umumnya, perubahan adalah bermaksud kelainan atau kita membuat sesuatu mengikut cara yang lain. Cara itu semestinya sesuai dengan tuntutan semasa.

Ada kalanya perubahan yang berlaku tanpa kita rancang. Diri pun turut berubah kerana suasana yang mengubahnya tanpa disedari. Dalam konteks perubahan SC, jangan lupa juga konteks perubahan pada diri kita. Rancangkan juga perubahan untuk diri.

Oleh itu, di samping komitmen kita dengan Silat Cekak Hanafi, jangan lupa diri kita sendiri. Bagi mempastikan kita hebat dan terus membolehkan kita memberi sumbangan pada perkembangan SC, lihat sebahagian daripada faktor berikut yang patut diambil kira.

1. Fizikal Kita. Jaga kesihatan. Kawal penyakit yang ada. Sebaik-baiknya jaga badan supaya penyakit tidak mudah tiba. Guru Utama kita mengatakan faktor perut sebagai punca utama kesihatan badan. Oleh itu, jagalah pembesarannya supaya tidak menganggu kesejahteraan diri. Jangan terlalu ke hadapan hingga menghilangkan pandangan di sasaran. Pada mereka yang merokok, eloklah berhenti merokok. Biar orang lain yang merokokkan kita. Jangan banyak merokok. Akan datang ‘sahabat’ rokok pada kita. Sentiasalah buat latihan bagi menguatkan badan. Selalulah beriadah. Kesihatan yang baik adalah merupakan ubat utama penaik anu. Tak payah ubat-ubat lain. Ilmu KK pun susah nak buat.

2. Perkembangan mental atau fikiran, perlu ada. Oleh itu, banyakkan membaca. Dalam konteks persilatan SC, perkayakan diri kita dengan ilmu SC. Hal yang demikian boleh juga dilakukan sama ada secara berjumpa dengan orang-orang lama yang mantap pemikirannya atau melalaui bahan-bahan tulisan SC yang ada. Tapi jangan lupa. Acuan mereka tidak sama dengan kita. Walau bagaimanapaun, hormati pendapat mereka. Sesuaikan semua perkara dengan diri kita. Ada peluang bertemu GU, maka rebutlah peluang tersebut. Aturkan majlis-majlis khas bagi memberi ruang kepada Guru Utama menyebarkan fahamannya pada kita.

3. Hubungan dengan masyarakat sekeliling jangan dilupakan. Lebih-lebih lagi sanak saudara sama ada dekat atau jauh. Jangan asyik bersilat setiap malam atau setiap hari, hingga lupa sekali sekala mengunjungi sanak saudara. ‘Kunjungan’ ke masjid perlu ada. Ke SPA lain bicara. Penuhi juga jemputan ahli masyarakat yang mungkin bukan ahli silat.

4. Keluarga adalah merupakan institusi utama. Utamakan juga keluarga kita. Mereka berperanan sebagai apa saja. Sahabat setia, penenang atau sebutlah apa saja, maka itulah mereka. Kesetiaan mereka amat berharga dan pasti jua. Oleh itu, jangan persiakan mereka. Sakit demam kita memberi kesan secara langsung pada mereka. Rajin-rajin bawa berjalan. Kalau mereka sakit, utamakan mereka daripada silat buat seketika.

Bebalik pada perjalanan Persatuan. Saya selalu tegaskan betapa Guru Utama adalah merupakan pembuat dasar. Hal yang demikian adalah merupakan hak Guru Utama untuk membuat dasar persatuan atau persilatan selaku pengurusan tertinggi. Dasar yang dibuat erat kaitannya dengan prinsip perubahan.
Saya tidak dapat menafikan betapa perubahan yang dilakukan akan menyebabkan tekanan pada orang lain. Di sinilah peranan “orang kanan” atau pengurusan pertengahan atau Jurulatih dalam organisasi memainkan peranan sebagai kumpulan yang bertindak untuk mengurus tempoh transisi perubahan dari lama kepada yang baru. Mereka perlu bersetuju dengan perubahan yang ingin dilakukan. Kalau bersetuju maka mudahlah bagi mereka berperanan membantu ahli-ahli “melepaskan diri” daripada cara lama kepada cara baru. Langkah ini sangat penting. Jika seseorang ahli itu gagal mengikuti perubahan, maka akan berlaku beberapa kemungkinan.

Salah satu daripada kemungkinan tersebut ialah seseorang itu akan memencilkan diri atau akan bertindak secara mengundur diri daripada sesuatu penglibatan kerana tidak bersetuju pada perubahan yang wujud. Jika tidak mengundur diri, mereka yang tidak dapat mengikut arus perubahan mungkin terus kekal tapi akan berterusan melukakan hati orang lain sama ada secara lisan atau perbuatannya. Yang paling dahsyat jika seseorang itu melakukan “sabotaj”. Melemahkan pengurusan persatuan.

Seperti yang saya tegaskan, betapa dalam usaha mengurus perubahan inilah, peranan “orang kanan” itu dalam persatuan amat penting. Merekalah golongan yang akan mempertahankan Guru Utama dalam apa jua suasana yang timbul. Kesetiaan mereka tidak berbelah bahagi. Mereka perlu benar-benar memahami kehendak pemimpin organisasi SC. Saya yakin untuk memahaminya tidak akan mengambil masa yang panjang. Jangan timbulkan persoalan tanpa merujuk pada pemimpin.

Orang-orang kanan ini juga perlu bersikap jujur dengan Guru Utama dalam usaha merapatkan diri dengan ahli-ahli yang lain. Menarik perhatian ahli kepada persatuan, jangan sesekali meletakkan kepentingan peribadi atau cuba meluaskan pengaruh peribadi. Buat sesuatu arahan atau melaksanakan sesuatu tanggungjawab dengan penuh rasa ikhlas tanpa mengharapkan pulangan yang melampau. Cukuplah dengan didikan yang diberikan oleh Guru Utama dari masa ke masa buat renungan diri kita.

Sifat jujur yang kita miliki membolehkan Guru Utama meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada kita. Kita akui, memimpin kelas atau cawangan menunjukkan tanggungjawab kita yang telah dilantik sebagai wakil guru di satu-satu kelas atau tempat tersebut. Jalankan peranan dengan sepenuhnya. Janganlah kita menyalahgunakan kuasa, kepercayaan dan keyakinan yang diberi. Penyalahgunaan kuasa akan mengundang hilangnya kepercayaan Guru pada diri orang kanan atau Jurulatih itu sendiri.

Sebagai orang kanan, kita juga berkeupayaan untuk mencerap dan menilai suasana. Kadang kala kita perlu membuat keputusan. Untuk itu, perkayakan diri dengan ilmu agar keputusan yang kita ambil atas peraturan yang dibenarkan, benar-benar matang, bernas dan boleh disenangi oleh semua pihak. Jika ada maklumat yang perlu disampaikan kepada pihak kepimpinan, berilah fakta sebenar tanpa diipengaruhi oleh sentimen iri hati, balas dendam atau dengki. Hal yang demikian sangat merugikan persatuan.

Akhir sekali, sebagai orang penting dalam organisasi, orang-orang kanan itu perlu menjalankan tugas dengan penuh kerelaan dan bersedia memikul tanggungjawab dalam organisasi. Kerelaan akan menuntut pengorbanan. Pengorbanan tersebut perlu dijalankan dengan sepenuh hati tanpa ada perasaan yang berbelah bahagi. Jangan ada sesuatu percakapan ‘di belakang’ yang boleh menikam diri sendiri. Bak kata seorang penulis yang selalu saya petik dalam ceramah saya pada orang-orang kanan saya, “Master the art of conversing…the most serious mistake you can make is to underrate the boss and be caught doing it”.

Oleh itu, berhati-hatilah ketika kita membuat sebarang komen atau sebarang ulasan. Ramai mata-mata gelap dan mata yang digelapkan bagi mengawasi tingkah laku dan tutur kata kita. Paling malang apabila kita dijadikan magsa.

Kalau kita memahami tentang konep perubahan dalam organisasi maka dalam setiap perubahan yang berlaku akan menjadikan kita menerimanya secara positif. Para pemimpin kita tahu apa yang mereka lakukan. Biarlah mereka berfikir untuk melaksanakan agenda persatuan bagi mencapai matlamat kita. Sebagai ahli, kita terima dengan fikiran terbuka tanpa sebarang syak wasangka. Berilah sokongan tanpa menimbulkan sebarang isu. Di pihak pemimpin juga perlu ada sikap yang positif.

Biasanya apabila sampai hari dan masanya, ada Jurulatih yang tidak aktif lagi dan tidak berkekalan dalam perjuangan SC. Kadang kala kita hanya dengar nama kerana telah menghilangkan diri. Lesap tanpa berita. Dalam hal ini saya yakin sesiapa yang aktif semata-mata kerana persatuan atau aktif berasaskan kepentingan yang tertentu atau tidak jelas kepentingan dalam persatuan, maka pada satu masa pasti akan ghaib.

Selalu saya tegaskan betapa penglibatan dalam Silat Cekak biar ikhlas dan fahami benar-benar falsafah dan matlamat Silat Cekak. Kita perlu mencari ahli yang sehati dan sejiwa, sesuai dengan falsafahSilat Cekak. Seboleh-bolehnya, biarlah kita berkekalan dalam Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi hingga bertaraf sebagai jurulatih yang berwibawa.

Dalam konteks berwibawa, Jurulatih tersebut sentiasa berkeupayaan menyampaikan ilmu dan dapat mempengaruhi ahli ke arah mencapai matlamat persatuan dan matlamat persilatan. Oleh itu, menjadi tanggungjawab Jurulatih supaya fahami benar-benar perjuangan CH agar kefahaman yang ada dapat disebarkan dengan lebih berkesan kepada penuntut yang sedang belajar.

Terlantik sebagai jurulatih akan mengikat mereka untuk berkekalan dalam persilatan dan persatuan. Kalau ini wujud, sekurang-kurangnya tidaklah perlu kita mengadakan pelantikan segera pada jurulatih baru setiap tahun, semata-mata menggantikan jurulatih yang menghilangkan diri atau tidak aktif lagi.

Penglibatan kita sebagai Jurulatih dalam SC perlulah dalam jangka masa yang tidak terhad; selagi nyawa dikandung badan. Sumbangan bakti kita biarlah berkekalan dan berkesan. Jangan satu masa nanti, peranan kita hanya dijadikan sebagai insan untuk bahan kenangan sejarah bagi generasi muda atau sebagai tempat untuk mendapatkan bakti semata-mata kerana orang lama. Bak kata pepatah,’habis manis sepah di buang’.

Dalam Silat Cekak, baru atau lama tidak menjadi hal. Perkara penting, bagaimana usaha kita menyibarkan ilmu dalam kalangan penuntut diambil kira. Secara perancangan yang mantap, kita perlu mengharapkan generasi muda sebagai barisan pelapis, mengambil alih aktiviti persatuan dan persilatan SC itu sendiri dari masa ke masa. Oleh itu usaha-usaha kita mewujudkan peranan pembantu jurulatih sebagai barisan pelapis, amat berkesan dan besar maknanya dalam perkembangan CH.

Tanya diri kita, sudah berapa tahun penglibatan kita. BAYANGKAN LIMA tahun ke hadapan ketika kita masih berada dalam SC. Bagaimana agaknya keadaan kita ketika itu, kedudukan kita dan penglibatan kita dalam SC. Atau sudah merajuk, kecewa, tak ada masa ATAU MASIH SETIA DAN MENERUSKAN PERJUANGAN CH.

Cabaran yang dihadapi sangat banyak, sekurang-kurangnya bak kata prosa berirama berikut seperti yang ditulis oleh sahabat saya saudara Yusuf dalam artikal cawangan di satu masa dulu:

Yak Yak Yee
Gegak gempita.
Selamat pengantin baru
diucapkan segera.
Bila latihan diadakan semula,
Hilangnya ahli semakin nyata,
Sila teka apa puncanya,
Adakah kerana cabaran lain bermula
Atau..
Mungkin yang kecundang ada jawapanya.

….Sambung lagi.