Friday, January 21, 2011

KENANGAN 3.

Jangan Sombong.

Jangan berasa sombong atau terbuai-buai dengan perasaan megah dan hebat ketika penonton bersorak atau bertepuk tangan. Hal yang demikian akan menyebabkan terganggu proses mengawal diri. Tugas kita perlu dibataskan semata-mata membuat persembahan. Buatlah dengan bersungguh hati. Sama ada penonton hendak bersorak atau bertepuk tangan, jangan diambil peduli.

Saya teringat satu kenangan di Pulau Pinang juga. Cawangan saya dipelawa untuk membuat pertunjukan di sebuah dewan di sana. Cawangan Pulau Pinang yang pelawa. Ustaz sendiri akan hadir bersama. Tujuan pertunjukan adalah untuk mengambil ahli-ahli baru bagi cawangan berkenaan.

Kami ke sana dalam satu kumpulan seramai lebih kurang lima belas orang. Menaiki kereta dan van sendiri. Pastinya kehadiran kami lebih awal dari masa yang dijangka. Menjadi pegangan kami. ”Orang yang hebat sentiasa mendahului masa. Orang biasa hanya menepati masa. Manakala orang anu selalu melewati masa.”

Walau pun ketika tiba tiada siapa yang menunggu, kami tetap akur dengan janji. Misi kami adalah jelas. Kami dikehendaki membantu cawangan berkenaan yang akan membuat majlis penerangan bagi pengambilan ahli baru. Sudah menjadi lumrah ketika itu. Antara sesama cawangan perlu ada semangat dan sifat membantu.

Pertunjukan di Pulau Pinang itu membawa dua pengalaman pada kami dalam konteks sombong diri. Pihak penganjur yang datang lewat, semacam buat tak endah pada kami. Haram langsung mengeluarkan kata-kata selamat datang. Ketua penganjurnya bergelar ..man botak kerana berkepala botak.

Apabila ditanya bentuk pertunjukan, diarahkan pulak supaya kami memotong beberapa persembahan. Cara percakapan menunjukkan kesombongan. Hati saya menjadi panas. Tugas saya adalah sebagai pengurus kumpulan persembahan. Saya berhati-hati menunjukkan riaksi kerana Ustaz akan hadir sebentar lagi. Kalau diturutkan kata hati, akan saya kerah para ahli supaya balik saja.

Walau bagaimanapun, saya tetap berkeras tidak akan memotong mana-mana persembahan yang telah kami rancang. Cukup dengan apa yang telah ’dipotong.’ Saya ’paksa’ mereka menerima semua bentuk persembahan yang ada. Banyak masa yang telah kami korbankan, semata-mata membuat latihan persembahan.

Ketegasan saya menyebabkan mereka terpaksa terima segala bentuk persembahan kami yang ada. Sama ada mereka rela atau tak rela, saya tak peduli. Kami tidak menuntut bayaran. Duit minyakpun kami sendiri yang biayai. Layanan yang diberi mereka melambangkan kesombongan pada diri. Pandang rendah pada kebolehan kami. Kami bercakap sesama sendiri. Sudahlah tenaga kami dikehendaki, tapi cuba pulak mengawal persembahan kami. Kalau dikirakan, kami berasa kualiti silat kami adalah lebih baik dari mereka. Itulah cakap-cakap untuk memujuk hati kami sendiri. Hati yang sakit akibat layanan pihak yang memandang rendah pada diri kami.

Ketika Ustaz memberi perangan, persilat yang terlibat adalah dari cawangan tempatan. Kami tidak terlibat dalam majlis tersebut. Tugas kami adalah semata-mata membuat persembahan penuh setelah majlis penerangan selesai.

Ketika kami bersiap sedia di luar, terdapat satu pasangan yang dipelawa dari ibu pejabat Kuala Lumpur. Pasangan tersebut dikehendaki membuat pertunjukan parang lading. Sekarang, mereka adalah pemimpin utama Cekak Malaysia.

Kesombongan pasangan parang lading berkenaan bukan kepalang. Pada kami langsung tidak memberi salam. Asyik bercerita tentang kehebatan dan kehandalan mereka menggunakan parang lading. Lading yang diguna tidak berbalut. Walaupun dinasihat supaya membalut, banyak pulak songehnya. Itulah sifat sombong yang kami tafsirkan. ”Tak bahayakah menggunakan lading yang tajam tak berbalut itu.” Tanya rakan antara kalangan kami. Bukan main sombong jawapan mereka. Kami tidak diberi kepercayaan menunjukkan persembahan lading.

’Berbulu biji mata’ kami melihat akan gelagat mereka. Ketika itu ada bersama juga ahli jawatankuasa dari Bukit Mertajam. Ada cawangan di sana. Terdengar kata-kata mereka, ”Orang sombong dan bongkak, akhirnya akan menerima bala”. Kami yang mendengar kata-kata, hanya diam sahaja. Konsentrasi kami adalah pada persembahan yang ada. Lantaklah mereka.

Pasangan lading tersebut membuat dulu persembahan. Jarang sangat persembahan lading didahulukan dalam mana-mana pertunjukan. Malas nak komen. Semuanya sombong. Penganjur pun sombong. Dalam persembahan, mereka tersilap langkah. Terdengar suara riuh penonton. Tapi kami tak kisah. Memang hebat agaknya persembahan mereka.

Ketika mereka selesai membuat pertunjukan, kami lihat beberapa orang ahlii cawangan Pulau Pinang bergegas mendapatkan mereka. Rupa-rupanya perkara buruk yang terjadi. Banyak darah yang mengalir dari tangan mereka. Kami tak ambil pusing dan selamba saja. Tumpuan kami buat-buat tak tahu sahaja. Tidak pulak menghampiri mereka. Lebih-lebih lagi, persembahan kami akan bermula sebentar lagi.

Tiba masanya, kami pun membuat persembahan. Bukan mudah untuk membuat persembahan di atas pentas berkenaan. Banyak paku yang timbul atas papan lantai dewan. Keselamatan diri perlu dijaga. Akibatnya, gerak jatuh disesuaikan dengan kedudukan paku yang ada. Tak tahulah apa yang anak buah saya rasa. Saya tidak membuat pertunjukan. Tugas saya sebagai pengurus pasukan.

Pertunjukan kami dikatakan hebat. Tepukan penonton boleh dianggap salah satu kayu ukur melambangkan kehebatan. Semua persembahan yang sepatutnya, telah berjaya ditunjukkan. Hati saya berasa puas. Semua anggota kumpulan merasai bersama membuat pertunjukan. Kalau dipotong persembahan, tentu ada yang berasa kecewa kerana hilang persiapan diri membuat pertunjukan yang melibatkan beberapa hari latihan.

Selesai pertunjukan para penonton sibuk bertanyakan soalan pada Ustaz. Ketika itu juga ada majlis jamuan. Hati berasa sakit. Tak kempunan menjamah juadah dari penganjur yang sombong. Saya berada dalam keadaan serba salah. Nak ’belah’ terus atau berjumpa dan meminta izin Ustaz terlebih dahulu. Ketika Ustaz masih sibuk melayan peminat silat, saya tekad mengambil keputusan balik. Pihak penganjurpun kami tak jumpa. Risau juga. Takut-takut, Ustaz akan marah. Alhamdullillah. Beberapa hari berlalu, tidak ada kedengaran berita Ustaz marah kepada kami.

Dalam perjalanan balik itu, kami singgah makan di kedai makan di Parit Buntar. Perbincangan kami berkisar pada tajuk ’sombong’. Orang sombong selalu rugi. Ketika ini golongan sombong di cawangan berkenaan telah memilih kumpulan CM sebagai haluan. Eloklah mereka bersekali dengan pasangan parang lading itu. Berpihak pada kumpulan sombong dalam krisis pepecahan dalam gelombang pepecahan pertama.

Patutlah pada agakan kami. Roh Cekak tak masuk dalam hati. Namun begitu, pepecahan pada gelombang pertama telah membersihkan golongan sombong dalam masyarakat Cekak Hanafi. Tapi sementara sahaja. Masa berganti masa. Wujud kumpulan lain yang tak erti bahasa. Golongan ini ramai yang terkecewa. Menyesuaikan diri dengan kepemimpinan yang ada, tidak biasa. Memberontak tak tentu hala. Akhirnya berpecah lagi pada gelombang kedua. Biar mati silat, jangan mati persatuan. Berjuanglah mereka menegakkan persatuan walaupun dengan menutup kelas silat yang ada. Itulah haprak namanya. Termasuklah pengikut setia mereka.