Tuesday, September 28, 2010

Sambungan....BUAH POTONG

Dalam SC, kaedah adalah merupakan pelajaran utama. Buah-buah yang ada adalah sebagai ’alat’ untuk memahirkan kaedah yang empat itu. Penguasaan pada Kaedah SC akan membolehkan pesilat itu menghadapi pelbagai jenis tumbukan dari segenap penjuru. Jika Kaedah ’menjadi’ maka buah SC yang menyusul tidak mendatangkan bebanan bagi menguasainya. Misalnya, jika Kaedah A ’menjadi’ maka banyak buah yang boleh digunakan berdasarkan Kaedah tersebut. Sesuaikan dengan minat dan perwatakan diri pesilat itu sendiri.

Pelajaran potong ada prinsipnya. Pada tanggapan saya, prinsip potong dikaitkan dengan pelakuan ’memintas’. Kita akan memintas gerak pasangan dengan menggunakan prinsip-prinsip yang telah ditentukan. Prinsip-prinsip tersebut dapat kita bincangkan dalam penulisan seterusnya.

Prinsip utama ialah memintas Kaedah dalam proses pasangan kita membuat buah. Kehebatan SC adalah berkait erat dengan Kaedah. Dari Kaedah menjadi buah. Ramai juga dalam kalangan kita yang mengajar para penuntut supaya memotong buah. Penegasan itu juga tidak tepat dan mengelirukan penuntut. Bila pasangan berjaya buat buah maka barulah usaha memintas gerak dilakukan. Perbuatan tersebut adalah sangat lambat dan kurang menyakinkan keselamatan diri.

Dalam pelajaran potong, pesilat yang menumbuk tidak perlu mengetahui jenis buah yang akan dibuat oleh pasangannya. Tumpuan dan fokas kita ialah pada Kaedah yang akan digunakan oleh pasangan kita. Kaedah itu perlu ’dibunuh’ oleh pengamal SC. Tapi ingat. Proses memintas Kaedah itu adalah dalam proses pasangan kita membuat buah. Seperti yang saya tegaskan, Kaedah dan buah jatuh adalah umpama irama dan lagu. Tidak boleh dipisah-pisahkan. Setiap kaedah perlu diiringi dengan buah.

Pada pandangan saya, dalam aspek ini telah timbul beberapa kekeliruan. Penuntut disuruh memotong Kaedah tanpa perlu membuat buah. Maka terhentilah pergerakan penuntut di tahap Kaedah. Jurulatih mengarahkan potong Kaedah itu. Kalau pesilat yang loyar buruk, maka dia akan mengeraskan tangan ketika membuat Kaedah. Maka ’matilah’ pesilat yang menumbuk untuk membuat buah potong. Payahnya banyak. Akhirnya memungkinkan pesilat itu kehilangan keyakinan. Kalau kita hanya mementingkan potong pada Kaedah maka eloklah selepas habis pelajaran Kaedah, teruskan saja pelajaran potong. Tak payah ajar buah-buah jatuh. Selepas empat hari belajar Kaedah maka ijazahlah untuk mandi potong. Potong Kaedah.

Oleh itu, bagi mempelajari buah potong maka perbetulkan falsafah dan konsepnya. Potong Kaedah sahaja tidak tepat dan potong buah juga tidak tepat. Konsepnya ialah memotong Kaedah dalam proses pesilat membuat buah.

Prinsip kedua yang perlu ditekankan ialah betapa pesilat akan bertindak apabila tangan yang menghantar penumbuk telah disentuh di mana-mana bahagian. Tangan kita pantang disentuh ketika menyerang. Tentunya prinsip ini berbeza dengan perbuatan menyerang bila disentuh. Dalam konsep yang berlainan ini, anu yang main peranan. Sebaliknya dalam prinsip SC, ketika tangan kita disentuh, pesilat itu akan bertindak balas untuk membuat pintasan pada buah jatuhan yang bakal dibuat oleh pesilat berkenaan. Sentuh aje ’kena’. Aplikasikannya bersama isteri kita. Isteri sahaja.

Prinsip ketiga yang ditekankan ialah satu langkah maju ke depan. Langkahan tersebutlah telah digelar sebagai langkah spring. Gerak spring hanya dikaitkan dengan pelajaran potong. Langkah ini besar ertinya pada kita. Satu langkah ke hadapan membolehkan kita berada dalam situasi yang selamat.

Langkahan tersebut menjadikan pesilat berada di belakang pasangannya. Ketika itu pesilat dapat memerhatikan sepenuhnya pergerakan pasangan, berbanding dengan pasangannya yang tidak dapat melihat sesuatu yang berada di belakang. Sebabnya, mata pasangan berada di muka depan kepalanya. Tak ada mata di bahagian belakang.

Oleh itu prinsip belakang mengadap belakang bukanlah prinsip amalan kita. Hal yang demikian telah saya timbulkan ketika berbincang tentang Pasung Kemanga. Kalau pesilat membelakangkan pasangannya maka hilanglah pandangan mata kepalanya. Tapi nak buat macam mana. Ketika ini ramai Jurulatih yang memandang ikut mata hati. Hinggakan hadiahpun telah bergelar cenderahati. Segala-galanya menggunakan hati. Sama tarafnya dengan orang buta yang berpandukan hati.

Prinsip keempat ada kaitan dengan soal langkahan. Dalam hal-hal yang tertentu, terdapat kekecualian daripada langkah spring. Potong boleh dilakukan dalam keadaan tidak perlu melangkah. Kita bertindak berdasarkan sentuhan yang ada pada tangan kita. Buah-buah yang rapat dengan badan, perlu tindakan segera. Melangkah akan mencuri masa.

Walau bagaimanapun, semua buah SC boleh diaplikasikan dengan kedua-dua jenis kaedah potong tersebut, sama ada melangkah atau tidak melangkah. Hal yang demikian akan diterangkan semasa pelajaran kemahiran. Misalnya, buah Pertama. Untuk memotong, tanpa melangkah pun kita masih boleh membuat potong. Maknanya, bagi menentukan kesesuaian sama ada melangkah atau tidak melangkah, kita lebih berfokas pada kesesuaian buah tersebut pada situasi yang ada.

Prinsip kelima, dalam situasi boleh melakukan potong pada pelbagai tempat atau kaedah, kita akan memberi keutamaan pada gerak yang lebih membahayakan kita. Misalnya pada buah Kuntau Kiri. Antara sentuhan kaedah D dan sentuhan pada tangan, kita utamakan potong hujung tangan, menandakan bahayanya lebih, berbanding dengan sentuhan Kaedah D. Begitu juga dengan buah Gayung Petani. Antara sentuhan hujung tangan dengan sentuhan rasa Kaedah A, maka keutamaan kita ialah memotong sentuhan di hujung tangan yang lebih membahayakan diri kita.

Prinsip seterusnya, ketika pasangan membuat buah, apabila dipotong kaedahnya maka buah yang ingin dibuat akan ’terbatal’ dengan sendirinya. Kita tidak mempedulikan apa jenis buah yang ingin dibuatnya. Proses membuat buah pada pasangan tetap ada. Akan tetapi bagi kita, fokas yang diberi adalah pada Kaedah yang digunakan pasangan. Jika disentuh maka bertindaklah kita. Walau bagaimanapun buah-buah yang terbatal itu akan digunakan semula oleh pesilat untuk menyambung gerak pada pasangannya. Tindakan kita ialah meneruskan proses gerak kaedah potong yang dibuat. Buah jatuh digunakan semula.

Prinsip yang ketujuh adalah terletak pada pergerakan fizikal pesilat. Genggaman penumbuk mulai kuat. Secara langsung akan menjadikan tangan pesilat ada sikit keras. Tangan aje. Hal yang demikian tentunya tidak memudaratkan pasangan. Ketika itu pasangan silat itupun telah menguasai kaedah dengan lebih tepat, tangkas dan kemas. Oleh itu, mengeraskan penumbuk tidak mendatangkan masalah. Sikit-sikit penumbuk terlepas di dada, tidak menjadi masalah utama. Masih boleh tahan. Langkahan kaki perlu keseimbangan antara kaki kanan dan kaki kiri. Jangan diberatkan pada mana-mana kaki. Keseimbangan berat itu akan memudahkan pergerakan seterusnya.

Mempelajari pelajaran potong memerlukan kesungguhan seperti mana pelajaran buah jatuh. Jangan gopoh untuk menguasi buah-buah pelajaran. Fahami prinsip setiap buah yang diberi. Dapatkan dan fahamkan seni buah potong pada setiap buah terlebih dahulu sebelum berlatih secara ’kasar’ atau secara ’keras’. Pelajaran potong adalah penting kerana pelajaran itu menjadi asas yang mustahak bagi menghebatkan aspek serangan. Kalau pelajaran potong menjadi, maka besar gunanya apabila pesilat itu memasuki pelajaran seterusnya iaitu serangan yang satu.

Penuntut yang menguasai pelajaran jatuh dan potong maka secara langsung akan bermulalah penguasaan penuntut pada pelajaran pertahanan diri dan pelajaran menyerang. Maka lengkaplah keperluannya sebagai pesilat dalam SC.

Sekian dan terima kasih.