Wednesday, September 8, 2010

BUAH PARAS.

Ketika mendapat buah ini, didapati gerak asasnya begitu mudah dan ringkas. Pada pandangan saya, kalau gerak kaedah buah ini dibuat secara tepat, buah yang terhasil amat membahayakan pasangan. Konsep patah, pengsan atau mati terdapat dalam buah Paras. Namun begitu, semua kesan tersebut bergantung pada gerak pukulan yang kita lakukan, sama ada gerak tetakan atau tepukan. Pergerakan asasnya ada dua pecahan. Ketika jatuhan akan menjadi tiga buah. Buah ini mempunyai kuncian yang agak kompleks, berbanding dengan buah-buah yang lain . Masa yang lama akan diambil bagi memastikan pesilat berjaya membuat kuncian dengan kemas dan tepat.

Istilah ’paras’ juga merupakan istilah biasa. Tiada istimewa namanya dalam konteks nama-nama buah dalam persilatan Melayu. Paras boleh dikaitkan juga dengan istilah aras. Istilah-istilah itu dapat dikaitkan dengan had sesuatu yang tidak tinggi dan juga tidak rendah. Walau bagaimanapun, paras juga boleh dikaitkan dengan rupa. Saya berpendapat, buah-buah Paras juga dapat menggambarkan rupa atau lambang . Misalnya pada pecahan ketiga. Pecahan tersebut merupakan bentuk paras tulisan jawi ’Ahmad’. Mungkinkah itu suatu kebenarannya. Tak berani cakap.

Mengambil buah ini dengan menggunakan Kaedah A, menyerupai konsep Kaedah A dalam buah Pertama. Mungkin yang nampak bezanya ialah peranan tangan. Pada buah Pertama, tangan yang menepis dapat berperanan dengan sepenuhnya. Manakala pada buah Paras, genggaman tangan itu tidak akan sepenuhnya ketika tangan pasangan ditarik ke bawah. Jari tangan kita pula yang akan lebih berperanan.

Kita difahamkan bahawa gerak tangan kiri dengan kaki kanan atau kaki kiri perlu serentak. Sebagai Jurulatih, eloklah kita benar-benar menguasai kefahaman ’serentak’ tersebut. Seperti yang tegaskan terlebih dahulu, istilah serentak pasti merujuk pada dua atau lebih gerak yang dikira bersepadu. Kalau kita berpandu pada konsep SC, gerak tidak boleh berlaku sebanyak dua atau lebih dalam satu ketika. Istilah ketika perlu difahami dengan sepenuhnya. Perbuatan Kaedah A dan gerak kaki ada beza pada ketikanya. Walau bagaimanapun, berdasarkan mata kepala, perbezaan gerak tersebut tidak dapat dikesan. Tidak nampak langsung mana dulu dan mana kemudiannya.

Tangan yang ditepis perlu ditolak ke bawah dalam proses yang berterusan. Kaki kiri atau kaki kanan akan melangkah ke depan berdasarkan pecahan. Jauh atau dekat langkahan kaki pesilat itu, banyak bergantung pada tubuh badannya. Kita perlu akui betapa panjang badan dari pusat ke atas tidak mungkin sama dengan panjang badan dari pusat ke bawah. Terdapat pesilat yang pendek badan tapi kaki panjang. Begitu juga sebaliknya. Ada yang nampak tinggi tapi kakinya pendek sedikit berbanding dengan yang panjang. Kesemua bentuk itu pastinya banyak mempengaruhi gerak tangan dan gerak kaki.

Tangan kanan pesilat berperanan membuat pukulan. Tapi, cara pukulan juga telah menyebabkan perselisihan. Berselisih tentang bentuk pukulan sama ada tetakan atau gerak tepukan. Semuanya gara-gara kekurangan ilmu. Pada pandangan saya, persoalan tersebut tidak perlu menjadi isu utama. Pada buah Pertama, Ustaz pernah menggunakan pukulan dengan pelbagai cara. Sekurang-kurangnya pukulan secara genggaman penumbuk atau secara cucukan tangan. Namun begitu dalam kalangan Jurulatih, rata-rata menggunakan tangan yang genggam. Kaedah cucukan tangan pada ketiak pasangan adalah tidak popular.

Walau bagaimanapun, pada buah Paras, pukulan bahagian itu adalah merupakan bahagian yang terpenting. Sambungan gerak seterusnya tidaklah sepenting bahagian kaedah dan pukulan. Menetak atau menepuk membawa implikasi pada musuh dalam konteks pukulan yang mantap dan tepat. Dalam situasi sebenar, menetak perlu di tengkok. Tetakan di tengkok boleh membawa kematian. Sama kesan dengan pesalah yang dijatuhi hukuman gantung. Manakala perbuatan menepuk hendaklah di bahagian atas sikit daripada tengkok. Kena sasarannya maka musuh akan jatuh pengsan. Setakat itu konsep mati dan pengsan amat ketara pada buah Paras.

Pukulan jenis pertama iaitu secara tetakan, belum pernah saya lihat hasilnya. Tak berani pun nak lihat atau buktikan. Takut ke penjara. Manakala pukulan secara menepuk, pernah nampak hasil yang nyata. Ada pengalaman melihat pesilat yang jatuh tersungkur umpama babi hutan yang menyongdol ke depan. Kalau dilakukan pada pesilat, pasti pengsan.

Berdasarkan betapa bahayanya pukulan tersebut maka kerap kali saya lihat para Jurulatih menggalakkan pesilatnya tepuk atau tetak di bahagian belakang badan. Tepuk tetap tepuk. Cuma yang berbeza dengan buah Pertama, kerana takutkan kemudaratan maka pukulan diubah dari genggam kepada buka tangan. Manakala dengan buah Paras, gerak pukulannya tetap sama. Cuma kita alihkan tempat bagi memenuhi keperluan membuat pukulan. Saya sangat berharap, Jurulatih yang ada perlu faham akan arahan pukulan yang diberikan. Tahu akan sebab dan akibatnya.

Semasa menurunkan buah ini, istilah hentakan dan henyakan adalah istilah-istilah yang sentiasa bermain di bibir saya. Selepas pukulan pada setiap pecahan, siku kanan akan membuat hentakan bagi mengambil buah. Setiap buah itu dikejutkan dengan henyakan. Mungkin sukar difaham dalam ruangan ini tanpa ditunjuk gerak praktisnya.

Pada pecahan pertama, sebelum tangan kanan kita terlentang untuk mengambil tangan pasangan, peranan hentakan dan henyakan perlu ada. Kedua-dua gerak itu menghasilkan kejutan. Pastikan siku tangan kanan kita betul pada tempatnya. Memang sejengkal dari mata. Jika tidak betul kedudukan, ketika kita mengambil tangan kirinya dan membuat gerak seterusnya, badan pasangan mungkin berpusing dan hal yang demikian akan melonggarkan kuncian. Kuncian buah tersebut tidak menjadi. Sebagai Jurulatih, perbetulkan kuncian pasangan pesilat berkenaan tanpa perlu diarah menumbuk sekali lagi. Setelah sempurna kuncian maka eloklah pesilat menegakkan badan. Lagi nampak kekemasan kunciannya.

Untuk pecahan yang kedua, gerak kaki dan gerak tangan sentiasa dalam proses yang berterusan. Tangan dan lutut akan turun serentak. Keseluruhan badan pasangan kita akan turun setelah dikenakan pukulan, hentakan dan henyakan. Dengan mudah kita memasukkan tangan pasangan kita dari belakang. Kedudukan kaki kanan hendaklah tegak, manakala kaki kiri akan berdiri atas lututnya. Apabila tangan kiri kita masuk melalui celah leher pasangan maka biarlah tangan itu membuat capaian pada tangan kanan kita. Bahagian tangan yang dicari adalah berdasarkan kesesuaian dan gerak semula jadi. Ketika kita menegakkan badan pasti akan kedengaran raungan.

Pecahan tiga menampakkan perbezaan pada kaki pesilat. Setelah dikenakan pukulan, hentakan dan henyakan maka tangan kanan pasangan akan dihantar jauh ke dalam. Kedatangan tangan itu ’disambut’ oleh kaki kiri kita. Ketika itu kaki kiri kita akan tegak, manakala kaki kanan pula yang akan berdiri atas lutut. Setelah kemas kuncian awal maka tangan kanan kita akan berperanan mengemaskan kuncian sebelum kaki kiri kita pijak tangan kanan pasangan. Apabila kita berdiri kedua kaki kita berperanan mengawal gerak kuncian atas pasangan. Pasangan kita terkunci dan menampakkan paras keseluruhan kuncian perkataan ’Ahmad’. ”Patutlah digelar buah paras”, kata hati ketika melihat dan membuat buah pecahan ini. Jika lutut pasangan dipijak, tangannya yang terkunci pasti patah. Sempurnalah konsep mati, pengsan dan patah seperti yang dilaung-laungkan tentang kehebatan SC. Pada buah Paras ternampak akan keistimewaannya itu.

Semasa latihan, para Jurulatih perlu menegaskan betapa buah Paras amat berbahaya dan perlu dilatih tanpa cuba main-main. Jika hal yang demikian tidak diambil peduli, maka tinggikan suara. Tindakan kita itu adalah tersangat penting bagi menjamin keselamatan penuntut dan keselamatan kita juga daripada didakwa dakwi, terutamanya ketika mengajar murid-murid sekolah. Hal yang demikian kerana dalam buah Paras kesan-kesan yang serius iaitu patah, pengsan dan mati adalah terdapat dalamnya. Kita menyakini akan kesan-kesan yang bakal menimpa jika buah Paras digunakan dengan sempurna.

Sekian setakat ini. Selamat Hari Raya. Cuti lama.