Friday, September 3, 2010

BUAH ALI PATAH SUDAH.

Istilah ’sudah’ sangat menarik perhatian saya. Dari ”atas” maka pergi pulak ke ”sudah.” Apa yang sudahnya. Ketika belajar dulu, persoalan tersebut bermain-main di kepala. Tapi tidak sampai merungsingkan fikiran. Satu masa saya bertekad untuk bertanya. Tapi bila sampai masanya terasa macam tak nampak faedahnya untuk bertanya. Maka lebih baik saya tafsir sendiri tentang konsep ’sudah’ pada pengertian saya. Lagi pun yang pentingnya bukanlah istilah tetapi kebolehan kita menghasilkan gerak membuat buah.

Buah Ali Patah Sudah boleh memberi kesan jangka panjang. Kunciannya akan menyebabkan kita sukar menelan air liur. Terasa macam bengkak di halkom. Bila diraba tak terasa apa-apa. Itu sebabnya setelah mengajar buah ini, saya rajin bertanya pada penuntut yang mengambil buah daripada saya. ”Macam mana. Rasa apa.” Bila dijawab mereka betapa susahnya menelan air liur maka hati saya berasa puas. Puas di sini bukan kerana menyakitkan penuntut tetapi berasa puas kerana berjaya menyampaikan ilmu seperti mana yang saya terima daripada Ustaz.

Saya rasa buah ini ada kelainan sikit. Asas dan jatuhan sama sahaja. Saya kurang pasti bagaimana Jurulatih menyampaikan pelajaran buah ini untuk menunjukkan perbezaan antara pelajaran asas dan jatuhannya. Di kelas saya, perbezaannya adalah pada kuncian akhir. Pada pelajaran asas, kuncian lebih longgar berbanding ketika pelajaran jatuhan. Kesan tidak boleh menelan air liur adalah ekoran daripada perbuatan jatuhan buah Ali Patah Sudah. Buah ini mempunyai dua pecahan yang bersandarkan pada dua Kaedah yang berlainan iaitu Kaedah A dan Kaedah B. Walau bagaimanapun kedua-dua pecahan buah ini tetap ada pukulannya.

Prinsip melakukan gerak berdasarkan Kaedah A buah Ali Patah Sudah adalah sama dengan buah Ali patah Atas dan buah Kilas Belakang. Pergerakan kaedah adalah bersepadu dengan langkah kaki kanan dan serentak dengan pukulan di leher. Nampak serentak tanpa ketara ketikanya. Penuntut perlu menguasai pergerakan asas pada ketiga-tiga jenis buah tersebut. Tangan kiri yang menampar penumbuk tidak akan bermalam lama. Pergerakan susulan tangan kiri adalah berserta dengan kejutan bagi membolehkan tangan kanan bergerak mengawasi kepala pasangan kita. Gerak ini berlaku setelah tangan kanan membuat satu pukulan di leher. Hebat buah ini. Tak ada tipu-tipu gerak antara pelajaran jatuhan dan pelajaran potong. Gerak pukulannya adalah sama.

Pemerhatian saya, gerak buah ini nampak lucunya pada gerak mereka yang tak tentu hala. Ada yang memberi tabik hormat pada pasangannya. Ada yang berumpama sedang takbir dan pelbagai aksi lucu.
Ketika tangan kiri mencangkuk atau melilit leher, bahaya yang mungkin ada ialah tindak balas kepalanya. Walau bagaimanapun keadaan ini tidak mendatangkan masalah besar kerana tangan kanan kita telah bersedia pada kedudukannya. Tapi ada juga penuntut yang endah tak endah akan bahaya tersebut. Ketika kepala musuh boleh bertindak ganas, dia tetap memberi tabik hormat. Bekas askar agaknya.

Ketika PA menjadi guru kita, beliau pernah menyuarakan perasaan tak puas hati pada saya tentang tindak tanduk Guru Wawasan yang menyelaras gerak tabik pada Buah Ali Patah Sudah. Antara lain sepanjang ingatan saya, PA pernah terkeluar kata, ”Nanti satu masa saya nak suruh dia ambil buah tu. Biar saya hentak kepala. Baru dia tau.” Saya diam sahaja kerana tidak pernah menjadi ahli kumpulan belit itu.

Satu lagi penekanan yang saya beri ialah ketika membuat kuncian. Tangan yang mencangkuk atau melilit tengkok tidak perlu mencederakan halkomnya. Halkom pasangan kita perlu berada pada sendi tangan. Kalaulah pasangan kita terbatuk-batuk kerana tidak dapat bernafas apabila dibuat kuncian maka itulah tandanya kuncian kita tidak betul. Kuncian yang betul akan menyebabkan leher pasangan sahaja yang berasa sakit kerana perbuatan himpitan. Kesannya adalah pada masa jangka panjang. Keesokan harinya hilang kepuasan meneguk air.

Oleh itu jika kita faham dan yakin kesannya maka kuncian berikutnya dalam latihan tidak perlu dibuat dengan sepenuh hati. Hal yang demikian demi menjaga keselamatan penuntut. Mudarat untuk jangka masa panjang.

Mungkin ada dalam kalangan penuntut yang bertanya tentang kedudukan kedua tangan kita setelah dibuat kuncian. Ada Jurulatih yang memberi arahan supaya kedua-dua jari tangan kita genggam silang, atau memadai letakkan kedua tangan di tengkok sahaja. Dalam hal ini, tengoklah saiz badan pasangan kita. Jangan main arah-arah.

Buah Ali Patah Sudah juga dihasilkan melalui Kaedah B. Penggunaan Kaedah B dianggap oleh sesetengah penuntut lebih senang, berbanding dengan penggunaan Kaedah A. Hal yang demikian kerana Kaedah B mudah digunakan. Walau bagaimanapun, ketika penuntut menggunakan Kaedah B, bermula daripada buah Kuntau Jatuh lagi, beberapa pelakuan gerak yang menyimpang dari kekemasan kaedah ini perlu ditegur secara spontan.

Ketika mengambil kaedah ini genggaman tangan perlu ada. Setelah berjaya menepis penumbuk daripada kawasan dada maka barulah genggaman tersebut boleh dibuka. Dalam proses membuat buah, perhatikan gelagat tangan penuntut. Jangan benarkan tabiat pesilat memegang tangan pasangan yang menumbuk dalam proses membuat buah. Dalam proses itu, pegang-pegang tangan dilarang sama sekali. Walaupun nampak memudahkan pergerakan, tapi tidak sesuai pada pelajaran jatuhan. Ketika proses menepis Kaedah B, penumbuk pasangan yang menggenggam boleh dijadikan senjata. Buah Kuntau Jatuh menjelaskan prinsip berkenaan.

Namun begitu gerak Ali Patah Sudah lain situasinya. Genggaman tangan kanan yang menepis tidak perlu membuat apa-apa tindakan pukulan. Maka timbullah persoalan akan tempat pukulan seperti yang didakwa. Dalam soal pukulan ini, saya berpendapat gerak tangan kanan yang mencangkuk leher musuh boleh ditafsirkan sebagai pukulan. Pukulan itu terjadi dalam proses gerakan yang ’keras’ akibat cangkukan atau lilitan tangan pada leher atau tengkok pasangan kita. Kawasan tangan antara pergelangan hingga ke siku boleh dianggap senjata pukulan.

Apabila tengkok pasangan kita dapat dicangkuk, maka tangan kanan berperanan untuk berada di belakang kepala bagi maksud awasan. Dalam proses yang tetap berterusan, dalam kiraan saat dan ketika, tangan kanan yang telah bersedia perlu bawa tengkok rapat ke bahagian kanan badan pesilat. Dengan pantas tangan kiri pesilat bergerak dicelah tangan kiri pasangannya, bagi menyertai tangan kanan untuk membuat kuncian. Proses tersebut yang pantas adalah selaras dengan pergerakan kaki kiri pesilat.

Kalau berdasarkan dua kaedah tersebut, saya berpandangan, proses menghasilkan buah berdasarkan Kaedah B agak sukar dan berbahaya sedikit berbanding dengan Kaedah A. Hal ini demikian kerana penggunaan Kaedah A membolehkan pelakuan pukulan segera di leher sebelum tangan tangan berperanan membuat awasan. Berbeza dengan Kaedah B, pukulan yang berlaku agak lewat sedikit dan proses tangan kanan memberi pelindungan pada ’rajanya’ juga agak terkemudian.

Namun begitu, setelah buah Ali Patah Sudah terhasil melalui Kaedah A atau B, buatlah kejutan pada tengkok untuk kali pertama sahaja bagi memberi rasa kepada pasangan kita. Lihat saja kesannya. Tapi jangan diulang selalu kerana perbuatan tersebut akan memudaratkan mereka. Sekali lagi Jurulatih perlu berfikiran luas sebelum memberi arahan dan dalam proses menghebatkan penuntutnya. Tengok badan penuntutnya sama ada badannya tinggi atau rendah, kepalanya besar atau kecil, tangannya panjang atau pendek. Semuanya memberi kesan kemantapan buah Ali Patah Sudah. Sumber maklumat tersebut memberi makna kepada kita untuk membangunkan kehebatan penuntut kita. Buatlah sikit kajian sebelum mengeluarkan arahan yang sewenang-wenang.

Setelah mengetahui hasil pergerakan Ali Patah Sudah maka diri sendiri boleh membuat tafsiran akan makna sudah. Tafsirlah sendiri.