Monday, December 27, 2010

LATIHAN SERANG DAN BUAH UMUM

Dalam konteks kemahiran pergerakan kaki dan tangan, senarai buah-buah umum yang ada, pada pengalaman saya tidak semuanya sesuai untuk diguna pakai. Namun begitu, buah-buah yang disenaraikan boleh dijadikan panduan sahaja untuk maksud latihan. Ada kalangan buah-buah tersebut yang saya fikirkan tidak sesuai langsung dijadikan mata pelajaran. Tidak logik dalam konteks konsep dan prinsip SC dan suasana pada zaman sekarang.

Walau bagaimanapun dalam tulisan ini, saya akan membuat ulasan tentang buah-buah tersebut seperti mana yang pernah saya komen pada mereka yang pernah saya asuh. Saya selalu tegaskan kepada pesilat asuhan saya supaya jangan mementingkan kesempurnaan atau ketepatan membuat buah-buah umum yang bukan menjadi milik kita. Cukup setakat berpengetahuan tentang buah-buah umum tersebut supaya mudah dijadikan alat untuk melatih tumbuk serang kita.

Saya ingin menarik perhatian pesilat tentang satu daripada senarai buah yang ada iaitu buah Sendeng Tiga Alam. Buah ini amat sukar ’dipotong’ pada mereka yang tidak memahami konsep menyerang dan serangan pun ’tak menjadi’. Semasa membuat gerak potong, pesilat disaran supaya menggunakan kaki kiri untuk menyepak pelipat kaki kanan pasangan. Tapi sekarang ada saranan supaya dibuat gerak potong dengan kaedah A. Arahahnya memang mudah jika pesilat itu menghadapi serangan secara penumbuk biasa. Dulunya Ustaz pernah istilahkan penumbuk jenis itu sebagai ”penumbuk bodoh”.

Biasanya, sebelum dipotong buah berkenaan, pesilat diajar membuat buah Sendeng Tiga Alam tersebut dengan betul dan sempurna. Setelah pasangan menguasai cara-cara membuat buah berkenaan maka barulah pesilat membuat serangan bagi maksud gerak potong. Maka berlatihlah para pesilat dengan buah yang bukan menjadi hak milik persilatannya. Alangkah terseksanya diri mereka. Bukan senang nak berkuda-kuda terutamanya yang bertubuh semangat. Sekali buat buah maka sekali mereka mengeluh.

Namun begitu, pelajaran umum di tempat saya amat jarang mempelajari cara-cara membuat buah-buah silat lain tersebut dengan betul dan sempurna. Mempelajari buah-buah silat lain secara terperinci bagi maksud memotong, saya rasa buang masa dan sangat merugikan. Caranya amat berbeza dengan kelaziman buah-buah silat kita.

Saya berpendapat bahawa mempelajari buah-buah umum yang ada adalah hanya setakat pengetahuan bagi memudahkan pesilat membuat gerak potong. Itupun kalau boleh buat, buat. Kalau gagal membuat buah dengan cantik, jangan risau. Asalkan gerak mulanya nampak bayang-bayang buah, maka cukuplah setakat itu sahaja.

Berbalik pada buah Sendeng Tiga Alam, buah itu telah terkeluar daripada senarai latihan di tempat saya. Keadaan itu adalah disebabkan tidak ada sesiapa pun yang berani membuat buah berkenaan. Penumbuk pasti akan menuju ke muka. Tak sempat membuat buah. Berdasarkan tumbuk serang pada buah tersebut, soal memukul pelipat adalah tidak timbul. Buah umum yang sedap namanya itu akan mudah diketepikan dengan satu serangan.

Apabila pasangan ’turun’ ke bawah maka muka pasangan tersebut akan menjadi sasaran. Oleh itu, usaha membuat buah berkenaan tidak berupaya dilakukan pasangan. Kecualilah jika penumbuk yang dihantar tidak berkonsepkan tumbuk serang. Maka mudahlah pasangan membuat buah, manakala pesilat akan berhempas pulas memotong gerak silat lain itu yang pesilat itu sendiri membenarkan pasangannya membuat buah.

Pengajaran buah Terjun Ke Bawah dan buah Kusyen perlu diubah suai dan logikkan pergerakannya. Buah-buah tersebut erat kaitan dengan dunia harapan dan khayalan pada mereka yang belum menguasainya. Bukan mudah melakonkan buah tersebut pada mereka yang bukan bidangnya. Lebih-lebih lagi ketika kita bayangkan pesilat yang bertubuh besar. Jatuhnya adalah jatuh sudah. Umpama jatuhan nangka atau cempedak. Tak tertahan tangan menampung berat badan yang hebat mengembang. Itu sebabnya jika setakat perlu dinyatakan dan dijar juga buah berkenaan maka bentuk latihan akan melahirkan suasana lucu dan melucukan.

Saya tetap berfaham bahawa buah-buah umum sama ada yang tersenarai atau tidak tersenarai adalah merupakan alat untuk memantapkan tumbuk serang kita. Hal yang demikian adalah kerana buah-buah umum tersebut mempunyai elakan atau tepisan beserta elakan. Tentunya gerak yang demikian berbeza dengan gerak SC yang tidak ada langsung elakan. Untuk melatih tumbuk serang secara pasangan membuat buah-buah SC, tentulah meyulitkan.

Seperti yang dinyatakan, pada kebiasaannya penumbuk serang yang dilepaskan akan hinggap ke mana-mana bahagian yang terbuka ruang, khasnya di bahagian muka. Hal yang demikian berlaku adalah kerana pesilat sentiasa menggunakan tumbuk serang. Kecualilah kelas-kelas yang tidak tetap pendirian. Kelas-kelas tersebut hanya menggunakan tumbuk serang ketika pelajaran serang sahaja. Semasa pelajaran umum, tumbuk serang mereka hilang begitu sahaja. Mereka menggunakan tumbuk biasa. Oleh itu buah-buah apapun sangat sesuai digunakan. Maka kelam kabut pesilat mematikan gerak pasangan. Bekerja keraslah mereka, tapi bukan sesuai pada pandangan saya.

Begitu juga dengan buah Tomoi Paut pecahan satu dan dua. Biasanya pesilat disaran menggunakan kaedah A atau D untuk memotong buah yang dilakukan pasangan tersebut. Kalau penumbuk yang dihantar merupakan penumbuk biasa, kemenjadian buah adalah sempurna. Pasangan yang menunggu akan mudah membuat buah, manakala pesilat yang menyerang kena bermalam melihat pasangannya membuat buah sebelum membuat gerak potong. Cantik sekali kemenjadian membuat buah dan kemenjadian membuat gerak potong.

Di kelas saya, buah tersebut amat jarang dapat dilakukan. Saya selalu tegaskan berkali-kali kepada penuntut saya. Senarai umum buah jatuhan adalah merupakan alat untuk melatih pesilat membuat serangan berdasarkan tumbuk serang yang dikatakan satu peratus itu. Dengan satu serangan, sepatutnya pasangan akan kelam kabut dan gagal membuat sebarang buah yang bukannya buah SC. Selepas terkena serangan maka pasangannya tidak langsung berani membuat buah-buah berkenaan dengan sewenang-wenangnya. Pobia terkena dengan penumbuk serang.

Buah Teo Kwan Do (Rentap) nampak cantik tapi tidak pernah dijadikan latihan buah umum untuk serangan tangan. Rentap-merentap tak pernah dan tak akan menjadi dengan satu serangan. Cubaan pasangan merentap tangan terlebih dahulu sebelum membuat tendangan sering menemui kegagalan. Tak pernah pasangan merasa untuk membuat tepisan, apatah lagi membuat tangkapan. Walau bagaimanapun, buah ini saya ubah suai dan dikelompokkan dalam pelajaran kaki.

Selalu tegaskan pada para pesilat. Jika melancarkan tumbuk serang dan tumbukan itu boleh dielak atau ditangkap maka bukanlah tumbuk serang namanya. Sebaliknya sesuai dengan nama penumbuk ’anu’ dalam konteks serangan. Sepatutnya, penumbuk yang datang adalah sukar untuk dibuat ramalan pada arahnya. Pasangan hanya berani membuat tendangan tanpa tangkapan atau tepisan. Oleh itu dengan satu serangan, sepatutnya prinsip rentap tidak akan menjadi langsung.

Buah-buah Siku Balik, Buah Sendeng Pertama, Sendeng Makan Dalam dan Judo Banting dapat dikelompokkan dalam satu kumpulan latihan. Buah-buah tersebut dapat dijadikan alat untuk menguji keberkesanan gerak tumbuk serang pesilat. Buah-buah tersebut perlu dilatih secara bersepadu. Jangan diasing-asingkan. Secara langsung, pesilat boleh mengukur dan menguji keberkesanan arah tumbukan seperti yang sepatutnya. Walau bagaimanapun, gerak buah-buah tersebut perlu dibuat penyesuaian untuk kemenjadian buah ketika pesilat menyerang.

Prinsip mencuri langkah ke belakang sebelum membuat buah, telah saya wujudkan. Kalau kaki tidak mencuri langkah mengundur ke belakang, tidak ada pesilatpun yang berani membuat buah-buah berkenaan ketika pasangannya membuat serangan. Pasti penumbuk pesilat akan hinggap ke bahagian-bahagian badan. Saya tegaskan sekali lagi. Soal cantik membuat buah umum adalah tidak timbul langsung dalam proses aplikasi serangan.

Cuma, dalam kelompok buah-buah berkenaan, buah Judo Banting perlu disesuaikan gerak potong. Jika tangan tertangkap maka dengan segera tangan pasangan yang membuat tangkapan, dipotong dengan kaedah yang tertentu. Jika terlepas, tidak perlu tekan pelipat. Kemahiran Jab boleh digunakan. Maka gunakan kemahiran tersebut.

Buah Siku Potong saya anggap buah yang sangat istimewa. Kegunaan buah ini adalah lebih banyak untuk latihan menunggu serangan. Hal yang demikian disebabkan pesilat yang menunggu serangan pasangannya secara tumbuk serang boleh berlatih mengambil buah dengan tepat dan kemas dalam keadaan diserang dengan penumbuk serang. Buah tersebut adalah merupakan buah SC. Walaupun akhirnya buah ini boleh dipotong, akan tetapi saya sentiasa menegaskan kepada pasangan yang mengambil buah ini supaya membuat buah dengan kemas. Manakala pesilat yang menyerang perlu membuat serangan tanpa membrek tumbukan.

Ada dua manfaat yang boleh diperoleh pasangan hasil gerakan siku potong. Pertamanya, buah ini memerlukan kejutan ketika menepis dengan kaedah. Tepisan ini bersepadu dengan pukulan secara menyiku. Kejutan akan menyebabkan tepisan A lebih cepat dan menjadi kemas. Bukan mudah menepis penumbuk serang. Secara langsung akan memantapkan gerak pada kedua-dua pesilat yang berpasang itu.

Keduanya, pasangan perlu meneliti serangan tumbuk yang dilakukan pesilat. Jika tercepat atau terlambat membuah buah, pasti penumbuk pesilat akan hinggap di dada. Maka secara langsung pasangan dilatih supaya memerhati penumbuk yang tiba dan jangan gopoh. Kebolehannya membuat buah akan memupuk sifat ketelitian dan ketenangan. Kedua-dua sifat itu akan terhasil melalui buah Siku Potong.

Jangan lupa bahawa pasangan itu juga merupakan ahli SC. Hal yang demikian membawa makna, buah Siku Potong akan melatih pasangan silat SC menunggu serangan dan membuat serangan menggunakan tumbuk serang. Kedua-dua ahli yang berpasang tersebut akan memperoleh faedah ketika berlatih buah itu. Pesilat yang menunggu akan meneliti manakala pesilat yang menyerang akan bersungguh hati. Kita sambung pada satu siri tulisan lagi.