Wednesday, December 1, 2010

MENYERANG

Tidak banyak perkara yang perlu saya bincangkan dalam tajuk ’Menyerang’. Pelajarannya merupakan rahsia besar dalam SC. Menerang tentu tak sama dengan mempraktikkannya. Walau bagaimanapun, dalam tulisan-tulisan lalu, konsep menyerang pernah juga saya sentuh. Bolehlah dibuat rujukan untuk lebih faham. Dalam tulisan ini saya hadkan perbincangan pada proses penyampaian sahaja. Bukannya teknik atau taktik tumbuk serang.

Konsep menyerang erat kaitan dengan prinsip kita melepaskan tumbukan. Kita perlu mempunyai tanggapan yang betul tentang tumbuk serang. ’Jangan kira nak kena sahaja’. Biasanya memperkenalkan pelajaran menyerang memerlukan kita membuat pembuktian. Hal yang demikian menuntut kita membuat penyampaian yang jelas, tepat dan menyakinkan para penuntut.

Saya bahagikan proses penyampaian kepada tiga peringkat. Pertamanya, peringkat penuntut merasai dan menjiwai erti pelajaran. Keduanya cara-cara untuk mendapatkan pelajaran dan peringkat ketiga ialah aplikasikan pelajaran dalam tumbukan. Ketiga-ketiga peringkat tersebut adalah bersepadu dan berterusan.

Untuk menyampaikan pelajaran kepada penuntut bagi membolehkan mereka menjiwai dan memahami tentang makna serangan SC, terdapat pelbagai cara. Berdasarkan lumrah proses penyampaian yang sedia ada, Jurulatih digalakkan membuat garisan. Penuntut disarankan supaya mengelak ke kiri atau ke kanan sahaja. Jurulatih akan menyerang. Oleh sebab para penuntut dikehendaki mengelak ketika penumbuk hampir tiba maka telah membantu Jurulatih mengenakan tumbukan dalam proses menyerang. Saya difahamkan bahawa tumbukan Jurulatih tersebut dibuat berkali-kali sebagai ujian sebelum tumbukan sebenar dilepaskan.

Setelah semua penuntut ’dikenakan’ tumbukan maka Jurulatih disarankan supaya membenarkan penuntut berehat seketika. Setelah berehat, Jurulatih akan membuat penerangan tentang tujuan tumbuk serang. Penerangan Jurulatih adalah berdasarkan kewibawaan, pengetahuan dan pengalaman yang sedia ada pada mereka. Jika pandai bercakap maka tumpuan dan pendengaran pesilat akan tertumpu pada kata-kata mereka. Jika sebaliknya, penerimaan pelajaran serang kurang ’meriah’ dan berkemungkinan menyebabkan pelajaran serang tersebut akan dianggap biasa sahaja.

Banyaklah istilah dan ayat-ayat baru yang terkeluar daripada mulut mereka. Banyak yang asing pada saya. Tak dapat saya tulis dalam ruangan ini kerana sukar diingat kata-kata mereka tersebut. Walau bagaimanapun mereka tidak menggalakkan penuntut mencuba Jurulatih dengan gerak silat yang ada.

Setelah itu barulah Jurulatih mengajar para penuntut tentang penumbuk serang. Ramai yang ’sayang’ akan penuntut mereka. Tumbukan mereka biasa saja. Maka pada saya, sukarlah para penuntut memahami erti tumbuk serang dalam SC. Apatah lagi untuk menjiwai pelajaran serang yang ada. Walau bagaimanapun, selepas acara tumbuk serang, para Jurulatih disaran supaya menerangkan falsafah dan kaedah membuat tumbuk serang dengan jelas supaya para penuntut dapat memahaminya. Saya berpendapat, ketika penerangan itu diberi, para Jurulatih perlu benar-benar memahami konsep dan prinsip tumbuk serang. Janganlah tersalah memberi penerangan. Kesannya berterusan pada para penuntut.

Ketika saya belajar dulu, sistem penyampaian tumbuk serang bermula dengan arahan pesilat membuat tumbukan kepada Jurulatih terlebih dahulu. Para Jurulatih berasa yakin tanpa timbul was-was untuk menerima tumbukan. Pastinya tumbukan tersebut tidak mengena. Ketika itu, kerahsiaan tumbuk serang benar-benar terpelihara dan dijaga.

Setelah selesai kesemua pesilat menumbuk, kami disuruh berhenti rehat. Ketika itu Ustaz dengan tegas dan yakin mengatakan bahawa tumbukan yang kami lakukan sebentar tadi adalah sia-sia. Terkeluar cakap ’tumbuk bodoh’. Kami dijelaskan, ”Bukan orangnya yang bodoh.”
Tumbuk bodoh membawa maksud tumbukan kosong yang tidak dirancang atau tidak terarah dan sia-sia. Kami tercengang-bangang menantikan jawapan dan penjelasan selanjutnya.

Setelah itu tiba giliran kami menerima tumbukan daripada Jurulatih. Dengan tegas dinyatakan arahan supaya kami hanya mengelak ke kiri atau ke kanan sahaja. Jangan undur ke belakang, gerak ke dalam atau ke bawah dan jangan sesekali mengelak sambil menepis.

Seperti biasa, saya adalah penuntut pertama yang dipanggil untuk menerima tumbukan. Ustaz sendiri yang menumbuk. Saya telah ceritakan betapa gambaran suasana ketika itu penuh dengan suasana hairan, tercengang, risau dan pelbagai perasaan yang mencorakkan suasana senyap dan tekun. Tergambar di muka pesilat perasaan ingin tahu. Sekali sekala suasana tenang dipecah dengan suara raung. Biasanya laungan dan jeritan ’mak’ yang kedengaran. Sakitnya bukan kepalang.

Puas di hati para penuntut. Cara tumbukan yang dilakukan oleh Ustaz dan diikuti oleh Jurulatih yang lain, benar-benar menyentap perasaan para pesilat. Nampak kehebatan yang ada dalam SC. Semua tumbukan mengena sasaran. Bentuknya padu dan kesemua pesilat terkaku ingin lebih tahu. Tidak sia-sia menimba pelajaran sekian masa. Apa yang dicakap, telah terkota. Itu sebab agaknya, pelajaran tersebut kami pelajari dan pusakai dengan sepenuh hati. Kami cuba menjiwai makna tumbuk serang dari dulu hingga sekarang. Saya yakin punca perasaan tersebut timbul adalah kerana pengalaman terkena tumbuk serang yang tidak mudah untuk dilupakan dalam konteks persilatan SC. Maka itulah sebabnya saya berpegang pada pendapat betapa penuntut-penuntut baru yang tamat SC, patut juga diberi pengalaman yang sama. Hal yang demikian akan membolehkan mereka mengetahui dan menjiwai betapa hebatnya tumbuk serang dalam pelajaran SC.

Dewasa ini, SC terus berkembang pesat dari masa ke masa. Penerimaan penuntut semakin meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat. Perkembangan kelas-kelas latihan di pusat-pusat pengajian tinggi tersangat hebat. Ramai siswazah telah melibatkan diri dalam persilatan SC.

Saya dapat rasakan betapa mereka telah mula membawa idea yang pelbagai dalam bidang pengurusan persatuan dan persilatan. Pengaruh mereka umpama gelombang yang tidak boleh disekat. Kita tidak perlu membicarakan kebaikan dan keburukannya. Terimalah kenyataan yang ada. Hakikatnya, SC telah berkembang semakin luas dengan tenaga dan kepakaran yang bertambah hasil perkembangan SC terutamanya di pusat-pusat pengajian tinggi tersebut.

Saya berpendapat, seiring dengan perkembangan SC yang semakin meluas dari masa ke masa, maka teknik penyampaian SC secara umum, juga perlu sentiasa diperbaiki untuk disesuaikan dengan tuntutan penuntut yang pelbagai lapisan dan pelbagai tahap pendidikan. Kita perlu akui betapa mereka yang berminat dengan SC secara rasional semakin ramai. Penerangan, kenyataan dan pembuktian yang kita berikan tidak mudah diterima dengan begitu sahaja. Ada saja persoalan yang dikemukakan bagi membolehkan mereka menerima sebarang kenyataan dari Jurulatih. Persoalan-persoalan yang selama ini tidak terfikir oleh kita, mulai timbul kerana tuntutan rasional tersebut.

Oleh sebab SC menerima keahlian daripada pelbagai lapisan masyarakat, saya berpendapat, cara penyampaian pelajaran serang pun perlu diperbaiki dari masa ke masa. Cara penyampaian di zaman dulu mungkin tidak relevan untuk dikekalkan pada zaman sekarang.

Cuma pada saya, kita jangan terperangkap antara cara penyampaian pelajaran dengan isi pelajaran yang ada. Cara penyampaian boleh diubah-ubah tetapi isi pelajaran jangan sesekali diubah. Pelarasan yang dibuat dari masa ke masa, sepatutnya hanya menekankan aspek penyampaian kepada para penuntut. Janganlah diubah isi pelajaran.

Sambung lagi.