Friday, December 10, 2010

Sambungan.. KEMAHIRAN BUAH JATUH

Dalam tulisan ini saya tidak berminat untuk meneliti satu-satu buah secara terperinci dalam setiap kemahiran. Saya sentuh sahaja buah-buah yang terlibat dengan kemahiran tersebut bagi mengingatkan mereka yang pernah menuntut dengan saya tentang pelajaran yang pernah diajar. Pada para pembaca ahli SC yang lain, jika berfikiran terbuka, hubungilah mereka yang pernah bersama saya. Tentu akan peroleh maknanya. Maka berfikiran terbukalah bagi menambahkan pengetahuan yang ada.

Dalam kelas tersebut, semua buah yang dilatih adalah berdasarkan sekurang-kurangnya pada lima kemahiran yang ingin dipupuk. Banyak kemahiran lain yang bersepadu dengan kemahiran asas yang saya maksudkan. Berkemungkinan juga pada setiap buah itu, boleh diperoleh beberapa kemahiran. Hal yang demikian menyebabkan berkemungkinan satu-satu buah itu diulang-ulang penggunaannya dalam beberapa kemahiran yang ingin dipupuk.

Ketika berlatih buah-buah kemahiran itu, peranan Jurulatih adalah penting untuk menerangkan tentang kemahiran-kemahiran tertentu yang dikehendakinya. Sudah semestinya Jurulatih kanan yang membantu mengendalikan kelas, terlebih dahulu telah menguasai kemahiran-kemahiran tersebut. Perbincangan secara lisan perlu dilakukan dengan mereka dari masa ke masa. Hal yang demikian bagi membolehkan mereka memperoleh dan menguasai panduan yang lengkap dan mantap tentang SC. Penguasaan panduan yang mantap ini akan membolehkan mereka memandu para pesilat lain yang berada di bawah pengawasan dan pengawalan Jurulatih tersebut.

Aspek-aspek kemahiran yang saya bincangkan berikut hanya akan menyentuh beberapa jenis buah jatuh sebagai contoh dalam konteks kemahiran yang dikehendaki. Kemahiran yang dibincang adalah merupakan kemahiran utama yang perlu diberi perhatian. Ada kamahiran-kemahiran lain yang bersepadu semasa menerangkan kemahiran berikut.

i. Kemahiran membuat kepelbagaian buah SC berdasarkan pada situasi.

Dalam kemahiran ini, para pesilat digalakkan membuat buah berdasarkan kata hati. Geraknya adalah secara spontan atau semula jadi, tanpa direka-reka. Misalnya, ketika membuat buah Sendeng Atas. Gerak jatuh adalah menekan pelipat. Walau bagaimanapun, oleh sebab pesilat berkenaan telah belajar cara mengambil tongkat yang memukul kaki pada Sensdeng Atas maka gerak yang demikian mungkin terbawa-bawa ketika melakukan gerak buah jatuh Sendeng Atas. Maka dalam soal ini Jurulatih membenarkan perbuatan tersebut.

Hal yang demikian menjadikan gerak pesilat tidak kaku dan sentiasa kreatif. Tugas Jurulatih adalah mempastikan gerak yang berubah tersebut masih lagi dalam prinsip gerak SC. Jangan biarkan mereka mereka-reka gerak berdasarkan logik atau rasional yang tidak berasas.

ii Kemahiran Menukar Buah.

Kemahiran ini sangat lumrah. Terdapat keadaan, buah yang kita buat tidak ’menjadi’ seperti mana yang kita harapkan untuk masud jatuhan. Hasrat kita pada kemenjadian buah berkenaan terbantut akibat beberapa halangan dan pelbagai keadaan.

Dua punca besar yang saya dapat kesan. Sebab pertama ialah tindak balas dari pasangan itu sendiri yang tidak membenarkan kita membuat jatuhan. Oleh itu, tindak balas kita berikutnya adalah melihat pada tindak balas pasangan kita ketika mengambil buah. Jika pasangan enggan jatuh pelipat maka secepat kilat kita tukarkan bentuk jatuhan yang lain. Gerak kita perlu hidup dan tidak boleh berhenti. Hal yang demikian membawa makna bahawa kemahiran membuat gerak secara berterusan sangat ditekankan dalam kalangan pesilat. Kemahiran membuat gerak tanpa bermalam adalah satu kemahiran yang bersepadu dengan kemahiran-kemahiran lain yang ingin kita pupuk.

Satu lagi sebab ialah keadaan pasangan yang tidak memungkinkan mereka jatuh seperti yang kita harapkan. Faktor-faktor badan pasangan gemuk atau kurus, tinggi atau rendah, kaki pendek atau kaki panjang dan pelbagai bentuk fizikal yang lain akan mempengaruhi hajat jatuhan yang kita ingin lakukan. Sebagai pesilat kita tidak boleh membiarkan keadaan berkenaan membantut gerak yang kita ingin lakukan. Tindakan segera perlu dilakukan.

Misalnya, kalau pasangan kita sukar dijatuhkan maka perlu gerak spontan bagi mengatasinya. Tak boleh tunggu lama-lama. Prinsip jatuhan adalah merupakan kesinambungan pada kaedah dan pukulan yang mengiringinya. Jangan teragak-agak dan bermalam pada proses gerak jatuhan yang kita lakukan.

Contohnya ialah buah Pertama. Setelah dikenakan pukulan pada rusuk, pesilat perlu menjatuhkannya. Jika pelipat sukar ditekan maka sepintas kilat pesilat itu akan menukar gerak seperti buah Paras dan sebagainya. Begitu juga dengan buah-buah yang lain. Jika Hempuk sukar dilakukan maka gerak jatuh Kuntau Kiri boleh dijadikan pilihan.

Contoh lain yang selalu digunakan ketika saya belajar dulu ialah buah Kilas Belakang dan Kilas Depan. Kedua-dua buah tersebut boleh bertukar mengikut keadaan dan situasi. Misalnya, jika pesilat mengambil Kilas belakang, pasangannya sukar dilenturkan ke belakang. Maka dengan secepat kilat pesilat akan menukarkan bentuk jatuhan kepada Kilas Depan. Cuma dalam proses penukaran tersebut, teknik yang betul sangat perlu digunakan. Para Jurulatih perlu mengawasi keadaan itu.

Selalu ingat dan ambil berat. Nilai yang perlu ada dalam kalangan pesilat ialah tidak bermalam atau terhenti di mana-mana gerak. Kalau asyik menjatuhkan buah yang sukar dijatuh, maka pesilat itu akan terasuh memiliki gerak yang bermalam atau terhenti. Hal yang demikian akan menjadikan gerak pesilat lembab dan kaku. Tentunya gerak yang sedemikian sangat merugikan pesilat itu sendiri.

Oleh itu, kemahiran menukar gerak secara sepontan sangat saya tekankan dalam kalangan pesilat dalam kelas kemahiran. Semua buah jatuh boleh dilibatkan dalam kemahiran ini. Tapi jangan terperangkap dengan prinsip berpakat. Kalau berpakat gerak maka kurang maknanya. Dalam konsep berpakat, kalau pesilat gagal membuat sesuatu buah yang dihajatinya, maka pasangannya pula yang akan memberi laluan pada gerak yang lain. Sudah pastilah gerak yang berkenaan akan merugikan kedua-kedua pesilat tersebut.

iii Kemahiran Membuat Pukulan.

Kemahiran ketiga yang saya titik beratkan adalah berkaitan dengan aspek pukulan dalam buah-buah jatuhan. Dalam senarai buah jatuh terdapat buah-buah yang tidak mempunyai pukulan. ”SC mementingkan pukulan”. Oleh itu, mana-mana buah jatuhan yang tidak ada pukulan maka perlu diiringkan dengan pukulan. Pukulan tersebut bukannya secara mengacah. Pukul, tetap pukul. Cuma bentuk pukulan adalah berdasarkan keperluan buah berkenaan. Kekuatan pukulan juga adalah berdasarkan kepada brek yang boleh dilakukan oleh pesilat berkenaan.

Buah-buah jatuhan seperti buah Gayung petani, Kuntau Kiri, Hempuk dan Gari boleh dijadikan panduan. Buah-buah ini tidak ada pukulan khusus semasa asas lagi. Prinsip pukulan yang dimahirkan masih tidak lari daripada prinsip SC. Begitu juga dengan buah-buah jatuh yang lain. Pastikan para pesilat benar-benar ambil berat tentang aspek pukulan tersebut. Jangan mengacah-acah sebarang bentuk pukulan.

iv Kemahiran Menghiris Pelipat.

Kemahiran memukul sambil menghiris kaki lawan adalah kemahiran seterusnya yang patut diberi perhatian. Kedua-dua kemahiran iaitu memukul dan menghiris kaki perlu bersepadu dan dilakukan dengan penuh yakin dan tepat. Kesepaduan itulah yang ditekankan dalam kelas kemahiran. Ramai penuntut yang gagal menggabungkan kedua-dua gerak berkenaan dalam satu ketika. Akibatnya, pukulan yang berlaku lebih berbentuk sepak bola. Buah-buah Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung sering digunakan sebagai usaha untuk mencapai tahap kemahiran tersebut.

Semasa pelajaran jatuh, kita tidak membenarkan para pesilat membuat pukulan pada pelipat. Tuntutan gerak yang dikehendaki pada buah-buah tersebut adalah secara hirisan. Kita tidak mahu mencapuradukkan pukulan dan hirisan. Biarlah kemahiran tersebut dibuat satu persatu. Semasa pembelajaran buah jatuh, tekankan kemahiran hirisan kerana itulah sukatan pelajarannya. Saya berpendapat, mudah bagi kita menguasai kemahiran hirisan berbanding dengan kemahiran pukulan.

v. Kemahiran Gerak Kejutan

Saya selalu tegaskan betapa setiap buah jatuhan memerlukan kejutan. Kejutan boleh juga dilakukan ketika pesilat membuat kaedah dalam proses jatuhan. Cakap-cakap umum tersebut mungkin kurang menarik perhatian para pesilat akan pemberatannya. Oleh itu, kemahiran membuat kejutan perlu diberi penekanan khusus. Perhatian mereka perlu ’ditarik’ tentang pentingnya kemahiran tersebut.

Hal yang demikian boleh difokaskan pada dua buah jatuh yang khusus iaitu buah Gayung Petani dan buah Siku Potong. Namun begitu, pastikan juga buah-buah lain terus menerus mengamalkan prinsip kejutan. Berdasarkan pengalaman, melalui dua buah tersebut, Jurulatih akan dapat menarik perhatian para pesilat tentang pentingnya kejutan. Adatnya kemahiran kejutan tersebut akan diteruskan pada buah-buah jatuhan yang lain.

Ketika kelas kemahiranlah buah-buah Luncur dan buah Rasa mula diajar pada penuntut silat dalam konteks memahami gerak pasangan. Pasangan akan bertindak balas seperti mana pada gerak Gayung Patani. Oleh itu pengajaran buah Luncur dan Rasa adalah secara aplikasi dan tidak kaku. Saya rasa keadaan itu tentunya tidak sama dengan cara memperkenalkan buah-buah tersebut dalam sukatan pada kelas-kelas yang rela mengamalnya.

Melalui kelas kemahiran, saya yakin fikiran pesilat akan terbuka luas. Hal yang demikian kerana semua aspek penerimaan setiap pelajaran adalah secara rasional dan keadaan ini sangat dititikberatkan. Secara langsung, para pesilat digalakkan berfikir. Pemikiran yang dipupuk akan menjadikan para pesilat berasa puas untuk memiliki pelajaran SC yang diajar kepada mereka tanpa membuta tuli.

Sekian dan terima kasih.