Friday, April 1, 2011

KENANGAN 36.

PERJUANGAN PADA SAYA.

Dalam tulisan yang lalu, saya telah bincangkan pelbagai suasana perjuangan yang ada pada Jurulatih. Perjuangan itu akan menjadi pegangan mereka ketika berada dalam SC. Saya perhatikan, pegangan yang dimiliki oleh para Jurulatih amat sukar diubah walaupun kenyataan sebenarnya telah terbukti. Hal yang demikian boleh dibuat satu kajian oleh generasi silat seterusnya. Rata-rata mereka akan menilai perjuangan Jurulatih yang lain, berdasarkan fahamannya yang ada.

Itu sebabnya apabila golongan Jurulatih ini bertanyakan kita tentang penglibatan seseorang ketika ini, riaksi mereka akan bergantung pada jawapan yang kita beri. Jika jawapan tersebut bertentangan dengan pegangannya, maka kita akan ditempelak dengan pelbagai alasan. Oleh itu, berhati-hatilah ketika kita memberi sebarang jawapan atau membuat sebarang ulasan terhadap soalan yang ditimbulkan mereka.

Saya ada pengalaman yang diceritakan oleh rakan persilatan kita. Beliau ditanya, ”Apa dah jadi sekarang dengan si pesilat yang dulunya bergiat hebat di cawangan sebagai Jurulatih?.”

Apabila diberikan jawapan bahawa pesilat berkenaan telah mendiamkan diri kerana tidak dapat menerima hakikat pepecahan, maka rakan saya tersebut diberikan syarahan. Syarahan yang diberi tidak menepati tajuk dan menjelaskan kedangkalan terhadap situasi. Diri rasa sakit hati. Oleh itu, lebih baik berhati-hati. Berilah alasan untuk ’melepaskan diri.’ Tidak perlu berbincang.

Sepanjang pengetahuan saya, mereka yang berkepentingan diri tentunya akan kurang membincangkan tentang makna perjuangan dalam SC. Banyak sebabnya. Mungkin golongan Jurulatih yang telah lama-lama atau tua-tua, telah berasa bosan atau berasa jemu dengan isi perbincangan yang berdasarkan silat. Sejak muda lagi mereka telah berjuang dalam silat. Makna persilatan SC sirasakan mereka sentiasa berada di hujung jari. Rasa pakar segalanya.

Oleh sebab pautan diri kepada silat semakin kurang, sensitiviti mereka pada SC yang ditinggalkan Ustaz juga telah semakin kurang. Saya yakin, tiba masanya mereka inginkan balasan dan pulangan. ”Dah jemu bercakap tentang SC, agaknya.” Kalau pendapat mereka ditentang, maka mereka akan memberi riaksi yang hebat dan mungkin memeranjatkan dalam konteks tindakan. Sekurang-kurangnya riaksi mereka itu memaparkan tindakan keras pada kelas-kelas SC yang akan dikorbankan.

Saya selalu nyatakan betapa Jurulatih-Jurulatih dulu sanggup ’bermati-matian’ membuka kelas-kelas silat. Malangnya Jurulatih yang sama itu juga sekarang ’berlumba-lumba’ dan bermati-matian menutup kelas-kelas SC yang dipimpin oleh mereka yang bertentangan pendapat.

Ada yang tertanya-tanya. Macam mana para Jurulatih yang hebat-hebat satu masa dulu, boleh beralih pendapat dan berbeza pandangan pada masa sekarang. Eloklah juga dibuat kajian. Kajian mengenainya boleh dijadikan satu tugasan pada ahli. Dah ada dua kajian yang boleh dibuat secara ilmiah. Satu kajian tentang fahaman mereka yang amat sukar diubah. Manakala satu kajian lagi tentang perubahan fahaman pada Jurulatih yang sama, menjurus kepada, ”Marahkan nyamuk, kelambu dibakar.”

Saya beranggapan, fahaman kedua amat membahayakan persilatan kita. Nampaknya tindakan puak-puak tersebut sangat beremosi. Kalau dulunya merekalah yang berhempas pulas membangunkan SC, maka sekarang tibalah masanya untuk menjahanamkan SC. Hal yang demikian saya dapat rasakan sebagai usaha mereka untuk mambalas dendam. Diri mereka terasa kurang bermakna. Nak jadi pemimpin tertinggi, mula diketepi. ”Alang-alang menyeluk perkasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mandi biar basah. Alang-alang diketepi, eloklah jahanamkan apa yang telah dibangunkan.” Itulah moto mereka.

Dulu, saya berasa bangga kerana fahaman perjuangan yang berbeza-beza itu, tidak mempengaruhi cawangan saya. Saya jaga betul-betul keaslian fahaman cawangan. Segala-galanya adalah berdasarkan fahaman Ustaz Hanafi. Pergerakan silat dan kefahaman silat adalah berdasarkan apa yang saya perolehi dan saya fahami. Saya tegas dalam soal-soal tersebut.

Saya bernasib baik kerana cawangan saya tidak mempunyai rumah persatuan. Yang ada cuma kelas latihan. Kelas di cawangan saya hanya ada orang apabila ada kelas-kelas latihan silat. Hal yang demikian menyusahkan kumpulan yang berkepentingan untuk menyebarkan fahaman mereka. Ketika kelas silat diadakan, saya tidak memberi peluang kepada mereka untuk bercakap atau bersyarah dengan pesilat tanpa kehadiran saya. Untuk itu kefahaman yang bertentangan dengan apa yang saya ada, bukan mudah untuk disebarkan dalam kalangan penuntut saya.

Hal yang demikian tentunya berbeza dengan cawangan-cawangan yang ada rumah persatuan. Kedatangan kumpulan penyebar fitnah sukar dikawal. Mereka boleh datang bila-bila masa. Mudahlah mereka berpecah pendapat. Sebaliknya saya bersyukur. Pepecahan tidak pernah berlaku semasa cawangan berada dalam kepimpinan saya.

Setelah tugas kepemimpinan persatuan di cawangan saya diserahkan kepada orang lain, mula timbul desakan untuk mengadakan rumah persatuan. Mereka hampir berjaya. Ada yang rela memberikan rumah persatuan. Saya tahu hajat mereka. Hajat utama adalah untuk mengurangkan pengaruh saya. Dikatakan, ”Tidak mahu SC di cawangan, berada di bawah bayang-bayang saya.” Termakan juga kepemimpinan yang ada.

Nampaknya pentadbiran SC cawangan berjaya dipindahkan tapi persilatan tetap di tapak lama. Perkembangan terakhir yang saya dapat kesan, rumah persatuan tersebut telah diambil balik. Sebabnya ialah berlainan fahaman. Itulah fahaman hapak dan haprak yang hanya boleh diasas dan diikuti oleh golongan haprak. Namun begitu, mereka berjaya juga memporakperandakan fahaman yang ada di cawangan saya. Saya biarkan sahaja. Dalam tajuk yang lain, saya akan kupas sebab musababnya.

Ketika persilatan di cawangan berada di bawah kepemimpinan saya, perjuangan SC adalah berasaskan kepada pimpinan saya. Semua pesilat asuhan saya menerimanya tanpa ada sebarang bantahan. Semuanya berada bersama-sama saya dalam satu tali ikatan dan atas satu landasan yang sama. Fahaman saya bukan direka-reka. Fahaman tersebut adalah berdasarkan pengalaman dan pengalamian ketika berada dalam SC.

Bila ditanya makna perjuangan SC pada saya, lantas saya jawab bahawa perjuangan kita adalah mengembangkan SC. Konsep mengembangkan SC bermakna usaha kita sedaya upaya untuk membanyakkan pembukaan kelas-kelas baru. Kelas lama perlu dikekalkan. Sekurang-kurangnya kelas-kelas itu dapat dikekalkan dalam satu jangka masa yang tersangat lama.

Itulah kesedaran perjuangan yang saya pupuk sekian lama dalam kalangan ’anak murid’ saya. Hal-hal yang berkaitan dengan pembasmian kurafat dan tahyol, biarlah ditugaskan pada kepemimpnan tertinggi SC. Tahap kita di cawangan adalah sebagai pelaksana. Maknanya ialah kita melaksanakan harapan dan impian guru. Sudah semestinya harapan dan impian guru itu berkaitan dengan perkembangan SC dalam masyarakat. Oleh itu, dalam setiap perancangan atau perbincangan, kepemimpinan cawangan akan tertumpu pada usaha-usaha mengembangkan SC.

Sebagai pemimpin cawangan, saya sentiasa cuba memenuhi harapan Ustaz agar semua orang Melayu akan mempelajari SC. Pemikirannya besar dan luas. Sikap sayapun demikian juga. Cuba berfikiran luas seperti Guru Utama. Namun begitu, saya mulakan tindakan dari apa yang ada. Dengan kekuatan dan kemudahan yang ada, saya sentiasa mengambil penuntut dalam kalangan masyarakat Melayu dari masa ke masa. Saya rasa terlalu banyak ahli masyarakat Melayu yang mempelajari SC melalui ’tangan’ saya.

Lebih-lebih lagi kita berpendirian bahawa SC itu tersangat hebat. Kehebatan itu perlu dikongsi bersama dengan ahli-ahli masyarakat bangsa kita. Rugi kalau tidak disampaikan pada orang lain. Oleh itu, kita akan terus menerus berusaha meyakinkan masyarakat untuk menerima pelajaran SC. Kalau tak terima, tentu mereka akan berasa rugi.

Apabila matlamat perjuangan telah jelas dalam kalangan penuntut saya, krisis kepemimpinan yang berlaku di peringkat pusat tidak banyak mempengaruhi cawangan saya. Hal atau masalah yang berlaku di pusat, biarlah mereka sendiri yang menyelesaikannya. Tidak payahlah kami campur tangan. Hal yang demikian kerana kami berjuang bukan kerana adanya kepentingan.

Pepecahan di peringkat pusat menampakkan usaha-usaha campur tangan daripada kebayakan orang-orang ’kanan’ guru sendiri. Semuanya tidak berpuas hati pada kepimpnan guru yang ada. Mereka berasa diri mereka paling layak untuk melayari SC. Kalau dulunya dengan Pak Ak, maka sekarang dengan En Mat. Semua penentangan itu dipelopori oleh orang yang sama. Kesemuanya, dalam satu masa yang lalu adalah merupakan Jurulatih SC. Hilang kesedaran diri. Tak sedar diri. Maka bersyaairlah kami.


Runtuhnya Cekak Tanpa Kesedaran,
Dendam Bermusuh Wujudlah Tujuan,
Berpesta Ria Menggagalkan Impian,
Hujungnya Kita Bantutkan Perjuangan
.


Bila hilang kesedaran dalam perjuangan, maka timbullah perjuangan diri. Bagi memenuhi impian diri, dendam mendendam telah dijadikan prinsip utama. Nafsu dan emosi telah mula mengatasi peranan akal. Impian kita selama ini untuk menyebarkan SC, telah mula terganggu. Sebaliknya impian untuk memenuhi kepentingan diri dijadikan keutamaan. Bagi memenuhi impian tersebut, pelbagai usaha dilakukan termasuk mengorbankan kelas-kelas SC yang ada.

Maka terbantutlah perjuangan untuk meluaskan SC melalui pembukaan kelas-kelas baru atau usaha-usaha membanyakkan bilangan ahli baru. Ahli-ahli baru terpaksa membuat pilihan pada persatuan yang berlainan guru. Guru yang akan memandu. Seperti yang dikata, kelas-kelas yang ada, ditutup jika berlainan kefahaman. Maka banyak kelas yang bakal dimusnahkan. Di musnahkan oleh golongan haprak dan kuncu-kuncunya.