Thursday, April 14, 2011

KENANGAN 40.

KONSEP MEMANDU
DAN SUMBER RUJUKAN.


Sebagai seorang Jurulatih, kita tidak dapat elakkan diri menjadi tempat rujukan para pesilat yang kita bimbing. Sifat sebagai rujukan pesilatan adalah kerana ilmu dan pengalaman yang kita ada pastinya melebihi daripada pesilat yang lain. Lebih-lebih lagi peranan kita adalah ’umpama guru' kerana kita menerima mandat daripada guru untuk menyebar atau menurunkan ilmu SC kepada para pesilat yang kita bimbing.

Ada juga yang merujuk sesuatu perkara atau sesuatu persoalan kepada kita kerana watak kita yang disenangi oleh pesilat. Hal yang dirujuk, terutamanya adalah berkaitan dengan masalah peribadi. Dalam hal ini, apapun alasan yang ada, perkara pentingnya ialah segala masalah yang timbul dalam diri penuntut kita, perlu dirungkaikan. Jika hal yang demikian berlaku, para pesilat akan mendapat kepuasan dan menambahkan motivasi mereka untuk terus kekal dalam perjuangan SC bersama-sama kita.

Perlu saya tegaskan, di samping ilmu silat yang ingin kita sampaikan, segala persoalan lain yang ditimbulkan oleh para penuntut perlu diambil kira. Jadikan diri kita sebagai tempat rujukan untuk pesilat kita. Jangan kecewakan mereka. Kepada Jurulatih atau tenaga pengajar, timbalah ilmu dan pengalaman seberapa banyak sebagai persediaan ’menghebatkan diri’ kita. Sekurang-kurangnya kita berupaya menjadi teman berbincang pada kepelbagaian persoalan dalam kalangan penuntut.

Dengan ilmu dan pengalaman yang kita telah tempoh atau alami, akan menjadikan perbincangan kita lebih ’masin’. Adatnya, ”Bagaimana kita hendak menyampaikan sesuatu itu kalau kita sendiri tak pernah sampai.” Jadi, kalau Jurulatih hendak menyampaikan sesuatu perkara, seboleh-bolehnya, beliau mesti benar-benar memahami dan pernah merasainya. Kalau tidak ada, maka sampaikan ilmu secara ’berlapik’. Maksudnya jika setakat mendengar sahaja, rujuk atau sandar punca ilmu atau punca pengalaman tersebut pada seseorang. Jangan berasa malu atau rendah diri. ”Ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya.”

Oleh itu, keperluan memiliki ilmu adalah sesuatu yang mesti dalam kalangan Jurulatih. Dalam hal ini, guru memainkan peranan yang amat utama sebagai punca ilmu. Maka, pertautan hubungan murid pada gurunya adalah amat penting. Hubungan itu mestilah rapat. Jangan timbul sebarang prasangka buruk terhadap guru. Ikhlaslah dalam hubungan.

Seterusnya, sejauh mana Jurulatih atau tenaga pengajar dapat memainkan peranannya sebagai penghubung antara guru dengan anak murid SC yang lain. Hal yang demikian amat bermakna bagi membolehkan pertautan hubungan itu dimantapkan antara murid dengan gurunya. Fikirkan perkara tersebut dengan teliti.

Kepemimpinan adalah melalui teladan. Tidak hairanlah jika hal yang demikian menjadi satu pegangan pada pesilat untuk meletakkan kedudukan Jurulatih sebagai sumber rujukan. Sehubungan dengan itu, Jurulatih perlu ’cakap serupa bikin’ sama ada dari segi kefahaman SC atau gerak-gerak yang ada dalam SC bagi merealisasikan konsep kepimpinan melalui teladan. Oleh itu, untuk menjadi teladan, banyakkan ilmu dan carilah pengetahuan serta alami pelbagai jenis pengalaman. Kalau tak ada, payah sikit.

Kadang kala ada Jurulatih yang banyak bercakap tetapi diri sendiri tidak memahami maksud yang di kehendaki pendengar. Orang ini kurang ada hala tuju percakapan. Suka bercakap berdasarkan apa saja yang terlintas dari dirinya. Pada saya, jangan sesekali kita lupa akan rupa bentuk penuntut yang ingin dilahirkan dari usaha yang dilakukan. Dari segi kemenjadian, apakah bentuk penuntut yang ingin dilahirkan. Berkemahiran tinggi atau sekadar menguasai atau memahami atau menghafal gerak yang diberi.

Ustaz menyampaikan pemikirannya secara praktikal. Isi pengajarannya mudah difahami dan mudah dilaksanakan. Banyak kaedah penyampaian yang dilakukan Ustaz bagi memudahkan anak muridnya memahami, menerima dan mengamal segala ilmu yang dicurahkan.

Salah satu kaedah penyampaiannya ialah menjelaskan terlebih dahulu tafsiran istilah-istilah. Hal yang demikian, apabila kita berbincang atau berbahas, tidak terkeluar dari landasan yang ditetapkan. Kerana itulah kita disarankan memahamai konsep istilah terlebih dahulu seperti istilah kelas, gelanggang, guru, murid, gerak dua tangan dan dua kaki, hamba, kuli, mengenal diri, isi, kulit dan lebih berat lagi, hakikat, syariat, isyarat dan sebagainya. Memahami istilah-istilah tersebut akan mewujudkan satu landasan kefahaman bagi penerimaan ilmu. Dengan cara itu perbincangan kita tidak akan tersasar jauh.

Sejauh manakah kemampuan kita untuk menjadikan pengajaran yang ada dalam SC itu sebagai sumber pegangan hidup. Tentunya hal yang demikian banyak bergantung kepada diri kita sendiri dalam usaha menambahkan ilmu dan amal kita. Pada saya, kita perlu berusaha dan terus berusaha. Landasannya telah diberi. Pengkayaan ilmu ialah tanggungjawab kita. Caranya pelbagai. Mengikuti kelas formal, perbincangan, pembacaan atau sebagainya.

Tidak boleh dinafikan, lagi banyak kita berusaha maka lagi banyak pancarobanya. Kadang kala kita kena hadapi dalam satu pasukan. Bersama-sama kawan, berkongsi masalah. Pegaulan sangat penting. Bergaul dengan pembuat minyak wangi pasti akan dapat wangiannya. Mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan adalah merupakan fitrah semula jadi manusia. Niat ke pangkal jalan akan mewujudkan perubahan dalam diri seseorang.

Saya rasa aspek yang penting pada diri kita ialah perubahan. Menyentuh aspek perubahan ini, terdapat dua jenis perubahan dalam kalangan ahli yang melibatkan kita. Pertamanya ialah perubahan pada pegangan silat. Mendalami SC adalah merupakan satu perubahan pada pesilat itu jika pesilat itu pernah berkecimpung dalam pesilatan Melayu yang lain. Bukan mudah pesilat itu menyesuaikan dirinya dengan gerak-gerak yang baru. Gerak itu hanya ada dalam SC. Peranan Jurulatih sebagai pemandu akan mengurus perubahan yang dialami oleh pesilat itu. Saya banyak sekali menyentuh akan tajuk ini.

Ada juga dalam kalangan pesilat yang ingin berubah dalam pegangan hidupnya. Hal yang demikian kerana dirinya ingin berubah daripada sesuatu yang tidak baik kepada sesuatu yang baik. Di sinilah peranan Jurulatih sebagai pemandu atau sebagai tempat rujukan tidak dapat dinafikan. Mereka tidak boleh lari daripada tanggungjawab tersebut. Dalam tulisan ini saya ingin berkongsi pengalaman dalam mengurus perubahan yang berkaitan dengan masalah peribadi dalam kalangan pesilat saya yang lalu.

Pada tahap asalnya manusia adalah berada dalam sifat seperti anak-anak. Mereka tidak tahu untuk berbohong, memaki hamun, panas baran atau bersifat negatif. Sifat mereka amat mulia. Namun begitu, dalam proses menjalani kehidupan, sifat-sifat negatif mula menetap dan mungkin menjadi nilai diri. Mulalah wujud sifat suka menipu, menabur fitnah, melayari nafsu negatif dan pelbagai sifat dan sikap yang berada di luar amalan kehidupan sebenar sebagai manusia hakiki.

Akhirnya wujud kesedaran. Mereka berusaha untuk kembali semula ke sifat fitrah manusia yang asal seperti semasa zaman kanak-kanak. Adatnya, mereka ingin kembali semula memiliki sifat-sifat mulia. Tidak menipu, tidak dibuai dengan hawa nafsu dan pelbagai sifat negatif yang lain. Dalam hal ini, apabila Jurulatih dirujuk dan dijadikan tempat mengadu, maka kita perlu mempunyai ilmu. Pengalaman banyak mengajar kita bagi memandu para pesilat untuk keluar dari masalah yang mereka hadapi.

Kita perlu mengetahui titik pemulaan perubahan yang diperlukan. Kalau kita sesat di hutan, perlu tahu di mana tempat kita sesat supaya mudah kembali ke pangkal jalan. Kita perlu memupuk azam dalam kalangan pesilat supaya mereka berazam dengan sesungguhnya untuk berubah. Setelah berubah, mereka berupaya mengekal serta menguatkan azam untuk terus berubah.

Proses menentang diri sendiri yang dianggap kompleks dan sukar itu pada pandangan saya bermaksud juga usaha untuk kembali ke sifat asal kita. Perubahan ini akan berkekalan apabila kita berada dalam alam keliling yang membolehkan proses itu berlaku. Semestinya alam persilatan adalah sebagai salah satu alternatifnya. Jurulatih perlu sentiasa mewujudkan suasana yang baik dan sesuai dengan perubahan anak didiknya.

Jangan lupa para Jurulatih sekalian. Perkara penting yang perlu ada pada kita jika ingin menjadi pemandu dan tempat rujukan ialah pegangan. Percaya betul-betul bahawa SC yang kita bawa adalah sebenar-benar SC yang berwibawa dan mulia.

Silat Cekak ialah silat Cekak Hanafi. Dan Silat Cekak Hanafi adalah Silat Cekak. Ternyata atas kebenaran, terdapatnya kesinambungan antara dulu yang dikenali sebagai Cekak Malaysia dengan sekarang iaitu cekak Hanafi. Kesinambungan ini ialah sama ada dari segi organisasi, penglibatan tokoh atau falsafah silat itu sendiri. Oleh itu, mana ada perkataan asli atau tak asli atau pun ori atau tak ori. Jangan pulak kita berbahas tentang akademik. Tak ada asal dan usulnya. Akademik hak masyarakat. Siapapun boleh jadi guru. Geng Hindraf pun boleh. Asalkan ada pengaruh dan wang ringgit dan disokong oleh persatuan.

Masih ada lagi orang yang berjuang dengan Ustaz atau tokoh-tokoh persilatan SC yang meneruskan perjuangan dalam SC. Jadi tak nampak atau tidak dirasakan apa-apa perbezaan. Cuma mandat dan amanah menggerakkan SC telah dilanjutkan oleh En Mat. Ada video nampaknya.

Apabila En Mat dengan tegasnya menerangkan bahawa puak-puak itu telah keluar daripada CH. Maka itulah kebenaran hakiki. Masalahnya di sini amanah yang ada dan diberi, telah tidak diakui lagi. Sebabnya ialah puak penghasut takut hilang tempat berpaut, glamor dan pastinya ketamakan. Itu sahaja.

Bila disebut ramai orang lama di sebelah sana, kita perlu dapat membezakan antara orang lama dengan orang tua atau orang bangka. Apapun, SC telah berkembang dengan megahnya. Pastinya dicemburui oleh penghasut yang dulunya ingin kedudukan. Tapi tidak dilayan. Orang yang keluar dari perjuangan SC, kita anggap tiada habuan atau tiada rezeki untuk menambahkan ilmu dan pengalaman. Bukan senang untuk bergiat dalam SC melainkan mereka yang mempunyai pegangan.

Kita perlu tingkatkan usaha untuk meluaskan pengaruh semaksimum mungkin di seluruh negara. Kita mempunyai ramai tokoh yang berkalibar. Idea-idea yang dikeluarkan dapat dijadikan panduan. Hati orang yang membengkak bukan salah kita, tetapi kesalahan diri sendiri yang tidak ingin tunduk pada kebenaran hakiki. Sambung.