Tuesday, April 12, 2011

KENANGAN 39.

JURULATIH SEBAGAI ”KAUNSELOR”.

Walaupun pada zahirnya Jurulatih berperanan mengembangkan SC, hakikatnya, tugas Jurulatih amat luas sekali. Bidang tugasnya bukan setakat silat. Peranannya sebagai pengurus persatuan memerlukan kebolehan mengurus. Manakala memimpin ahli-ahli silat memerlukan kebolehan kepemimpinan.

Di samping itu, Jurulatih juga menjalankan tugas penasihat, seolah-olah bertindak sebagai seorang kaunselor. Dalam bahasa yang mudah, tugas sebagai penasihat bermaksud usaha-usaha yang dilakukan mereka untuk mengenal pasti penyelesaian masalah peribadi yang dihadapi ahli. Masalah peribadi tersebut termasuklah hal-hal yang berkaitan dengan rumah tangga, perkahwinan, hubungan dengan pegawai di pejabat dan pelbagai jenis masalah lagi.

Saya juga turut berpengalaman menyelesaikan kes-kes yang dianggap sangat menarik dalam kalangan pesilat. Salah satu daripada kes tersebut ada kaitan dengan satu peristiwa berkenaan sahabat baik saya. Beliau mengalami ‘masalah’ dalam dirinya. Berlaku konflik dalam jiwanya antara pelajaran SC yang dipelajari dengan pelajaran lain yang cuba diharungi. Sayang. Beliau merupakan kawan baik saya sendiri. Paling sayang, beliau adalah berkelulusan pengajian tinggi. Berasal dari utara. Saya difahamkan, kini beliau telah meninggal dunia.

Saya kenangkan kisah lama sahabat saya tersebut. Boleh dijadikan kenangan sejarah buat diri saya dan buat kita semua. Saya tidak berminat untuk menarik perhatian pembaca tentang baik-buruk kita mempelajari sesuatu ilmu ketika kita mendalami Silat Cekak Ustaz Hanafi. Apa yang saya tulis di ruangan ini, hanya satu daripada pengalaman saya bersama rakan-rakan atau pesilat-pesilat dalam menempuhi ranjau sepanjang berada dalam SC, dulunya. Jadikan sempadan pada mereka yang bersifat semikian.

Sahabat saya itu adalah merupakan seorang yang pendiam. Tidak banyak bercakap. Akan tetapi, air mukanya garang. Orang tertawa terbahak-bahak, mungkin dia akan tersenyum sahaja. Itupun senyumannya sumbeng. Beliau kurang bergaul dengan ahli-ahli SC yang lain, tapi sangat rapat dengan saya. Mungkin minat kami adalah sama. Kami boleh berbincang hal-hal persilatan dan ilmu-ilmu luar biasa dalam masyarakat Melayu.

Apabila saya ’membuka’ SC di UM, beliau dapat ditarik bersama. Semasa latihan silat, tumpuannya nampak hebat. Setiap penumbuk yang tiba, akan disambut tanpa menggerakkan badan walau sedikitpun. Biru di badan merupakan satu kepuasan baginya. Bila ada yang menentang pertapakan SC di UM, beliau akan mendesak saya berhadapan dengan orang tersebut. Panas baran juga. Terpaksalah saya menenangkannya. Hal yang demikian telah menjadi satu tugasan baru pada saya. Saya akan bertindak menenangkan beliau yang akan menjadi baran apabila ada orang lain yang membuat komen buruk tentang SC.

Kenangan saya bersama sahabat saya itu, segala-galanya bermula semasa Ustaz memberi syarahan di ibu pejabat Jalan Haji Sirat. Dalam rumah, di pejabat berkenaan, Ustaz berada di hadapan manakala kami duduk berbaris mengadap Ustaz. Ketika Ustaz sedang bersyarah tentang tajuk derhaka kepada kedua ibu bapa, tiba-tiba rakan saya bangun mendapatkan Ustaz. Kami kehairanan. Rakan saya menghulurkan tangan untuk bersalam. Sambil bersalam, beliau mengeluarkan kata-kata tentang sesuatu dengan Ustaz. Isi percakapan agak kurang jelas. Saya difahamkan betapa beliau mengakui kesilapan atau kelemahan yang dilakukannya selama ini.

Sejak peristiwa itu, pelakuannya benar-benar berubah. Sukar saya gambarkan keadaannya. Yang jelasnya beliau mula ’tak betul’. Masanya banyak diluangkan bersama SC dan Ustaz. Setiap kali ada masalah peribadi, saya yang dicari. Hal yang demikian menyebabkan kerap kali juga saya membawanya berjumpa Ustaz. Selalu juga saya mandikan. Malah Ustaz juga pernah memandikan beliau. Ketika itulah saudaranya menganggap bahawa Cekaklah yang bertanggungjawab menjadikan kawan saya itu sedemikian sifat. Akhirnya saya mendapat berita, beliau bertugas di Sarawak.

Tahun berganti tahun. Ketika itu saya berada di cawangan. Suatu malam saya menerima panggilan telefon daripada beliau kerana ingin berjumpa. Saya terkejut kerana dinyatakan bahawa beliau telah berada di tempat saya sejak sehari yang lalu. Tinggal di sebuah hotel murah.

Percakapannya amat pelik sekali. Pada mulanya saya sangkakan beliau bergurau. Rupa-rupanya beliau bersifat serius. Sahlah betapa emosinya terganggu dan dirinya tidak terkawal. Saya agak terkejut apabila beliau melahirkan hasrat untuk ’merampas’ masjid ketika khatib membaca kutbah Jumaat. Alasan yang diberi ialah pegawai-pegawai masjid tersebut tidak menunaikan kewajipan terhadap agama dengan berkesan. Beliau begitu serius mengajak saya turut bersama. Pelik dan nampak ’tak betulnya’, tapi benar.

Saya terpaksa berhempas pulas menenangkan beliau. Pelbagai janji ditabur dan pelbagai nasihat diberi. Nampaknya, usaha beliau bukannya setakat impian atau cita-cita. Ada niat, bersertakan perbuatan. Nasib baik pujukan saya diterima dan beliau balik semula ke negerinya.
Kemudian terdengar berita bahawa beliau telah berhenti kerja. Tidak lama selepas itu terdengar lagi berita beliau telah meninggal dunia. Sedih rasanya di hati. Bersama-sama bergiat hebat dalam masa perkembangan SC. Itulah satu contoh masalah peribadi berat yang ditanggung ahli.

Selain masalah peribadi, saya juga berperanan dalam usaha menyelesaikan masalah keluarga pesilat. Kesimpulannya, bukan mudah kita mendapatkan kepercayaan isteri jika mereka telah hilang kepercayaan pada kita. Hal yang demikian pernah berlaku dalam kalangan ahli. Satu ketika, pernah berlaku isteri tetap mengikut suami ke kelas ketika suami mempelajari SC. Isterinya sanggup duduk dalam kereta menunggu suaminya bersilat. Kalau pelajaran silat telah tamat, suami perlu cepat-cepat ke kereta dan terus balik. Jika lambat, si isteri akan terus menerus membunyikan hon kereta. Tersangat bising. Hal yang semikian tentunya akan memalukan pesilat itu sendiri.

Jika ada kes-kes yang melibatkan rumah tangga, pesilat akan mencari masa untuk berbual dengan saya. Biasanya masalah yang dihadapi adalah akibat tidak ada persefahaman. Kalau pesilat itu masih menunggu, bermakna adalah perkara yang ingin dibincangkan. Apabila berbincang, biasanya hingga ke pagi. Jam empat atau lima pagi, barulah pesilat itu pulang. Terseksa badan. Tak cukup tidur.

Ada juga dalam kalangan ahli yang membincangkan masalah yang berlaku di pejabat. Biasanya berkenaan hubungan mereka dengan ketua jabatan atau ahli-ahli dalam pejabat berkenaan. Maka saya akan beri pandangan sebagai pilihan untuk tindakan mereka.

Secara keseluruhan, bagi mengatasi masalah-masalah peribadi tersebut, telah menyebabkan Jurulatih terpaksa balik lambat. Biasanya, selepas kelas silat, pesilat yang ada masalah tersebut akan tetap tunggu. Setelah semula pesilat balik, barulah mereka merapati Jurulatih untuk menyatakan sesuatu. Maka terpaksalah Jurulatih tersebut melayannya. Tentunya akan memakan masa. Hal yang demikianlah telah menyebabkan sesi perbincangan itu akan tamat hingga menjangkau pagi.

Mungkin ada peranan-peranan lain yang dimainkan oleh para Jurulatih untuk membantu menyelesaikan masalah ahli. Hal yang demikian menunjukkan betapa pesilat memberi penghormatan dan keyakinan kepada Jurulatih untuk memandu atau memimpin diri mereka. Oleh itu, Jurulatih perlu memainkan peranan bagi membantu ahli untuk menyelesikan masalah mereka. Jika kita berilmu dan berpengalaman maka mudahlah kerja-kerja untuk membantu mereka menghadapi kemelut kehidupan. Dalam hal ini, para Jurulatih perlu bersabar untuk memimpin pesilat-pesilat yang mereka asuh dari masa ke masa. Sekian.