Saturday, April 16, 2011

KENANGAN 42.

TAK KEKAL PENDIRIAN.

Setelah sekian lama terlibat, saya masih ingat-ingat lagi sahabat-sahabat lama seangkatan yang sama-sama berjuang dalam SC. Sekarang ini ada yang masih aktif, ada yang sudah tidak ada dalam dunia ini, ada yang mendiamkan diri dan ada yang beralih pendapat dan menjadi penentang. Macam-macam ada. Semuanya sepancur. Mendapat ilmu yang sama punca dari Ustaz Hanafi.

Dalam kalangan mereka, ramai yang telah dapat Pingat Berjasa dan Pingat Setia. Ada dalam kalangan mereka yang berjaya menyusun strategi untuk mendapatkan pengiktirafan pingat. Sekarang baru saya tahu. Ketika itu, Pingat Setia merupakan satu anugerah yang sangat mulia. Anugerah mulia itu hanya layak diterima oleh pejuang-pejuang yang sanggup ’mati’ demi mempertahankan SC. Mempertahankan SC membawa makna akan mempastikan adat dan adab SC akan terus terpelihara. Institusi keguruan yang merupakan tunjang utama, pasti akan dipertahankan keaslian dan haknya. Rasa-rasa, itulah pegangan penerima pingat-pingat yang ada.

Tetapi hal yang saya nyatakan di atas adalah merupakan tanggapan dan kenang-kenangan saya sahaja. Sekian lama maka lain jadinya. Orang yang dikatakan setia dulunya, lama-lama telah hilang kesetiaannya. Sanggup menentang balik. Seperti dikata, kalau dulu sama-sama berhempas pulas membuka kelas-kelas SC sebagai tanda usaha mengembangkan SC maka sekarang orang yang sama sanggup untuk menutup kelas-kelas SC bagi mengehadkan perkembangan SC.

Kadang-kadang saya rasa pelik. Tak disangka orang yang hebat dalam SC akhirnya akan menjahanamkan SC yang dibina mereka bersama. ”Marahkan nyamuk, kelambu dibakar” telah menjadi pegangan utama mereka. Kalau berdasarkan perjuangan, kata-kata mereka, tindak tanduk mereka dan kesetiaan mereka, macam saya tak percaya boleh berubah. Akhirnya ramai kalangan mereka yang menjadi pertualang SC.

Betullah kata guru saya dulu.Tidak terfikir rakyat di zaman kesultanan Melaka, akan tertubuh kerajaan yang dikuasai bersama dengan bangsa yang mendatang. Mana terfikir oleh Sang Nila Utama apabila negeri yang dibuka bernama Singapura, telah terlepas ke tangan pendatang luar keturunan Cina. Rupa-rupanya, sesuatu yang kita tak terfikir, akhirnya terjadi juga. Itulah kehendak Tuhan namanya.

Cuma, kadang kala saya sendiri tertanya-tanya. Bagaimana perasaan mereka ketika menerima Pingat Setia dan bagaimana perasaan mereka ketika ini setelah menerima pingat Setia. Agaknya, kesetiaan mereka hanya pada ketika pemberinya ada sahaja. Setelah pemberinya tiada maka tidak ada lagi kesetiaan pada jiwa mereka. Itu hanya agakan sahaja. Tapi saya kenang-kenangkan lagi. Perkembangan SC yang ada adalah tetap hasil usaha pemberi pingat yang pingatnya mereka telah terima dulunya. Sepatutnya jasa pemberi pingat itu terus menerus dihormati. Caranya ialah meneruskan kesinambungan perjuangan yang ditinggalkan oleh pemberi pingat tersebut.

Tapi lain jadinya. Tak menjadi pun. Maknanya pendapat saya tersebut hanya merupakan pendapat saya sahaja. Tidak mudah berlaku. Kesetiaan telah mulai luntur akibat kepentingan yang berbeza mengikut zaman dan peristiwa.

Sepanjang pengalaman saya berada dalam SC, jawatan-jawatan dalam Jawatankuasa Pusat di zaman Ustaz telah menjadi jawatan yang amat ’panas’ sekali. Setakat ini, saya mengambil kesimpulan betapa mereka yang pernah memegang jawatan dalam Jawatankuasa Pusat, akhirnya banyak yang membuat angkara. Termasuklah jawatan Setiausaha yang membawa dua makna. Satu Setia dan satu lagi Usaha.

Nampaknya konsep setia tidak berpanjangan seperti mana konsep usaha dalam menunaikan tanggungjawab mereka. Berhenti sekerat jalan. Setia yang tidak kekal. Ada yang beralih setia.

Sebalik nya konsep usaha telah membawa banyak implikasi. Ada yang ada usaha untuk menentang Guru Utama yang ada. Ada yang ada usaha untuk menguasai persatuan. Ada yang ada usaha untuk dapatkan kepentingan. Setakat pengalaman saya, kesemua bekas setiausaha yang ada, akhirnya lari dari medan perjuangan. Janji dan laungan tegas yang sering dilaungkan telah hilang begitu sahaja. Pegangan yang tidak berkekalan.

Dalam tulisan ini, saya akan kenangkan semua pengalaman saya bersama mereka. Saya kenang-kenangkan lagi sejarah penglibatan kami bersama yang sekian lama berkecimpung lama dalam SC. Ikutilah kupasan yang mungkin pernah diceritakan. Mengingat kembali dalam siri kenangan dalam tulisan ini.

Mungkin nama-nama mereka tidak saya sebut. Pastinya kesemua mereka telah bergiat sejak zaman Ustaz lagi. Saya jadikan bahan tulisan semata-mata untuk mereka yang akan membuat rujukan pada satu masa nanti. Tahun pasti berganti tahun. Tentu dalam zaman itu bahan-bahan tulisan amat bermakna pada mereka yang ingin tahu punca pepecahan. Bagaimana SC yang suatu masa dulu tersangat hebat, tiba-tiba boleh berpecah belah.

Saya tidak menyentuh penjawat jawatan Setiausaha atau penjawat jawatan lain dalam organisaasi zaman En Mat ketika ini. Pengalaman saya bersama mereka amat kurang. Tambahan pula, umur mereka mungkin berada dalam jurang yang besar. Penceritaan saya adalah bersumberkan zaman dulu kala ketika saya tersangat aktif dalam SC.

Saya cuba-cuba mengingatkan balik pengalaman saya bersama orang-orang lama dan orang lama-lama. Pastinya pengalaman dulu-dulu sebelum wujud kepentingan diri yang menyebabkan mereka berubah hati. Ketika itu kesemua mereka sememangnya hebat. Kehebatan merekalah yang banyak membantu Ustaz untuk menegakkan kehebatan SC. Guru yang hebat, dikuatkan dengan orang-orang kanannya yang hebat telah menjadikan SC sebagai silat yang hebat. Kehebatan SC tidak ada tolok bandingnya. Persilatan Melayu yang lain tersangat menghormati SC. Maka para ahli yang belajar SC menumpang hebat atas kehebatan SC itu sendiri.

Para sahabat saya dulunya ada keistimewaan tersendiri. Masing-masing ada perwatakan hebat dan sesetengahnya berperwatakan luar dari kebiasaan. Oleh kerana kehebatan yang ada itulah maka telah dapat membantu mengukuhkan perjalanan persatuan silat kita. Persatuan SC semakin kuat dari masa ke masa. Kekuatan persatuan telah menjadi nadi kepada perkembangan SC. Hal yang demikian kerana persatuan adalah merupakan penaung kepada pergerakan silat. Tanpa persatuan maka Silat Cekak tidak boleh dikembangkan secara meluas.

Teringat akan pergaulan bersama mereka. Kami pernah berselisih pendapat. Tapi cuma setakat dalam mesyuarat. Bertegang leher macam nak bergaduh. Tetapi selepas mesyuarat, pulang pulih seperti sedia kala. Perkara yang dibincang, terputus dan tidak diungkit-ungkit lagi. Tidak diulang-ulang lagi. Dengan itu semangat setiakawan dalam kalangan kami sentiasa berterusan dan berkekalan. Saya masih ingat sahabat-sahabat saya tersebut. Masing-masing ada sifat tersendiri. Ketika itu ke mana kami bergerak, perngorbanan masa, tenaga dan wang ringgit tak diambil kira.

Ketika saya mula berjinak-jinak dengan SC ada seorang Setiausaha yang bersemangat waja. Dalam tulisan-tulisan yang lalu, pernah saya sentuh watak ini tapi dalam bentuk penulisan yang lain. Sama-sama mengajar silat terutama di UPM. Beliau sangat aktif di peringkat awal di Lorong Haji sirat. Boleh dikatakan, beliaulah merupakan jurucakap Ustaz. Ketika saya mula-mula berjumpa Ustaz, beliaulah menjadi orang utama yang mendemostrasi pergerakan SC sambil Ustaz memberi penerangan.

Saya bertanya kepada beliau kenapa masih kekal dalam SC. Antara jawapannya ialah kerana bangsa. Beliau menyingkapkan bajunya. Nampak parut lima puluh sen. Katanya, ”Inilah bekas tembakan yang diterima dalam kejadian 13 Mei 1969 yang lalu. Tembus ke belakang dan saya bersyukur kerana tak mati.” Itulah kata-kata yang melambangkan kesungguhan di hati. Menurutnya, hal yang demikian telah menyebabkan beliau ingin meneruskan perjuangan membela bangsa melalui SC. ”Orang Melayu perlu bersedia dari masa ke masa.” Kata-katanya tegas dan yakin sekali. Tapi itu dulu. Terdengar suara raja lawak.

Tiba-tiba beliau juga meninggalkan persatuan. Semangatnya yang ingin berjuang atas nama bangsa dalam SC, hilang begitu saja. Dengar cerita, satu daripada sebabnya ialah tidak tahan dengan kutukan kawan dalam persatuan ketika beliau inginkan bantuan. Memang ketika itu telah wujud geng kaki kutuk.

Walau bagaimanapun, kegiatan sahabat saya itu masih dalam bidang persilatan. Cuma, beliau telah bergiat dengan silat lain. Sekarang ini tiba-tiba ternampak wajahnya dalam TV. Jadi pelakon. Rindu saya nak berjumpa. Teringin nak tanya. Mana janji membela bangsa. Cepat benar lupa.

Setiausaha berikutnya disandang oleh orang lain. Dari utara. Sekejap sahaja. Saya tidak berminat menyentuh peribadinya. Seorang yang pendiam tapi bertanggungjawab merangka perlembagaan persatuan. Besar jasanya pada Persatuan SC. Tapi disingkirkan kerana tidak sehaluan. Kini telah tiada. Al-Fatihah untuknya.

Ada seorang sahabat saya yang pernah menjadi Setiausaha dan kemudiannya menjadi Naib presiden di zaman Ustaz. Masih dalam senarai Jawatankuasa peringkat pusat. Saya kagum dengan kebolehan beliau membuat perancangan. Kalau nak berbahas dengannya, jangan mula dengan perkataan, ”Saya rasa”. Pasti dipotong cakap kita. Beliau seorang yang berfikiran positif dan sentiasa bercakap berdasarkan fakta. Itu sebab ramai ahli SC yang tidak boleh ikutnya. Saya berani kata, beliaulah merupakan salah seorang yang bertanggungjawab hingga SC berkembang pesat di zamannya.

Berdasarkan pengalaman saya bersama Ustaz, pernah Ustaz mengatakan bahawa, sesiapa yang menentang pendapat sahabat saya itu maka samalah seperti menentang pendapat Ustaz. Begitulah kepercayaan hebat yang diberi Ustaz kepada beliau. Mungkin beliau sendiri boleh menganggap dirinya hebat. Hinggakan pendapat orang lain sering diketepikan.

Dalam hal ini, saya berpendapat bahawa penilaian pada diri kita hanya boleh dilakukan oleh orang lain. Bukannya diri kita yang layak menilai diri sendiri. Ketika kita berpecah dengan Pak Ak dalam pepecahan gelombang pertama, beliau berperanan besar menyusun strategi untuk meneguhkan kepemimpinan En Mat. Pelbagai strategi dilakukan. Semuanya hasil panduan pemikiran beliau. Maka terbitlah video ’menegakkan kebenaran.’

Beliau dibantu oleh dua orang sahabatnya yang juga merupakan sahabat saya dulunya. Mereka juga berada dalam Jawatankuasa Pusat. Perwatakan mereka tidak banyak bicara tapi hebat dalam melaksanakan tugas. Mereka sanggup berkorban mempertahankan maruah SC walaupun dalam medan laga apabila dicabar oleh silat-silat lain. Salah seorang daripada mereka pernah beradu hebat dengan musuh tradisi kita. Jawabnya ’lima berbalas kosong’. Tumbuk menang dan ditumbuk pun menang. Ustaz juga pernah mewakilkan beliau berbincang dengan guru yang mengajar silat menggunakan nama silat kita.

Ketiga-tiga mereka merupakan daya penggerak utama persatuan SC ketika itu. Semua ahli yang lain akan akur dengan tindakan mereka. Malah Ustaz sendiri banyak berhubung harap pada mereka untuk menyusun strategi bagi memperkemaskan pengurusan persatuan.

Cuma, saya masih terkenang ketika kami berada dalam Jawatankuasa Pusat. Mereka yang selalu bertengkar atau boleh mempersoalkan pemikiran mereka hanya terdiri dari beberapa orang termasuk saya, Pak Wan dan Jo Black. Seperti yang dikata. Segala pertengkaran atau perbahasan hanya setakat mesyuarat sahaja. Lepas mesyuarat, seolah-olah tidak ada apa yang berlaku. Keputusan yang diambil, semua pihak menerimanya tanpa ada apa-apa bantahan atau cakap-cakap kemudiannya.

Sayang sekali. Akhirnya kesemua mereka mengetuai kumpulan utama menentang En Mat. Sekarang berada di pihak Akademik. Berperanan besar. Hampir-hampir menyamai peranan Guru dalam kumpulannya. Pada saya, macam tak percaya mereka boleh berubah hati menentang orang yang ditatangnya satu ketika lalu. Sanggup bersengkongkol dengan usaha-usaha menutup kelas SC yang dulunya diperjuangkan pembukaannya dari masa ke masa.

Teringat diri saya. Saya bersyukur kerana masih setia dalam memperjuangkan SC dalam landasan yang tetap sama dan bukannya dalam landasan baru yang dibina. Ada ramai sahabat saya yang kecundang di tengah jalan atau telah lari dari landasan. Lari dari landasan perjuangan tentunya berdasarkan tafsiran saya. Tapi saya yakin pada kebenaran diri saya. Saya tidak ada langsung kepentingan dalam SC. Ketika ini, jawatanpun tak ada. Dulu ada juga jawatan dalam persatuan. Tapi disingkirkan dalam satu drama yang menyanyat hati pada yang simpati. Nampaknya apabila perjuangan yang berkepentingan diri mula mendapatkan tempat di hati, maka segala janji, ikrar dan sumpah setia boleh terketepi dengan mudahnya. Sambung lagi.