Sunday, April 3, 2011

KENANGAN 37.


PENGREDAN AHLI.


Perjuangan dalam SC memberi banyak makna dalam kalangan ahli. Tafsiran perjuangan adalah pelbagai. Kerap kali saya sentuh persoalan ini dalam tulisan-tulisan terdahulu. Perkara pastinya perjuangan yang ada dalam kalangan ahli sejak dulu hingga sekarang mungkin berubah-ubah. Perubahan ini mungkin berada dalam lingkungan diri orang yang sama. Maknanya, perjuangan sebenar tetap ada dan tidak berubah. Yang berubah ialah ahli SC itu sendiri.

Dulu berjuang buka kelas, tapi sekarang, orang yang sama berjuang tutup kelas. Dulu berjuang untuk memantapkan SC tapi sekarang mereka yang sama telah berjuang untuk memantatkan SC. Dulu berjuang untuk menegakkan kebenaran yang sah, maka sekarang orang yang sama berjuang hingga sanggup menafikan kebenaran yang pernah ditegakkan. Banyak lagi perbezaan dulu dan sekarang. Yang berubahnya ialah pegangan orang. Orang itu ialah orang yang sama. Mereka berubah mengikut masa atau zaman. Sifat dan sikap mereka yang dulu sudah berubah pada masa sekarang. Itulah golongan haprak dan hancok dalam SC.

Hal-hal yang berubah dalam kalangan ahli-ahli SC, dari zaman Ustaz hingga sekarang telah membina gambaran dan tanggapan kita pada mereka. Hal yang demikian membolehkan kita memberi nilai pada ahli-ahli yang berkenaan. Nilai boleh dianggap sebagai gred. Telur ayampun ada gred berdasarkan kecil dan besarnya. Gred-gred ini yang berkaitan atas penilaian saya terhadap mereka, saya kelas-kelaskan berdasarkan ketetapan perjuangan sejak dulu hingga sekarang. Pastinya nilai gred berkenaan berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan pemerhatian saya sepanjang berada dalam SC.

Nilai dapat juga dihubungkan dengan harga diri seseorang. Adakah harga diri seseorang ahli itu berdasarkan cakap sejam, atau kerana kawan atau kerana kepentingan. Walau bagaimanapun, nilai seseorang ahli SC ada kaitan dengan pegangannya pada kefahaman yang diasaskan dan diasakkan oleh Ustaz Hanafi sendiri dari masa ke masa di satu ketika yang lalu. Berdasarkan pegangan pada kefahaman tersebutlah maka kita boleh memberi nilai gred pada seseorang ahli yang dikatakan berada dalam perjuangan SC.

Bagaimana pula dengan mereka yang tidak pernah bertemu dengan Ustaz dan membuat pegangannya pula. Pastinya pegangan golongan ini adalah berdasarkan pada mereka yang dirapati. Kalau rapat dengan golongan penentang maka jadilah mereka golongan penentang.

Tapi ada juga dalam kalangan mereka yang menjadi juara dengan mengatakan bahawa mereka juga mempunyai pendirian berdasarkan fahaman Ustaz. Hancok punya pendapat. Sebenarnya, mereka adalah pengikut ikutan. Oleh itu, tak payahlah menonjolkan diri sebagai juara untuk menegaskan pegangan berdasarkan Ustaz Hanafi. Buat malu sahaja. Lebih baik jangan terlibat membuat kenyataan atas sandaran pada pemimpin ikutan ketika ini. Tersalah ikut pemimpin maka banyak dosa silat yang akan terus menerus dilakukan.

Dalam tulisan ini, pemberian nilai atau gred ahli saya hubungkan secara umum sahaja. Nilai Gred boleh juga dijadikan campur atau tolak. Misalnya Gred A, A+ atau A-. Saya asaskan penilaian hanya berdasarkan huruf yang asal. Tidak ada campur atau tolak. Tulisan ini memberi ruang pada saya untuk membuka jalan supaya para pembaca boleh kembangkan. Ketepatan nilai gred adalah berdasarkan ukuran saya yang tertentu. Penerusan perjuangan dan pengamalan amalan fizikal dan kefahaman yang ditinggalkan Ustaz, akan menjadi ukuran utama dalam tulisan ini.

Nilai Gred A adalah mereka yang terus berjuang pada landasan yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Mak Teh adalah merupakan tempat ikatan yang jelas. Mereka akan berterusan mempertahankan semua bentuk nilai yang telah ditinggalkan oleh Ustaz. Apa yang ditinggalkan Ustaz, maka itulah yang diteruskan. Peninggalan Ustaz merangkumi dua perkara. Pertamanya ialah ilmu gerak secara fizikal dan keduanya ialah kefahaman yang dipupuk Ustaz dari masa ke masa.

Mereka yang berada dalam Gred A, tetap mempertahankan segala bentuk tinggalan fizikal dan kefahaman yang disarankan Ustaz. Mengubah buah tidak mungkin menjadi amalan mereka. Kefahaman yang ditinggalkan Ustaz akan berterusan dalam amalan dan tetap dipertahankan. Pusaka Hanafi membawa makna mempertahankan warisan yang ada.

Golongan ini masih berpegang pada hak menjadi guru dalam SC. Hak dikaitkan dengan waris yang mewarisi berdasarkan mandat yang sah. Saya tidak mahu menyentuh soal ini dengan lebih panjang. Banyak perkara yang telah disentuh dalam tulisan yang terdahulu. Mereka yang faham sahaja yang boleh menerima hakikat kebenaran. Hanya Jauhari mengenal maknikam.

Nilai persahabatan adalah berasaskan pada fahaman Hanafi. Selagi ahli SC masih berpegang pada pusaka Hanafi maka selagi itulah hubungan akrab tetap terjalin. Walaupun wujud pelbagai persatuan, namun silat yang digerakkan masih berdasarkan SC yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi. Hal yang demikian menyebabkan hubungan sesama mereka masih boleh dikekalkan. Sesuailah dengan lafaz ikrar yang disuarakan ketika majlis pertama lagi.

Nilai Gred B adalah mereka yang masih tetap mempertahankan Warisan Ustaz Hanafi. Kesayangan mereka pada Ustaz masih terus membara. Keluarga Ustaz terutamanya isterinya masih dipandang mulia. Pusaka Ustaz diubah sikit-sikit ikut tafsiran dan keperluan diri. Pastinya kekurangan ilmu dan kekurangan pengetahuan tentang punca satu-satu gerak pada buah-buah SC telah menyebabkan hal itu berlaku.

Mereka masih sayangkan Ustaz. Nama Ustaz sentiasa disebut-sebut dalam perbincangan dan dalam ucapan. Kadang kala saya berasa hairan dengan golongan gred ini. Satu segi mengkagumi warisan Ustaz Hanafi, tapi satu segi yang lain membuat perubahan pada ilmu yang diwariskan. Kalau Guru Utama yang berbuat demikian, itu adalah merupakan haknya. Masalahnya, orang kanan yang ada dalam SC sendiri yang cuba mengubah segala warisan yang ada. Mengubah tanpa mengetahui tujuan sebenar di sebaliknya.

Perubahan yang amat ketara telah bermula sejak zaman Pak Ak lagi. Kursus-kursus yang diadakan menampakkan wujudnya perubahan-perubahan tersebut. Hinggakan Guru Utama sendiri ketika itu tidak mengetahui tentang wujudnya perubahan dalam gerak-gerak buah SC. Apabila guru hanya sibuk ijazah maka pengisian dalam kelas-kelas agak kurang diawasi. Wujud gulungan yang mengisi ’kekosongan’ dalam kelas.

Apabila persatuan berpecah bagi menjalankan aktiviti SC, hubungan sesama ahli mungkin mulai renggang. Nilai persahabatan mulai longgar. Apatah lagi jika sesama mereka belum pernah mengikat tali hubungan. Fahaman persatuan mulai menguasai diri walaupun persatuan masing-masing masih bertunjangkan Pusaka Hanafi.

Jika ada hubungan persahabatan sebelum berpecah, kalau berlainan persatuan, air muka mereka menjadi hambar. Cakap dalam keadaan serba salah dan tidak ada unsur-unsur ceria lagi. Kira nak cepat cabut lari. Persatuan yang berlainan telah membina satu tembok yang menghalang segala-galanya.

Nilai Gred C adalah rujukan pada ahli-ahli yang mula memisahkan diri dengan apa yang ada dalam SC. Pautan dengan Mak Teh semakin jauh. Adat dan adab dalam persilatan SC telah diketepikan. Prinsip pelantikan guru telah dipermudahkan. Banyak alasan diberi hingga sanggup mengatakan SC kepunyaan masyarakat. Hal yang demikian membolehkan mereka melantik sesiapa sahaja sebagai guru utama. Salasilah guru dipandang bersahaja. Pada anggapan mereka, jawatan guru bukannya boleh diwarisi. Jawatan guru boleh ditandingi atau dilantik mengikut kehendak ahli.

Pelajaran yang ditinggalkan Ustaz mula diubah mengikut kesesuaian yang ada. Pastinya mengikut kefahaman dan tafsiran sendiri. Seolah-olah pelajaran yang ditinggalkan Ustaz telah tidak memberi makna kepada diri mereka. Kumpulan ini suka mencipta sesuatu yang tidak ada sejak zaman berzaman. Perubahan yang dilakukan adalah tidak logik kerana perubahan itu dilakukan mengikut perjuangan dan kefahaman mereka yang ada.

Dalam golongan gred ini, nilai persahabatan jika berlainan pendapat telah tiada lagi. Fahaman persatuan mengambil alih fahaman persilatan. Walaupun masing-masing masih mendakwa berpaksikan Pusaka Hanafi, perjuangan berdasarkan kepentingan diri telah menguasai para ahli. Kalau ada hubungan sebelum ini, ketika berjumpa, mereka hanya mungkin mengelingkan mata atau menjuehkan mulut. Itulah bentuk teguran yang ada. Bercakap jauh sekali. Semuanya berasaskan prasangka buruk ketika berhubung diri.

Nilai Gred D saya rujuk pada mereka yang berpisah jauh dengan perjuangan Ustaz Hanafi. Hubungan dengan ahli-ahli lama yang bersama-sama mengasaskan SC semakin tiada. Hubungan dengan Mak Teh telah hilang. Pegangan mereka telah berubah mengikut hati, zaman dan kepentingan. Nama Ustaz hanya diketahui sebagai guru yang mula-mula mengembangkan SC. Membincangkan fahaman Ustaz tidak lagi menjadi bahan utama.

Pengetahuan mereka hanya terhad pada guru atau kepemimpinan yang ada. Langsung tiada pengetahuan tentang orang-orang kanan Ustaz yang turut berjuang menegakkan kehebatan SC. Hal yang demikian membawa makna, nilai persahabatan sesama ahli yang berfaham Ustaz Hanafi telah terkubur langsung. Hubungan sesama ahli hanya berdasarkan pada tautan persatuan atau tautan guru yang mereka kiblati.

Nilai Gred E adalah mereka yang masih terkenangkan SC tapi tak pernah melibatkan diri dengan SC lagi. Bila terkenangkan SC, mereka hanya mengingatkan sejarah penglibatan mereka pada masa dulu kala. Itu sahaja. Cakap mereka mungkin berkobar-kobar tentang sejarah hebat SC. Namun begitu, sumbangan mereka pada perkembangan SC ketika ini, tidak ada. Pengetahuan mereka amat kurang tentang perkembangan atau perubahan yang sedang dan telah berlaku dalam SC. Malah yang paling teruk, pergolakan hingga menyebabkan pepecahan persatuan pun tidak pernah diambil kira.

Pada gulungan ini, nilai persahabatan hanya terhad pada mereka yang pernah didekati. Bidang persilatan masih dihormati termasuk ahli persilatannya. Ke arah mana kecenderongan ahli pada persatuan dan persilatan, tidak pernah diambil peduli. Pada mereka, SC yang ada hanya satu. Hinggakan terdapat banyak guru pun mereka tak ambil tahu.

Fahaman mereka lebih banyak bergantung pada golongan yang berdamping rapat dengan mereka terlebih dahulu. Pendirian mereka tidak tetap dan tidak matang kerana kekurangan pengetahuan. Kalau golongan En Mat yang terlebih dahulu rapat dengan mereka, maka En Mat akan dijadikan sandaran kebenaran. Jika golongan guru persatuan yang terlebih dahulu berdamping rapat dengan mereka, maka guru persatuanlah yang akan diikuti.

Nilai Gred F adalah merujuk lepada mereka yang langsung tiada hati lagi pada perjuangan SC. Ramai yang telah melarikan diri ke pihak-pihak persilatan lain. Perjuangan SC tidak membawa sebarang erti. Makna perjuangan dalam SC tidak pernah diambil kira lagi. Tidak ada sumbangan apa-apa lagi pada persilatan atau persatuan yang ada.

Hal yang demikian disebabkan mereka telah terkeluar dari penglibatan dalam bidang persilatan dan persatuan kita. Paling malang lagi apabila ada dalam kalangan mereka yang mengkondem perguruan SC yang pernah diceburi. Oleh itu, nilai persahabatan sesama ahli persilatan SC, tidak ada langsung. Ke arah mana kecenderongan ahli terhadap persatuan dan gurunya, langsung tidak membawa makna pada mereka.

Demikianlah penilaian saya pada golongan ahli-ahli SC yang ada dari dulu hingga sekarang. Seperti yang dikata, tulisan ini hanya sebgai usaha untuk membuka minda pada mereka yang telah dan sedang berkecimpung dalam SC. ”Ada ulu maka ada parang. Ada dulu, dah tentu akan ada sekarang dan akan datang.” Maknanya, perkara yang saya bincangkan di atas, pasti akan terus berulang tanpa boleh disekat-sekat lagi. Masa saja yang akan menentukan lambat atau cepatnya.

Mungkin para pembaca ada penilian tersendiri untuk memberi nilai gred pada ahli-ahli SC yang berkecimpung sejak zaman Ustaz Hanafi hingga kini. Buatlah apa yang patut mengikut keputusan dan tafsiran sendiri. Tidak semestinya betul. Apapun tafsiran yang ada, kehebatan perpaduan dalam SC yang satu masa dulu sangat dikagumi, telah hancur begitu sahaja. Hal yang demikian adalah kerana tersangat banyak faktornya. Sekurang-kurangnya akibat ego diri. Tidak mahu mengalah demi kebaikan dan perjuangan SC.