Thursday, October 7, 2010

POTONG SENDENG ATAS.

Ketika pelajaran ini diturunkan, kelas-kelas yang dipimpin oleh Jurulatih yang tidak tetap pendirian dari segi konsep dan prinsip pukulan sebagai satu bentuk ’pemakan’ akan menghadapi persoalan. Kalau dulunya semasa pelajaran asas dan jatuhan, pukulan disuruh berbatu dari dagu maka sekarang, ketika pelajaran potong, disuruh pula pukulan berada di bawah dagu.

Sikit punya haru. Arahan membuat pukulan yang tidak menentu. Penuntut silat termangu-mangu. Sikap Jurulatih yang suka hati, pukulan sebenar telah lari. Ketika potong baru pukulan dicari dan diamali. Macam cari bini yang cabut lari. Baru sedar kefahaman diri. Selama ini tak sedar diri. Masa pelajaran potong baru penuntut diterangkan pelajaran hakiki. Aspek pukulan baru diajari. Baru puas hati. Umpama berwirid haji.

Pada kelas-kelas yang tetap menganjurkan pukulan di bawah dagu sejak buah asas dan jatuh, pelajaran potong tidak mendatangkan masalah. Proses dan kesinambungan buah adalah berterusan. Para penuntut tidak perlu mempelajari dua kemahiran dalam satu pelajaran pada hari latihan. Kemahiran itu ialah kemahiran membuat pukulan di bawah dagu dan kemahiran memotong pukulan di bawah dagu tersebut.

Pada pendapat saya, penekanan pada penggunaan pukulan buah Sendeng Atas yang berbeza sewaktu pelajaran asas atau jatuh dengan pelajaran potong, tentunya akan merugikan penuntut silat. Masa pelajaran asas, bentuk pukulan adalah lain dan masa pelajaran potong pukulannya juga lain. Hal yang demikian akan mengganggu tumpuan pesilat pada pelajaran.

Ketika mempelajari buah potong, pesilat diperkenalkan dengan cara pukulan baru. Pukulan di bawah dagu dan bukannya pukulan yang jauh berbatu-batu. Maka terpaksalah mereka berlatih pukulan di bawah dagu, ketika pelajaran baru tentang cara potong diperkenalkan. Pada hal, kemahiran pukulan di bawah dagu sepatutnya telah dipupuk sejak zaman asas lagi. Tentunya semasa pelajaran potong, kemahiran tersebut telah mantap dan kemas. Kelainan pelajaran pukulan tersebut pastinya telah menimbulkan persoalan dalam kalangan para penuntut. Walau apa pun alasannya, saya berharap jangan ada terkeluar istilah ’tipu’ dalam pemikiran mereka.

Berdasarkan pelajaran, memotong buah Sendeng Atas agak sukar berbanding dengan jatuhannya. Sekali lagi gerak berani dan yakin perlu ada dalam kalangan penuntut. Jangan lupa aspek kekemasan, ketangkasan dan ketepatan. Jangan sesekali bersifat gopoh dengan pelakuan hendak potong sahaja tanpa ada sifat awasan pada keselamatan diri.

Pesilat yang memotong akan memintas pukulan dengan menggunakan kaedah D pada tangan kiri. Ketika itu juga tangan kanan pasangan akan ditolak ke depan, serentak dengan langkahan kaki kiri yang terus menuju ke bahagian pelipat. Jangan lupa pasakan. Perbuatan itu sangat memberi makna. Penerangan jelas telah diterangkan semasa saya membincangkan jatuhan Hempuk. Ingat sifat jantan. Perbuatan pasak kita punya. Jangan lupa. Maka jadilah buah Hempuk. Lambang sifat jantan.

Pada pandangan saya, membuat buah Hempok berdasarkan potong, adalah tidak semudah membuat buat Hempuk dalam pelajaran jatuh. Hal yang demikian akan memungkinkan tiga keadaan yang perlu diberi keutamaan oleh para Jurulatih terutamanya apabila pesilat gagal menguasai aspek ketangkasan dan pemberatan badan.

a. Potong Hempuk ketika potong akan mengambil masa yang lebih panjang dalam konteks saat dan ketika, berbanding dengan buah Hempok dalam pelajaran jatuhan.
b. Dalam proses memotong, kaki yang cuba diambil oleh tangan kanan ketika membuat buah Hempuk berkemungkinan tersangkut pada kaki kanan pesilat.
c. Tangan yang ditolak dengan Kaedah D, berkemungkinan juga tersangkut pada leher pesilat.

Berdasarkan pengalaman, hal-hal yang disebut ada kaitan dengan faktor pemberatan badan yang tidak seimbang di kaki kiri dan kaki kanan. Pesilat lebih banyak memberatkan badan pada kaki kanan. Sifat gopoh menguasai pesilat. Oleh itu, Jurulatih perlu sensitif dengan kemungkinan-kemungkinan yang akan berlaku tersebut ketika pesilat membuat potong. Bantulah pesilat-pesilat yang menghadapi masalah. Tunjuk dan pandu para pesilat dengan gerak potong yang sebenarnya, berdasarkan sukatan pelajaran buah potong. Jangan diubah-ubah atau ditambah-tambah.

Walau bagaimanapun, kalau berdasarkan kelas kemahiran, masalah yang wujud berdasarkan tiga keadaan di atas tidak akan menjadi masalah besar. SC mempunyai kaedah yang dapat kita diaplikasikan bagi mengatasi kemungkinan-kemungkinan tersebut. Para penuntut akan bertindak berdasarkan tindak balas pasangannya. Namun begitu, dalam pelajaran potong, kita perlu mengikut sukatan pelajaran. Kaedah jatuhan Hempok berdasarkan pelajaran potong adalah perlu dipatuhi. Jangan diubah-ubah atau cuba-cuba membuat penyesuaian sendiri. ’Kalau dah mahir, tangan yang memegang stering, boleh diganti dengan kaki.” Begitulah hebatnya Pusaka Hanafi. Sekian setakat ini.

Sambung lagi.