Sunday, October 3, 2010

BUAH POTONG PERTAMA.

Biasanya ketika pelajaran buah potong Pertama ingin disampaikan dalam kalangan penuntut, kita berkehendakkan mereka supaya mengeraskan tangan ketika menumbuk. Mungkin timbul persoalan tentang hal yang berkaitan dengan keras mengeras tersebut.

Saya berpendapat, perbuatan tersebut adalah perlu. Selama ini pesilat yang menunggu, diarah supaya dapat membuat buah jatuh dengan sempurna. Tumpuan pelajaran adalah pada pesilat yang menunggu. Sebaliknya, dalam pelajaran potong, keupayaan pesilat membuat buah jatuh perlu dikurangkan oleh pesilat yang menumbuk. Pesilat yang menumbuk tidak lagi membiarkan dirinya ’dijatuhkan’ dalam pelajaran potong. Maka saya berpendapat satu kaedah pernyataan perlu dibuat untuk menegaskan betapa jangan memudahkan pasangan silat membuat jatuhan. Caranya adalah mengeraskan tangan pesilat yang membuat tumbukan. Maknanya, pesilat yang menumbuk tidak memberi ruang kepada pasangannya dengan mudah membuat buah jatuh.

Konsep mengeraskan tumbukan tangan dalam konteks pelajaran potong menekankan dua perkara penting. Pertamanya, pesilat yang menunggu mesti sedaya upaya membuat buah jatuh dalam apa keadaan sekali pun. Sama ada penumbuk yang datang ringan atau berat, pesilat tidak boleh jadikan sebarang alasan atas kelemahannya dalam proses membuat jatuhan. Manakala pesilat yang menumbuk perlu mempastikan pasangannya tidak mudah membuat jatuhan. Malah pesilat itu sendiri akan mempastikan jatuhan yang akan dibuat oleh pasangannya tetap tidak menjadi ketika dia membuat tumbukan untuk memotong. Jika suasana itu terjadi maka barulah ada makna dan kaitannya dengan konsep keras tangan ketika penumbuk. Maka pembelajaran potong akan menjadi hebat. Hebat pembelajaran bermakna hebatlah para penuntut SC yang akan tamat nanti.

Memotong buah Pertama memerlukan tumpuan sepenuhnya pada gerak pasangan. Tatkala menghulurkan penumbuk, perhatikan gerak pasangan secara keseluruhan. Ada kalanya buah pesilat tidak menjadi kerana gagal menampar Kaedah A pada tangan Jurulatih. Namun begitu Peranan Jurulatih tetap ’membunuh’ gerak pesilat berkenaan. Kalau tidak ada pukulan yang boleh dipotongkan maka Jurulatih berkenaan akan mengenakan satu gerak ’tindakan’ pada pesilat. Saya terangkan kepada mereka betapa membuat buah potong perlu yakin dan jangan silap. Kesilapan mungkin berlaku ketika memotong pukulan pasangan. Namun begitu langkah spring amat berguna bagi menjaga keselamatan. Maka secara langsung, para penuntut akan benar-benar memberi tumpuan bagi membuat buah potong dengan sepenuh hati.

Apabila pesilat menghantar penumbuk, tamparan Kaedah A oleh pasangannya telah memberi isyarat pada pesilat tentang bakal pukulan yang akan tiba di rusuknya. Perhatikan kedatangan pukulan tersebut supaya pesilat tidak terpotong angin. Maknanya ialah pesilat jangan cepat sangat nak potong. Terangkan juga prinsip berkenaan kepada pesilat. Jangan gopoh.

Memotong dengan menggunakan Kaedah A adalah bersepadu dengan pergerakan kaki dan tangan yang mesti serentak dalam satu proses gerak yang berterusan. Fahami betul-betul konsep serentak dalam proses wujud beberapa gerak dalamnya. Konsep serentak tersebut adalah berdasarkan pandangan mata kepala. Namun begitu dalam proses gerak-gerak berkenaan masih terdapat susunan berdasarkan gerak yang sukar dikesan dengan mata kepala.

Ketika memotong, pastikan kaki kanan tidak berundur atau ditarik ke belakang. Manakala kaki kiri mesti terus masuk habis di bahagian pelipat tanpa bermalam di mana-mana. Sama seperti Kidung Kiri. Jika proses itu telah menjadi maka pada asasnya kita dikira telah ’selamat’.

Dalam proses gerak menampar A yang berterusan, maka kita tersangat perlu membuat tetakan pada tangan kanan pasangan ketika kaki kiri kita telah stabil masuk di belakang pelipat. Bila tampar sahaja Kaedah A, dengan sekelip mata tangan kanan kita membuat tetakan dan diikuti perbuatan memegang hujung tangan kanan pasangan. Tangan kiri kita berlambang gerak D bagi kita membuat jatuhan.

Maka lakukanlah jatuhan seperti mana buah-buah jatuh yang bersamaan dengannya. Perlu ditegaskan, apabila jatuh maka iringkan dengan satu pukulan secara tetakan. Pastinya di bahagian tengkok. Namun begitu, perbuatan menetak di bahagian tengkok amat bahaya kepada para pesilat. Lebih-lebih lagi pada mereka yang masih menuntut di bangku persekolahan. Buatlah tetakan atau tamparan di bahagian bawah tengkok dengan memberi alasan yang jelas pada para penuntut. Apabila kita membuat pukulan, buatlah pukulan dengan betul. Jangan main acah-acah. Perbuatan itu akan menjadi kebiasaan jika kita ulang-ulangkan. Perbuatan mengacah adalah tidak sesuai dan tidak memberi manfaat jika kita ingin memupuk kehebatan kita dalam dunia persilatan.

Ketika pelajaran potong, sepatutnya para Jurulatih telah mengetahui tentang kebolehan pada setiap penuntut. Mana satu penuntut yang kasar dan mana satu penuntut yang lembut. Oleh itu, sesuaikan hantaran penumbuk Jurulatih dengan kebolehan mereka. Hal yang demikian bagi mempastikan semua pesilat boleh membuat buah bagi memudahkan pelajaran potong. Para pesilat lain dapat memerhati cara-cara buah potong itu dilakukan. Pembelajaran secara pemerhatian adalah asas pada para pesilat untuk menguasai pelajaran SC seterusnya. Bagi mempastikan para pesilat boleh melakukan potong seperti mana yang Jurulatih lakukan maka para Jurulatih sendiri perlu sangat membuat buah jatuh. Itulah yang saya lakukan ketika menjadi Jurulatih, mengendalikan kelas latihan.

Sekian.