Thursday, October 21, 2010

POTONG KUNTAU JATUH.

Setelah para penuntut silat mempelajari buah-buah potong sehingga buah Kidung Kiri, mereka sebenarnya telah diperkenalkan dengan dua bentuk gerak potong. Satu bentuk potong adalah menggunakan spring manakala satu lagi gerak potong adalah tidak melangkah atau tidak menggunakan spring. Secara langsung, para penuntut SC disedarkan bahawa terdapatnya kepelbagaian dalam gerak potong dalam SC.

Saya berpendapat, kesedaran tersebut sengaja diadakan dalam kalangan penuntut SC kerana buah berikutnya iaitu Kuntau Jatuh adalah menggunakan kaedah gerak potong yang menggunakan prinsip spring dan tidak spring. Alangkah cantik dan indahnya susunan buah yang ada dalam SC. Setiap sesuatu gerak yang Ustaz rancangkan, nampaknya mempunyai sebab-sebab yang tertentu dan amat bermakna. Malang sekali apabila wujudnya manusia yang suka mengubah-ubah sesuatu yang telah ditetapkan oleh Ustaz. Kurang cerdiknya.

Seperti yang saya katakan, pelajaran potong Kontau Jatuh berdasarkan pelajaran yang saya terima, mempunyai kandungan pelajaran yang memasukkan kedua-dua kaedah potong. Satu kaedah potong ialah gerak melangkah dan satu lagi potong ialah menggunakan kaedah tidak melangkah. Buah Kidung Kiri merupakan persiapan psikologi bagi para penuntut untuk menerima perubahan dalam kaedah gerak potong dalam SC.

Ketika saya belajar dulu, kedua-dua kaedah tersebut telah diajar dan diperkenalkan dalam kalangan kami sebagai penuntut SC. Oleh itu, seperti yang saya nyatakan, apa yang saya terima dari kelas yang saya belajar dulu maka akan saya kongsikan bersama dengan para pembaca SC sekalian. Nak pakai maka pakai kalau tak nak pakai maka eloklah pakai. Kalau masih lagi banggakan konsep Pusaka Hanafi, jangan banyak songehnya. Saya telah kupas tentang keperluannya.

Kaedah potong yang bertama adalah menggunakan kaedah merentap balik tangan kanan yang menepis. Dalam gerak kaedah ini, pesilat bertindak dengan secepat kilat menyentap balik tangan kanan pasangan yang menepis kaedah B. Dalam proses yang berterusan itu gerak pesilat disertai dengan pergerakan kaki kiri pesilat yang akan melangkah atau gerak sring ke belakang pelipat pasangan menjadikan perbuatan gerak umpama jatuh Kuntau Kiri. Maka buatlah jatuhan seperti yang selalu saya sarankan. Jangan lupa konsep kejutan untuk membuat jatuhan.

Ketika belajar dulu, kami juga diperkenalkan dengan satu lagi bentuk gerak potong pada buah Kuntau Jatuh. Berdasarkan kaedah kedua ini, dalam proses pesilat membuat tumbukan serang, tangan kanan yang menyentap diperlukan untuk membuat satu pukulan di bahagian leher. Berbeza dengan potong pertama yang merentap semata-mata. Dalam hal pukulan ini, terdapat dua bentuk pukulan yang popular. Satu bentuk pukulan ialah menggunakan bahagian bawah tangan yang terbuka, dihentak ke dagu pasangan pesilat. Satu bentuk pukulan lagi ialah menggunakan ’pukulan tahyat’ di leher pasangan.

Kaedah potong kedua ini tidak memerlukan gerak melangkah atau gerak spring pada kaki kiri pesilat. Pesilat perlu menggunakan kaki kanannya untuk berada seperti mana buah jatuh Kuntau Jatuh. Hal yang demikian itu adalah amat sesuai digunakan ketika kaki kanan pasangan kita yang ingin membuat buah jatuh telah masuk jauh pada pelipat kaki kanan pesilat. Maka tidaklah perlu lagi bagi pesilat untuk melangkah kaki kanannya ke bahagian pelipat pasangan, disebabkan pasangannya telah menyediakan kedudukan gerak yang sedemikian.

Maka amat mudahlah tangan kanan pesilat yang berada di bahagian dagu atau leher pasangan membuat tolakan bersepadu dengan gerak kaki kanan pesilat. Pesilat mudah membuat jatuhan setelah mengepit kaki kanan pasangan yang sedia ada di pelipat pesilat. Jatuhan yang dilakukan umpama makan balik dengan buah yang sama seperti mana yang dihajatkan oleh pasangan iaitu buah Kuntau Jatuh.

Perbuatan potong gerak kedua tersebut amat sesuai dilakukan ketika kaki kanan pesilat telah disekat oleh kaki kanan pasangan untuk membuat jatuhan. Kalau cuba direntap juga sambil pesilat melangkah, adatnya pesilat berkenaan akan jatuh dan gagal untuk membuat gerak potong. Apa yang saya perhatikan, pesilat tetap diarah untuk menyentap tangan pasangan dan melangkah kaki kiri ke hadapan seperti kaedah potong yang pertama. Geraknya menjadi gerak berpakat. Logiknya tidak ada. Pasangan silat membiarkan sahaja dan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membolehkan pesilat membuat buah jatuh Kuntau Kiri.

Berdasarkan pengalaman, kaedah potong yang pertama hanya sesuai jika kaki kanan pasangan tidak berada jauh dalam pelipat kaki kanan pesilat yang membuat tumbukan. Ketika kaki pasangan bergerak masuk ke belakang pelipat pesilat, ketika itulah buah potong yang pertama boleh dilakukan dengan mudah. Sebaliknya jika kaki pasangan telah bertapak jauh di belakang pelipat pesilat, memotong cara pertama adalah amat membahayakan pesilat. Pergerakan pesilat tidak stabil dan tidak logik untuk spring atau melangkah ke depan.

Rupa-rupanya kaedah ’makan balik’ buah Kuntau Jatuh berdasarkan gerak potong yang kedua adalah menepati konsep yang selalu dikaitkan dalam tulisan kita iaitu, ”salah satu keistimewaan SC ialah sambil menyerang sambil SC dapat menangkap.” Kata-kata tersebut amat tepat dan dapat dihubungan dengan buah Kuntau Jatuh. Namun begitu, falsafah itu hanya sesuai pada mereka yang mengerti.

Saya difahamkan bahawa potong cara kedua tidak pernah diajar lagi pada para penuntut SC. Saya pun tak pasti sebab-sebabnya. Walau bagaimanapun, di Cawangan saya pelajaran berkenaan tetap diajar pada pesilat yang menuntut dari dulu hingga sekarang. Seperti yang saya katakan, apa yang diajar pada saya maka itulah pula yang saya ajar pada mereka yang ingin belajar dari saya.

Dalam kaedah potong cara kedua, pasangan kita akan dikunci dengan Kuntau Jatuh seperti mana hajat pasangan untuk mengambil buah Kuntau Jatuh pada pesilat yang menumbuk. Niat ’buruk’ yang dihajat maka niat itu yang musuh kita dapat balik. Niatnya untuk mengalahkan pesilat dengan Kuntau Jatuh maka akhirnya dia sendiri yang terkunci dengan Kuntau Jatuh. Konsep itu juga amat sesuai ini dengan konsep ilmu Bisik Semak. Agaknya juga, mereka yang ada kaedah potong cara kedua tentunya berada di makam yang tertinggi berbanding dengan mereka yang memperoleh satu kaedah sahaja untuk memotong kuntau Jatuh. Agakan sahaja.

Dalam kuncian semula buah potong Kuntau Jatuh, bezakan dengan buah jatuh Kuntau Jatuh. Dalam kaedah potong balik buah Kuntau Jatuh, galakkan pasangan kita membuat tindak balas. Kalau pasangan boleh tumbuk, biarkan dia buat tumbukan. Kalau pasangan kita boleh sepak maka biarkan dia buat sepakan. Beri kebebasan kepada pasangan kita membuat gerak tindak balas setelah dibuat kuncian. Setiap gerak tersebut ada cara pemakannya. Perkara penting ialah bagaimana kita sebagai pesilat yang membuat jatuhan dalam kaedah gerak potong dapat makan balik dengan memberi riaksi pada gerak pasangan kita. Semua gerak makan tumbukan atau sepakan dari pasangan perlu dimatikan dengan satu tindak balas yang tidak ada ’belas kasihan.’ Itu juga salah satu kesenian SC.

Cuma nampaknya ada juga dalam kalangan kita yang bercelaru antara gerak jatuh dengan gerak potong berdasarkan Kaedah B. Ramai yang membuat jatuhan buah kuntau Jatuh secara merentap tangan sebelum tangan menolak dagu bagi menjatuhkan pasangan. Dalam pelajaran yang saya terima, ketika membuat jatuhan Kuntau Jatuh, pastikan pesilat tidak merentap tangan pasangannya. Jika pesilat berbuat demikian, maka tegahkan perbuatan tersebut dengan serius. Banyak rugi dari baiknya. Maka itulah satu asuhan bagi mempastikan gerak kita adalah gerak serius yang tidak boleh bertolak ansur. Latih diri kita bersifat demikian rupa. Jika ada yang berniat jahat pada kita maka pulangkan balik niat jahat itu kepada mereka. Aplikasikan dalam kehidupan kita. Insyaallah akan menjadikan kita seorang pesilat SC yang cekal, berani dan bersifat yakin.

Sekian dulu.