Wednesday, October 13, 2010

POTONG KILAS DEPAN.

Ada yang inginkan penjelasan lebih lanjut tentang pengumpulan buah potong seperti yang disiarkan alam tulisan lalu. Sebenarnya tidak perlu bagi saya membuat banyak ulasan kerana tidak banyak perkara yang boleh saya jelaskan. Saya cuba membuat kupasan tentang buah-buah potong yang ada dalam senarai pembelajaran berdasarkan bentuk potong yang hampir-hampir sama. Sifat potong buah Pertama adalah tidak sama dengan potong Kilas Belakang walaupun menggunakan kaedah yang sama. Apa tah lagi sifat potong Kilas Depan yang jauh berbeza dengan Kilas Belakang walaupun menggunakan kaedah A yang hampir sama semasa potong.

Perbezaan sifat dan bentuk potong pada buah-buah berkenaan adalah dirujuk pada jarak, saat dan ketika membuat potong, penyudah yang berlainan dan sifat yang perlu ada pada pesilat ketika membuat gerak potong. Lain buah maka lain sifat dan bentuk potongnya kecuali buah-buah yang saya kumpulkan dalam satu ulasan. Walau bagaimanapun, kalau pesilat tersebut lelaki maka sifat buahnya adalah hampir-hampir sama dalam kalangan mereka.

Berdasarkan pemerhatian, biasanya ketika mengajar buah Kilas Depan, para Jurulatih akan sebuk mengingatkan para pesilat supaya mengeraskan tangan ketika menumbuk. Peringatan mereka itu mungkin ada logiknya. Melakukan gerak potong pada buah Kilas Depan memerlukan sedikit tenaga. Kebolehan pasangan untuk membuat buah jatuh Kilas Depan perlu ’disusah dan dilambatkan’. Mengeraskan tangan adalah salah satu cara atau kaedah yang sesuai bagi mencapai hasrat tersebut.

Namun begitu, saya berpendapat permintaan mereka tersebut ada kaitan dengan strategi pengajaran mereka sendiri. Kalau mengeras tangan ketika buah Pertama, tentu akan mendatangkan masalah pada pasangan silat untuk membuat buah jatuh. Kalau tidak jadi buah jatuh maka mana mungkin boleh buat buah potong. Tentunya proses mempelajari buah potong akan terganggu.

Namun begitu hal yang demikian tidak mendatangkan masalah pada kelas saya. Di kelas-kelas yang saya awasi, para Jurulatih sendiri yang akan membuat buah jatuh. Oleh itu, sejak buah pertama lagi para pesilat dianjurkan supaya mengeraskan tangan ketika membuat tumbukan. Sebagai Jurulatih maka tidak ada sebab mengapa mereka gagal membuat buah jatuh walaupun tumbukan pesilat umpama batu.

Walau apapun alasan, yang pastinya setelah empat buah jatuh berjaya ditunjukkan gerak potong, maka penumbuk pesilat untuk memotong buah Kilas Depan adalah wajar dikeraskan tangan. Tidak ada lagi sifat tolak ansur tentang soal-soal keras. Maka bermula dari Kilas Depan, semua tumbukan pesilat akan terus dilakukan secara mengeraskan tangan. Hanya tangan sahaja. Anunya tak payah nak keras-keraskan.

Perbuatan memotong buah Kilas Depan ada sedikit payah. Lebih-lebih lagi jika pesilat ingin memotong Kaedah dan pasangannya terhenti gerak setakat Kaedah C sahaja. Secara semula jadi tangan kanan yang menepis tangan kanan pesilat akan menjadi keras. Bukannya dibuat-buat. Jika hal yang demikian berlaku maka pesilat yang menumbuk akan menghadapi kesukaran untuk membuat potong dengan sempurna Lebih-lebih lagi jika pesilat itu teragak-agak dan tidak membuat potong secara ’tegas’ dan secara yakin.

Kalau memotong A secara gerak ke atas pada buah Kilas Belakang maka potong A pada Kilas Depan adalah secara agak membawah. Rupa-rupanya hal-hal bawah adalah lebih susah berbanding dengan atas. Mesti bekerja keras dan mesti juga keras. Berdasarkan prinsip itu, nampaknya, memotong Kaedah A di bawah lebih susah, berbanding dengan potong A di bahagian atas. Tapi nak buat macam mana. Kandungan pelajaran potong perlu diturutkan. Pelajaran, tetap pelajaran. Boleh atau tak boleh buat maka perlu juga dibolehkan buat.

Kepayahan kedua yang berlaku ialah ketika kaki kiri pesilat melangkah masuk ke belakang pelipat kaki kanan pasangan. Jaraknya jauh dan mengambil masa untuk berbuat demikian. Hal yang demikian berlaku kerana langkah kaki buah Kilas Depan adalah pada kaki kiri. Kaki kanan tinggal di belakang. Sifat Kilas Depan, kaki belakang pulak yang dijadikan tumpuan. Kesusuhan yang lebih tentu dirasai oleh mereka yang mempunyai kaki yang kurang panjang. Kerana pelajaran, perbuatan memotong sedemikian rupa perlu dibuat juga. Tidak ada tolak ansur kecuali pada mereka yang uzur atau golongan OKU.

Walau bagaimanapun, kaedah mengeraskan tangan ketika membuat tumbukan akan dapat mengurangkan kesusahan untuk membuat potong Kilas Depan. Di samping kekerapan latihan, dengan iringan latihan yang bersungguh dan penuh keyakinan maka masalah yang ada pasti dapat dikurangkan.

Ramai juga yang bertanya-tanya jika ada cara lain bagi memudahkan pembelajaran potong Kilas Depan. Semua persoalan memang ada jawapannya dalam SC. Ketika pelajaran kemahiran, persoalan tersebut mudah dilayan. Sabar dan beri pengharapan. Keyakinan penuntut perlu dibangunkan sentiasa. Maka saya selalu beri jaminan betapa pelajaran kemahiran tetap ada. Janji tetap ditunaikan. Sabar dan tabah sentiasa.

Sekian setakat ini. Sambung lagi.