Friday, October 8, 2010

POTONG KILAS BELAKANG / ALI PATAH ATAS / ALI PATAH SUDAH

Dalam penulisan tajuk ini, saya kumpulkan tiga kaedah potong buah jatuh dalam satu ulasan. Pergerakannya hampir sama. Sambungan buah setelah dipotong pun adalah sama. Geraknya seiras dengan potong Pertama. Namun begitu, memotong Kaedah A pada buah Pertama dikira agak mudah berbanding dengan potong Kaedah A pada buah-buah yang dinyatakan di atas. Aras potong buah Pertama adalah di pinggang, berbanding dengan buah-buah di atas pada aras leher. Dari segi saat dan ketika, memotong kaedah A buah Pertama lebih cepat kerana jaraknya lebih dekat.

Sekali lagi pada kelas-kelas yang tidak tetap pendirian tentang konsep dan prinsip pukulan, akan menghadapi masalah ketika mengajar buah-buah potong berkenaan. ’Nak potong apa kalau anunya tiada.’ Maka terpaksalah para penuntut diajar dengan pukulan sebenar yang telah ditiadakan semasa pelajaran asas atau jatuh.

Hal yang demikian terjadi kerana ketika pelajaran asas atau jatuh, pukulan tidak langsung diambil berat. Jurulatih jenis tersebut telah rela menafikan kepentingan pukulan dalam SC. Buat pandai sendiri dan reka sendiri kerana sepanjang saya berada di pusat, keadaan tersebut tidak pernah berlaku. Pukulan masih tetap diberatkan. Ketika saya berada di cawangan, baru terdengar betapa pukulan pada buah-buah berkenaan telah ditiadakan. Cokwak betul.

Peliknya, apabila masuk pelajaran potong yang memerlukan potong pada pukulan, maka barulah bentuk pukulan diperkenalkan kepada para pesilat. Maknanya, pukulan pada buah-buah berkenaan tetap ada tapi telah disembunyikan. Itulah agaknya yang dikatakan menyembunyikan pelajaran SC. Saya rasa perbuatan tersebut berupa pengkhianatan pada para pesilat dan amat merugikan mereka dari segi masa dan kemahiran untuk menguasai pukulan yang saya anggap sebagai satu lambang atau sifat SC. Sifat jantan adalah terletak pada anunya. Sifat SC adalah juga terletak pada pukulannya. Hilang anu maka hilanglah kehebatan jantan. Hilang pukulan maka hilang juga kehebatan SC.

Pada kelas yang tidak mementingkan pukulan, ketika potong barulah pukulan pada tengkok diperkenalkan. Buat kerja berulang kali. Kita buat bandingan dengan contoh yang lebih mudah. Malas nak payah-payah. Kalau dibandingkan laki dan bini, kaedah itu adalah laki dan pukulan itu adalah bini. Sebab bini yang selalu ”dipukul.” Pelajaran mereka hanya berlaki tapi tak ada bini. Pentingkan kaedah tapi tak ada tempat pukulan. Macam lelaki Bangladesh yang datang tanpa bini. Masa potong baru dicari pasangan laki iaitu bini. Bila baru dapat bini maka dilatihlah menggunakan bini berkali-kali. Hilang fokas untuk memintas bini berkenaan. Baru tahu guna bini. Maka diguna berkali-kali. Agaknya kiasan saya tersebut mungkin boleh dipakai pada mereka yang tak reti-reti.

Seperti yang dinyatakan, pada kelas-kelas latihan yang mementingkan pukulan, memotong buah Kilas Belakang tidak akan mendatangkan masalah. Perbuatan pukulan pada leher sememangnya telah ada. Maka kesinambungan pelajaran dapat dijalankan secara berterusan dalam satu proses. Jurulatih tak perlu lagi memperkenalkan pukulan. Hal yang demikian adalah tersangat penting kerana dapat menyuburkan kebolehan penuntut dalam satu proses yang berterusan. Berdasarkan adat belajar, para penuntut kelas berkenaan akan menjadi hebat yang tetap berkekalan.

Mempalajari pelajaran potong Kilas Belakang tidak akan mendatangkan masalah kepada penuntut. Kaedah A dapat digunakan untuk membuat potong. Cuma para penuntut perlu ubah suai Kaedah A supaya menepis ke atas sedikit daripada bahagian dada. Pastinya kesampaian potong A pada tangan kanan pasangan agak lewat sedikit dalam kiraan ketika, berbanding dengan buah Pertama. Namun begitu pelajaran potong buah Pertama boleh dijadikan panduan untuk merapatkan diri dengan pasangan.

Setelah pukulan tangan kanan pasangan dapat dipintas maka bermulalah pelajaran potong. Pergerakan tangan kiri dan kaki kiri pesilat adalah serentak pada kaca mata kita. Tetakan tangan kanan pesilat pada tangan kiri pasangan adalah perlu dibuat secara pantas dan berterusan. Dalam proses yang berterusan, tangan kanan pesilat akan memegang hujung tangan kanan pasangan. Ketika itu, corak pembelajaran dapat dikaitkan dengan bentuk dan ragam buah jatuh Kidung Kiri. Gunakan pengetahuan tentang buah jatuhan Kidung Kiri bagi maksud sambungan potong Kilas Belakang, Ali Patah Atas dan Ali Patah Sudah.

Selalu ingatkan para penuntut. Jangan lupa perbuatan pukulan di lengan kanan pasangan setelah memotong pukulan pasangan. Latih diri dengan tepat, kemas dan pantas antara tetakan dengan pegangan tangan kanan pasangan kita. Ulangkan berkali-kali bagi mempastikan gerak ketika dapat kita kuasai. Ulangkan sehingga Jurulatih berpuas hati akan kepantasan dan kekemasan yang ditunjukkan.

Kemudian barulah jatuhan seperti mana Kidung Kiri boleh dilakukan pada tempat yang sama. Jangan diubah-ubah kedudukan kita. Jangan lupa pada tangan yang kita pulas untuk diletakkan di atas peha kanan kita. Setelah dipulas maka pusingkan semula seperti sedia kala. Banyak gunanya. Masa pelajaran kemahiran pasti akan ditunjuk dan diguna. Selamat mencuba.

Sekian setakat ini.