Monday, October 4, 2010

POTONG GAYUNG PATANI.

Membincangkan atau menerangkan kaedah Potong dalam tulisan seterusnya tidak banyak mendatangkan masalah. Buah-buah penyambung setelah berjaya potong, adalah berdasarkan buah-buah jatuh yang ada dalam pelajaran kita. Kesemua buah jatuh berkenaan telah saya terangkan dalam tulisan terdahulu.

Dalam tulisan ini, saya lebih menumpukan kaedah potong sahaja dan proses menyambung buah berdasarkan buah jatuh. Berlatihlah secara tenang dan jangan gopoh.

Potong Gayung Patani adalah menggunakan kaedah merentap tangan ke bawah. Seiring dengan itu, kaki kiri akan spring ke hadapan dan masuk ke pelipat. Tangan kiri berperanan dengan menggunakan Kaedah D pada tangan kanan yang direntap. Kedudukan tangan adalah di aras bahagian badan. Jika pergerakan itu dapat dilakukan maka kedudukan pesilat itu adalah sama dengan buah Kuntau Kiri. Buatlah jatuhan seperti mana buah Kuntau Kiri tersebut.

Cuba kita ingat kembali tentang situasi Gayung Patani. Falsafah buah Gayung Patani ialah menunggu gerak. Pesilat yang mengambil Gayung Patani hanya akan bertindak berdasarkan gerak pasangannya. Manakala falsafah potong ialah mematikan sentuhan dalam masa pasangan kita membuat buah atau membuat gerakan. Kalau dua-dua pasangan silat berkenaan masing-masing asyik menunggu gerak maka sampai ke pagi pun kedua-duanya berkeadaan sama.

Biasanya, apabila pasangan yang mengambil buah itu menunggu gerak pesilat maka di situlah kita akan dapat saksikan gerak bermalam dalam kalangan kedua-dua pasangan silat berkenaan. Pasangan yang mengambil buah jatuhan akan menunggu, manakala pasangan yang menumbuk akan mengambil masa untuk memotong buah. Lebih memburukkan keadaan, apabila pasangan silat akan mengeraskan tangan tanpa bertindak apa-apa.

Hal yang demikian akan menyukarkan pesilat untuk membuat buah potong. Pelajaran tak menjadi dan mungkin akan hilang keyakinan diri. Memotong tangan kanan pasangan sahaja, pasti akan membebankan kerana tangan pasangan yang ’berat.’ Macam-macamlah alasan yang diberi. ”Badan besar tapi isi kurang.” Dan macam-macam lagi. Sakitnya hati.

Situasi bergaduh mana ada tunggu-tunggu. Ketika pesilat membuat tumbukan, pasangan yang mengambil Gayung Petani pasti bersedia dengan pemakan atau membuat jatuhan setelah Kaedah didahulukan. Ada tiga pecahan buah yang boleh dilakukan. Pecahan ketiga tidak mungkin berlaku kerana penumbuknya ahli SC. Pesilat SC tidak akan membuat sepakan. Ketika membuat gerak jatuhan pada tiga pecahan pilihan, masa itulah pesilat membuat gerak potong. Maka ternampaklah pelajaran potong dalam pembelajaran. Namapun belajar. Bukannya bergaduh.

Sekian.