Saturday, October 23, 2010

POTONG KUNTAU KIRI / KUNTAU KIRI GANTUNG / KUNTAU KANAN GANTUNG / ALI PATAH SUDAH.

Buah-buah Kuntau yang terkandung dalam sukatan pelajaran, pada dasarnya mempunyai cara potong yang sama kecuali buah Kuntau Jatuh. Kuntau Jatuh mempunyai dua kaedah potong berdasarkan langkah atau tidak melangkah. Hal yang demikian juga adalah bergantung sejauh mana kaki pasangan berada pada pelipat pesilat.

Dalam tulisan ini kesemua buah-buah Kuntau selain Kuntau Jatuh, saya rangkumkan bersekali dalam satu bentuk penerangan. Cara potong buah-buah tersebut adalah hampir sama. Walau bagaimanapun terdapat beberapa bentuk perbezaan ketika pesilat memotong buah. Perbezaan tersebut perlu difahami berdasarkan prinsip yang berikut.

i. Cara pasangan silat menunggu mungkin berbeza antara Kuntau Kiri dengan Kuntau Kanan. Pada buah kuntau Kiri, pasangan yang membuat buah akan mengereng, manakala pada buah Kuntau Kanan Gantung, pasangan akan lebih banyak berhadapan dengan pesilat.
ii. Buah Kuntau Kiri dan Kuntau Kiri Gantung berkehendakkan pasangan rapat ke badan pesilat sama ada dengan cara kaki kiri melangkah di belakang pelipat atau meletakkan kaki kiri di atas pelipat. Hal yang demikian berbeza dengan Kuntau Kanan yang memerlukan pasangan meletakkan kaki kanan di bahagian pelipat pesilat. Tiada ’gerak masuk.’

Walau bagaimanapun kedua-duanya buah itu berkehendakkan pasangan silat berada di belakang pesilat. Buah Kuntai Kiri dan Kuntau Kiri gantung lebih rapat kedudukan pasangan pada badan pesilat, berbanding dengan buah Kuntau Kanan Gantung. Sifat buah-buah berkenaan menunjukkan jarak yang berbeza antara pesilat dan pasangannya. Jarak akan mempengaruhi gerak dalam kiraan saat dan ketika.

Oleh itu perbuatan memotong buah Kuntau Kiri dan Kuntau Kiri Gantung perlu dilakukan dengan lebih cepat dan tepat, bersepadu dalam satu proses dengan langkah atau spring yang lebih mantap. Tangan Kanan pasangan yang menunggu ketika membuat buah adalah lebih bahaya berbanding dengan tangan kiri pasangan yang membuat Kaedah D. Hal yang demikian menyebabkan tangan kanan pasangan perlu dipintas terlebih dahulu. Perbuatan itu merupakan salah satu prinsip memotong buah. Oleh itu, tangan kanan pasangan yang menepis perlu direntap dengan kuat dan dengan cepat.

Perbuatan rentap dengan kuat dan cepat perlu dilakukan kerana beberapa faktor yang mesti diambil kira. Pertamanya, jatuhan yang akan dilakukan pada Kuntau Kiri adalah dalam keadaan pasangan tidak mengarah pukulannya kepada kita. Hal yang demikian agak berbeza dengan kaedah yang hampir sama pada Gayung Petani. Pukulan pada jatuhan Gayung Petani adalah mengarah kepada pesilat. Hal yang demikian berlaku apabila tangan kanan pasangan yang mengambil buah akan ’memakan’ leher pesilat. Maka menyentap tangan pada buah Gayung Patani dikira mudah berbanding dengan buah Kuntau Kiri.

Faktor kedua ada kaitan dengan pergerakan buah Kuntau Kiri Gantung. Sentuhan pada tangan kanan pesilat berada tidak lama. Sentuhan yang dilakukan adalah bertujuan untuk membuat tolakan. Oleh itu, dalam masa saat dan ketika sentuhan tersebutlah potong perlu dilakukan segera. Kegagalan berbuat demikian akan menimbulkan masalah kepada pesilat yang membuat serangan tumbukan.

Berdasarkan dua faktor dalam perbincangan di atas telah memerlukan pesilat membuat gerakan yang pantas dan bertenaga. Setelah tangan berjaya disentap, pergerakan kaki kiri pesilat adalah secara bersepadu dalam satu proses. Akhirnya Kuntau Kiri akan ’dimakan’ kembali dengan Kuntau Kiri. Niat yang sama akan diterima oleh musuh yang berniat jahat pada pengamal SC.

Memotong Kuntau Kanan Gantung tidak ’susah’ jika dibandingkan dengan Kuntau Kiri atau Kuntau Kiri Gantung, walaupun pesilat menggunakan kaedah potong yang sama. Seperti yang saya tegaskan terdahulu, sifat Kuntau Kanan adalah lebih dekat dan agak berhadapan dengan pesilat. Sifat ini tentunya berbeza dengan sifat Kuntau Kiri yang jaraknya agak jauh sedikit dari pesilat.

Dalam gerak jatuh buah Kuntau Kanan Gantung, penggunaan Kaedah B oleh pasangan adalah dalam satu proses yang berterusan. Ketika pasangan ingin membuat jatuhan, beliau akan mengarah tangan kanan kepada pesilat. Tangan kanan tersebut akan melurut tangan kanan pesilat bagi memudahkannya membuat buah jatuhan. Tiada gerak pukulan. Maka risiko pesilat mengambil potong berdasarkan sentuhan tangan kanan pasangan tidaklah banyak dan lebih mudah. Hal yang demikian tentunya berbeza, berbanding dengan potong buah Kuntau Kiri yang banyak risikonya.

Saya telah tegaskan sebelum ini betapa buah-buah SC yang rapat dengan badan memerlukan kita mengambil tindakan yang tangkas tapi kemas. Hal yang demikian akan membolehkan kita mematikan gerak pasangan atau memintas sebarang gerak dari pasangan pesilat tersebut. Walaupun Kaedah D pada buah Kuntau Kiri dan Kuntau Kiri Gantung adalah lebih rapat dengan kita, akan tetapi memotong Kaedah D tersebut adalah kurang berkesan. Hal yang demikian tentunya berasas, berbanding dengan tangan kanan pasangan yang menyentuh tangan kita untuk membuat jatuhan. Pada pandangan saya, tangan kanan pesilat adalah lebih ’hidup’ dan berbahaya serta boleh membuat tindak balas yang menyusahkan pesilat. Sekurang-kurangnya peranan tangan kanan tersebut boleh mencucuk leher pesilat sebagai pukulan. Hal yang demikian akan menyebabkan gerak pesilat hilang peduman.

Saya difahamkan ada kelas-kelas yang menganjurkan supaya potong pada Kaedah D kerana tangan kiri yang melakukan Kaedah D adalah lebih rapat di badan pesilat. Pada anggapan saya, hal yang demikian adalah tersangat salah dan tidak ada asal dalam konteks pelajaran SC di zaman Ustaz. Janganlah kita mengorbankan prinsip memotong buah Kuntau-Kuntau Kiri dan Kuntau Kanan dengan hasrat untuk menyenangkan Jurulatih menghabiskan pelajaran. Ikutlah arahan sukatan pelajaran. Lainlah kalau letihan merentap kaedah D tersebut dilakukan dalam kelas kemahiran. Kelas kemahiran mengajar kita membuat pergerakan berdasarkan kebolehan semula jadi.

Berbalik semula kepada gerak potong pada buah-buah Kuntau yang berkenaan. Setelah tangan pasangan direntap bagi membuat potong, bersedialah dengan gerak jatuh Kuntau Kiri. Tanpa bermalam di mana-mana, jatuhkan segera buah potong berkenaan dengan jatuhan Kuntau Kiri. Setiap jatuhan buah Kuntau memerlukan satu pukulan di bahagian tengkok. Pukullah seadanya tanpa mencederakan pasangan silat kita. Ketika membuat pukulan, pastikan gerak kita tersangat pantas kerana kita tidak boleh membuang masa dan jangan diacah-acah untuk mencantikkan buah.

Selalu saya ingatkan pesilat yang menuntut di bawah asuhan saya. Setiap kali setelah membuat jatuhan maka buatlah awasan. Tekan bahu pasangan ke bahagian bawah seperti mana buah jatuh Kuntau Kiri. Kalau dalam kemahiran, jatuhan itu perlu diiringi dengan ’pukulan balik’ secara tegas di bahagian badan. Biar pasangan berada dalam posisi telentang. Tapi telentangnya tetap dikunci pada kaki kanan.

Ada juga dalam kalangan penuntut saya yang ingin tahu sama ada buah Kuntau Kiri, Kuntau Kiri Gantung dan Kuntau Kanan Gantung boleh ditangkap kembali ketika pesilat membuat tumbukan. Kami tidak diajar berbuat demikian. Namun begitu, pada pandangan saya, sifat Kuntau Jatuh tidak sama dengan buah-buah Kuntau yang lain. Gerak Kuntau Jatuh memberi ruang kepada pasangan memasukkan kaki sebanyak mungkin pada pelipat pesilat. Hal yang demikian akan memudahkan pesilat menangkap semula buah seperti mana yang dihajatkan oleh pasangan. Namun begitu adalah tidak salah kita berlatih ’menangkap semula’ pada kelas-kelas kemahiran.

Bersambung dengan kaedah potong yang lain.