Tuesday, October 19, 2010

POTONG KIDUNG KIRI.

Buah Kidung Kiri mempunyai sifat yang menunjukkan pergerakannya begitu rapat dengan badan kita. Tangan kanan pasangan yang menetak lengan pesilat yang membuat tumbukan, boleh dianggap pergerakan yang bahaya dan boleh memudaratkan pesilat. Kaki pesilat boleh menjadi lemah dan memberi impak yang tidak begitu baik. Tindakan segera bagi menghalang pukulan yang sedemikian perlu dilakukan segera. Malah, jadikan prinsip bagi kita. Apabila pasangan berada begitu rapat dengan kita maka perlulah bertindak segera tanpa membuang masa bagi mempastikan tidak ada pukulan yang mengena di badan kita.

Sebelum pelajaran Kidung Kiri, kita telah diperkenalkan dengan lima pelajaran buah potong. Corak potong yang diajar pada kita tersebut mempunyai persamaan yang besar walaupun ada sikit-sikit perbezaan. Rata-rata kesemua buah berkenaan memerlukan gerak melangkah ke depan. Tangan Kiri memainkan peranan untuk mematikan gerak pukulan pasangan, kecuali Gayung Patani. Pada buah tersebut, tangan kiri pesilat berperanan sebagai penyambung gerakan, menggunakan Kaedah D bagi membuat buah jatuhan.

Nampaknya, masuk buah keenam, pelajaran SC mula menunjukkan kelainan. Peranan kaki jelas sangat bezanya. Tidak banyak pergerakan kaki. Konsep spring iaitu langkah setapak ke depan tidak lagi berperanan utama. Prinsp langkahan kaki mula berubah. Kali ini kita tidak perlu melangkah setapak.

Mungkin perbuatan melangkah satu tapak ke depan akan melambatkan tindakan pesilat untuk membuat tindak balas. Gerak tindak balas tersebut adalah dalam kiraan saat dan ketika dalam konteks pasangan begitu rapat dengan badan pesilat. Nampaknya hal yang berkaitan dengan rapat-rapat, jangan buang masa. Rapat saje, maknanya kena. Kita pun dah biasa. Apa yang ’kena’ maka perlu tengok bentuk rapatnya. Langkahan memungkinkan kita ’mengambil masa’. Tanpa perlu membuang masa dalam konsep saat dan ketika maka perlulah pesilat yang menumbuk bertindak tanpa perlu langkah spring.

Memotong Buah Kidung Kiri adalah pada tangan kiri pasangan yang menampar A pada siku pesilat. Ketika pasangan ingin menetak lengan pesilat yang menumbuk maka pada ketika itulah potong tangan kirinya perlu dibuat segera. Kalau terkena tetakan baru dibuat potong maka gerak yang sedemikian dikira tak tepat kerana tidak memberi makna. Kepantasan memotong Kidung Kiri perlu dibuat sebelum pasangan membuat tetakan. Walaupun gerak potong pada tangan kiri pasangan berjaya dilakukan, namun begitu awasi juga tangan kanan pasangan kita. Tangan pesilat yang menumbuk perlu diberi tugas untuk membuat pengawasan pada tangan yang bakal membuat tetakan.

Memotong tangan kiri pasangan pada buah Kidung Kiri, memerlukan teknik yang betul, kemas, tepat dan pantas. Di sinilah satu kemahiran memintas tangan atau menyisip tangan pasangan yang membuat gerak kaedah tersebut patut ada pada para penuntut SC. Ajari penuntut silat kita tentang kemahiran itu.

Biasanya, tangan kiri pasangan yang menampar Kaedah A akan mencengkam lengan pesilat. Dengan pantas dalam kiraan ketika, apabila membuat jatuhan Kidung Kiri, perhatikan cengkaman tersebut. Pada peringkat awal, keseluruhan tapak tangan pasangan termasuk kesemua jari digunakan untuk memegang atau mencengkam lengan pesilat. Bila buah Kidung Kiri menjadi, jengkaman jari adalah tidak sepenuhnya. Jari ibu dan telunjuk jari sahaja yang masih berfungsi dengan jelas. Namun begitu jari hantu juga masih memainkan peranan untuk membantu pasangan membuat cengkaman.

Di sinilah lahirnya satu pertua untuk memintas atau menyisip gerak kaedah yang digunakan. Gerakkan pergerakan yang dipotong pada jari yang kurang. Gerakan tersebut adalah pada pergerakan anak-anak jari dan bukannya pergerakan ke arah ibu jari. Petua gerak ini juga amat bermakna ketika kita mempelajari buah-buah enam tolak enam. Kalau tak faham maka eloklah tak faham. Petua adalah benda rahsia.

Ketika memotong atau menyisip tangan kiri pasangan, siku pesilat perlu memainkan peranan. Muka pasangan dijadikan sasaran. Prosesnya berterusan tanpa bermalam di mana-mana gerakan. Namun begitu, peranan siku pesilat tersebut adalah secara acahan. Jika buat betul-betul pasti akan menyebabkan kecederaan. Bahagian depan tangan pesilat, jangan lupa jadikan awasan pada pukulan pasangan. Jangan biarkan tangan kanan pasangan membuat tetakan. Pastikan gerak tetakan pasangan telah ’dimatikan.’ Jika gerak yang demikian dapat ’dijadikan’ maka kita akan berada dalam zon yang selamat. Sebabnya, kalau dah rapat-rapat, bukan mudah nak selamat. Pasanganlah korban utama. Silap-silap, lunyai anunya. Puas seketika.

Setelah sisipan berjaya dilakukan maka mulalah gerak sapuan pada kaki kiri pasangan. Tumit kaki kanan pesilat boleh digunakan. Baru berguna tumit kaki. Ketika inilah elakkan hujung kaki berperanan membuat ’sapuan’. Menongkah arus. Tak tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Malas nak komen. Namun begitu, dalam proses yang berterusan, siku tangan kiri pesilat disendal atau dialaskan pada lutut kiri pesilat . Berilah satu pukulan siku di badan pasangan. Cukup setakat itu. Jangan ditambah-tambah lagi pukulan. Ketika itu nampak sangat kaki kita berkuda-kuda. Bolehkah kita berkuda-kuda. Jawab sendiri.