Sunday, May 2, 2010

BERDIRI LURUS

Saya petik satu artikal lama yang ditulis dalam satu siaran tentang kaedah berdiri lurus. Cuba bayangkan pandangan dan pendapat yang ada dalam penulisan ketika itu buat renungan generasi baru. Seperti yang saya nyatakan dalam tulisan terdahulu, strategi penerangan perlu disesuaikan dengan tuntutan perubahan suasana bagi memudahkan kerja-kerja kita. Namun, ada bahagian-bahagian yang kita tidak perlu bertolak ansur semata-mata bagi menjaga hati pendengar. Prinsipnya, nak tahu tentang SC maka silalah masuk belajar.


Bagaimana rupanya berdiri lurus?

Berdiri lurus adalah pendirian sembahyang, di mana antara tapak kaki kanan dengan yang kiri tidak terlalu renggang dan tidak terlalu rapat. Pendirian yang sedemikianlah juga digunakan oleh Silat Cekak dalam mempertahahankan diri dari serangan. Dengan pendirian lurus tegak inilah maka ramai orang yang mengatakan di situlah kelemahan Silat Cekak. Tetapi jika dikajikan dengan mendalam maka sebenarnya di situlah punca kekuatan Silat Cekak.

Pendirian lurus membawa beberapa pengertian dan kegunaan secara lahir mahupun secara falsafah.

KUAT.

Banyak yang masih mempersoalkan bahawa berdiri lurus adalah berdiri yang lemah, berdiri yang kuat adalah berdiri cara kuda-kuda. Sebenarnya berdiri kuda-kuda ini adalah pendirian yang bengkuk. Adakah sesuatu yang bengkuk itu kuat dari yang lurus? Kalau misalnya kita pergi ke hutan untuk mencari kayu, maka sangatlah sukar kita mencari kayu-kayuan yang lurus, tetapi yang bengkuk amatlah mudah. Tetapi kayu yang lurus itu boleh dibuat bermacam-macam, tiang rumah, meja, kerusi dan berbagai lagi. Tetapi kayu bengkok cuma sesuai dibuat kayu api saja. Di sini jelas bahawa sesuatu yang lurus banyak kegunaannya dari bengkuk.

Begitu juga halnya dengan pendirian yang lurus. Kerana berdiri lurus adalah penegah dari segala pergerakan. Baik pergerakan ke hadapan, pergerakan ke kiri dan ke kanan serta pergerakan ke belakang.Oleh sebab itulah pendirian lurus digunakan dalam Silat Cekak, kerana dengan pendirian tersebut Cekak telah bersedia untuk menunggu serangan dari hadapan, kiri atau kanan maupun dari belakang.


TAK MAHU GADUH.

Berdiri lurus juga adalah berdiri yang normal bagi manusia. Manusia jika bercakap tatkala berdiri adalah di atas pendirian yang lurus (normal), bukannya atas pendirian yang bengkuk (pendirian yang dipaksa-paksa). Jadi kalau belajar Silat dengan pendirian lurus maka pengamalnya dapat bersedia sepanjang waktu tidak diketahui oleh orang. Sebaiknya jika sedang menghadapi musuh, musuh tidak tahu helah kita. Kerana dilihatnya pendirian kita seperti pendirian orang yang tidak mahu bergaduh. Jika sekiranya kita menggunakan pendirian kuda-kuda, musuh akan dapat mengetahui akan tipu helah kita. Mereka dapat baca mana tangan atau kaki yang mati dan yang mana yang hidup.

RAPAT.

Pendirian lurus itu adalah pendirian yang paling rapat. Dalam Silat Cekak pendirian yang sedemikian sudah cukup untuk mengawal seluruh anggota. Iaitu ia telah ada empat kaedah yang sentiasa tersedia untuk mempertahankan diri, iaitu kaedah-kaedah A,B,C dan D yang cukup untuk mengawal empat kerat anggota manusia sebagaimana pendirian lurus diambil dari gerak geri sembahyang kaedah A,B,C dan D juga diambil dari perbuatan sembahyang juga. Kaedah A dari doa. Kaedah B dari Qiam. Kaedah C dari Rukun dan Kaedah D dari takbir.

KAJIAN.

Hujah di atas adalah sesuatu yang dapat di bincangkan secara akademik. Kajian-kajian telah dibuat oleh kita tentang buruk dan baik segala macam pendirian dalam usaha-usaha untuk mempertahankan diri. Dengan keyakinan yang penuh, kami menerima hakikat pendirian lurus adalah pendirian yang ideal bagi mempertahankan diri. Pendirian jenis ini adalah pendirian yang penuh makna disebalik kegunaannya dalam usaha-usaha mempertahankan diri.

Sekian dan terima kasih.