Monday, May 10, 2010

KEMUNCAK PERAYAAN 21 TAHUN

5. HEBATKAN DIRI

“Malam itu keadaan hening sepi. Kelihatan wajah langit ditaburi awan berbaju kelabu. Cahaya bintang tidak kelihatan. Cuma sekali sekala cahaya bulan tetap menyerikan keindahan alam. Di suatu sudut, kelihatan sekumpulan pemuda sedang bersilat dalam satu kumpulan. Yang kasar buat cara kasar. Yang lembut buat cara lembut. Tengah malam kadang-kadang sampai ayam kokok yang pertama, mereka masih bersilat. Masing-masing sangat tekun belajar. Bukan main lagi mereka bersilat, hinggakan ada yang mula main latah. Jatuh putik rambutan pun penyepak menyambar. Terkejut suara itik, ada yang melompat tumbuk angin. Tak tahulah nak mengukur betapa giatnya mereka berlatih. Giat tak giat, habis bersilat, setengah cawan air peluh boleh dikumpul kalau baju diperah.

Begitulah gambaran betapa hebat bakat-bakat Silat Cekak di Cawangan kami menjalani latihan. Masing-masing inginkan kecekapan. Keadaan cuaca bukan lagi menjadi ukuran. Kerana silat, perkara itu jatuh nombor dua. Cita-cita hanya inginkan kecekapan supaya ilmu SC dapat dijadikan teman setia dalam kecemasan.

Di sebalik semangat yang berkobar-kobar, ada perkara yang terus mendukacitakan. Ada penuntut yang ‘frust’ dengan silat. Bukan tak percaya dengan pelajarannya, tapi kepandaian masih berada di takuk lama. “Apalah salah agaknya. Nak kata tak belajar,bohong. Nak kata benak, tak patut. Pelajaran yang diterima adalah sama. Orang lain pandai dan cekap tapi kita kurang sedikit.” Maka kepada mereka saya beri pesanan.

Kita harus faham, silat itu gerak dan pergerakannya adalah berkisar kepada dua tangan dan dua kaki. Persoalannya, sejauh mana kita cekap menggunakan dua tangan dan dua kaki di samping cekap menggunakan otak. Musuh pasti kecundang jika kecekapaan kita yang meliputi ketangkasan dan kepintaran melebihi pihak lawan.

Dalam soal ini, aspek kecekapaan tidak boleh dipisahkan dengan akal fikiran. Ikatannya umpama irama dan lagu. Hal yang demikian amat penting kerana perkara itu berkaitan dengan konsep keberanian. Kalau kita cekap, Insyaallah kita akan berani. Pendeknya kedua-dua perkara itu mesti ada. Cekap tapi tak berani, tak guna.

Biasanya keberanian akan lahir secara sendiri apabila kita cekap. Kita tidak menolak faktor ada orang yang cekap tapi tidak berani atau berani tapi kurang cekap. Orang-orang yang sebegini masih boleh dibawa ke tengah. Kalau sesak-sesak, umpama kata pepatah, ‘tiada rotan, akar pun berguna.’ Hal ini demikian kerana berbalik kepada pengertian asal, silat itu adalah gerak dan yang memberi gerak adalah empunya gerak. Itu sebabnya ada penuntut yang lembab dalam kelas silat tapi bila berhadapan dengan musuh, keberanian dan ketangkasannya sungguh mengkagumkan. ‘Silat Cekak amatlah mudah terutama mereka yang diberi hidayah oleh Allah Taala.’

Walaupun gerak tetap dari Allah, kita sebagai ahli SC harus berlatih besungguh-sungguh hingga terbentuk satu pergerakan yang sesuai dengan apa yang dikehendaki oleh SC. Sudah semestinya sebagai memenuhi matlamat silat, kita tetap bercita-cita menjadi seorang penuntut yang tangkas dan pintar serta seterusnya berani . Persoalannya, apakah cara untuk menjadi seorang yang cekap menggunakan tangan, kaki dan otak hingga membentuk sifat berani. Di sini saya akan cuba huraikan berdasar pengalaman yang telah lama berkecimpung dalam dunia silat khususnya SC.

Ada yang berpendapat, kelebihan bentuk fizikal amat penting sebagai ukuran kejayaan dalam silat. Penuntut yang bertubuh besar dan kemas, tinggi serta mempunyai mempunyai jangkauan tangan yang panjang akan mempunyai kelebihan. Saya tidak menolak sifat-sifat tersebut yang dapat kita golongkan sebagai perwatakan luaran itu sebagai sesuatu yang penting. Cuma adalah tidak tepat untuk menganggap faktor tersebut sebagai faktor penentu.

Sebaliknya, saya berpendapat bahawa perwatakan dalaman yang merangkumi sifat-sifat tabah, berfikir, rela dalam menghadapi segala bentuk ujian, berlumba-lumba mengejar kejayaan, berani dan tegas dalam melakukan satu-satu pergerakan adalah lebih penting. Sifat-sifat itulah yang sebenar-benarnya akan menolong kita menjadi seorang pesilat yang tangkas, pintar dan berani. Perwatakaan orang yang berbadan besar tapi berjiwa kecil tentu berbeza dengan perwatakan orang yang berbadan kecil tetapi berjiwa besar.

Walaupun pada awalnya kita tidak memiliki sifat-sifat positif, tidak bermakna kita akan terus tertinggal ke belakang. Semuanya boleh dibentuk. ‘Alangkan besi yang pejal dan keras boleh dibentuk, inikan pula manusia. InsyaAllah. Cuma faktor penentunya adalah kesabaran, ketabahan dan masa.

Sejarah telah membuktikan ‘si kecil bisa mengalahkan si besar .’ Yang penting ialah jiwa kita. Jiwalah yang perlu diasuh. Asuhan ini pula perlulah datang dari guru yang sebenar guru. Sebenar guru ada hakikat, ditambah pula amalan syariat, dikuat dengan ilmu makrifat, berpakaian pula dengan isyarat.

Sebagai penuntut, kita mesti juga mempunyai ‘minat’. Belajar tanpa minat umpama izin dalam paksa. Kalau kita berminat, bermakna kita akan memberi tumpuan. Pemikiran dapat ditumpukan sepenuhnya pada silat sepanjang masa kita bersilat. Akhirnya akan membuahkan cita-cita kita sebagai penuntut yang tangkas dan pintar kerana minat akan memudahkan kita menerima pelajaran. Alasan-alasan yang kecil bukan lagi menjadi sebab untuk menghalang kita dari bersilat. Pendek kata kalau seminggu tak bersilat, duduk tak senang. Agak-agaknya bolehlah kita bandingkan minat bersilat dengan minat terhadap seorang yang kita kasihi. Kalau tak nampak rupa, melihat bumbung rumahpun jadilah. Tapi kena tiap-tiap hari. Maknanya kalau seminggu perlu ada latihan berkali-kali pada penuntut-penuntut baru dan sekurang-kurangnya sekali bagi penuntut lama.

Minat yang mendalam itu ada kaitannya dengan faktor keyakinan. Kita perlu yakin pada diri sendiri dan kepada pelajaran yang dipelajari. Penuntut yang mempelajari silat, pasti terlebih dahulu berminat dan yakin silat itu dapat dijadikan seni menjaga diri. Keyakinan inilah yang harus dipupuk. Adalah malang pada diri penuntut itu yang hilang keyakinan pada pertengahan pelajaran SC. Pada hal sebelumnya mereka sendiri telah mengambil keputusan untuk belajar. Mereka tidak sabar dan ini satu perkara yang merugikan diri sendiri. Golongan ini tidak putus-putus belajar dari satu seni silat ke seni yang lain. Akhirnya, yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Sebagai penuntut, keyakinan telah tersemai di peringkat permulaan perlulah disuburkan sehingga ke penghujung silat. Keyakinan pada pelajaran memudahkan fikiran kita menerimanya. Kita tidak akan berasa ragu-ragu atau was-was. Kalau kita yakin tangan yang dihiris tidak berdarah, maka kata orang, Insyaallah, tangan kita tidak akan berdarah.

Yakin pada silat akan memudahkan otak kita berfikir ke arah keyakinan pada diri sendiri. Ini juga merupakan satu perkara penting kerana sikap ini akan melahirkan hasil yang memberangsangkan. Penuntut tidak akan berasa kekok apabila bersilat walaupun ribuan mata menyaksikannya. Pergerakannya akan menjadi lebih kemas dan amat kurang melakukan kesilapan. Inilah satu keuntungan besar jika kita mementingkan satu disiplin dalam pembelajaran silat.

Kita sebagai penuntut harus yakin dengan apa yang diajar dan seterusnya yakin pada diri kita sendiri. Tidak ada siapa yang dapat menolong kita menguatkan semangat, cekal, tangkas dan berani melainkan diri kita sendiri. Keyakinan pada diri juga akan melahirkan sifat ketabahan yang amat berguna dalam proses penerimaan silat. Biasanya kurang ketabahan bermakna tidak yakin atau tidak percaya pada kebolehan diri sendiri. Mereka ini sering juga belajar sekerat jalan.

Berdasarkan pengalaman saya sebagai seorang penuntut, ketiga-tiga sifat itu harus ada dan harus dibentuk. Di samping perwatakan dalaman, faktor minat dan keyakinan amat penting. Ketiga-tiganya adalah ditentukan oleh masa dan ketabahan. Lambat atau cepat adalah bergantung pada diri kita sendiri. Di samping masa dan ketabahan, kita juga harus bersabar. Jangan mudah membuat kesimpulan atau keputusan tanpa kita merasainya. Adalah diluar jangkaan kita bahawa setiap penuntut mempunyai kelebihan yang sama. Namun begitu kita perlu akui bahawa walaupun kebolehan kita berbeza, kesemua penuntut tetap akan mencapai matlamat asal bersilat. Bersabarlah. Sampai tetap sampai. Cuma yang harus kita fahamkan, silat itu adalah gerak dan hakikat gerak tetap ditentukan oleh Allah Taala.

Jika Allah izinkan, dengan memiliki sifat-sifat seperti yang saya nyatakan, pasti kita akan menjadi seorang penuntut yang cekap dan berani. Pupuklah sifat-sifat itu. Hal yang demikian akan menolong kita menggerakkan otak agar membantu menghebatkan pergerakan kedua-dua tangan dan kaki. Kekuatan yang tidak disertai dengan kepintaran berfikir kurang bermakna. Mungkin kita pernah mendengar cerita mengenai Pak Wan Selampit yang handal tetapi hanya berjaya mengalahkan musuh apabila dibantu oleh kepintaran si Terung Pipit.

Sebagai kesimpulan, segala perbincangan kita di atas dapat kita rumuskan seperti susunan di bawah ini.

KEPERLUAN ASAS YANG PERLU ADA DAN PERLU DIPUPUK.

i. Perwatakan Dalaman
ii. Minat
iii.Keyakinan:
a.Yakin pada diri
b.Yakinkan pada pelajaran.

PENENTU

Ketabahan
Kesabaran
Masa

MATLAMAT YANG AKAN DICAPAI

1.Kecekapan:
i. tangkas (penguasaan kedua tangan dan kaki)
ii. berani.


Sebagai penuntut, kita harus ada keperluan asas buat bekalan semasa menuntut. Untuk menjadi seorang yang cekap dan berani, kita tidak dapat lari dari faktor ketabahan, sabar dan jangkamasa yang tertentu. Persoalannya sekarang, adakah Silat Cekak mampu membentuk kita untuk menjadi seorang yang cekap, pintar dan berani. Jurulatih kita boleh menjawabnya.

Sekian dan terima kasih.