Sunday, May 23, 2010

SEMPENA PERAYAAN DUA PULUH SATU TAHUN SC

8. CARA YANG TIDAK SESUAI

Di samping kisah-kisah yang boleh menimbulkan kelucuan, ada juga kisah-kisah yang kurang menyenangkan. Perkara yang tidak menyenangkan itu, maka kami jadikan sempadan ukuran perasaan. Hal ini demikian bagi menjadikan tindak-tanduk kami lebih baik dan lebih bernilai berbanding dengan ahli-ahli cawangan lain terutamanya dari ibu pejabat ketika itu.

Sesuatu yang mendukacitakan kami ialah sifat kasar yang ada dalam kalangan Jurulatih dan para pemimpin pusat. Ketika bercakap langsung tidak mempedulikan adab dan sopan. Walaupun umur mereka masih ‘setahun jagung’, namun budaya menghormati orang yang lebih tua telah dikesampingkan begitu sahaja. Pada hal menghormati orang yang berumur adalah sebahagian daripada adat budaya kita. Ramai antara ahli cawangan saya ketika itu yang berumur lebih daripada empat puluh tahun berbanding dengan mereka. Sekarang ini ramai yang telah meninggal dunia.

Kebetulan ketika itu sebelum majlis ujian persilatan, salah seorang daripada mereka berkempen tentang ahli seumur hidup dan keahlian koperasi. ‘Dikamukan’ kami yang kebanyakannya jauh lebih tua daripada umur mereka. Di tempat saya istilah kamu diguna pakai oleh orang yang berumur dan lebih tua. Tapi perkara sebaliknya yang berlaku. Boleh dikatakan semua orang tidak senang dengan pelakuan mereka kerana sikap ‘biadap’ yang ditunjukkan. Akibatnya tidak ada seorangpun antara kami yang menjadi ahli seumur hidup dan ahli koperasi ketika itu dalam masa yang terdekat. Bertahun kemudian baharulah kami memberi kesempatan.




Tak hairanlah sifat yang ada pada mereka tersebut masih berterusan hingga sekarang. Tapi mereka telah berada di pihak wawasan. Dalam kalangan generasi saya, penghormatan pada mereka kurang ada. Walau bagaimanapun ketika ini mereka berjaya mempengaruhi generasi baru di tempat saya. Maklumlah akal dan pengetahuan yang ada kurang dipakai. Ikut sahaja tanpa ada sifat membela. Nak bela apa. Pengalaman pun tiada.

Zaman dulu juga kebanyakan ahli kurang berduit. Jawatan tinggi, tapi gajinya masih rendah. Itu sebabnya kalau ke pusat kami suka balik hari. Nak sewa hotel bukannya berduit sangat. Tambahan pula hotelpun tak banyak dan pengetahuan mengenainya pun amat kurang. Oleh itu, soal layanan pada para perwakilan selalu menjadi bualan. Ketika mereka hadir ke cawangan, mereka dilayan dengan sebaik-baiknya. Tetapi bila kami datang ke pusat, layanan yang diterima amat berbeza. Terpaksa membawa diri tak tentu hala. Soal kebajikan kami sebagai tetamu diketepikan begitu saja. Soalan yang popular ditanya ialah sudah belajar berapa lama. Bukannya nak tanya sudah makan ke, sudah minum ke atau duduk di mana. Hal yang demikian pernah ditegur oleh Ustaz dalam satu majlis ceramahnya. Baru ada perubahan sikit.

Mungkin adab melayan kurang popular dalam persatuan kita. Usahkan para ahli yang menerima kesannya, malah penjawat jawatan dari cawangan juga menerima padah yang sama. Peranan saya sebagai yang Di Pertua Cawangan juga pernah menerima nasib yang sama. Kerap kali juga penghormatan pada Yang Di Pertua Cawangan kurang diambil kira. Duduklah entah di mana suka. Puncaknya juga turut saya rasa dalam majlis kemuncak dua puluh satu tahun persilatan kita. Bertengkoloklah saya. Bila dalam majlis, tempat duduk dalam dewan adalah bebas sahaja untuk semua. Maka saya carilah tempat duduk yang sesuai dengan lebar punggung yang ada. Maka duduklah saya di barisan belakang dengan harapan boleh cabut awal. Geram hati dibuat mereka. Walaupun ada yang mempelawa duduk di depan tetapi dalam pertengahan majlis. Mana adabnya. Saya tolak pelawaan. Maka apabila balik ke cawangan, saya buat surat bantahan. Kartun pun dikeluarkan. Kecoh juga.

Alhamdulillah. Kesannya ada sampai sekarang. Dalam setiap majlis SC kemudiannya, tempat duduk Yang di Pertua Cawangan tetap disediakan. Namun begitu sudah puas saya menerima cemuhan bagi mendapatkan hak berjawatan. ‘Besar kepala, keras kepala’ dan pelbagai jenama kepala lebih kerap dibalingkan pada saya. Walau bagaimanapun saya tetap berbangga. Hebat juga kepala saya.

Ketika itu, hubungan antara cawangan juga tidak begitu rapat. Adatnya, masing-masing cuba menonjolkan kehebatan cawangan masing-masing. Pernah satu ketika kami dijemput membuat pertunjukan silat di cawangan utara bersama pasangan lading yang didatangkan khas dari pusat. Tempat mamak maka diundanglah mamak. Kami bersetuju. Setiba di tempat pertunjukan, siapapun tiada bagi menyambut kedatangan kami. Sudahlah dijemput secara percuma, menyambutpun tidak ada. Bila penganjur tiba kemudiannya, kami diminta membuat penjelasan tentang bentuk pertunjukan yang bakal diadakan. Nampak sangat seolah-olah mereka menafikan bakat kami yang ada. Disuruhnya membuat persembahan menurut kehendak mereka. Pelik sekali. Bila pulak kami cari makan dengan mereka. Pasangan pejabat ditatang dengan hebat sekali. Kami diketepi. Sakitnya hati. Selaku ketua pertunjukan, saya diam sahaja dengan perasaan meluat dan geram membara. Tempat pertunjukan pun tak tentu hala. Paku di sana sini menyebabkan ramai antara kami yang tercedera. Bilangan kami ramai. Mana nak mengelak paku yang ada.

Hati berasa tidak tenang atas layanan yang diberi walaupun Ustaz ada bersama dalam majlis. Namun begitu kami puas kerana persembahan kami dipuji hebat oleh penonton yang ada. Pasangan lading berdarah luka kerana tersilap kaedah. Eksyen pulak tu. Nak tunjuk berani tanpa lading dibaluti. Puas hati. Selesai pertunjukan maka saya kerahkan semua ahli supaya meninggalkan majlis dengan serta merta. Ketika Ustaz sebok melayan tetamu yang ada maka kamipun mengundur diri tanpa memberi salam pada tuan rumah. Siapa yang tak erti bahasa. Tapi kami pakar bahasa.

Dalam perjalanan, kami mengganti pakaian dan berhenti rehat melepaskan haus dan rasa lapar. Puas hati. Biarlah orang kata, ‘marahkan nyamuk maka kelambu dibakar’. Hati berasa puas supaya menjauhkan diri daripada manusia sombong dan bongkak. Kini, golongan mereka masih ada tapi disebelah persatuan asal. Dengar cerita penglibatan merekapun telah tamat kerana tersingkir oleh puak-puak yang menyingkir guru mereka.




Demikianlah antara kisah-kisah yang membawa perasaan duka. Namun begitu kami tidak simpan memanjang. Boleh dilupakan.

Sekian setakat ini.