Sunday, May 16, 2010

KENANGAN DUA PULUH SATU TAHUN SC

7. KENANGAN LUCU DALAM SC

Semua ahli yang pernah terlibat dalam persilatan SC pasti akan mengalami perasaan suka dan duka. Tidak kurang juga suka duka tersebut akhirnya menjadi bahan lucu selepas kita melalui peristiwa-peristiwa tersebut. Saya sendiri pernah terlibat dalam peristiwa itu sama ada terlibat secara langsung atau secara tidak langsung. Tambahan pula peranan sebagai Jurulatih pasti akan berhadapan dengan pelbagai karenah dan perangai daripada anak murid. Mungkin ketika itu peristiwa yang berlaku amat menyakitkan hati. Namun setelah berselang bulan atau tahun, peristiwa yang menyakitkan hati akan memberi gambaran sifat kelucuan.

Ada yang belajar silat kerana minatnya yang mendalam pada silat. Masalah utamanya ialah halangan daripada isteri. Isterinya bukan menghalang daripada mempelajari silat tapi tidak percaya yang suaminya belajar silat. Tambahan pula si suami mempunyai rekod bersama dengan perempuan lain dengan alasan ada hal di luar. Oleh itu setiap kali pelajaran silat maka si isteri akan menemani suaminya. Oleh sebab tidak ada ahli perempuan yang belajar SC di cawangan saya maka terpaksalah si isteri menunggu suaminya bersilat dalam kereta. Cuba bayangkan betapa terseksa si isteri menemani si suami belajar silat untuk jangka masa melebihi enam bulan. Seminggu dua kali. Maka duduklah dalam kereta yang tidak selesa udaranya.

Biasanya apabila selesai pelajaran silat maka saya selaku Jurulatih akan memberi ‘syarahan’ kepada para penuntut sambil mereka minum-minum. Pada awalnya si isteri akur dengan keadaan tersebut. Agaknya lepas sebulan, setiap kali si suami cuba duduk untuk mendengar syarahan saya maka si isteri akan membunyikan hon kereta. Hon dibunyikan berulang-ulang selagi si suami tidak beredar ke keretanya. Lama-lama perbuatan tersebut melarat setiap kali habis pelajaran silat. Usahkan untuk mendengar syarahan, lambat sedikit kerana meneguk air pun akan dihonkan kereta. Pada mulanya kami juga berasa marah dan simpati. Tapi lama-lama terasa lucu dan impati. Maka timbullah istilah ‘lesen kecil’ dalam kalangan ahli. Istilah tersebut berleluasa penggunaannya apabila setiap ahli tidak dapat menyertai aktiviti persilatan.

Ada juga dalam kalangan pesilat yang datang diiringi oleh ibu atau bapa. Mungkin itu adalah perkara biasa dalam hubungan keluarga. Tidaklah banyak perkara yang boleh dihairankan.

Bukan semua penuntut telah berjaya menjalani adat yang ada dalam SC. Salah satu daripadanya ialah tidur atas kain putih untuk selama tiga malam. Adat itu telah menyeksa mereka kerana tidur berasingkan diri. Terdapat dalam kalangan isteri mereka yang tidak merestui perbuatan tersebut. Timbullah kisah-kisah lucu. Masing-masing berbalas-balas cerita. Sekali sekali diiringi dengan helai ketawa.



“ Isteri aku tak kisah aku nak bersilat. Dia galak lagi ada. Tapi bila tidur berasingan, dia tak suka. Disemburnya minyak wangi di badannya. Mana aku tahan. Daripada tidur atas kain putih bersendirian, lebih baik atas tilam yang dah ada minyak wangi. Lagi sedap. Apa nak buat. Penyedap ada pada mereka. Bukannya ada pada kain putih. Bila dia dah ‘hanyut’ barulah aku menemani kain putihku.” Itulah antara lain dailog mereka. Semua pendengar mengilai ketawa.

Ada yang menderita dimarahi isteri lantaran ketegasan ingin terus tidur atas kain putih. Akibatnya kena keluar dari bilik. Nak melawan tak berani. Lesen kecil. Penyedapnya tetap pada isteri. Maka terpaksalah tidur di luar bilik dek turut perintah adat bersilat dalam SC. Tidurlah mereka bertilamkan kain putih yang dihampar atas lantai. Merana selama tiga malam pada mereka yang kempunan.

Masa dulu-dulu latihan tangan; satu menumbuk dan satu menggosok, satu tangan telentang dan satu tangan telungkup adalah merupakan latihan seorang diri. Penuntut perlu memahirkan gerak tersebut secara sendirian. Berbeza dengan sekarang. Geraknya dilakukan secara terancang dan dalam barisan. Hinggakan bila puas, dalam gerak buah sebenar terlupa pulak hendak dipraktikkan amalan tersebut dalam pukulan.

Perbuatan latihan tangan tersebut juga ada yang tidak menyenangkan para isteri di rumah. Si suami asyik berlatih hingga lupa tanggungjawab membantu si isteri dan terlalai dalam penjagaan anak-anak. Mulalah si isteri berleter dan mengeluarkan kata-kata yang memedihkan telinga. Pedih ketika itu tapi lama-lama menjadi bahan ketawa pada mereka yang alaminya. Maka masing-masing bercerita pengalaman yang diterima daripada si isteri tercinta. Semuanya diakhiri dengan gelak ketawa. Lucupun ada. Geram pun ada. Sakit hatipun ada. Seperti yang dikata, semua perasaan tersebut hanya timbul ketika menerima kata-kata pedih. Lama-lama menjadi kebiasaan dan hiburan.



Dari masa ke masa, para Jurulatih juga kerap bersyarah dalam kalangan penuntut yang ada. Kadang kala syarahan mereka boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli. Misalnya hal yang berkaitan dengan pantang larang. Pantang larang yang lima, sememangnya tidak boleh dinafikan kefahamnnya. Tapi timbul pula pantang larang baru dalam kalangan ahli. Ahli-ahli SC dilarang memakan buah yang dikenali dengan pelbagai nama. Ada yang menyebut buah mungga atau buah kelo atau buah gemunggal atau buah jemunggal. Kepelbagaian nama pun sudah menunjukkan betapa dahsyat akibatnya kepada ahli yang memakan buah tersebut. Kononnya.

Begitu juga dengan kaedah gelek yang dikatakan menjadi salah satu gerak dalam SC. Istilah kaedah mencelarukan pemikiran penuntut. Di samping Kaedah A hingga D, tentunya kaedah gelek juga perlu diambil kira. Kata Jurulatih mereka yang terpahat dalam pemikiran ahli yang ada.

Kelucuan timbul ketika menjawab soalan ujian bertulis. Jawapan pilihan tidak menyebut tentang pantang makan buah tersebut dan penggunaan kaedah gelek. Maka para penuntut menganggap jawapan soalan adalah mengelirukan. Disangkakan pembuat soalan terlupa menulis jawapan sebenar. Maka para calon menambah sendiri jawapan berkenaan pada senarai jawapan di kertas soalan. Selesai ujian, mereka berkumpul dan timbullah perbualan. Masing-masing ketawa dek kerana ingin tunjukkan kehandalan.

Semasa ujian praktikal, zaman dulu-dulu pengujinya akan menunjukkan sifat tegas dan garang. Dengan penuntut diwujudkan jurang. Tetapi ada juga para calon yang berasa bengang kerana menunjuk lagak di tempat orang. Oleh itu ada antara mereka yang sengaja membuat mainan. Ketika si penguji cuba memulakan serangan, mereka memberi salam secara menghulurkan tangan. Maka terbantutlah serangan si penguji kerana menyambut salam. Selesai ujian maka masing-masing akan bercerita sesama sendiri. Maka timbullah kisah lucu di sebalik perangai penguji yang bersifat ego. Tapi amat mudah dipermainkan.

Zaman dulu lebuh raya belum ada. Perjalanan dari tempat kami ke Kuala Lumpur mengambil masa lima ke enam jam. Oleh sebab majlis Kemuncak Silat cekak bermula di sebelah pagi maka terpaksalah kami memulakan perjalanan lebih awal. Jam dua pagi atau satu pagi adalah merupakan amalan biasa bagi memulakan perjalanan. Pukul enam pagi dijadikan panduan untuk sampai di masjid Rawang. Bersubuh di situ sebelum meneruskan perjalanan. Jika tersampai awal maka ada yang mengambil kesempatan meneruskan kerja tidur. Tidur dalam van tentunya berasa tak puas kerana tidak dapat melunjurkan kaki.

Kisah lucu timbul apabila ada yang menggerak mereka daripada tidur. Ada yang terus bangkit tanpa tahu nak buat apa-apa. Ada juga yang digerak tapi dihulurkan salam dan terus menyambung tidur. Ada yang terjaga tapi meneruskan tidur kerana tempoh lapan jam masih belum mencukupi.

Itulah kisah lucu yang sukar ditulis dalam ruangan ini untuk memberi gambaran peristiwa ketika itu. Namun begitu semuanya bersemangat untuk menyertai program SC yang dirancang. Mungkin ketika ini masalah terkejar-kejar masa tidak timbul. Lebuh raya telah ada. Banyak tempat berhenti dan boleh merehatkan diri. Perjalanan lima jam dapat disingkatkan menjadi dua jam sahaja.

Pemakaian tengkolok ada caranya. “Dendam Tak Sudah” nama ikatannya. Rangkai kata tersebut juga selalu dijadikan bahan ketawa. Tak sudah membawa maksud tak habis. Kalau tak habis maka kurang puasnya. Maklumlah. Orang lalaki bila bercakap maka ke arah yang anu juga perginya. Maka riuhlah helai ketawa. Lucu rahsia. Takut pulak diketahui oleh penguasa. Permainkan konsep yang ada.

Kisah-kisah lucu yang saya tulis merupakan kenangan lama sesama ahli di cawangan. Hal yang demikian telah merapatkan hubungan sesama kami dalam meneruskan perjuangan. Namun segala-galanya tinggal kenangan. Perjuangan tetap diteruskan dengan hala tuju yang difahami oleh para pejuang berikutnya. Berjuanglah dalam keadaan faham. Faham tentang hala tuju yang telah diasaskan. Agaknya. Sekian setakat ini.

Sambung lagi.