Sunday, May 9, 2010

KEMUNCAK PERAYAAN 21 TAHUN

Pendahuluan

Dua artikal berikutnya telah saya tulis lebih daripada dua puluh satu tahun yang lalu buat tatapan ahli-ahli SC ketika itu. Saya terbitkan semula untuk perkongsian dengan generasi baru dan nastolgia ahli-ahli SC yang pernah saya didik.

4. SC MULA BERGERAK MAJU (artikal 1)

Pada 23 hb. September 1982 yang lalu, telah tertubuh satu lagi kelas Silat Cekak (SC) di cawangan. Hal yang demikian adalah merupakan satu perkembangan yang baik. Usaha kita untuk menambahkan bilangan ahli dan kelas sekurang-kurangnya telah berjaya setingkat lagi. Kesedaran dan semangat telah menjadi pendorong utama hingga SC terus berkembang. Kini cita-cita tersebut dalam proses membuahkan hasil. Cuma yang penting, hasil ini akan terus-menerus dapat dituai setiap tahun.

Dalam jangka masa yang begitu lama, sejak penubuhannya, banyak perkara yang boleh menjadi renungan dan dapat dibuat beberapa kesimpulan.

Dahulu, silat mempunyai kaitan yang erat dengan kampung. Jika hendak bersilat, mesti ke kampung. Akhirnya wujud satu keadaan, hanya orang kampung sahaja yang boleh bersilat. Dalam bandar, hanya didapati jenis ilmu mempertahankan diri dari luar negeri seperti Karate, Tae Kwan Do dan Kung Fu. Ini bermakna orang kampung bersilat, manakala orang kita di bandar lebih terdedah pada seni bela diri dari luar negara.

Oleh sebab kebanyakan orang kampung terdiri daripada masyarakat petani, nelayan, penoreh getah atau bekerja sendiri, maka silat terus dikuasai oleh golongan-golongan ini. Diukur dari sudut pelajaran dan pekerjaan sebagai ukuran pembahagian taraf sosio-ekonomi, didapati kedudukan silat terletak pada masyarakat yang dianggap kelas bawah. Secara langsung kerap kali silat dianggap tidak ada ‘standard’ dari sudut masyarakat yang lebih canderung pada kebendaan.

Sebaliknya, masyarakat kita yang tinggal di bandar dikatakan mempunyai taraf sosio-ekonomi yang tinggi atau sekurang-kurangnya sederhana. Oleh sebab seni asing bertapak di sana, secara langsung kedudukan ilmu-ilmu tersebut dipandang lebih tinggi. Hinggakan soal mutu tidak menjadi ukuran; yang penting kedudukannya.

Begitulah agaknya dengan kedudukan silat. Walaupun mutunya baik, tapi ‘dek’ kerana bertapak di kampung, jadi tak baik dan tak bermutu. Akibatnya kegiatan silat menjadi tumpul dan merosot. Ditambah lagi agaknya, masyarakat kampung kurang idea untuk meningkatkan keharuman silat. Mereka tidak mempunyai persatuan yang kukuh dan mampu mengendalikan pentadbirannya. Tambahan pula keperluan latihan tidak lengkap, malah apabila diadakan latihan di sebelah malam, hanya berlampukan minyak tanah atau tidak berlampu langsung. Adalah di luar dugaan jika keadaan itu dianggap sebagai melatih mata menjadi pintar; atau mungkin pada kebenarannya, tiada kemudahan elektrik.
Syukur kita kepada Allah kerana keadaan itu mula berubah dan diharapkan kepemimpinan SC akan terus berusaha untuk meningkatkan kedudukan silat Melayu ke taraf sebenarnya.

Kini kegiatan SC lebih tertumpu di bandar-bandar. Boleh dikatakan tidak ada kelas SC yang dibuka di kampung. Sedikit demi sedikit, golongan-golongan yang dikatakan bertaraf hidup sederhana atau tinggi sedang mempelajari SC. Seni silat mula disambut baik oleh segenap masyarakat tanpa mengira pelajaran, pendapatan atau pekerjaan. Ilmu silat bukan lagi pusaka orang-orang kampung sahaja.

Secara kasar, sekurang-kurangnya dengan minat mereka itu, silat Melayu khususnya SC mula dipandang dan diletakkan pada kedudukan yang tinggi. Hingga sekarang kalau orang kampung hendak mempelajari SC, terpaksalah ke bandar. Kita bukan bermegah dengan keadaan itu tetapi berasa gembira dengan perkembangan yang wujud.

Penuntut-penuntut SC telah dapat mempelajari sesuatu yang berbeza dalam pergerakan silat. SC tidak ada tari menari atau gendang yang mengiringinya. Itu sebenarnya bukanlah satu perkara baru tapi hanya kini baru berjaya dikembangkan konsepnya dalam kalangan masyarakat Melayu.

Ada kalangan masyarakat kita yang menolak gerakan silat tanpa tari atau gendang. Hinggakan ada yang berani membuat tanggapan bahawa tanpa tari dan gendang bukanlah silat namanya. Nampaknya tanggapan yang wujud ini memberi kesan yang negatif kepada minat masyarakat kita terhadap silat. Generasi demi generasi tetap mempusakai anggapan yang mengaitkan pergerakan silat dengan tari dan gendang. Malah konsep silat tanpa tari dan gendang terus diketepikan dan cuba dihilangkan dari kamus perbendaharaan kata masyarakat kita.

Ekorannya, masyarakat muda terutamanya, mula memberi sanjungan kepada seni luar akibat kehebatannya tanpa tari dan gendang. Pergerakannya lebih ringkas, padat, tangkas dan cukup berkesan terutama ilmu dari Korea dan Jepun. Golongan ini juga disogokkan dengan filem-filem dari luar yang memberatkan babak-babak pergaduhan berbentuk ringkas tapi berkesan.

Oleh itu mulalah golongan belia melahirkan anggapan betapa silat Melayu yang lebih memberatkan tari dan gendang tidak akan dapat menandingi corak pergerakan ilmu mempertahankan diri dari luar terutama diukur dari kehebatan mereka dalam filem-filem. Dengan warisan pendapat itu, mereka terus memandang rendah kepada seni silat. Akhirnya hilang kepercayaan masyarakat kepada silat Melayu.
Sebenarnya tidak semua silat Melayu mempunyai tari dan gendang. Contoh yang terdekat ialah SC. SC bukan ciptaan baru. Silat ini telah wujud sebelum bertapaknya ilmu bela diri dari Korea atau Jepun. Malah sebelum campur tangan Inggeris di negeri-negeri Melayu, SC telah wujud. Cuma kewujudannya tidak meluas. Apatah lagi untuk dikatakan SC muncul akibat perkembangan filem-filem luar yang bercorak pergaduhan, ‘jauh panggang dari api.’

Keaslian SC tetap terpelihara dan berupaya bagi menjaga diri. Kaedah-kaedahnya tetap, tidak pernah diubah-ubah dan lengkap dengan buah-buah pukulan yang kemas serta kunci-kunci tangkapan yang lengkap. Kedudukannya berdiri lurus, tidak berkuda-kuda atau melangkah ke kiri atau ke kanan. Hanya SC sahaja yang berkeadaan begitu setakat yang diketahui kini. SC bukan sejenis silat permainan dan sebab itu tidak ada gendang tari atau iringan serunai. Ini semua bukan perkara baru. Bak kata pepatah, ‘Ada hulu ada parang; sebagaimana dahulu begitu juga sekarang.

Kita bersyukur, konsep yang diketengahkan itu telah mendapat sambutan dari segenap lapisan masyarakat. Dalam hal ini SC tetap akan memainkan peranan yang utama sehingga masyarakat mengetahui bahawa dalam kalangan silat Melayu dalam lingkungan kebudayaan mereka, masih ada seni yang dapat memenuhi kehendak dan dapat diketengahkan untuk menebus mutu silat Melayu yang luntur dari perhatian masyarakat kita.

Sudah sewajarnyalah masyarakat memberi sokongan penuh kepada kita. Perasaan cemburu, iri hati, curiga atau pelbagai sifat iblis tidak harus timbul. Perkembangan SC bererti perkembangan silat Melayu. Kejayaan SC tetap menguntungkan kita semua. Tidak ada apa-apa yang harus ditakutkan. Perkara penting ialah kita perlu menyambungkan usaha penyebaran hak pusaka bangsa kita itu di segenap penjuru negara kita. Insyaallah kita akan terus berjuang hingga minat masyarakat terhadap seni silat Melayu tidak dipersoalkan. Betapa tinggi nilai yang diberi kepada seni silat yang diimport dahulunya, maka begitu juga hendaknya penilaian yang tinggi diberi kepada SC ketika ini.

Kita sebagai penuntut yang sedang belajar, hendaklah belajar bersungguh-sungguh. Pelajarannya amat mudah dan kita seharusnya tabah. Ketika peluang masih ada, pelajarilah SC dengan sepenuh hati. Dalami ilmunya sehingga kita faham pergerakannya yang sebenar. Silat kita telah mula berkembang. Kini orang-orang Barat telah mula ‘bersilat’ dan mungkin seluruh bangsa di dunia akan mempelajarinya. Oleh itu jika kepimpinan SC tidak berebut peluang dari sekarang untuk mengembangkan SC maka kita akan ketinggalan. Jangan pula berasa hairan kalau-kalau perkembangan silat Melayu lebih kuat di negara-negara Barat malah di Afrika-mungkin.

Sekian.