Thursday, April 22, 2010

GOLONGAN YANG KITA SENANGI.



"Dalam situasi yang ada sekarang, peranan Jurulatih SC adalah amat besar sekali. Harapan besar patut dipertanggungjawabkan di bahu mereka kerana mereka boleh berperanan sebagai golongan yang boleh disenangi. Maklumat yang diberi biarlah benar supaya tidak dituduh pembohong atau pendusta di kemudian hari. Nyatakan kebenaran walaupun mungkin terluka di hati sama ada hati kita atau hati-hati yang lainnya. Kita hendak supaya generasi baru dalam SC tidak tertipu dan benar-benar menghayati kefahaman Ustaz Hanafi."

Dalam suasana wujudnya pelbagai guru dalam pergurusan SC, usaha-usaha menonjolkan diri amat hebat sekali dalam kalangan pendokong kumpulan-kumpulan SC berkenaan. Masing-masing masih bersandarkan pada kewibawaan Ustaz Hanafi. Ada yang sanggup mengatakan bahawa diri sendiri bertahap pakar dalam sesuatu pergerakan SC. Sesama ahli yang semasa, penceritaan yang sedemikian kurang memberi makna. Maka terpaksalah mereka bercerita pada generasi baru. Kehebatan tersebut dikaitkan dengan suasana bersama Ustaz. Semua kenyataan yang dinyatakan adalah untuk membuktikan bahawa dirinya layak dipercayai.

Generasi baru yang diheret bagi membuktikan kehebatan mereka adalah golongan generasi yang sama persatuan dan sama gurunya. Generasi yang berlainan guru pasti akan menolak segala kata-kata kehebatan yang dilafazkan. Namun begitu ada juga generasi yang berpegang pada alam persilatan dan tidak terikat dengan persatuan. Sifat ingin tahu lebih mendalam dalam kalangan mereka. Generasi ini tidak mahu menjadi keliru. Usaha-usaha mendapatkan kepastian daripada sumber yang sahih sentiasa dilakukan dari masa ke masa. Setakat dengar saja penerangan yang diberi tidak mendatangkan kepuasan hati.

Kekeliruan dalam kalangan generasi sekarang pasti ada asasnya. Pengawalan dalam apa saja jenis percakapan mengenai SC sememangnya tidak ada. Masing-masing bebas untuk bercakap. Hanya hati dan prinsip diri yang tahu akan kebenaran yang dinyatakan. Apatah lagi silat kita berpecah tiga. Dalam beberapa siri tulisan yang lalu saya telah nyatakan beberapa panduan bagi membantu kita untuk mengesahkan dakwaan si pencerita walau dari kem mana mereka berada.

Walau bagaimanapun, berhati-hatilah. Jangan mudah membuat kesimpulan atau jangan cepat melatah dan terus memberi kepercayaan pada mereka yang mengatakan hubungan yang begitu rapat dengan Ustaz. Setakat mendengar dakwaan, jadikan sebagai bisikan halwa telinga. Percaya boleh tapi yakin jangan. Orang yang mendakwa dirinya rapat dengan Ustaz, jangan lupa merujuk pengorbanannya dalam empat bentuk tertentu seperti yang saya bincangkan. Setakat mentadbir persatuan atau hadir mesyuarat mengeluarkan buah fikiran, ramai yang mampu berbuat demikian. Tetapi mereka yang memikul tugas dengan penuh keikhlasan amat jarang kita jumpa.

Kita tidak dapat menafikan betapa mereka yang berada dalam landasan yang tidak sama dengan kita tetap mengatakan fahaman mereka adalah berfaham Ustaz Hanafi. Benar atau tidak benar, kenyataan itu adalah berdasarkan pandangan mereka sendiri. Ada kayu ukur dan tafsiran tertentu yang digunakan bagi membuktikan kenyataan mereka tersebut. Saya tidak menyalahkan pendapat mereka tersebut melainkan bertekat mengatakan bahawa pendapat yang mereka ada adalah tidak sesuai dengan pembawaan diri dan pendapat saya.

Dalam situasi yang ada sekarang, peranan Jurulatih SC adalah amat besar sekali. Harapan besar patut dipertanggungjawabkan di bahu mereka kerana mereka boleh berperanan sebagai golongan yang boleh disenangi. Maklumat yang diberi biarlah benar supaya tidak dituduh pembohong atau pendusta di kemudian hari. Nyatakan kebenaran walaupun mungkin terluka di hati sama ada hati kita atau hati-hati yang lainnya. Kita hendak supaya generasi baru dalam SC tidak tertipu dan benar-benar menghayati kefahaman Ustaz Hanafi.

Oleh itu peranan Jurulatih amat penting sekali. Mereka perlu mempunyai pendirian yang tetap tentang silat dan fahaman SC. Mereka perlu benar-benar yakin bahawa kita berada dalam landasan yang betul. Jangan lupa bahawa keyakinan pada SC adalah bersepadu dengan gurunya sekali. Mereka mesti benar-benar yakin bahawa En Mat adalah pemegang mandat yang sah untuk meneruskan perjuangan Ustaz Hanafi. Apabila benar-benar faham maka jangan lupa mengamalkan segala ajaran yang ada dalam SC.

Pengetahuan yang ada akhirnya perlu disebarkan ke merata-rata tempat. Anak murid yang kita didik perlu disemai dengan fahaman SC yang sejati. Ikhlaslah membuat pengorbanan agar usaha-usaha kita membawa keberkatan. Jangan lupa pada kenyataan. Setiap usaha untuk menegakkan kebenaran pasti akan dihalang dengan pelbagai rintangan. Hadapilah segala dugaan dan rintangan tersebut dengan penuh keyakinan dan ketabahan.

Ada masanya kita rasa seperti akan kecundang. Ustaz telah mengajar kita dengan pelbagai jenis doa bagi kita terus menerus tabah dan tetap pendirian. Amalan mandi dan selawat adalah antara kaedah yang perlu dibuat sepanjang masa. Jangan mudah dilupakan perbuatan-perbuatan tersebut bagi mendapatkan ketenangan.

Selain daripada peranan yang dituntut daripada Jurulatih, saya ingin ingatkan lagi akan peranan hakiki mereka bagi melahirkan anak buah yang hebat dan terus berjaya sepanjang masa. Mereka perlu menjadi pakar rujuk dalam semua perkara. Setiap persoalan murid perlu dirungkai dengan penuh yakin dan penuh mesra. Fahami benar-benar semua perkara dalam SC. Kalau perkara itu umpama ranting kayu yang halus maka ranting halus dalam SC pun perlu difahami dengan sepenuhnya. Semua kefahaman yang ada dalam SC diambil kira sama pemberatannya. Baharulah ketika menjawab persoalan anak buah kita maka perasaan puas dan yakin dalam kalangan mereka akan terhasil. Sebagai Jurulatih tentunya kita juga turut berasa puas dan berasa gembira atas kejayaan anak murid kita.

Kelemahan yang dikatakan ada pada silat kita oleh orang silat lain, jadikan satu keistimewaan gerak kita. Berdiri lurus, tidak mengelak, kaedah menepis dan sebagainya selalu dikatakan mereka sebagai kelemahan kita. Yakinlah bahawa sebenarnya itulah gerak keistimewaan kita. Oleh itu, janganlah kita ambil mudah konsep yang ada. Asuh murid kita supaya mereka berasa bangga atas kelebihan yang ada. Faktor kerahsian pelajaran kita perlu diambil berat dan dipegang dengan sepenuh hati. Jangan mudah membocori ilmu yang ada dalam SC kepada sesiapa pun, hatta kepada adik beradik sendiri.

Sebagai seorang Jurulatih, kita perlu memastikan supaya jangan ada sebarang kelemahan kita dalam proses membuat buah-buah SC. Pastikan diri kita boleh melakukan semua perbuatan silat dan faham akan tuntutan gerakan pada setiap buah yang ada. Sama ada buah jatuh, buah potong atau serangan kita. Jangan ada perasaan was-was di hati semasa menurunkan buah-buah berkenaan dalam kalangan penuntut kita. Oleh itu jangan asyik melatih orang tanpa diri perlu berlatih. Saya syorkan seminggu sekali para Jurulatih berlatih sendiri dengan bimbingan Jurulatih kanan yang diberi kuasa oleh guru. Sentiasa hangatkan pelajaran SC yang ada pada diri sendiri. Suasana kehangatan akan melahirkan motivasi pada diri untuk terus menyebarkan pusaka Ustaz Hanafi.

Saya rasa kalau Jurulatih mengalami kesusahan membuat buah, maka masalah yang sama akan berlaku dalam kalangan penuntut kita. Perasaan yakin mereka pasti menjadi kurang. Kita takut kegagalan kita membuat buah akan menyebabkan buah-buah berkenaan menyimpang daripada seni ambilnya. Akhirnya akan disisihkan daripada isi pelajaran kita.

Kalau diri kita boleh dirujuk maka peranan kita boleh dimainkan dalam dua segi. Pertamanya kitalah tempat anak murid kita membuat rujukan. Untuk berhubung terus dengan guru utama mungkin sukar dan ada halangan. Sekurang-kurang halangan masa. Oleh itu rujuk-merujuk boleh dimainkan oleh Jurulatih yang ada. Setiap persoalan ada jawabnya. Jawapan yang diberi tidak menghampakan kehendak mereka. Perasaan puas akan menjadikan mereka turut berasa puas mendalami isi pelajaran SC.

Selain daripada itu, peranan kita mesti mencapai tahap untuk berupaya membawa dan memandu anak murid kita dalam gerak yang kita kehendaki. Kelemahan mereka boleh dikesan dengan segera. Kita boleh membuat komen atas kelemahan diri para penuntut ketika proses membuat buah. Bukan setakat kelemahan dapat dikesan. Setiap kelemahan akan mudah dibaiki. Setiap kali kita memberi penerangan maka murid kita akan mudah mengesan kelemahan diri sendiri. Secara langsung anak murid kita akan berasa puas memperoleh ilmu daripada kita. Jadikan diri kita sebagai pemudahcara. Secara langsung peranan kita sebagai Jurulatih akan terus diberi penilaian dan penghormatan yang tinggi oleh anak murid kita. Kalau tak percaya maka silalah cuba. Praktikkan petua yang diberi pada semua. Sekian setakat ini.

Sambung lagi.