Wednesday, May 5, 2010

PERAYAAN 21 TAHUN SILAT CEKAK

3. PERJALANAN AHLI MERAYAKAN PUNCAK 21.
(Petikan artikal lama untuk sebaran ahli dulunya)

BABAK 1




Tanggal September adalah bersejarah. Seramai 12 orang penuntut SC cawangan kami telah berdebar-debar. Mereka akan memasuki medan perjuangan. Dalam debaran jantung tersebut, kadang-kadang terbayangkan diri, segak dengan berpakaian Melayu, bersongkok hitam, lengkap dengan samping dan kasut kulit hitam. Megah menerima sijil.

Entah macam mana, teringatkan pula bentuk ujian. Angan-angan hilang. Hati semakin risau. Peluh mengalir di dahi. Tapi azam tetap ada. “Aku akan berlatih. Sijil tetap di tangan.” Baru boleh tidur.

Hari yang dinanti-nantikan, tiba. Hari Sabtu, malam Ahad. Daripada 12 orang yang ingin berjuang, tinggal sepuluh. Entah bagaimana boleh lupa. Agaknya langgar pantang.
Perlawanan bermula tapi ada penguatkuasa. Satu batalion penguatkuasa dikerah mengawasi perlawanan. Semuanya gagah segak perkasa. Tak ada yang kurang. Cuma misai sahaja tidak melenting ke atas. Kerana gemuruh di hati, ada yang salam dua kali.

Dalam perjuangan, ada yang patah hati. Bukan takutkan lawan; tapi takutkan tempikan dan tindakan penguatkuasa. Sekali bercakap, sekali patah semangat. Ada yang cergas pada mulanya, tapi lembik di akhir perjuangan. Tidak tahan dengar suara. Lawan tak boleh diusik. Kalau disentuh pun mesti secara romantik. Kasar hak bercakap, lembut hak kita. Namun begitu mereka berjuang tidak undur ke belakang. Cukup berani.

Kalau mengundurpun, kerana kena pukulan keras. Kata deme lembut. Entahlah, rasanya tanahpun turut bergegar. Tapi maklumlah, yang menunggu tidak boleh bergerak atau mulakan serangan. Ini syarat sebab mesti ikut niat. Pendek kata kalau musuh berada satu inci dengan kita, kalau niat menunggu, kena tunggu. Kalau musuh tak sepak atau tak tumbuk, tapi meludah, jangan undur atau bergerak. Tepis dulu ludahnya. Hebat.
Satu yang harus dipuji. Tak ada yang emosional. Habis satu babak pertarungan, habis cerita. Semuanya muka selamba. Inilah sifat yang ingin dipupuk oleh SC. Berani dan berakal. Orang yang emosi kata orang, tidak matang, keanak-anakan dan sebutkan apa sahaja. Itu semua hak mereka. Biasanya lagak mereka berakhir dengan sifat sombong, bangga diri dan terpupuk sifat menceroboh.

Selesai perlawanan; alah sambung menang sorak. Jadilah, asalkan ada perkataan menang.





BABAK 2

Tirai dibuka semula. Satu purnama telah berlalu. Hati berdebar kembali. Perjuangan terpaksa diteruskan. Kali ini bukan perjuangan tangan dan kaki. Cuma tangan sahaja berkeriskan pensil atau pen. Medan bertempur beralih tempat. Daripada 7 pendekar, tinggal 5. Dua orang terpaksa mengundur diri kerana perjuangan yang lain.

Perjuangan kali ini betul-betul mencabar. Bukanlah takutkan lawan. Lawan ada apa sangat. Setakat soalan di atas kertas. Tapi otak mesti penuh. Otak yang akan berjuang. Tangan menurut sahaja. Hendak memenuh otak, itulah punca masalah. Setakat majalah ‘humor’ atau ‘gila-gila’ bolehlah. Tapi tak apalah. Kerana perjuangan, buku tebal mesti ditatap. Ada juga megahnya mengepit buku. Sekali sekala terasa macam berada di menara gading. Hendak masuk periksa kerajaan – SRP atau SPM, malas. Periksa inipun jadilah.

Sebelum berjuang ada yang berlatih. Latihan cuma ringan tapi agak luar biasa. Latihan melembutkan tangan. Ada yang tidak pernah memegang pen atau pensil kerana asyik memegang mesin, penukul, pam ubat dan macam-macam lagi benda keras. Kalau setakat ‘menyain’ adale. Jari perlu dilembutkan kembali. Kalau keras, nanti patah pen atau pensi. Lagi malu.

Peperiksaan selesai. Hati lega. Setengahnya lega dapat meniru. Bukan semuanya. Adake patut penguatkuasa ‘tertidur’. Jawabnya patut. Kalau tak patut mana boleh jawab.

Barulah lengkap ilmu di dada. Semua kebolehan ada. Kebolehan dua tangan ada, dua kaki ada dan kebolehan mulut untuk bersoal jawab pun ada. Ini penting. Lihat saja pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat. Menurut cerita yang empunya cerita, mereka bertarung sampai 5 jam. Tiga jam khas untuk soal jawab dengan menggunakan otak dan mainan kata. Tangan sekali sekala sahaja digunakan. Itupun salingan untuk menyedapkan mulut bersoal-jawab. Baki dua jam khas untuk bertarung. Tersusun sunguh perlawanan mereka. Tapi menurut apa yang dicerita, Hang Jebat kalah bukan tertipu tapi kehilangan banyak kalori kerana banyak bermadah. Tapi itu semua tak kisah. Itu disiplin kita. Kita ada disiplin sendiri.



BABAK 3

Ini adalah babak gembira. Hati berdebar juga. Bukan takut tapi tidak sabar menunggu tarikh 5 September. Baju Melayu telah bertempah. Rasanya lima kali telah mencuba. Segak dan tampan. Hati rasa bertuah kerana berada dalam puncak perjuangan SC. Dua puluh satu tahunlah namanya. Derita mengeluarkan belanja hilang begitu sahaja.

Pukul dua pagi, semuanya berangkat. Tapi ada juga yang tertinggal. Agaknya dah jadi adat kita. Ada yang tersangkut. Seronok juga berjalan begitu rupa. Kadang-kadang tebayangkan diri seperti Tun Mamat yang hendak meminang Puteri Gunung Ledang. Walaupun hati terluka tapi ada cita-cita. Gagal atau berjaya, lain kira.

Singgah di Masjid Rawang. Subuh belum tiba. Ada yang tidur di kaki lima masjid. Tidur mesti lapan jam. Congak-congak, baru dapat tujuh setengah jam. Setengah jam lagi mesti ‘dicover’. Punya syok tidur orang menggerak diberinya salam.

Selesai sembahyang, perkena roti canai. Sarjan belanja. Entah ye, entah tidak. Semua orang kena tanya. Kalau tidak, tercekik kita.

Semuanya selesai. Baju Melayu dipakai. Tampak tampan walaupun sekali-sekala berjalanpun sudah tidak betul. Tambahan pula ada bas pelancongan yang berhenti. Comel belaka.

Pukul lapan tiba di Bangunan Tabung Haji. Indah sekali tapi kena letak kerta di tingkat tinggi. Semuanya berpakaian megah. Perayaan 21 tahun SC mesti dirai. Bukan boleh main-main. Berpakaian tengkoloklah seorang hamba Allah.

Semasa Majlis, - no komen. Nanti kena marah. Baru padan muka. ‘kita ni apa le sangat.’





BABAK 4

Ke makam Allahyarham Ustaz Hanafi bin Haji Ahmad dituju. Teringat kisah-kisah lama. Jasamu tetap dikenang. Ketokohanmu tiada tandingan. ‘Kaulah kandil kemerlap. Pelita jendela di dalam gelap. Menyinari selalu.’
Amanah yang diberi dan yang ditinggalkan, akan terus diperjuangkan. Adatnya, cawangan kami tidak akan luntur. Itulah kehendakmu. Akan kami teruskan. Persetankan karenah-karenah sampingan. Itu tidak penting. Selagi tangan dan kaki boleh bergerak, kami akan terus bergerak. Bergerak ke arah matlamat yang engkau kehendaki. Hanya yang engkau kehendaki.




Catatan

Ayat-ayat dan kata-kata di atas adalah masa perayaan ke-21 yang lalu. Sekarang kepimpinan telah berubah. Kepimpinan cawangan pun telah berubah. Fahamkah mereka atas perjuangan dan keihlasan pejuang-pejuang dulu. Adatnya, lantaklah mereka. Buatlah mana yang patut. Kalau faham maka buatlah kerja faham. Kalau tak faham eloklah tak faham-faham.

Sekian dan terimalah kasih.