Monday, May 3, 2010

PERAYAAN DUA PULUH SATU TAHUN (2)

2. PUNCAK YANG TAK KEKAL

Sambil membelek-belek gambar lama tersebut sempena perayaan dua puluh satu tahun SC, terpandang gambar yang terkandung perkataan kemuncak. Lama memandang. Lama-lama terfikir juga tentang perkataan ‘kemuncak’ tersebut. Kemuncak melambangkan maksimum. Hati berkata-kata. Kalau dah sampai kemuncak, nak ke mana lagi. Mustahil boleh pergi di langit. Hendak pergi ke langit lapis satupun tak mungkin. Mana kita nampak. Adatnya, kalau tak boleh ke atas maka kenalah ke bawah. Agak-agaknya patutlah zaman sekarang SC mulai merudum. Kalau sudah sampai puncak maka mulalah segala-galanya menurun.

Istilah kemuncak adalah berasal daripada perkataan puncak. Masa saya belajar sastera dulu, istilah puncak maknanya klimaks. Bila dak klimaks maka pasti timbul istilah anti klimaks. Sesuatu yang telah berada di puncak akan diikuti dengan kemerosotan, penurunan dan kejatuhan puncaknya. Itulah anti klimaks namanya. Cuma yang penting macam mana kita hendak pastikan penurunan atau kemerosotan atau kejatuhan tersebut tidak terlalu mendadak dan tidak terlalu cepat. Jatuh pasti jatuh menurut hukum sastera yang saya baca. Cuma macam mana jatuh dan kelajuan kejatuhannya yang kita nak tahu sangat.

Ramai yang mengakui bahawa sesuatu kejayaan itu tak boleh kekal lama dipuncak. Satu masa akan jatuh atau merosot juga. Kerajaan-kerajan hebat dalam dunia ini sejak zaman berzaman telah diakhiri dengan zaman kegelapannya sebelum ditumbangkan oleh kerajaan yang lain. Paling mudah bagi kita mencontohinya ialah Kerajaan Melayu Melaka. Sangat gah satu ketika. Setelah berkerajaan selama lebih kurang seratus tahun, akhirnya musnah begitu sahaja.

Contoh yang lain, lihat saja pasukan yang mendaki Gunung Everest. Apabila sampai ke puncak, semuanya kelihatan gembira. Bendera Malaysia berjaya dipacak di puncak gunung tersebut. Tapi mereka tak boleh kekal selamanya untuk berada terus menerus di atas puncak gunung tersebut. Cukup tempoh kena turun balik. Dapatlah ambil-ambil gambar dan merasai nikmat salji di atas puncak gunung. Kalau lagi lama berada di sana maka akan datanglah pelbagai pancaroba yang boleh mengancam diri hatta nyawa mereka.

Kita ada petua ketika langkah di bumi selamat. Kajian nafas akan menentukan pelangkah. Nafas kitapun tak boleh berada lama di puncak iaitu ketika kita menarik nafas. Cukup saat dan ketikanya, kita perlu menghembuskannya semula. Kalau nafas terhenti di puncak pernafasan maka jawabnya kita akan ‘jalan’. Ataupun jika nafas terus menerus menuju ke puncak tanpa terhenti di mana-mana titik akhirannya maka kita juga boleh jalan. Kesimpulannya, turun naik adalah hukum alam. Cuma ketika merudum, kita tidak jatuh umpama nangka atau cempedak busuk.

Dikatakan umur kitapun ada puncaknya. Angka empat puluh dilambangkan angka puncak usia seseorang. Kalau pada umur itu tak bertaubat maka susahlah jadinya. Mula menggatal berkahwin dua. Tak kiralah jantan betina. Semuanya sama sahaja kalau dihitung pada konsep umur manusia.

Dalam teori ekonomi pun, menurut pengetahuan ketika belajar dulunya ada rajah turun dan naik. Seingat saya, ada kelok yang menunjukkan turun naik sesuatu permintaan dan sesuatu penawaran. Tak pernah nampak permintaan dan penawaran tersebut naik atau turun semata-mata. Turun dan naiknya akan dipengaruhi oleh suasana sekeliling yang ada. Tak boleh elak. Pasti berlaku.

Pertarungan di atas katil pun ada puncaknya. Sebelum sampai ke tahap puncak, pertarungan berjalan dengan rancak. Kalau setakat katil yang tak teguh maka tak tentu ketahanannya. Teknik cakar harimau dan cakaran kucing akan diguna sentiasa. Maka mengaum dan mengiaulah berleluasa. Akan tetapi apabila terpancut si anu kita, segala-galanya akan berubah. Puncaknya telah tiba. Maka anu kita pun akan menurun. Kita pun akan turun daripada medan pertempuran setinggi peha. Pada amnya, selerapun makin tak berapa ada. Tunjuklah lagak apa saja. Turun mesti turun. Cuma kaedah menaikkan semula memerlukan strategi tertentu. Tapi ada yang menurun belum sampai menyembah bumi. Boleh dibangkit semula. Tapi kaedahnya, turun tetap menurun sebelum bangkit semula.

Berdasarkan hukum alam tersebut, tidak mungkin setiap sesuatu itu akan terus berada di puncaknya. Cuma, dapatkah kita pastikan sesuatu yang jatuh itu tak akan jatuh dengan mendadak. Ada penghalangnya dan ada kunciannya. Dalam hal ini pastinya strategi pemikiran dan strategi tindakan amat mustahak. Itu sebabnya dalam dunia ini salah satu kemahiran yang tersangat penting ialah bangun semula setelah alami zaman kejatuhannya. Mereka yang dapat membangun dengan serta merta adalah dianggap hebat dalam hukum dunia.

Dalam proses membangun semula, pastinya kita akan menghadapi pelbagai halangan. Halangan itu datangnya dari pelbagai sudut. Ada yang berjaya dan ada yang gagal. Walau bagaimanapun, anggaplah halangan-halangan tersebut sebagai satu cabaran. Cabaran adalah sesuatu yang menguji ketahanan dan kebolehan kita. Jika hal yang demikian dapat dihadapi dengan tabah maka sesuatu yang jatuh itu akan dapat dibangunkan semula dengan sempurna dari masa ke masa.

Sekarang, selalu juga saya berfikir. Lucu pun ada. Kenapalah para pemimpin kita dulunya gunakan istilah puncak dalam perayaan SC. Kenapa mesti hingga ke dua puluh satu tahun. Tak bolehkah kita terus menerus mengadakan perayaan tanpa menghubungkan dengan mana-mana angka tertentu dan tidak menghubungkan perayaan tersebut dengan istilah kemuncak. Kalau nak juga menggunakan angka maka elok juga guna angka ke seratus tahun sebagai puncaknya. Lama sikit kita boleh bertahan. Hal ini demikian kerana nampaknya, penggunaan istilah angka adalah amat bahaya. Seolah-olah kita berdoa untuk kejahanaman SC seterusnya. Sebabnya, sesuatu yang telah tiba ke puncaknya akan menerima kesan kejatuhan atau kemerosotan atau zaman kegelapannya. Hukum alam rasanya seperti yang saya nyata.

Kalau tak salah saya, dalam program TV Akademik Fantasia pun ada lagu meniti puncak. Dalam proses menjadi juara sebagai kemuncak perjuangan mereka, ada yang kecundang sekerat jalan. Ghaib entah ke mana. Tapi ada yang masih teruskan perjuangan. Perjuangannya terhenti apabila tiba masa pertandingan akhir sebagai puncaknya. Setelah pertandingan akhir sebagai puncaknya maka para peserta yang ada telah berpecah dalam dunia kehidupan masing-masing untuk meneruskan perjuangan hiburan dalam bidang nyanyian. Mereka yang ada strategi mantap akan muncul dengan jayanya. Mereka yang gagal dengan perancangan yang jitu akan tenggelam seperti di kampung dengan aktiviti nyanyian di majlis-majlis perkahwinan dan majlis berkhatan.

Samalah juga agaknya dengan SC. Semua gerakan kepemimpinan menuju ke arah puncak dua puluh satu tahun. Ketika itu, semua pihak menunggu-nunggu kedatangan tahun ke dua puluh satu. Maka dibuatlah perayaan secara besar-besaran menyambut kelahiran angka tersebut. Malangnya ditafsirkan angka dua puluh satu sebagai puncaknya. Dari segi hukum alam, bila mencapai puncak maka bermulalah zaman penurunannya. Maka perayaan itu lebih merupakan nokhtah perjuangan yang berlangsung sekian lama untuk proses menurun selanjutnya.

Tak hairanlah agaknya, selepas perayaan maka berpecahlah kita untuk meneruskan perjuangan SC. Berdasarkan hukum alam maka pepecahan perlu berlaku. Kita telah berada dalam zaman puncaknya. Pepecahan telah membentuk perjuangan selanjutnya dalam naungan yang berbeza. Masing-masing dalam bentuk perjuangan yang pelbagai tetapi dalam bidang persilatan yang sama. Timbullah pelbagai jenis nama persatuan. Apabila ada yang merayakan puncak kejayaan mereka maka adatnya akan berpecah lagi dan lagi dan lagi. Hukum alam tak boleh dielak rupanya.

Setiap persatuan akan meneruskan perjuangan. Semuanya mendakwa berada dalam landasan kebenaran. Pelbagai alasan telah disediakan. Terperangkap juga pada mereka yang tak tahu apa-apa. Hubungan rapat dengan Ustaz telah dijadikan sandaran. Maka mudahlah mereka mendapatkan kepercayaan. Itupun selagi perjuangan Hanafi dilaungkan. Apabila timbul nama lain maka nama Hanafi akan mudah dilupakan. Mungkin lima puluh tahun yang akan datang. Kalau sesetengah pelajaran dan fahaman Hanafi sekarang pun mula dilupakan maka pada masa yang datang apa ajaran yang tinggal agaknya. Lupakan seketika. Kita pun dah tak ada.

Kepada generasi yang ada, ingatlah. Sejarah telah mengajar kita. Eloklah jangan lagi menggunakan istilah kemuncak dalam perayaan kita. Jika ada yang menggunakan istilah itu, adatnya maka pasti itulah titik nokhtah kegemilangan yang ada. Segala-galanya akan menurun. Oleh itu jangan mengundang padah pada persilatan kita.

Janganlah kita terlalu taksub dengan mainan angka-angka. Kita bukannya kaki judi yang amat berminat dengan angka. Janganlah kita terikat dengan memilih angka dua puluh satu semata-mata. Banyak lagi angka-angka lain yang ada tuahnya. Kepada mereka yang berada dan kuat anunya umpama besi kursani, ingatilah angka empat. Jadikan angka empat sebagai angka keramat. Empat katil penyudahnya. Kesedapan yang berterusan sepanjang masa. Tidak perlu risau akan lampu merah yang menyala tak tentu masa. Tarikh luputpun tidak mendatangkan masalah apa-apa. Banyak pilihannya. Tapi pada mereka yang berwawasan, angka sebelas ada maknanya. Tafsiran seseorang.

Baru-baru ini saya pergi ke sebuah negara luar. Mereka juga mempercayai angka. Angka yang diagungkan mereka ialah dua puluh empat. Penggunaan angka tersebut erat kaitannya dengan bilangan musim yang boleh dibahagikan kepada dua puluh empat kesemuanya. Angka tersebut dilambangkan pada tiang utama bangunan kemegahan mereka. Didirikan bilangan tiang berdasarkan angka dua puluh empat.

Nasib baik orang Melayu tidak majoriti di sana. Kalau majoriti maka pastinya terpaksa didirikan tiang sejumlah dua puluh satu untuk mendokong bangunan kita yang ada. Malah musim yang dua puluh empatpun akan disesuaikan dengan dua puluh satu. Tiga lagi musim akan ditiadakan dengan alasan yang pelbagai, agaknya.

Lama-lama tersimpul di hati saya. Kalaulah kita berhati-hati sejak dulu dan sekarang mungkin pepecahan dapat dielakkan. Janganlah bersikap keterlaluan. Nafsu akan menguasai fikiran. Padahnya kita tanggung hingga pada generasi yang akan datang. Segala kehebatan kita mulai tinggal kenangan. Kenangan pada mereka yang bergiat sejak daripada awal penubuhan persatuan Silat cekak Malaysia.

Sekian.