Sunday, March 25, 2007

KESETIAAN

Sungguh mengelirukan akan suasana yang timbul ketika ini. Kita kehilangan arah dan sentiasa berfikir apa akan jadi pada persatuan kita. Bila ramai bijak pandai dalam persatuan , banyak pula karenah yang berlaku. Ada yang menegaskan bahawa pergolakan berlaku dalam persatuan adalah di luar jangkaan. Lebih hebat lagi ada yang berpendapatan bahawa segala-galanya telah diatur oleh Allah. Ada yang cuba mengaitkan peristiwa dalam SC sebagai mainan domino yang sengaja dirancang dan banyak lagi tanggapan. Pendapat ini mungkin ada kebenarannya. Apa yang berlaku adalah sesuatu yang dirancang sejak pemergian Ustaz Hanafi hingga sekarang malah untuk masa-masa depan selagi kita memiliki para perancang yang hebat dan amat berminat bagi menentukan hala tuju SC walaupun telah ada Guru dan Presidennya. Sesetengahnya sudah hilang taring tapi masih lagi ingin mengaum. Dalam hal ini, pihak yang menjadi mangsa adalah mereka yang inginkan ilmu SC. Ramai yang terlibat kerana terdapatnya keistimewaan yang tersendiri sama ada dari segi pelajaran silatnya, hubungan harmoni yang wujud di kalangan ahli dan pegangan prinsip silat yang begitu istimewa berbanding dengan alam pesilatan yang lain.

Akibat dakwaan kes pencabulan, segala-galanya telah bertukar. Bukan sahaja hubungan sesama ahli telah menjadi rosak malah hubungan dengan Guru telah menjadi tidak tentu hala. Prinsip ketaatan pada Guru telah dirobek. Fikiran para penuntut telah bercelaru. Segala-galanya memang boleh dielakkan. Apoa nak buet. Kalau dah dirancang, itu jadinya. Terimo ajo la jeng. Dalam ikrar kita, ditegaskan tentang taat pada Guru selain daripada kedua ibu bapa. Ikrar ini bertaraf sumpah setia kita pada Guru. Aras ketaatan antara kedua ibu bapa dan Guru adalah sama, kerana kedua ibu bapa, kita dilahirkan ke dunia dan kerana Guru kita mengenali dunia ini. Konsep Guru amat luas, tidak terhad pada Guru SC sahaja malah meliputi para guru yang berjasa kepada kita yang memandu kejayaan kita di dunia dan akhirat. Kesetiaan ini penting. Daripada kesetiaan lahirnya perasaan kasih dan hormat pada Guru dan kedua ibu bapa kita. Inilah asas terbinanya adat dan adab kita dalam SC. Konsep yang disogokkan kepada kita itu telah bermula ketika mula memasuki SC. Malangnya, konsep ketaatan terutama kepada Guru begitu senang dirobek tanpa ada perasaan belas kasihan. Kerana satu kesalahan yang dilakukan, dengan senang hilang pengakuan pada Guru. Amalan kemaafan tidak langsung wujud di kalangan sesetengah ahli dan antara kita walaupun amalan ini juga selalu disogokkan kepada penuntut. Sesuailah kita menggunakan perkataan sogok yang melambangkan ketiadaan keiklasan dan wujudnya kepentingan.

Dalam SC, kita menegaskan kepada ahli akan kepentingan ketaatan pada Guru ada kaitan dengan ilmu yang kita peroleh. Kita disogokkan bahawa ketaatan akan memberi barkat hingga ilmu yang diperoleh akan berlipat ganda. Hilangnya sifat taat, akan hilang ilmu yang ada. Gambaran ini dilahirkan dalam pantun SC. Pengertiannya amat luas sekali. Kita harus faham bahawa sesuatu Ilmu tidak mudah hilang begitu sahaja daripada kita. Kehilangan ilmu ada kaitan dengan sikap kita pada Guru. Kalau sudah benci pada Guru pastinya kita juga benci akan pengajarannya sama ada dari segi fizikal atau kefahamannya. Kebencian akan menyebabkan kita tidak akan mengamalkan pengajarannya. Akhirnya kita akan lupa dan ilmu yang selama ini kita amalkan akan hilang daripada amalan kita. Walau bagaimanapun dalam konteks sekarang, Guru kita benci tapi ajarannya terus kita amalkan. Kira ok lah juga.

Apabila konsep ketaatan yang sepatutnya disemai pada ahli dilupakan maka perasaan hormat dan kasih pada Guru semakin luntur. Apabila timbul perbuatan kianat dan sabotaj akan Guru, bermakna terbentuklah sikap penentangan murid pada gurunya. Inilah yang dinamakan istilah derhaka. Penggunaan derhaka selalunya ditujukan pada kedua ibu bapa. Dalam SC oleh sebab peranan kedua ibu bapa lebih kurang sama dengan Guru maka istilah itu boleh juga digunakan untuk memberi gambaran sikap menentang kepada Guru. Ini semua merupakan ajaran dan kefahaman yang ada dalam SC dan sentiasa disemai di kalangan ahlinya. Amat malang sekali , akibat kes Guru yang dikatakan mencabul maka kefahaman ini mula diubah. Konsepnya dilainkan sesuai dengan perasaan bencikan Guru. Segala-galanya berasaskan kepentingan. Penuntut menjadi celaru. Darurat loo.

Banyak benda pelik yang akan berlaku dalam pengurusan SC sekarang yang berasaskan pengaruh individu tanpa merujuk pada amalan yang biasa diamalkan dalam SC. Semuanya berpunca daripada sikap bahawa Guru yang ada perlu disingkirkan. Penyingkirannya bermakna segala ajaran dan kefahamannya juga patut diketepikan. Secara langsung, kefahaman SC yang sentiasa diamalkan oleh semua ahli akan terpinggir secara beransur-ansur.

Sejauh mana kesalahan dan ketelanjuran Guru atas kes yang lalu, kita tidak pasti. Guru relah bersumpah tapi kita meraguinya. Ada badan siasatan dan kehakiman, kita meragui kejujuran dan keahliannya. Kalau keahlian diragui maka keputusannya turut dipersoalkan. Ada peguam yang menyiasat tapi ada peguam di kalangan ahli SC di luar badan-badan tersebut yang menentang pendapat. Ekorannya, masa depan Guru, persatuan dan ahli persatuan hanya ditentukan oleh sebilangan ahli yang wujud dalam badan-badan tersebut. Ketika MMT mengambil keputusan menyebelahi Guru maka keputusannya ditolak dengan alasan salah angkat tangan malah kreadibiliti MMT juga turut dipersoal. Ketika MMT mengambil keputusan tidak menyebelahi Guru baru-baru ini maka MMT disanjung sebagai badan yang berwibawa, hebat, sah dan benar. Segala-galanya atas pandangan sebilangan kecil ahli yang menguasai persatuan. Aparahhhhh.

Sekarang ini mulalah timbul persoalan di kalangan kita. Si anu itu geng mana. Si polan itu menyebelahi siapa ma?. Dalam keadaan ini, orang yang kurang arif dan berfikiran kecil dan sempit akan terus memperkatakan soal individu. Pada mereka yang mempunyai pemikiran yang hebat akan membicarakan idea, konsep dan kefahaman secara menyeluruh. Segala-galanya dikaitkan dengan perjuangan. Perjuangan ini meliputi bidang persilatan dan kefahamannya pada silat itu sendiri. Kita bukan bercakap siapa betul dan siapa salah tapi pemikiran kita bersandarkan pada pegangan dan fahaman SC yang selama ini disogokkan oleh jurulatih yang terdahulu dan sekarang. Ketika ini kita pula yang sedang menyemaikannya di kalangan penuntut yang sedang belajar SC. Masuk geng mana, bukan isunya. Duit tarak dapat looooo. Jadi, kalau tertarik dengan adat dan adab dalam SC, buat keputusan berdasarkan tarikan tersebut. Kalau masuk SC kerana orang lama-lama dan bangka-bangka, ikutlah kehendak dan telunjuk mereka. Kalau masuk kerana sukakan Guru, teruskan dengan keputusan tersebut. Kalau masuk kerana kepentingan tertentu, tengok balik kepentingan tersebut dan paut kepentingan tersebut dengan sekuat-kuatnya. Anda geng mana? Tepok dada tengok susunya.

Semasa kita berpecah dua dengan CM, terdapat kalangan ahli yang berdiri tengah berdasarkan kedudukan Guru yang ada. Walaupun mereka menyokong En Mat sebagai pemegang hak Guru tetapi dek kerana Pak Ak masih wujud, kesetiaan tetap dikekalkan pada Pak Ak hingga ke hujungnya. Pada mereka, mengenepikan Guru yang ada dengan sewenang-wenangnya adalah perbuatan biadap. Jangan hairan jika sikap ini wujud di kalangan ahli-ahli kita ketika ini. Walaupun En Mat dianggap telah hilang taringnya tapi kerana beliau masih wujud, kesetiaan tetap diberi kepadanya hingga jasadnya nyah di bumi nyata. So ada satu jenis geng lagi maa.

Kita amat risau jika kefahaman SC diubah atau dirobek maka kita akan kehilangan arah. Keistimewaan yang selama ini kita ketengahkan pada ahli dan bakal ahli akan menjadi luntur. Apabila sekali telah luntur, untuk mencahayakan semula kecemerlangan SC menjadi payah. Jika keadaan ini berterusan maka itulah kefahaman dan budaya SC yang baru. Hilanglah keistimewaan dan keunggulan kita sebagai pertubuhan silat yang hebat. Walau bagaimanapun, segala-galanya telah ditentukan oleh segelintir manusia yang wujud dalam SC dengan alasan kuasa yang sah lantikan ahli. Semestinya antara mereka itu ada yang dilantik oleh Presiden sendiri atas harapan lantikan Presiden itu akan utuh sokongannya kepada yang melantik. Apa sudah jadi ma. Umpama pepatah, “seperti anjing menggigit tuannya”.

“Hai ya! Jangan cakap anjing lo. Itu binatang ma. Tarak baik cakap.”

“ Tapi apa mau bikin ma. Itu cakap sudah branded lo.”

“ AyoOoooooo! Lu jaga. Gua kasi hantam sama lu.”

Aduh duh duh duhhhhh. Gua nyanyi lo.