Sunday, March 25, 2007

Menerajui Perubahan, Keaslian..


Bibit-bibit perpecahan sudah mula menampakkan kesan. Kalau dulu, puak MMK menggunakan istilah MJ (Mat Jilat) kepada puak En. Mat, sekarang puak En. Mat pula yang menggunakan istilah MJ (Master Joe) kepada puak MMK. Hebat sungguh persaingan sengit antara kedua-dua pihak. Masing-masing ingin pulang paku buah keras.

Pun begitu, bukan itu yang ingin kita fokuskan perhatian. Pada hari yang serba indah ini, pada saat retak menanti belah ini, apa kata kita luangkan sedikit masa untuk menjelajah menerusi masa untuk meninjau-ninjau apakah kemungkinan yang akan berlaku pada masa akan datang. Apa yang pasti, kalau dulu kita selalu ditanya oleh ahli-ahli baru berkenaan soalan:

“Apa perbezaan antara CM dengan CH?”

Kali ini kita akan lebih bertambah pening lagi untuk menjawab soalan:

“Apa perbezaan antara CM, CH dan CW?”

Ah, sudah.. Bertambah pula satu lagi “C”, Cekak Warisan.

Sesetengah cawangan akan menggunakan masa selepas kelas latihan, ketika para penuntut sudah letih berlatih, untuk menjawab persoalan tersebut. Ada pula cawangan yang lebih selesa menjawabnya dalam keadaan santai, ketika melepak di kedai-kedai kopi atau warung di tepi longkang sambil mengepau orang yang bertanya tersebut kerana itu merupakan soalan yang ‘mahal’ dan memerlukan pengeras untuk jawapannya. Manakala ada pula cawangan yang lebih suka untuk memperjelaskan jawapan tersebut dalam bentuk yang lebih formal, menggunakan slide-slide presentation dengan disertakan dengan cd tayangan dan bukti-bukti hitam putih.

Terdapat kepelbagaian cara dalam menyampaikan jawapan tersebut kepada penuntut yang berserabut kepala mereka untuk memburu jawapan. Persoalannya, adakah jawapan tersebut memuaskan hati penuntut tersebut? Adakah jawapan tersebut dikira penting pada pandangan penuntut yang masih hijau, atau masih budak hingusan yang tidak mengerti mengenai istilah-istilah seperti ‘perlembagaan’, ‘mandat’, ‘majlis mesyuarat kebangsaan’, atau ‘salasilah’?

Walhal apa yang diinginkan hanyalah pada sudut persilatan dan perbezaan pada segi perlaksanaan buah-buah silat sahaja. Haiyoo.. Lagi mau kasi itu budak pening kepala ka? Ma hai.. Atau mungkinkah jawapan yang akan diberikan hanyalah sekadar melepaskan batuk di tangga seperti “Tunggu lama skit.. Nanti-nanti akan terjawablah soalan tu..”?

Pada ketika inilah, mana-mana persatuan yang akan menerajui perubahan akan memperoleh advantage dalam mengekalkan penuntut masing-masing. Pada mereka yang mengkaji hingga ke perdu persoalan dan keinginan penuntut tersebut, satu perkara sudah pastinya nyata:

“Mereka mahu melihat perbezaan yang ketara pada buah-buah silat antara ketiga-tiga CM, CH, dan CW. Selebihnya mengenai persatuan, pentadbiran atau perguruan, mereka tak mau amek pot ma..”

Why? Because one thing is for sure: They come to silat classes to learn silat, to know either the things that they have learnt were effective and gave good benefits or not. Jika buah silat itu sama sahaja dalam ketiga-tiga persatuan tersebut, pedulikanlah siapa gurunya, bukankah begitu? Kerana tujuan mereka belajar silat adalah untuk menjaga diri daripada diceroboh. Apa peduli pada mandat, salasilah, MMK dan sebagainya.

Pastinya yang lebih memeningkan kepala mereka ialah apabila dikaji ketiga-tiga persatuan tersebut, semuanya mengagungkan orang yang sama – Ustaz Hanafi. Haiyoo.. Itu kalu semua claim Ustaz Hanafi punya, mana satu yang lagi bagus meh?

Jika dilihat pada sudut kelebihan, masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri. CM merupakan persatuan asal yang diasaskan oleh Ustaz Hanafi. CH pula mempunyai banyak orang-orang lama (juga orang bangka dan orang lama-lama) yang merupakan first generation yang berjaya, hasil didikan Ustaz Hanafi. CW pula mempunyai kelebihan pertalian darah menerusi salasilah keluarga Ustaz hanafi. Jadi, yang manakah harus dipilih?

Jawapan mudah untuk penuntut-penuntut baru pastinya pada sudut “Buah silat yang manakah yang lebih bagus, berkesan dan masih mengekalkan seni sebagaimana originalnya daripada Ustaz Hanafi itu sendiri”.

Kita tak boleh nafikan, generasi sekarang (juga yang akan datang) merupakan generasi yang akan lebih mudah terdedah dengan pelbagai maklumat, malah lebih terbuka pemikiran mereka untuk membincangkan suatu perkara semata-mata untuk mendapatkan pengetahuan. Sifat keterbukaan itulah yang akan menjadikan mereka berbincang sesama rakan sendiri (walaupun daripada persatuan yang berbeza) untuk mengetahui kebenaran buah-buah yang telah mereka pelajari, terutama sekali pada peringkat IPT.

Pada ketika itulah, persatuan yang mempunyai corak pengajaran yang jelas dan menarik, serta buah silat yang berkesan, akan lebih mendapat pengaruh daripada golongan-golongan sebegini. Ini kerana penuntut mahu melihat pada perbezaan-perbezaan yang mudah untuk mereka nampak dan meneliti mutunya. Peduli apa mereka pada sejarahnya.

Hanya persatuan yang sudi untuk merombak semula penyelarasan buah-buah silat dan mengembalikan keaslian buah sebagaimana yang diajar oleh Ustaz hanafi sahaja pastinya akan mempunyai “kelainan” dan akan lebih mudah diterima ramai.

Atas sebab itulah yang memainkan peranan dan yang akan menjadi rebutan persatuan-persatuan yang ingin berpecah ini ialah mereka yang pernah menerima sendiri buah-buah daripada Ustaz Hanafi, yang masih mengekalkan keasliannya. Kalau diikutkan cerita-cerita orang lama dan orang-orang bangka, dikhabarkan adanya ahli-ahli lama yang menerima setiap kaedah dan buah daripada Ustaz Hanafi sendiri sejak peringkat awal hingga akhir. Pastinya jenis ini akan menjadi rebutan antara CH dan CW. Kasihan..

Pun begitu, daripada mulut-mulut mereka yang mengaku memberikan banyak komitmen kepada persatuan, dikatakan bahawa ada di antara mereka yang telah pun berpihak kepada geng-geng CW. Maka advantage terletak pada CW dalam sudut keaslian buah. Persoalannya, adakah mereka yang memberikan komitmen pada CW sanggup untuk merendahkan diri, to unlearn and to relearn daripada golongan tersebut, untuk diubah semula keaslian buah-buah silat tersebut ke arah keaslian yang sebenar? Sanggupkah Mad Radzi untuk tunduk dan membenarkan perubahan sedemikian supaya lebih mudah untuk dapat pengaruh pada masa yang akan datang? Kalau begitu, baik golongan itu je yang jadi Guru Utama untuk CW jika Guru Utamanya sendiri pun tunduk pada mereka.

CH pun ada banyak orang lama juga yang mengetahui keaslian buah silat yang sebenar. Persoalannya, mahukah mereka menerajui perubahan tersebut untuk mengembalikan keaslian buah silat itu kepada bentuk asalnya? Jika ya, bagaimana pula reaksi seorang ahli lama kita yang dikatakan telah membuat penyelarasan pertama untuk buah-buah silat yang digunapakai hingga sekarang ini? Adakah beliau akan dilabelkan salah atau kayu yang menjahanamkan keaslian buah silat cekak itu sendiri? Mahukah beliau tunduk dan mengaku kesilapannya? Adakah Joe Marwi sanggup untuk berbuat sedemikian? Jika begitu, baik ahli lama yang membuat penyelarasan itu saja yang jadi Guru Utama, bukan Joe Marwi.

Persoalan seterusnya, bagaimana pula dengan reaksi jurulatih-jurulatih? Apakah perasaan mereka apabila mereka baru menyedari bahawa selama ini apa yang mereka ajarkan itu bukannya daripada keaslian yang sebenar? Bagaimana pula reaksi penuntut mereka setelah mengetahui bahawa selama ini mereka ditipu? Ahli yang baru ijazah pertama, mungkin takkan menjadi masalah. Bagaimana pula dengan ahli-ahli lain?

Apakah perasaan mereka semua apabila setiap buah yang dilakukan selama ini, yang telah pun sebati dengan gerak diri, perlu diperbetulkan semula? Pastinya sangat susah umpama mengajar ketam berjalan lurus. Bagaimana pula tanggapan mereka pada orang-orang atasan yang mentadbir silat cekak itu sendiri (termasuklah pada guru utamanya)? Pada mereka yang sanggup, pastinya mereka akan menerimanya dengan rela hati. Bagaimana pula dengan mereka yang ego? Pastinya mereka tidak akan mengendahkannya dan meneruskan mengajar buah-buah silat yang ‘tipu’ tadi.

Persatuan manakah yang sanggup untuk berbuat sedemikian? Cekak Warisan? Nama persatuan sendiri sudah menggambarkan warisan daripada Ustaz Hanafi. Tetapi adakah istilah “warisan” itu hanya pada pertalian darah semata-mata, atau pada keaslian pelajaran silatnya? Motto Cekak Hanafi, “Peneraju Warisan Mutlak”, adakah benar warisan pelajaran silat Ustaz hanafi itu mutlak keasliannya, atau hanya pada motto sahaja?

Ataupun adakah mereka hanya mahu mengekalkan pelajaran silat sebagaimana situasi sekarang, di mana keaslian buah itu hanya akan diajar pada tahap Kemahiran sahaja (yang mana pada peringkat-peringkat sebelumnya, hanya menipu sahaja)? Adakah itu yang diajar oleh Ustaz Hanafi? Pastinya tidak. Pastinya beliau tidak mengajar muridnya dan ahli keluarganya untuk menipu apatah lagi untuk menjadi kaki tipu.

Sanggupkah kedua-dua persatuan ini melepaskan peluang untuk merebut pengaruh dan meluaskan empayar, dalam menyebarkan kebenaran dan keaslian sebagaimana yang dibawa oleh Ustaz Hanafi? Sanggupkah beberapa individu yang mempunyai kepentingan ini untuk tunduk, merendahkan ego dan mengaku kesilapan diri semata-mata untuk menerajui perubahan ke arah keaslian yang hakiki, supaya penuntut yang bertanyakan soalan di awal entry tadi dapat melihat dengan jelas perbezaan antara CM, CH dan CW?

Wa puchi tau..

Hanya mereka yang sanggup untuk menerajui perubahan sahaja yang lebih advantage..

Only time will tell..