Monday, March 12, 2007

TAKSUB

TAKSUB

Kadangkala kita jadi celaru dengan istilah taksub dalam konteks hubungan kita dengan Guru dalam persekitaran SC. Ada yang kaitkan istilah taksub dengan perkataan “sangat”. Kalau hubungan Guru dan murid berbentuk sangat maka orang itu akan dinamakan sebagai taksub. Akan tetapi ada pihak yang menafikan istilah sangat dengan konsep taksub. Pada mereka itu bukannya taksub tapi perbuatan tersebut menandakan kasih kepada Guru. Bersengketalah mereka atas istilah taksub. Walau bagaimanapun pertelingkatan tersebut hanya berlaku sejak kebelakangan ini. Apabila Guru mula diketepikan dan dipandang serong oleh sebilangan ahli maka timbullah istilah tersebut. Selama ini mereka menerima sahaja apa yang berlaku tanpa ada sebarang bantahan. Ataupun mereka hidup dalam dunia kepura-puraan bagi menjaga kepentingan masing-masing. Apabila mereka berasa diri mereka tertipu dengan sikap Guru, mulalah mereka mengungkit dengan pelbagai alasan untuk mencaci Guru. Selama ini mereka ikut sahaja perbuatan Guru. Apabila sudah benci, semua yang menunjukkan hubungan baik dengan Guru akan dikatakan taksub. Cium tangan taksub, minta pendapat taksub, mengulang cakap Guru taksub dan banyak lagi perbuatan taksub yang dulunya tak taksub.

Taksub ini istilah agama. Sama juga dengan istilah kalwat dan muhibbah. Akan tetapi dalam amalan dan pengunaannya pada pertuturan bahasa kita istilah-istilah tersebut telah disesuaikan dengan kehendak laras bahasa kita. Oleh itu istilah-istilah tersebut khasnya taksub mempunyai makna dan pengertian yang tersendiri dalam konteks amalan dan penggunaan bahasa kita sebagai alat komunikasi.

Apa yang perlu kita personal dan titikberatkan ialah pergantungan seseorang pada orang yang lain tanpa menggunakan pemikirannya. Keadaan ini adalah amat berbahaya. Pemikiran yang ada perlu dikayakan dengan ilmu pengetahuan. Pemikiran adalah faktor utama yang membolehkan manusia itu bertindak. Selain daripada berguru, ilmu pengetahuan boleh didapati melalui usaha kita berdampingan dengan orang yang berilmu atau melalui bahan-bahan bacaan yang boleh ditafsir melalui pemikiran sendiri atau bantuan daripada mereka yang layak untuk mentafsir. Bergantung harap pada orang lain tanpa menggunakan akal fikiran kita yang ada, akan berakhir dengan kekecewaan. Inilah yang banyak terjadi pada murid-murid yang amat membenci Gurunya ketika ini. Dulu mereka ikut sahaja perintah dan arahan Guru tanpa banyak bicara. Sebabnya mereka kekurangan ilmu untuk berfikir. Bila ada yang membuka minda mereka walaupun kebenarannya boleh dipersoalkan, mulalah mereka berfikir. Geramlah hati mereka kerana mereka rasakan selama ini mereka diperbodohkan. Memang mereka bodoh sebab tidak menggunakan fikiran.

Kita jangan terlalu benci dengan perkataan sangat. Perbuatan sangat kadang kala amat penting dan faedahnya hebat jika disertai dengan pemikiran yang mantap atau bernas. Suka sangat, sayang sangat, rindu sangat, marah sangat dan apa pun sangat, sangat berkesan jika disertai dengan pemikiran yang positif. Dengan kekasih, tunjukkan rindu yang amat sangat, cepatlah kita dapat anunya atau cepatlah nanti kekasih kita ajak kahwin. Nak dapatkan pekerjaan, tunjukkan kita sangat-sangat memerlukannnya, mudahlah sikit kita dapatkan pekerjaan tersebut. Nak jual barang seperti CNI misalnya, buktikan barangan tersebut sangat berfaedah maka senanglah laku barang tersebut. Banyak lagi suasana yang memerlukan perbuatan sangat. Dengan Guru, tunjukkan yang kita sangat memerlukan pengajarannya. Banyaklah nanti petua yang kita dapat. Tak payah bayar untuk dapat ilmu KK. Mereka yang bayar, semua yang tak tahu guna istilah sangat. Itu semua dalam konteks kita dengan orang lain bagi mendapatkan sesuatu yang kita hajatkan. Inilah yang dikatakan sebagai pemikiran yang strategik. Buat sesuatu untuk mendapatkan faedah. Tapi perlu disertai dengan pemikiran yang berilmu pengetahuan.

Tafsiran orang lain atas perbuatan yang kita lakukan, apa kita peduli. Yang penting kita tahu apa yang kita lakukan. Cuma ingat pepatah Melayu, buat baik berpada-pada, buat jahat jangat sesekali. Oleh itu janganlah kita meletakkan kepercayaan kepada seseorang secara seratus peratus dan jangan pulak kita membuat sebarang perbuatan khianat. Dalam konteks Guru, janganlah kita serahkan segala-galanya kepada Guru. Hinggakan hendak berkahwinpun, gambar tunang kita ditunjukkan pada Guru terlebih dahulu dengan harapan ingin mendapatkan petunjuk kerasian. Silap-silap haribulan, Guru yang dapat daranya. Cuba guna fikiran sikit. Mana letaknya kedua ibu bapa kita yang mengasuh kita sejak umur kita sehari. Guru juga manusia biasa, sama seperti kita. Kita mengenalinya setelah berbelas tahun umur kita. Cuma yang berbezanya dalam konteks silatnya, ilmunya lebih daripada kita. Tapi dalam konteks lain secara umum, atau ilmu-ilmu yang lain, tak tentu lagi.

Masalah utama kita sekarang ini ialah kita mengagungkan Guru tanpa menggunakan akal fikiran. Akuilah bahawa En Mat ialah Guru silat. Yang kaitkan beliau dengan kepakaran agama, politik, ekonomi dan sosial, kenapa?. Janganlah menganggap beliau begitu super dalam semua segi. Kalau dalam persilatan, kita hormatilah beliau sebab kita akur atas pengetahuan dan kebolehannya yang mendalam kerana itu adalah pengkhususan beliau. Tetapi, dari segi kebolehan lain mungkin pengetahuan kita lebih baik. Itu sebabnya mereka yang tak berakal dan tidak menggunakan fikiran, bergantung penuh pada Guru untuk mendapatkan pengetahuan yang mendalam tentang sembahyang, puasa dan haji. Sepatutnya kita tanyalah pada pakarnya. Sikit-sikit bolehlah tanya En Mat. Kalau nak tengok mak we kita serasi atau tidak, jumpa tukang tilik. Burung pun boleh pilih daun terop bagi menentukan nasib kita. Kita jumpa mereka sebab itu kepakaran mereka. Tapi kalau takut syirik, jangan jumpa sesiapa. Dapat mak we, kalau berkenan terus nikah. Tak dapat nikah, kawin aje. Gunakan kaedah KK yang dapat menjadikannya truma dan tidak sedar diri.

Walau bagaimanapun untuk mendapatkan pandangan rakan taulan atau sahabat seangkatan dalam silat, berhati-hatilah sikit dan gunakanlah fikiran. Ketika ini ramai yang muncul untuk menunjukkan diri mereka sebagai pembela SC. Dulu, dulu dan dulu, untuk turun ke kelas pun susah. Mesyuarat jarang hadir dan aktiviti kelas selalu ponteng. Tiba-tiba, bila timbul kes Guru, mereka muncul sebagai orang hebat pembela persatuan. Banyak cakap pulak tu!. Yang harunya mereka pulak jadi punesihat kepada pemimpin persatuan. Ikut pulak tu. Ada yang kata kemunculan mereka disengajakan sebagai satu strategi MMK untuk ambil alih persatuan kerana mereka ini tidak berapa suka dengan Guru Utama. Entahlah. Kononnya tak mengaku En Mat sebagai Guru lagi. Dulu mengaku. Apa punya pendirian ma. Kalau Guru tetap Guru lo. Ini samalah juga dengan sikap tidak mahu mengaku kedua ibu bapa sebagai ibu dan bapa lagi apabila timbul satu-satu peristiwa. Dah lalu kut celah kangkang pun tak nak mengaku ka!. Poorahhh. Pada saya gunakan fikiran. Rujuklah pendapat pada mereka yang benar-benar setia dengan persatuan dari mula hingga akhir tanpa mengira hujan, panas, ribut ataupun taufan.Tentu sah harapan dan pandangan orang-orang ini sebab tidak ada kepentingan. Setakat muncul macam cendawan, gunakanlah fikiran ma. Aparahhh

Sekarang ini kita perlu berhati-hati dengan istilah adu domba. Kesannya lahirlah aktiviti melaga-lagakan orang dan bukannya binatang. Mereka ini sentiasa dalam masa dua puluh empat jam memikirkan cara untuk menjatuhkan orang lain. Ijazah mereka ialah B.A (Batu Api). Kebolehannya bergantung sama ada setakat lulus dengan kepujian atau lulus dengan cemerlang. Selagi Guru tidak disingkirkan atau dinyahkan, pergerakan mereka terus merebak. Orang yang suka mengadu domba beranggapan bahawa dirinya lebih layak dan lebih hebat. Pesaingnya dianggap lemah. Tapi, oleh sebab pesaingnya terus popular maka diri dirasakan tidak dapat bersaing. Untuk mengatasinya terpaksalah digunakan strategi adu domba sesama ahli. Alatnya adalah pelbagai saluran termasuk media-massa yang dapat mengkucarkacirkan pemikiran ahli. Mereka perlu mengecohkan suasana supaya diri mereka dapat perhatian. Terpaksalah mereka memikirkan pelbagai bentuk rekacipta untuk mendapatkan keyakinan dan menganggap fikiran mereka lebih munasabah. Majalah silatpun digunakan sebagai bahan provokasi atau sebagai bahan propaganda. Tindakan mereka lebih banyak mengikut perasaan. Betul-betul ikut perangai perempuan. Kata Tok guru, sifat perempuan, sembilan perasaan dan satu pemikiran. Manakala sifat lelaki mempunyai sembilan pemikiran dan satu perasaan. Kalau perasaan diutamakan, jadilah mereka perempuan yang bertopengkan lelaki. Kita tidak mahu terlampau ramai manusia jenis ini berada dakam persatuan kita. Cuba periksa anu mereka yang suka bertelagah. Ayo yo yo, pondan lo.

Jadi jelaslah bahawa, dalam hubungan rapat kita dengan Guru yang dikatakan taksub oleh sesetengah orang, perlu disertai dengan istilah berfikir. Kalau ini wujud maka barulah senang bagi kita tunjukkan perasaan kasih terhadap Guru. Buatlah sesuatu untuk kebaikan Guru kita. Kalau salah tegurkan dan kalau betul, beri penghargaan dan pujian. Itulah kasih namanya. Setakat ini ramai yang cuba menunjukkan perasaan kasih pada Guru tapi secara menganggukkan kepala sahaja. Itu bukan kasih tapi itulah tanda orang yang tidak berilmu. Mereka tidak dapat berfikir akan perbuatan Guru sama ada benar atau tidak. Jadilah mereka burung tok belatok yang hanya pandai menganggukkan kepala. Bila terjadi kes seperti yang didakwa, baharulah sedar diri dan menjadi penentang utama. Semua perbuatan Guru dah jadi tak betul. Ini orang lo, pendirian yilekk.