Wednesday, March 21, 2007

DIA DATANG

PENGISYTIHARAAN GURU BARU

Semasa Guru digantung banyak masalah yang dihadapi oleh kelas-kelas latihan. Perkembangan SC agak terbantut dan ketika itu dirasakan perlunya seorang Guru, sama ada mengembalikan semula kuasa Guru yang ada atau dilantik Guru yang baru.
Kini dengan beraninya MMK telah mengenengahkan Guru untuk disahkan pelantikannya oleh MMT. Maka selesailah satu masalah besar yang dihadapi persatuan ketika ini sekurang-kurangnya untuk jangka yang terdekat. Setakat ini kita belum mengetahui gelaran Guru tersebut. Adakah beliau akan bergelar Guru Utama, Pemegang Amanah atau sebagainya. Terpaksalah sekali lagi kita menunggu mesyuarat MMK untuk membuat pengesahan dan pengisytiharan. Sepatutnya, kalau nak cepat, bersidang aje pada hari yang sama sebab keahlian kedua-dua ahli Majlis tersebut hampir sama sahaja. Namun perkara yang bermain dalam fikiran dan benak penuntut ialah apakah kelayakan beliau hingga terlantik dan layakkah beliau menahan daulat untuk menjalankan tugas Guru. Siapakah Joe Marwi. Beberapa persoalan mungkiin timbul yang boleh kita fikirkan.

Pada dasarnya kalau MMT telah membuat pelantikan maka layaklah beliau menjadi Guru. Itu dari sudut mereka. Keseluruhan ahli MMT yang terlibat adalah mereka yang terlibat sama ada dalam MMK, Badan Kehakiman atau Badan Siasatan. Rata-rata kita tahu akan sikap mereka. Perkara pokoknya, En Mat perlu dikeluarkan daripada salasilah kepemimpinan SC. Benci sangat mereka akan En Mat. Walau bagaimanapun kita berharap En Jo tidak dijadikan alat untuk memenuhi tujuan tersebut, walaupun asas kerisauan itu wujud di hati kita. En Jo ni adalah seorang yang pendiam, lurus bendul dan suka memerhati daripada bertindak. Harap-harap sifat beliau tersebut bukanlah ukuran atas sebab pelantikannya. Walau bagaimanapun kita tunggulah ulasan daripada MMK tentang sifat-sifatnya yang membolehkan beliau dilantik. Daripada segi salasilah, nampaknya terputus. Kalaupun tidak berkenaan dengan keturunan tapi mandat daripada Guru yang terdahulu adalah penting. Kesian juga En Mat memanjat pagar untuk mendapatkan mandat daripada Pak Ak. Kalau nak buka silat baru apa payah panjat pagar, buka aje. Tapi mandat penting walaupun akhirnya buka silat baru. Sebaliknya mandat En Jo sebagai Guru semata-mata bergantung pada lantikan orang-orang lama atau bangka. Pada asalnya En Jo bukanlah pilihan utama. Mereka masih mahukan keluarga Ustaz mengambil alih kepimpinan. Disebut-sebut Mokhtar sebagai orang yang layak. Tapi Mak Teh buat hal pulak. Binatang pulak katanya. Terpaksalah mereka mencari orang lain. Orang itu ialah En Jo. Pilihan kedua ma. Pasti ada yang mengatakan lantikan tersebut bercorak kontrak sebab pasti terikat dengan persetujuan lisan atau mungkin juga tulisan. Sekurang-kurangnya tak bolehlah beliau pandai-pandai sendiri. Kena ikut cakap looo.

Gelaran sebagai Guru pastinya tidak sesuai. Pertamanya seperti yang ditegaskan, dari segi salasilah Guru nampaknya kurang jelas dan mungkin terputus. Salasilah bukan merujuk pada keturunan kepemimpinan persilatan semata-mata tapi juga merujuk pada mandat. Oleh itu, saya berpendapat, En Jo hanya layak sebagai pemegang amanah. Zaman dulu dulu dulu Ustaz sendiri mengesahklan pelantikannya apabila merujuk fakta Pak Ya yang mengungkapkan kata-kata yang membawa maksud penurunan mandat. Mandat dianggap aspek penting dalam mana-mana dunia persilatan.

Amnya, untuk kepentingan penuntut, salasilah Guru tidak mustahak dari segi kepentingannya. Rajin mereka belajar, banyak ilmu yang dapat. Apa gunanya salasilah Guru kalau berlatihpun mahu tak mahu. Bukannya kerana Guru yang akan menjadikan seseorang itu hebat dalam persilatannya. Akan tetapi apabila kita membicarakan soal adat dan adab, keperluan asal usul Guru ini sangat penting, lebih kurang sama pentingnya dengan silat-silat Melayu yang lain. Hal ini demikian bagi mempastikan ilmu yang kita pelajari ada puncanya dan bertanggungjawab. Tetapi berbeza dengan seni bela diri bangsa lain. Mungkin kita ingin mencipta pembaharuan dari aspek pelantikan Guru. Oleh itu , tidak hairanlah timbul kepelikan murid melantik Guru. Ini satu pembaharuan yang mencarik adat. Bukankah silat kita selalu mencarik adat.

Kita juga selalu ditegaskan bahawa SC ialah Silat Tauhid. Ini membawa makna bahawa ahli-ahli SC dikehendaki menguasai ilmu tauhid dan ilmu tauhid ini akan sentiasa ditanam dalam jiwa penuntut dari masa ke masa. Selama ini, untuk mencapai hasrat tersebut, segala usaha banyak bergantung pada kekuatan dan kebolehan Guru serta tenaga pengajarnya. Kalau Guru tidak berkesempatan untuk menyebarkan fahaman tauhid maka ilmu ini terus digilap dan disuburkan di kalangan tenaga pengajar yang selalu berdamping rapat dengan penuntut. Ustaz Hanafi telah berjaya menjalankan tugas ini dengan jayanya. Ketika era Pak Ak dan En Mat, suara-suara sumbang yang tidak berpuas hati dengan penyebaran ilmu ini selalu mengecam mereka hingga akhirnya kecundang kedua-dua Guru tersebut. Golongan yang tidak berpuas hati tersebut, pastinya mencari Guru yang dapat menanam ilmu tauhid tersebut dengan hebat dan berkesan. Saya yakin MMK telah meneliti hal ini dan telah melantik En Jo sebagai seorang Guru yang mempunyai kebolehan ilmu tersebut yang tinggi dan dapat menanam kefahaman ini dengan hebat lagi di kalangan penuntut. Jurulatih dan Penyelia Kelas akan bertambah hebat lagi kefahaman tauhid mereka. Secara langsung semua penuntut akan berfaham tauhid yang tinggi. Dengan ini kes-kes menjilat, menipu dan lain-lain perbuatan mungkar akan dapat disekat dalam alam persilatan SC. Namun begitu jika Guru baru ini juga gagal memenuhi cinta rasa ketauhidan mereka, pasti tersungkur juga akhirnya si Guru baru ini. Tunggu ajee.

Dalam persatuan kita ramai tokoh yang bijak dalam selok-belok persatuan. Pengalaman mereka telah menebal sejak zaman penubuhan SC di Kuala Lumpur. Oleh itu, Guru baru yang terlatik perlulah cepat belajar tentang perjalanan persatuan dan mesti faham selok-belok pengurusan yang ada dalam pengendalian sesebuah persatuan atau organisasi. Kalau tidak, Guru baru akan perlu sentiasa merujuk aspek pentadbiran kepada mereka. Beliau mesti cepat berfikir bagi mentafsir segala bentuk peraturan yang ada dalam perlembagaan. Pengetahuan yang hebat dalam pengurusan persatuan akan membolehkan beliau bertindak dengan menggunakan akal yang dianugerahkan oleh Tuan . Kalau tidak, Guru baru nanti akan diperkudakan dan jadilah beliau seperti kerbau dicucuk hidung. Kalau ini berlaku, dalam masa yang terdekat beliau mesti dengan segera mengumpul pengikutnya untuk keluar daripada kepompong orang sekelilingnya yang akan sentiasa mengawasi gerak geri dan tutur katanya.

Satu kelemahan Pak Ak ketika memimpin persatuan kita dulu ialah ucapannya yang tidak tentu arah, isi yang tergantung dan nada ucapannya amat membosankan. Maklumlah ahli-ahli kita adalah terdiri daripada cerdik pandai yang kritis dan inovatif. Sekali mendengar ucapan Pak Ak, dua kali mereka menepuk dahi. Semasa En Mat, hal ini dapat diatasi. Ucapannya bersemangat walaupun ada yang memberi komen beliau hanya pandai bercakap sahaja. Aspek kepetahan bercakap ini pastinya telah dititikberatkan oleh MMK sebelaum mereka melantik Guru baru tersebut. Saya dapat gambarkan betapa hebatnya En Jo berucap menyampaikan amanatnya kepada penuntut dengan bahasa yang jelas. Guru baru ini pasti hebat mengeluarkan buah fikiran dengan matang dan bernas. Ini akan menjadi kebanggaan kepada ahli-ahli yang memang sensitif dengan hal tersebut.

Berdasarkan beberapa aspek perbincangan di atas, sangat jelas tentang keperluan seorang Guru menguasai pelbagai kemahiran untuk menjadi pemimpin SC yang hebat dan berkesan. Inilah yang sangat dititikberatkan oleh ahli-ahli SC. Kegagalan menguasai kemahiran-kemahiran tersebut menyebabkan ahli-ahli menjadi resah. Kelemahan inilah juga yang menjadi salah satu faktor tersungkurnya Pak Ak dalam arena SC. Kalau Guru yang baru berasa dirinya agak lemah dalam kemahiran tersebut, baiklah sentiasa merujuk kepada orang-orang lama yang sememangnya sentiasa berminat dengan pergerakan persatuan. Tambahan pula orang-orang lama ini masih memegang jawatan sebagai ahli MMK atau MMT atau Badan-Badan yang diwujudkan dalam SC. Kalau tidak merujuk, jawabnya nahas nanti.

Kepada ahli-ahli MMK atau lain-lain pemimpin dalam SC, berilah perhatian yang sungguh terhadap Guru baru ini. Pada jangka masa yang pendek, pasti beliau akan mengikut segala arahan tanpa membantah. Tapi ingat, apabila ramai murid yang telah diijazah maka ramai pulak yang bakal menjadi punesihatnya. Guru mungkin akan membuat tindakan berdasarkan fikirannya kerana murid telah ramai. Kalau terus begitu akhirnya akan timbul semula pertelingkahan. Kalau dirasakan hal ini boleh berlaku, maka eloklah dari sekarang dibuat pembahagian kuasa. Hal silat serahkan pada En Jo tetapi hal-hal persatuan, serahkan pada satu penama yang lain. Dengan itu, dalam SC ada Guru dan ada Presiden yang berlainan orang. Pastinya cara ini akan dapat menutup kelemahan Guru jika ada.

SC ialah peneraju mutlak. Buatlah apa sahaja. Banyak kejadian yang telah mencarik adat persilatan. Alang-alang carik, koyakkan terus. Pada generasi separuh lama dan baru, pertahankanlah sisa-sisa yang ada dalam SC sama ada pergerakan silatnya mahupun fahaman dan falsafah silat dalam madah perjuangannya. Ayoyoooooo banyak sedih maaaaa.