Wednesday, March 21, 2007

SEJARAH YANG BERULANG

DIA DATANG

Sungguh dramatik, sedih, sayu dan sebagainya, bila Guru yang ada diganti dengan Guru baru. Alasannya ialah akibat perbuatan cabul. Guru didapati bersalah oleh Badan Kehakiman yang terdiri daripada murid-muridnya sendiri. Siapakah mereka? Umum telah mengetahui gelagat mereka sejak SC diabadikan sebagai sebuah pertubuhan baru. Cuma hati kecil ini berkata-kata adakah Guru baru juga akan mengalami nasib yang sama seperti yang ditanggung oleh En Mat dan sebelum ini Pak Ak . Mereka yang menyingkir En Mat dan Pak Ak adalah mereka yang juga melantik Guru baru ketika ini. Mintak Allah panjangkan umur bagi kita melihat perkembangan yang akan datang.

Pepecahan yang hebat pasti berlaku di kalangan ahli ketika ini dan masa-masa yang akan datang selagi kata putus tentang hak persatuan SC tidak menemui penghujungnya. Dalam konteks taat pada Guru, amalan demokrasi tidak pernah diambil kira dalam mana-mana dunia persilatan. Golongan yang mengakui Guru dan melantik Guru atau mengundi Guru, itulah sahaja golongan yang mengakui kewujudan Gurunya. Tidak pernah berlaku golongan yang kalah undi atau pengundi yang memberi mandat kepada Jawatankuasa pemilihan Guru akan mengikut suara ramai. Itulah dunia persilatan. Guru baru yang ada sekarang hanya diakui kuasanya oleh mereka yang mengundinya, individu MMK yang mengundinya atau individu MMN yang menyukainya. Ahli-ahli lain tetap dengan Guru asalnya. Silat bukannya medan percaturan politik. Itu sebabnya apabila ada individu yang cuba mempolitikkan silat maka silat itu akan hancur.

Kuasa yang ada pada mana-mana Guru perlu secara sah dan bukannya secara paksaan. MMK tidak boleh memaksa mana-mana individu dalam SC untuk mengikut kehendak Gurunya. Individu ini berkait pula dengan kuasa dalam MMK dan MMN. Pastinya pendirian mereka akan memberi kesan pada Jawatan yang dipikulnya. Institusi perguruan dalam mana-mana silat agak istimewa dan mempunyai falsafahnya tersendiri. Kuasa sahnya bukan berasas pada sebarang lantikan sesuka hati atau secara majoriti. Kuasa sahnya sangat bergantung erat dengan salasilah dan mandat. Kita boleh berbahas sama ada prinsip ini perlu dikekalkan. Itu terpulanglah pada pemikiran individu. Membahaskannya bermakna kita juga mempersoalkan keperluan mengekalkan adat kain putih, mandi dengan menggunakan limau, majlis ijazah atau sebarang bentuk perlakuan yang merupakan identiti dunia persilatan silat. Ramai yang tertarik dengan keistimewaan adat dan adab yang ada dalam SC. Sungguh malang apabila keistimewaan ini akhirnya dihilangkan oleh ahli-ahlinya sendiri.

Nampaknya Guru yang mengganti Ustaz, semuanya menemui nasib malang. Bak kata pepatah,” ada hulu ada parang, ada dulu ada sekarang.” Hal itu nampaknya menjadi semacam budaya dalam SC. Ini membawa makna En Jo yang akan diisytiharkan menjadi Guru perlu berhati-hati dan segera menyusun strategi bagi mempastikan peristiwa malang pada mantan Guru tidak akan berlaku pada dirinya. Dulu dah berlaku, pastinya sekarang akan berlaku dan masa akan datangpun akan terus berlaku. Peristiwa ini erat kaitan dengan manusia yang wujud ketika dulu dan sekarang yang sangat berminat dengan drama penyingkiran tersebut.

Ketika awal pemilihan Pak Ak sebagai Guru Utama, semuanya berjalan dengan baik. Beliau disanjung hingga kentutnya dianggap membawa berkat. Persoalan tentang dirinya mula timbul apabila didapati perwatakannya jauh berbeza dengan Ustaz. Cara beliau berucap, isi percakapan yang ditafsir bercanggah, sifat degilnya tidak mahu merujuk orang-orang lama dan bangka, kebebasan berfikir di luar kotak pemikiran yang sedia ada, minat pada harta, suka berniaga dan banyak lagi telah dijadikan alasan kukuh untuk menyerang kepimpinannya. Kenyataannya yang dianggap bercanggah dengan akidah dan ilmu tauhid kata mereka, telah dijadikan alasan terdekat untuk maksud penyingkirannya.

Penyingkiran Pak Ak telah membawa kepada pelantikan En Mat. Cuma yang berbezanya, En Mat terpaksa panjat pagar untuk mendapat mandat yang membolehkan beliau membuka silat baru seterusnya. Ketika awal kepimpinannya, semuanya berjalan dengan baik. Beliau disanjung hingga kentutnya dianggap membawa berkat. Ayatnya sama seperti ayat yang dinukilkan untuk Pak Ak. Persoalan tentang dirinya mula timbul apabila didapati perwatakannya jauh berbeza dengan Ustaz. Cara beliau berucap, isi percakapan yang ditafsir bercanggah, sifat degilnya tidak mahu merujuk orang-orang lama dan bangka, kebebasan berfikir di luar kotak pemikiran yang sedia ada, minat pada harta, suka berniaga dan banyak lagi telah dijadikan alasan kukuh untuk menyerang kepimpinannya. Perbuatannya yang dianggap bercanggah dengan akidah dan ilmu tauhid kata mereka telah dijadikan alasan terdekat untuk maksud penyingkirannya.

Penyingkiran En Mat telah membawa kepada pelantikan En Jo. Cuma yang berbezanya, En Jo dengan senang dilantik oleh ahli-ahli lama. Beliau tidak perlu mendapat mandat. Cukup dengan mandat orang-orang lama yang bersandarkan MMT dan MMK untuk mengesahkan pelantikannya. Kalau beliau pandai, jangan ulang ayat-ayat yang sama dengan Pak Ak dan En Mat. Ikut sahaja cakap orang-orang lama dan bangka. Biar mereka banyak bicara. Tapi upah dan duit perlu diambil kira. Jangan risau bab duit. Semuanya akan diberi pada Guru Utama sebab mereka yang melantik beliau adalah golongan berada. Duit mereka merata-rata. Harta dan kereta mereka menjalar segenap sudut dan desa. Cuma ikut saja cakap mereka. Kalau membantah dan cuba buat cara sendiri, bacalah ayat di atas. Pasti terima padahnya. Apabila murid telah ramai nanti, jaga-jaga agar tidak terpengaruh dengan mereka. Murid baru harus akur dan sentiasa merujuk pada orang-orang lama. Kalau Guru terikat dengan murid baru, pasti kecewa. Sebabnya pemikiran mereka tak akan sama dengan yang lama. Kalau bercanggah, Guru hendak sebelah mana. Bergantung pada yang baru, alamat tersungkur akhirnya. Oleh itu bergantunglah pada yang lama. Yang pentingnya, upah tetap tidak ke ke ke mana.

Sejarah dalam SC pasti berulang selagi wujud manusia yang sama dalam pensejarahannya. Mereka ini amat berkuasa dan bergelar orang lama. Kewibawaan dan kesetiaan mereka ketika berada dalam zaman Ustaz Hanafi tidak boleh dinafikan. Mereka telah berkorban masa dan tenaga demi membangunkan SC. Tapi semestinya dengan panduan dan kehendak Guru utama ketika itu. Pengaruh mereka diluaskan di kalangan ahli yang belajar di awal era Pak Ak. Keadaan ini mudah dijalankan kerana perbezaan umur tidak ketara. Jurang hubungan hanya ketara dengan ahli yang ada di hujung zaman Pak Ak . Dalam zaman En Mat, jurang hubungan lagi ketara. Ketika itu mereka yang belajar adalah peringkat umur anak-anak. Ramai anak orang-orang lama yang mempelajari SC. Apabila wujud perbezaan umur, pastinya peranan orang lama- lama dalam pergaulan seharian semakin menjarak. Kecualilah pada kalangan yang dapat menurunkan kematangan dirinya.

Dalam zaman En Mat, jadilah orang lama-lama ini sebagai golongan yang inginkan pengormatan dan pengiktirafan. Apabila ini kurang diberi, perasaan kecewa dan tidak puas hati mula bertapak di hati mereka. Memikirkan banyak masa dan tenaga yang telah dicurahkan pada SC di peringkat awal penubuhannya, mereka perlu diambil kira dalam semua dasar persilatan berikutnya. Dalam zaman awal Pak Ak, beliau selalu merujuk dan bergantung harap pada orang-orang ini. Apabila golongan yang lama ini berpecah pendapat pada dua, Pak Ak telah menyebelahi satu pihak yang lain hingga akhirnya pihak yang tersisih terpaksa menyokong En Mat sebagai Guru Utama. Malangnya En Mat yang terlantik telah mengenepikan mereka. Banyak tindak tanduk En Mat dianggap tidak berbincang dengan mereka. Alasan pencabulan amat baik dijadikan alasan penyingkiran. Orang bertanya-tanya kenapa alasan mencabuk tidak dijadikan sebab utama dalam surat pertuduhan oleh ahli yang berkenaan? Kepada yang faham situasi yang ada, tahulah mereka bahawa perasaan geram pada En Mat bukan sehari dua tapi telah bertahun lamanya. Kes cabul bukan utama.

Sekarang mereka pula berperanan melantik En Jo sebagai Guru Utama. Walaupun pada umumnya mereka hanya inginkan Guru baru mengikut landasan Ustaz tapi sebenarnya landasan itu mengikut jalur yang mereka bina. Kalau En Jo gagal berbuat demikian, pasti beliau juga akan menemui nasib yang sama .Bila? bertahun-tahun yang akan datang.

Perkara penting sekarang, apa akan jadi pada En Mat dan En Jo. Apa akan jadi pada murid yang telah diijazahkan oleh En Mat. Apa akan jadi pada ahli yang masih setia dengan En Mat. Apa akan jadi dengan ahli yang bersimpati dengan MMK dan orang-orang lama. Pada ahli-ahli sekalian, fikirkanlah sesuatu yang terbaik untuk diri sendiri akhirnya. Tengok balik perjanjian-perjanjian atau pegangan yang telah kita buat dengan diri kita dulunya semasa menuntut SC. Lihat balik perjanjian atau pegangan yang mungkin ada berkenaan dengan kita yang berikut:

i. ingin kembangkan SC
ii. menghormati Ustaz dan seterusnya keluarganya.
iii. mengekalkan adat dan adab SC
iv. bersimpati dengan golongan yang teraniaya.
v. Bencikan manusia yang hipokrat
vi. Tidak mahu berpura-pura
vii. Ikhlas dalam perjuangan
viii. Tidak suka manusia yang mengambil kesempatan
ix. Dan AKU ADALAH AKU.