Monday, April 2, 2007

GURU UTAMA BARU LO!

Dia Datang

Setelah sekian lama, akhirnya Guru Utama telah dimunculkan. Secara rasmi pada hari Sabtu, 31 Mac 2007 En Jo Marwi telah diisytiharkan secara rasmi Guru Utama Silat Cekak. Apakah kriteria pemilihannya sebagai Guru Utama. Hanya MMK dan sebahagian ahli MMT yang boleh menjawabnya. Kepada ahli-ahli, kalau tidak ada jawapan daripada mereka, tubuhkanlah Ahli Jawatankuasa penyiasat untuk mendapatkan latar belakang Guru Utama kita. Oleh sebab mandat perguruan tidak diperlukan, mestilah ada sesuatu yang istimewa tentang Guru Utama kita hingga membolehkan beliau dilantik sebegitu rupa.

Pelantikannya menyebabkan ramai pihak berasa gembira, duka, sedih dan serba salah. Walau bagaimanapun pada kebanyakan ahli-ahli MMK dan MMT semua perasaan tersebut tidak diambil kira atau tidak penting. Yang penting SC telah ada Guru Utama.

Mereka yang gembira adalah kerana hajat mereka telah tercapai. Bekas Guru berjaya disingkirkan. Tindak-tanduk beliau yang selama ini menyakitkan hati orang-orang tertentu yang berkuasa dalam persatuan telah berbalas. Kes yang didakwa sebagai pencabulan telah dijadikan sebab utama penyingkirannya. Mereka turut gembira betapa Guru yang baru pasti akan termakan budi. Akibatnya segala perancangan Guru akan merujuk pada mereka. Baharulah puas rasa di hati apabila rujukan sentiasa diberi. Guru Utama tak boleh keras kepala kecuali keras pada yang satu. Tapi ingat pesanan saya. Apabila telah ramai murid, jangan ikut pendapat mereka. Teruskan pautan pada yang berkuasa. Pastinya yang melantik Guru Utama. Kalau gagal mengikut cakap orang-orang lama, bersedialah untuk disingkirkan. Alasan mereka mudah sahaja. Oleh sebab dah tua bangka maka Guru Utama layak dituduh mencabul nenek murid SC. Tersingkir juga akhirnya kalau keras kepala kok sebab ilmu KK.

Golongan yang berduka akan bertambah nestapanya. Hati mereka berasa sebak dengan alasan tertentu. Mana mungkin terlantik Guru yang baru dalam keadaan masih ada Guru yang digantung cuma tiga tahun. Apa akan jadi bila pergantungan ini ditarik balik. Kalau pergantungan diteruskan, nampak sangat tindakan berasaskan nafsu semata. Ini bukan ajaran Ustaz. Keputusan mahkamah belum membawa apa-apa berita. Apalah salahnya jika kita sabar menunggu keputusan tersebut. Jika beliau didapati bersalah, memang patut beliau disingkirkan terus daripada SC. Apa kata jika tidak ada dakwaan yang boleh mensabitkan kesalahan beliau tersebut. Jadilah Guru mangsa kepada tuntutan segelintir ahli yang mempunyai niat yang buruk kepada Gurunya.

Golongan ini banyak mempertikaikan cara Guru menerima hukuman. Guru langsung tidak terbela oleh mereka yang sebelum ini diberi kepercayaan sepenuhnya. Harapkan pagar, pagar makan padi. Harapkan balasan yang baik akhirnya termakan diri seperti melepaskan anjing yang tersepit. Orang-orang ini dulunya berada di sekeliling Guru. Arahan Guru diangguk sahaja. Alasannya Guru degil dan susah mengikut kata. Kalau ikhlas, tegakkanlah prinsip walaupun akhirnya tersingkir. Tapi ini tidak berlaku. Mereka lebih suka bermuka-muka. Rupa-rupanya segala yang berlaku dijadikan timbunan dendam dalam hati dan mencari ruang untuk membalas dendam tersebut. Guru pula tidak menyedari hakikat ini. Beliau memberi kepercayaan penuh dan bersikap membela dan mempertahankan orang-orang ini . Mana perginya ilmu makrifat. Mana perginya bisik semak. Akhirnya semak betul fikiran Guru. Segala kepercayaan akhirnya memakan diri. Hal ini mungkin sama keadaannya di satu masa dulu. Orang yang ikhlas menyatakan kebenaran telah disingkirkan tanpa ada sebarang perasaan untuk mengenang jasa. Sekarang, terima pula balasannya. Perit juga ye.

Golongan yang sedih dengan suasana yang berlaku sekarang, lain pula alasannya. Pemilihan Guru Utama tiada puncanya. Soal mandat tidak lagi diambil kira. Kalau dulu, mandat dikira utama hingga terbit CD berbentuk Mak Datin untuk menegaskan hak Guru, tapi sekarang telah berlainan cerita. Dengan sekelip mata, keutamaan mandat tidak diambil kira. Banyaklah alasan yang diberi untuk mengiakan tindakan mereka. Golongan ini juga berasa sedih kerana adat dan adab yang istimewa, yang dilaungkan selama ini hanya ada dalam SC, telah mulai pudar. Pantun taat pada Guru membawa barkat, akan lenyap begitu sahaja. Usaha-usaha Guru untuk mendapatkan mandat daripada Pak Ak semacam sia-sia sahaja. Mujurlah ketika melompat pagar, buah Guru tidak tersangkut di mana-mana. Kalau tidak, alangkah sedih di hati Guru dan golongan yang bersimpati dengannya. Usahanya selama ini untuk mendapatkan taraf Guru sia-sia sahaja. Gajah sama gajah berjuang , palanduk pulak yang mendapat untungnya. Kerbau punya susu sapi dapat nama. En Mat bersusah payah mendapatkan hak SC akhirnya terlepas ke tangan En Jo. Kalau tersangkut telur Guru di pagar, alangkah kecewanya bekas Guru kita.

Penyelia-penyelia kelas mana-mana cawangan atau pusat latihan akan menjadi serba salah. Siapa gerangan Guru yang akan dijemput untuk membuat ijazah. Kecualilah mereka telah membuat ketetapan. Kalau fikiran terbuka, masalah ini semakin ketara. Kalau jemput bekas Guru, takut diri akan tersingkir atau cawangan dibubarkan. Kalau dijemput Guru yang ada, apa haknya kecuali dikatakan berhak oleh MMK dan MMT. Bekas Guru telah nampak jasanya. Kebolehannya banyak yang ketara dalam pelbagai segi. Namun begitu Guru baru yang ada belum teruji. Cawangan sendiripun tak boleh dikuasainya adakah beliau berjaya untuk menonjokan kehebatannya menguasai seluruh cawangan dalam negara. Persoalan-persoalan ini menjadikan mereka serba salah. Hiduplah mereka dalam suasana takut. Sekurang-kurangnya takut tersingkir setelah sekian lama menceburi SC dan berasa serba salah antara tuntutan hati dengan tuntutan persatuan.

Apapun alasan yang diberi, segala-galanya telah berlaku. Guru dulu telah diketepikan dan sekarang muncul Guru Utama yang baru. Alasan yang ada pada pihak berkuasa ketika ini, cukup mudah. Kalau tidak suka pada yang baru, pergilah pada yang lama. Tinggalkan SC yang ada. Kalau tidak, gantung atau singkir jawabnya. Nadanya sama seperti seruan Mak Teh pada mereka yang berkuasa. Pada Mak Teh, kalau mereka tak suka silat ini, keluarlah dari SC sekarang juga. Jangan kacau Guru yang ada. Silapnya, Mak Teh kaitkan silat yang ada dengan silat keluarga. Alasan ini dijadikan modal untuk memutuskan salitulrahim dengan Mak Teh yang dulunya disanjung hebat di depan Ustaz Hanafi. Dulu dulu dulu. Berpura-pura rupanya.

Apapun alasan dan perasaan yang ada, jangan lupa hubungan akrab dengan bekas Guru yang terbina sekian lama. Kepada orang-orang kepercayaan Guru di suatu masa dulu dulu dulu jangan mudah putuskan hubungan yang terbina. Jangan kerana satu kesalahan, segala jasa beliau dilupakan begitu sahaja. Mungkin atas tuntutan Persatuan, peranan Gurunya diketepikan tapi atas prinsip hubungan sesama insan yang pernah berjasa, tetap dikenang sepanjang hayat. Kalaupun terpaksa bergantung pada yang baru tapi hati orang yang lama jangan parah dilukakan. Cukup dengan goresan yang tidak mengalir darah merah yang sama dengan darah kita. Apa yang telah berlaku pada bekas Guru, tidak mustahil berlaku pada kita semua. Sehebat mana pengawasan kita, jika Tuhan ingin menguji pasti “terkena” dan “terjebat” diri kita. Jangan sombong dan jangan bongkak. Kata tok guru, tidak mudah kita mendapat kejayaan tanpa diuji oleh Tuhan kita.

Pada generasi baru, banyak iktibar yang boleh direnung dan dipelajari. Pada mereka yang telah lama berkecimpung dalam SC jangan mudah kecewa, sedih atau berduka. Segala-galanya telah ditentukan pengakhirannya sebegini. Kehendak siapa agaknya.