Monday, July 30, 2007

KESAN WAJA DIRI

Ekoran pertandingan Waja Diri SC di UMM tempoh hari, telah tidak menyenangkan beberapa pihak sama ada puak persatuan atau puak wawasan. Pertandingan tersebut dianggap mengancam kewibawaan mereka kerana usaha tersebut merupakan satu asas yang mungkin membolehkan mantan guru menunjukkan belang harimaunya. Puak-puak tersebut tidak berpuas hati dan mencari bukti akan mereka yang terlibat. Pasti dalam kepala atas mereka tergambar usaha-usaha untuk membuat penyingkiran sebagai langkah pembersihan. Mereka yang menganjurkan pertandingan tersebut tidak pernah berikrar untuk berdiri di belakang anu mereka. Mereka yang telah berikrar sebelum ini telah dipastikan berpegang kuat pada anu mereka dan tidak mungkin terlepas lagi selagi berlaku proses regangan.

Kadang-kadang hati ini berfikir betapa sempitnya fikiran ”anak-anak” tersebut. Pertandingan Waja Diri masih lagi atas nama SC. Sekali imbas bukankah ini memberi pulangan yang baik pada pergerakan SC itu sendiri. Masyarakat luar bukannya tahu tentang ribut yang berlaku dalam persatuan kita. Yang mereka tahu ialah SC. Sebarang publisiti untuk menggambarkan kelicinan program yang dianjurkan oleh SC, masih dianggap sebagai ketrampilan SC itu sendiri. Mana mereka tahu tentang SC yang kini, sama ada di bawah kepimpinan Guru Silat atau Guru Persatuan atau Guru Wawasan. Yang mereka tahu hanyalah SC. Kalau mereka tertarik dengan SC maka mereka akan masuk SC. Nasiblah puak mana yang mereka pilih.

Ini bersesuaian dengan perjuangan kita dalam SC. Menyebarkan SC adalah merupakan satu perjuangan yang besar dan suci. Allahyarham Ustaz Hanafi telah mengasaskan perjuangan tersebut. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita untuk meluaskan perjuangan itu jika kita benar-benar memahami dan menghormati Allahyarham sebagai salah seorang Guru kita didunia ini. Guru Silat yang ada masih menganggap bahawa beliau berperanan sebagai penyambung perjuangan Ustaz. Guru Persatuan pun tetap menegaskan bahawa peranannya adalah meneruskan perjuangan SC yang telah dibawa oleh Ustaz. Malah Guru Wawasan pun tetap menegaskan bahawa tindak tanduknya dalam SC semata-mata untuk memelihara perjuangan Allahyarham dan meneruskan perjuangan tersebut walaupun kadangkala beliau menganggap bahawa hanya beliau seorang sahaja dalam SC yang memahami erti perjuangan tersebut. Malah Pak Ak sendiripun meneruskan perjuangan Ustaz dalam SC-nya. Semuanya ingin meneruskan kefahaman yang dibawa oleh Allahyarham Ustaz tapi dalam mazhab yang berlainan.

Masalahnya, apa yang kita mengerti tentang perjuangan dalam SC. Tafsiran mengenainya adalah pelbagai. Berkemampuankah kita untuk membela bangsa dan tanah air kalau diri sendiri dan keluarga pun tak terbela. Berkemampuankah kita untuk menentang kurafat dan tahyol kalau subuhpun melewati waktu. Dan banyak lagi persoalan ”berkemampuankah” yang boleh dipersoalkan. Tapi yang pastinya perjuangan untuk mengembangkan SC boleh dilakukan oleh semua ahli. Gunakanlah kemampuan ini untuk meneruskan perjuangan Allahyarham yang dikatakan sebagai ikutan. Tidak kiralah puak mana yang bergiat ke arah perjuangan tersebut. Pertandingan Waja Diri adalah merupakan salah satu usaha memgembangkan SC. Jangan dibantah atau dicaci atau dinodai program tersebut.

Kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menurut kemahuan yang kita hajati. Mungkin mereka boleh melafazkan ikrar taat dan setia melalui mulut tapi tidak boleh dilihat di dalam hati. Dalam konteks murid dengan Guru, berilah kebebasan kepada mereka untuk membuat pilihan Guru. Mungkin daripada segi persatuan kita boleh memaksa ahli menurut kehendak Persatuan dan Guru Persatuan, tetapi dari segi roh persilatan itu sendiri, setiap individu itu tetap akan menurut kemahuan yang ada di hati sunabarinya. Janganlah hendaknya kerana nafsu gajah yang ada pada diri kita, kita lebih rela berpecah dan membelakangkan erti perjuangan SC itu sendiri. Rasionalkan fikiran yang Tuhan anugerahkan kepada kita. Tenangkan fikiran dan jangan menurut hawa nafsu yang jahat. Tumpukan usaha untuk mengembangkan SC di seluruh pelusuk tanah air. Itulah erti perjuangan SC sebenarnya dalam konteks kita sebagai ahli silat.

Ada ahli yang tertarik dengan konsep ”keputusan silat” dalam SC. Maka pada saya keputusan SC ialah ”Gaduh”. Gaduh akan menentukan keadaan sebenarnya kita bersilat. Dalam bahasa Inggeris bolehlah kita ertikan sebagai ”the moment of truth”. Mana kita tahu akan kehandalan kita bersilat kalau tidak diuji dengan dua tangan dan dua kaki. Pengambilan Sijil Rendah dan Sijil Menengah adalah merupakan satu usaha yang sangat baik. Selain daripada pengambilan sijil, Pertandingan Waja Diri yang telah dijalankan, adalah merupakan medan yang sesuai untuk menguji keputusan SC yang ada pada diri kita. Untuk bergaduh dalam konteks yang terbuka akan membawa banyak implikasi yang buruk pada diri kita. Oleh itu, pertandingan Waja Diri tersebut dapat dianggap sebagai medah ”pergaduhan” sebenar untuk menguji kemampuan dan kehandalan kita bersilat dalam SC. Sepatutnya usaha murni yang dilakukan oleh mereka yang menganjurkan program itu patut disokong kalau hati kita tidak dipengaruhi oleh niat dan prasangka yang buruk. Kalau niat dan prasangka mereka baik demi memperjuangkan SC, maka mereka akan turun sama memberi sokongan. Tambahan pula program tersebut adalah anjuran persatuan kita di universiti. Berilah sokongan kerana program tersebut akan dapat memberi sumbangan bagi memantapkan penguasaan silat di kalangan ahli; bukannya memantatkan mereka.

Sejarah telah membuktikan bahawa tidak ada satu negara yang kuatpun dalam dunia ini yang berkekalan hingga sepanjang hayat. Kekuatannya bergantung kepada ketua dan pemimpin yang ada. Tidak ada sesiapapun yang dapat menentukan kepimpinan yang bermutu untuk memimpin negara sepanjang masa. Kita boleh lihat betapa tumbangnya negara-negara besar tersebut kerana pemimpinnya. Tidak kiralah sama ada negara tersebut negara Islam atau sebaliknya. Hanya masa yang akan menentukan setakat mana kekuatan dan kestabilan negara itu. Dalam dunia Islam, selepas Saidina Ali, wujud Kerajaan Umaiyah, Abassiah dan pelbagai lagi. Kerajaan Monggol yang hebatpun akhirnya tumbang. Maknanya, kita tidak boleh menentukan sejarah itu berlaku menurut kehendak kita sendiri. Biarlah masa dan keadaan yang menentukannya. Tuhan lebih mengetahui tentang apa yang dilakukannya.

Sangat pelik dan menarik apabila ada puak-puak yang cuba menentukan perjalanan sejarah SC. Mereka menganggap bahawa SC adalah warisan untuk diri mereka dan cuba memelihara SC menurut kehendak mereka supaya terus kekal dan hidup subur sepanjang zaman. Mereka percaya bahawa apa yang telah belaku dalam SC adalah merupakan hasil kerja keras yang telah dibina oleh Allahyarham. Mereka berkehendakkan supaya keadaan ini berterusan pada masa sekarang dan di masa- masa akan datang. Itu sebabnya semua Guru yang ada dalam SC mesti menurut acuan Allahyarham Ustaz berdasarkan tafsiran mereka. Kalau gagal, guru-guru tersebut akan dipancung tanpa dikenang jasanya. Sejarah SC mungkin boleh ditentukan oleh puak-puak tersebut. Akan tetapi sampai bila. Selepas Guru Wawasan, pimpinan yang ada, kalaupun hidup pasti akan berbongkok tiga. Mampukah mereka mengekalkan suasana di masa itu seperti mana yang mereka kehendaki di masa kini. Lebih baiklah diserahkan kepada ahli untuk menentukan segala-galanya. Buatlah mesyuarat agung. Jangan tentukan sejarah. Biar sejarah yang menentukan segala-galanya.