Saturday, July 7, 2007

WASPADA DIRI

Akibat kekecohan yang telah berlaku sebanyak dua kali, ramai yang berasa sangat kecewa dan tidak mahu melibatkan diri untuk mengalami pepecahan kali ketiga. Oleh itu mereka mengehadkan penglibatan dalam SC supaya perasaan kecewa tidak berulang kembali. Manusia yang terlibat dengan pepecahan-pepecahan tersebut masih ada lagi menerajui persatuan. Minat untuk berpecah pasti akan berterusan dan pasti tidak dapat dielakkan, umpama dua campur dua pasti empat.

En Jo yang saya kenali adalah merupakan seorang yang mempunyai ketrampilan dalam bidang persilatan, mengatasi aspek yang lain. Teknik melakukan buah-buah SC berdasarkan sukatan pelajaran kita sememangnya dikuasai beliau dengan begitu terperinci. Itu sebabnya setiap penerangan yang diberikan agak panjang lebar hingga kadang kala lebih banyak menerang daripada praktikal. Kalau kelas latihan sejam,agaknya empat puluh lima minit pastinya untuk habuan penerangan. Walau bagaimanapun sesuatu yang kurang sesuai dengan saya ialah sifat ”kedekut” beliau untuk berkongsi pengetahuan tambahan dengan orang lain. Malah dengan anak muridnya sendiri, beliau begitu cemburu untuk memberi tambahan pelajaran dengan begitu mudah. Dalam pertandingan silat antara SC, cawangan yang dipimpinnya kurang menempah kejayaan. Kebolehan anak muridnya tetap ada, cuma persembahan mereka menampakkan kekurangan pengalaman bersilat. Sepatutnya dengan kehandalan yang ada pada dirinya dalam dunia persilatan SC, pasti anak muridnya memperoleh kejayaan yang hebat. Seperti ada sesuatu yang tak kena.

Mereka yang mempunyai pengalaman dengan En Jo tentu mengerti akan apa yang saya maksudkan. Perbincangan tentang teknik dan taktik dalam kaedah serangan dan menunggu serangan kerap kali hambar kerana beliau lebih suka berdiam diri. Amanah yang diperoleh daripada Ustaz tidak mudah disebarkannya tanpa orang itu betul-betul menunjukkan minat dan kesetiaan yang mendalam pada SC. Mungkin ini juga satu kelebihan yang ada pada dirinya.

Oleh sebab beliau suka mendiamkan diri maka orang lain akan lebih banyak bercakap. Semasa pelarasan buah yang dilakukan oleh Guru Wawasan(GW), beliau lebih rela menjadi peserta dan mengikut apa sahaja yang diputuskan oleh guru berkenaan tanpa sebarang bantahan atau mengeluarkan pendapat. Semakin rancaklah GW menunjukkan riak hingga banyak buah yang diubah dan diselaraskan semula tanpa pengetahuan Pak Ak yang merupakan Guru yang ada ketika itu. Kerap kali orang tua tersebut melahirkan kekesalan atas tindakan GW dalam kelas latihan yang dilawatinya. Teringat akan kata-katanya, ”Kalau ada masa, saya nak suruh dia ambil buah. Saya nak bagi dia cukup-cukup.”

Apa yang nak dibaginya, sampai kini saya belum pasti. Tapi yang jelasnya GW yang bagi dulu. Bagi pecah.

Berdasarkan keadaan ini, pelarasan buah akan terus berlaku. Malah lebih rancak lagi. Hal ini demikian, pastinya sebagai usaha untuk menonjolkan dirinya. Kita akan dapat jangkakan bahawa teknik dan taktik buah-buah dalam SC akan terus berubah sebagai memenuhi cinta rasa ketua yang ada. Itu semua tidak menghairankan. Ramai yang sudah buta kayu untuk membezakan senjata dan sarungnya.

Menyentuh tentang sarung, ”Kalau Guru Utama dan orang-orangnya telah cabut, rasanya yang tinggal hanya sarung sahaja lagi. Kalau tinggal sarung, maka senanglah untuk diisi dengan senjata baru kan!.”

” Buah baru la!”

Buatlah apa yang patut. Jangan karet sudahlah.

Satu lagi sifat yang tidak boleh dinafikan wujud dalam persatuan kita ialah sifat memandang rendah terhadap ahli-ahli yang ada di cawangan-cawangan oleh pihak pusat. Keadaan ini telah wujud sekian lama sejak zaman Ustaz sendiri. Hinggakan di satu ketika, Ustaz sendiri menganjurkan agar ahli-ahli yang berada di peringkat pusat, mempelawa ahli-ahli cawangan ke rumah mereka dalam masa kunjungan ahli cawangan tersebut ke pusat sebagai usaha menunjukkan sifat berbudi bahasa.

Mereka, (orang pusat) selalu memandang rendah kebolehan ahli di cawangan. Dalam pertandingan waja diri, sejak kebelakangan ini baharulah ahli cawangan dapat jadi pengadil. Itupun setelah didesak bertalu-talu. Kalau mereka datang ke cawangan, pihak cawangan perlu melayan mereka dengan meriah dan hebat atas alasan orang pusat melawat daerah. Itu sebabnya juga kita dapat memahami akan sebabnya mereka boleh menggertak atau mengancam atau memberi amaran pada mereka yang berada di cawangan. Keadaan ini menyebabkan ahli-ahli cawangan berasa serba salah dan berada dalam keadaan yang tidak selesa hingga akhirnya ada yang terpaksa berikrar bagi menunjukkan kesetiaan.

Semua keadaan yang dibincangkan di atas, semacam satu tradisi yang wujud dalam SC. Hebat setinggi manapun ahli di cawangan, tetap dipandang rendah oleh pihak pusat. Tidak hairanlah jika badan siasatan dan badan kehakiman yang wujud tempoh hari, tidak langsung diwakili oleh ahli setiap cawangan atau sebahagian besar daripada cawangan. Seolah-olah ahli cawangan tidak berkemampuan untuk duduk dalam jawatankuasa-jawatankuasa yang ditubuhkan tersebut. Mereka menganggap bahawa hanya mereka yang layak untuk menyiasat dan menghukum. Yang peliknya, keputusan yang dihasilkan, cuba dipaksa agar semua cawangan menerimanya. Cawangan yang tidak menerima, akan dicop engkar dan mereka akan terus berusaha untuk membubarkan cawangan tersebut. Inilah tradisi pemikiran yang sudah lama berakar umbi dan telah sekian lama wujud dalam persatuan kita. Ahli-ahli di cawangan tidak membawa apa-apa erti kepada mereka melainkan sebagai alat yang mesti mematuhi atas semua keputusan yang dibuat. ”Mungkin ke peringkat memenuhi hawa nafsu mereka”. Hal yang melibatkan Guru pun, mereka tetap mengenepikan cawangan. Pada hal, pihak cawangan juga memberi sumbangan ahli yang besar pada persatuan.

Walau bagaimanapun, ada di kalangan ahli-ahli di cawangan yang sedar akan perkara tersebut. Mereka tetap mempertahankan kewibawaan mereka sebagai ahli berwibawa yang berada dalam cawangan. Ada yang menentang keputusan pusat bukan kerana benar atau salah, akan tetapi kerana prisip keadilan dalam siasatan dan keputusan. Perkara ini tentunya tidak menyenangkan pihak pusat. Keluarlah istilah-istilah yang menggambarkan perasaan marah dan ego di hati mereka terhadap kepimpinan di peringkat cawangan. Pemimpin-pemimpin cawangan yang tidak tahan dengan ’seksaan’ yang sedemikian telah terpaksa berikrar bagi menunjukkan kesetiaan. Namun, para pemimpin cawangan yang bersemangat Bilal masih meneruskan tentangan terhadap sifat dan sikap ego yang ada pada diri pihak pusat.

Dua keadaan yang saya bincangkan di atas adalah menggambarkan suasana yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan terus berlaku. Hal ini terjadi kerana para pelakonnya tetap sama dan masih berada dalam persatuan. Itu sebabnya saya yakin benar bahawa pepecahan dalam SC akan berlaku lagi. Sebelum mengalami pepecahan yang berikutnya maka ramailah ahli-ahli SC yang mengambil keputusan mendiamkan diri. Sekali terkena kerana kita alpa, dua kali terkena kita akan berwaspada. Kalau mengalaminya buat kali ketiga, bukankah bangang namanya. Oleh itu merekapun mengelakkan diri dari terkena buat kali ketiga.