Tuesday, July 17, 2007

CELARU

Sekurang-kurangnya ada beberapa perkara yang menyebabkan ahli-ahli SC mungkin berasa celaru ketika ini. Walaupun En Jo dilantik sebagai Guru, penerimaannya sebagai Guru masih ditolak oleh beberapa cawangan. Mereka merasakan kaedah pelantikannya tidak berdasarkan susur galur yang berdasarkan mandat yang harus ada pada Guru. Lantikan Guru yang baru adalah atas kehendak persatuan. Maka jadilah guru sebagai Guru Persatuan. En Mat adalah Guru Silat; sebab selagi dia tidak mati maka statusnya sebagai Guru Silat dalam konteks budaya silat Melayu tetap berterusan berdasarkan mandat yang ada. Kalau mandat telah diserah pada orang lain maka terputuslah gelarannya sebagai Guru Silat. Dan sebaliknya, En Jo ialah guru persatuan. Selagi persatuan menghendakinya menjadi guru, beliau tetap guru. Apabila persatuan mengambil keputusan menamatkan perkhidmatannya, maka terputuslah tanggungjawabnya sebagai Guru Persatuan. Nampaknya kita ada tiga jenis guru dalam SC. Pertamanya ialah Guru Silat kerana mandat masih ada dan tetap berterusan. Keduanya ialah Guru Persatuan kerana lantikannya atas kehendak persatuan dan ketiganya ialah Guru Wawasan iaitu bakal guru yang sedang rancak menyusun strategi.

Oleh sebab guru yang ada, terikat dengan kehendak persatuan maka ahli-ahli yang rapat dengannya akan mempergunakan peluang yang ada untuk mengambil kesempatan atas sifat berpesatuan. Kalau dulunya perniagaan dilakukan secara sembunyi-sembunyi tapi kini boleh dilakukan dengan menubuhkan syarikat perniagaan yang bersandarkan persatuan. Jual tilam atau bantal boleh diiklankan secara terus kepada ahli. Ilmu KK boleh dikursuskan melalui syarikat tersebut. Malah kelas silat untuk kemahiran atau sebagainya boleh dipakej melalui syarikat yang ditubuhkan. Itulah konsep persatuan namanya. Sekarang kita tidak nampak perjalanannya. Tetapi percayalah pada satu masa nanti perkara ini akan menjadi satu lumrah dan kebiasaan. Ramai nanti yang menggigit jari. Budaya silat akan lenyap dari masa ke masa. Apatah lagi generasi berikut sememangnya kurang bersandar pada nilai-nilai budaya Melayu yang telah diamal sekian lama. Daripada budaya, kita akan akan mengenali silat kita. Dalam konteks sekarang, tak payah nak kenal-kenal. Kalau suka, belajar. Kalau tak suka boleh belah. Guru Wawasan pasti suka dengan konsep ini.

Kelas yang terlibat dengan majlis ijazah yang dibuat oleh En Mat telah memerlukan ijazah yang berikutnya. Pemimpin kelas berasa serba salah sama ada memanggil En Mat atau En Jo. Masalahnya ialah cengkaman daripada Persatuan pusat yang mengusai semua cawangan dan kelas latihan. Pada saya adalah tidak beradab jika kelas yang telah dimulakan oleh En Mat tetapi disambung ijazahnya oleh En Jo. Kalau dalam konteks persatuan, tidak salah Guru Persatuan membuat ijazah kerana itu adalah kehendak persatuan. Akan tetapi dalam konteks adat dan adab, perkara tersebut akan menjadi lucu. Samalah keadaan agaknya dengan konsep ibu tumpang. Orang lain yang penat walaupun sedap, tetapi orang lain yang mendapatkan hasilnya.

Kalau En Jo dipanggil kerana hendak ijazah sebab terikat dengan konsep ikrar, maka lebih baik beliau memulakan sesuatu yang baru. Kelas-kelas baru yang baru bermula biar En Jo ijazahkan. Mulakan lembaran baru untuk guru yang baru. Kalau En Jo tersingkir dan diganti oleh Guru Wawasan maka gunakan kaedah yang sama. Kelas baru untuk Guru yang baru. Kita kekalkan sikit budaya kita dalam dunia persilatan Melayu. Sebabnya ialah kita juga orang Melayu. Jangan buang langsung kesemua budaya kita. Nanti hilang identiti kita sebagai orang Melayu yang dikatakan hanya memiliki keretapi Tanah Melayu dan Utusan Melayu.

Ahli-ahli juga bercelaru dengan kes pencabulan oleh mantan Guru yang telah diadukan kepada pihak polis. Kes Atuntuya? telah bermula dan kita pasti akan tahu keputusannya. Bagaimana pula dengan kes En Mat. Sepatutnya penguasa kita mungkin boleh memberi penjelasan. ”Maklumlah kan ke En Mat bekas guru silat mereka”. Di sini pelbagai persoalan boleh timbul di kalangan ahli. Kalau kes dibicarakan, kitapun suka. Banyak hal yang boleh kita dengar. Ramai individu yang akan ’ditelanjangkan’ daripada segi zahir dan dalamannya. Saya rasa puak-puak penguasa pun akan bersetuju akan keadaan tersebut. Tambahan pula kalau ada di kalangan isteri-isteri mereka yang terlibat dengan apa yang dikatakan ’konspirasi’ menjatuhkan En Mat. Bolehlah kita bertukar-tukar pandangan zahir dan batin.

Bagaimana pula jika kes tersebut digugurkan dakwaannya. Apa akan jadi dengan En Mat. Mungkinkah beliau akan mendakwa puak-puak yang telah menjatuhkan nama baiknya selama ini. Bagaimana pula kedudukannya sebagai Guru silat Cekak Hanafi. Adakah akan terus ternafi atau berbagai persoalan lagi. Akan tetapi memandangkan sikap yang sedia ada, saya rasa kalau apapun keputusan polis atau mahkamah, En Mat tidak akan berpeluang kembali lagi selagi puak-puak yang menyingkirkan beliau masih berkuasa.

Kita juga tertanya-tanya dan bercelaru tentang mesyuarat agung yang sepatutnya telah diadakan. Banyak alasan yang diberi. Antara alasan tersebut ialah pengaduan mahkamah tentang mesyuarat agung kita yang dianggap tidak sah pada tahun sudah masih belum ada keputusan. Mahkamah tidak mudah membuat keputusan. Banyak kali keputusan yang sepatutnya dikeluarkan tapi terpaksa ditangguh dengan pelbagai alasan. Dalam hal ini, agaknya, kalau ahli-ahli badan kehakiman Silat Cekak yang menjatuhkan hukuman pada En Mat menguasai mahkamah, pasti keputusan dengan segera dapat diputuskan. Mereka membuat keputusan dengan begitu cepat. Tak payah panggil bela diri. Tak payah dengar kenyataan di pihak yang lain seperti yang dilakukan oleh mahkamah yang sebenarnya. Bukankah SC itu cepat dan mudah. Jadi, semua keputusan yang dikeluarkan adalah cepat dan diambil mudah. Akibatnya kita terimalah padah.

Ramai juga yang bercelaru tentang perjawatan ahli-ahli MMK atas tiket kepercayaan mantan Guru. Bekas gurulah atas sifatnya sebagai presden yang melantik mereka untuk menjawat jawatan-jawatan tertentu dalam majlis tersebut. Kalau lantikan atas kehendak presiden, apabila presiden tersingkir maka sepatutnya dari segi moral, mereka akan meletakkan jawatan sebagai tanda hormat. Perkara sebaliknya berlaku. Mereka pulak bersusah payah bagi mempastikan Presiden yang melantik mereka tersingkir dengan aibnya. Ahli-ahli bercelaru. Masyarakatpun bercelaru. Para teroris organisasi pun bercelaru kerana situasi yang berlaku terkeluar daripada prisip organisasi. Kalau dah semua celaru dalam SC maka elok juga dipanggil Seni Silat Cekek Celaru Ustaz Hanafi.