Monday, July 23, 2007

PILIHAN GURUKU

”Kalau sudah ada tiga jenis Guru dalam SC, mana satu saya nak ikut.”

Itulah antara soalan yang mungkin bermain di kepala kita berhubung dengan Guru yang ada. Mungkin sukar kita membuat pilihan dan mungkin juga tidak sukar bagi menentukan pilihan Guru kita. Semua ini bergantung pada prinsip dan pegangan kita, selama berada dalam SC.

Saya tidak berminat untuk mengaitkan dakwaan kes pencabulan ke atas kedudukan En Mat sebagai Guru. Kesalahan yang didakwa ke atasnya yang mungkin dilakukan oleh En Mat adalah bersifat peribadi. Tujuannya ke rumah tersebut juga adalah bersifat peribadi dan hanya beliau sahaja yang boleh menjelaskannya. Akan tetapi hukuman yang dijatuhkan ke atasnya oleh kedua-dua JK Penyiasatan dan Kehakiman, adalah meragukan. Tambahan pula lantikan Jawatankuasa Penyiasatan dan Jawatankuasa Kehakiman juga masih boleh dipersoalkan integritinya. Pihak mahkamah yang sebenar pun tidak mudah menjatuhkan hukuman. Itu sebab kes rayuan mengadakan mesyuarat agung atau kes-kes yang dibawa ke mahkamah oleh ahli-ahli kita, tidak mudah untuk mendapatkan keputusan. Berbeza dengan JK Kehakiman kita yang amat mudah menjatuhkan hukuman.

Kalau mahkamah sekalipun menjatuhi hukuman salah ke atas En Mat, mandat yang ada padanya masih kekal. Terpulang kepada kita untuk terus mengikutnya atau meninggalkannya. Dan terpulanglah kepada En Mat untuk menyerahkan mandat kepada orang lain berdasarkan prinsip moral sebagai peneraju dan pemimpin SC seandainya mahkamah mendapatinya bersalah. Tetapi hukuman mahkamah masih belum ada.

”Nak jatuh macam mana, bicarapun belum.”

Berdasarkan keadaan ini, tidaklah perlu pihak-pihak tertentu terutamanya kumpulan Guru Wawasan bermati-matian membuktikan bahwa aspek mandat tidak diperlukan dalam pemilihan Guru. Dunia persilatan Melayu amat mengiktiraf dan menitikberatkan soal mandat. Amat malang sekali apabila soal mandat dijadikan bahan lawak dalam SC.

Kalau soal budaya silat Melayu yang meliputi adat dan adab masih menjadi keutamaan, En Mat adalah pilihan utama. Beliau masih berada dalam arus kesinambungan SC. Pelantikannya di peringkat awal adalah dipersetujui oleh semua pihak, termasuk puak penentang yang ada ketika ini. Usaha-usaha membuktikan kewibawaannya sebagai Guru, telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh hingga keluar CD sebagai rujukan utama ahli-ahli yang ada dan untuk ahli-ahli di masa-masa hadapan. Orang yang menentang En Mat telah berpihak kepada Pak Ak dengan pelbagai alasan termasuk kata-kata, ” Pak Ak masih ada; masakan menolak Guru yang masih hidup.”

Sepatutnya, setelah SC sekian lama bergerak, ahli-ahli yang tidak sesuai dengan kepimpinan Guru, patut menarik diri. Keadaan ini amat sesuai dengan sesebuah organisasi. Dalam sistem demokrasi, mana ada kesetiaan seratus peratus ahli terhadap ketuanya. Persatuan kita bukannya persatuan kuku besi. Ahli bebas untuk bertindak. Kalau persatuan biasa, ahli boleh mencabar ketuanya dalam mesyuarat agung. Mungkin dalam mesyuarat tersebut, presiden atau ketuanya akan tersingkir. Mungkin juga ahli tersebut akan tersingkir. Begitulah juga dengan Persatuan kita. Kalau Presiden dikatakan mencemar organisasinya, kenapa tidak kita membuat mesyuarat agung untuk menentukan kedudukan Presiden kita. Tanya pada ahli-ahli sepenuhnya. Tetapi ini tidak dilakukan dalam persatuan kita.

Walau bagaimanapun kalaulah En Mat ditolak sebagai Presiden, kewibawaannya sebagai Guru Silat tidak boleh dilucutkan. Ikatan antara murid dengan Guru tidak boleh disamakan antara ahli dengan Persatuan. Kalau murid memikirkan bahawa Guru patut dijauhi maka biarlah murid menjauhkan diri daripada Gurunya tanpa ada sebarang paksaan. Kalaulah ada di kalangan muridnya yang memikirkan sudah boleh memimpin sebuah organisasi silat, maka eloklah murid tersebut membuka silat yang baru. Bukannya Guru yang ada kena buka silat yang baru kerana keadaan itu adalah di luar norma institusi persilatan kita. Walaupun SC dianggap sebagai peneraju mutlak, dalam konteks ini berpada-padalah mutlaknya.

Cuma prinsip yang dibicarakan di atas tidak berjalan dengan lancarnya dalam persatuan kita. Hal ini demikian kerana wujudnya perasaan yang tersangat benci pada En Mat. Tindak tanduknya selama ini yang dikatakan melencong oleh puak-puak penentang dalam SC mewujudkan manusia-manusia pendendam yang mencari ruang untuk membenamkan En Mat hingga ke lubang cacing. Kerana itulah prinsip-prinsip berorganisasi diketepikan terutamanya oleh mereka yang amat berminat dengan Persatuan SC.

Pada mereka yang terikat dengan persatuan dan penglibatannya adalah berdasarkan konteks ahli dan persatuan maka eloklah pilih Guru Persatuan. Tidak ada tekanan dan cabaran dalam masa kita melibatkan diri dengan Persatuan SC. Kesetiaan boleh ditunjukkan melalui ikrar yang kita bacakan dan melalui tutur kata yang kita luahkan walaupun berkemungkinan bukannya datang daripada hati sunabari kita yang ikhlas dan suci.

Penglibatan kita dalam SC adalah sebagai salah satu usaha untuk meredakan tekanan dalam hidup. Kalau SC mendatangkan tekanan pada kita, apa perlunya kita melibatkan diri dalam kancah pertikaian tersebut. Kalau SC dikuasai oleh persatuan maka alangkah mudahnya jika kita berpegang pada prinsip berpesatuan. Berdasarkan prinsip organisasi, tindakan kita tersebut adalah benar dan amat bersesuaian. Sukar untuk sesiapa menganggu gugat kedudukan kita dalam persatuan. Mereka yang berfahaman demikian akan terus kekal dalam persatuan. Inilah jalan yang paling selamat dan mudah untuk diikuti.

Walau bagaimanapun golongan ini semestinya akan terkeluar daripada memperoleh pengiktirafan Guru silat yang ada (Mantan Guru). Mereka akan terus diiktiraf oleh persatuan dan Guru Persatuan sebagai ahli persatuan tapi tidak diiktiraf sebagai ahli silat oleh Guru silat yang ada. Keadaan ini samalah dengan mereka yang memilih En Mat sebagai Guru Silat. Mereka ini akan hanya diiktiraf oleh Guru Silat tetapi ditolak oleh Persatuan dan semestinya ditolak oleh Guru Persatuan.

Bagaimana pula dengan Guru Wawasan?. Peranan guru ini agak kurang sikit kerana kuasanya terhad tapi sering mendatangkan masalah sama ada pada ahli atau cawangan. Orang yang kekurangan kuasa pasti akan menunjukkan bahawa beliau amat berkuasa. Oleh itu, guru ini akan sentiasa campur tangan dalam urusan di pusat latihan atau cawangan. Perkara penting baginya ialah beliau inginkan pengiktirafan. Maka sibuklah beliau ke hulu dan ke hilir untuk mendapatkan maklumat tentang SC.

Guru Wawasan akan bertindak seolah-olah menunjukkan bahawa beliau amat mengambil berat tentang masa depan SC. Masakan beliau tidak berbuat demikian. SC adalah masa depannya. Kalau SC lingkup atau terlepas pada mantan Guru SC, alangkah ruginya perjuangan beliau selama ini. Oleh itu, beliau akan terus memberi tekanan kepada mana-mana pusat latihan atau cawangan yang diragui kesetiaannya kepada Persatuan. Beliau juga akan bertindak sebagai pengadil yang akan terus mengadili individu dalam SC. Jikalau individu tersebut merupakan pesaingnya, maka tindakan memburuk-burukkan individu itu akan terus berkekalan hingga individu itu tersingkir daripada persatuan.

Pergerakan Guru ini sukar dikawal oleh Guru Persatuan. Guru Persatuanpun berasa insaf betapa lantikannya adalah atas ehsan tokoh-tokoh persatuan, termasuk Guru Wawasan. Dengan itu terpaksalah Guru Persatuan melihat sahaja tingkah laku dan pergerakan bakal penggantinya sambil menggigit jari.

Begitulah keadaannya aspek kepinpinan yang ada dalam SC. Seorang pemimpin itu semestinya seorang ketua. Akan tetapi seorang ketua itu tidak semestinya seorang pemimpin. Buatlah pilihan yang tepat dalam hati kita tentang bentuk kepemimpin bagi diri kita. SC hanya sebahagian daripada hidup kita. Matlamat kerjaya diri sendiri lebih bermakna dan lebih bererti bagi menjamin masa depan kita sekeluarga. Apa yang kita dapat daripada SC. Kalau kita merapatkan diri dengan pemimpin SC maka banyaklah yang kita pelajari. Ilmu kita semakin bertambah dan diri kita akan terus berkembang sebagai insan yang sempurna. Kalau kita memlih ketua yang tidak mengerti aspek kepimpinan dalam SC, jadilah kita umpama kerbau yang dicucuk hidungnya. Tindak tandak dan pemikiran kita akan terkongkong. Kita akan terus berada dalam ”ketakutan” dan akan terus melafazkan ikrar bagi memenuhi kehendak ketua. Hilanglah erti kemerdekaan dalam SC seperti yang dilaung-laungkan oleh Allahyarham Ustaz Hanafi satu ketika duluuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuuu.