Tuesday, March 1, 2011

KENANGAN 24.

KEBATINAN.

Ilmu-ilmu orang Melayu, biasanya akan dihubungkan juga dengan konsep batin. Setiap yang zahir ada batinnya. Oleh sebab silat merupakan pergerakan zahir maka terdapat ilmu yang luar biasa iaitu ilmu batin. Itulah tanggapan umum yang ada. Boleh dikatakan semua lapisan masyarakat Melayu mengakui kewujudan ilmu tersebut.

Tafsiran batin adalah pelbagai. Oleh itu, pengamalan ilmu itu juga turut berbeza-beza antara satu-satu perguruan silat. Kebiasaannya, anak murid satu-satu persilatan diberi ayat-ayat untuk diamalkan. Pengamalan itu juga turut dikatakan sebagai amalan batin. Jadi atau tak menjadi, bukan persoalannya.

Dalam SC, konsep batin mempunyai pengertiannya sendiri. Perkara yang jelasnya, kita tidak mempunyai ’ayat-ayat’ untuk diamalkan terutamanya selepas sembahyang. Kalau adapun ayat-ayat yang diberi Ustaz, tugas kita hanya membaca tanpa ada sebarang maksud atau tujuan.

Ustaz pernah memberitahu saya. ’Ayat’ yang diberi, difahami dan dibaca tanpa mengharapkan sesuatu. Orang yang mengharapkan sesuatu pulangan atau upah adalah bertaraf kuli. Manakala tahap mereka yang mengerjakan sesuatu tanpa ada sebarang pulangan, maka itu namanya hamba. Di sisi Tuhan, taraf kita adalah hamba. Oleh itu, ketika membaca sesuatu maka bacalah. Sekurang-kurangnya kita akan mendapat pahala bacaan. Biarlah Tuhan yang menentukan pulangannya.

Berdasarkan pesanan Ustaz pada saya, ayat-ayat mandi tidak boleh dijadikan amalan selepas sembahyang. Ayat yang dibaca perlu disertai dengan perbuatan. Perbuatannya ialah mandi. Ayat yang dibaca itu merupakan doa. Doa adalah niat kita. Setiap niat adalah perlu disertai dengan perbuatan. SC adalah silat praktikal. Tidak bergantung sahaja pada bacaan. Melainkan disertai bersama dengan perbuatan.

Walau bagaimanapun ada juga dalam kalangan ahli yang berminat dengan ilmu-ilmu yang luar biasa dan dianggap “gah”. Sekali-sekala saya terdengar juga ada dalam kalangan ahli SC yang mempelajari ilmu tersebut termasuk pelajaran atau ilmu tarikat. Bilangannya tidak ramai dan tidak menarik perhatian ahli yang lain. Malah ahli berkenaan akan dipandang ’rendah’ dalam kalangan ahli-ahli SC yang lain.

Terdapat satu peristiwa yang berlaku pada salah seorang ahli yang telah tamat SC. Beliau sering juga berkunjung ke kelas dan membuat latihan bersama rakan-rakan silat yang lain. Peristiwa berlaku di pejabat lama, Hj Sirat. Kebolehannya bersilat tidak setara. Ada masa, geraknya ’menjadi’ dan ada masanya geraknya tidak menjadi. Apabila diketahui beliau juga belajar ilmu agama dari guru yang lain, maka ada juga dalam kalangan ahli yang menghubungkan ketidakmenjadian geraknya dengan tindakannya belajar ajaran agama itu. Bukannya dari Ustaz Hanafi. Hal yang demikian telah memberi tekanan kepada pesilat. Akhirnya beliau meninggalkan persilatan SC.

Peristiwa itu merupakan satu daripada beberapa contoh yang berlaku dalam kalangan ahli-ahli kita yang belajar ilmu-ilmu lain semasa menuntut SC. Begitulah nasib yang menimpa pada ahli-ahli yang tidak menunjukkan kepercayaan penuh pada SC. Jika tidak berminat atau hilang kepercayaan, elok saja meninggalkan SC. Jika tidak, segala kelemahan atau ketidakmenjadian gerak semasa latihan, pasti akan dihubungkan dengan tindakan pesilat itu belajar ilmu lain ketika menuntut SC.

Oleh itu, jika ingin belajar ilmu-ilmu lain sama ada persilatan atau sebagainya pastikan bukan semasa belajar SC. Belajarlah sebelum masuk SC. Ataupun, belajar setelah tamat SC. Jika ingin tumpukan perhatian pada ilmu lain yang dicari, lebih baik ghaibkan diri. Jangan datang ke kelas latihan SC lagi.

Kadang kala ilmu-ilmu lain yang dipelajari oleh pesilat-pesilat SC itu adalah bertentangan dengan fahaman yang ada dalam SC sendiri. Namun begitu, pesilat berkenaan masih tetap meneruskan tuntutan ilmu tersebut. ”Alang-alang belajar, biar belajar habis.” Mungkin itulah agaknya sikap mereka setelah mula berjinak-jinak dengan ilmu-ilmu yang lain. Dalam hal ini, saya berpendapat mungkin ada dua sebab yang menyebabkan hal yang demikian berlaku.

Pertamanya, penuntut berkenaan ingin mengetahui sejauh mana ilmu yang dituntut itu berkesan. Hal yang demikian kerana sebelum mereka menceburkan diri dengan ilmu tersebut, pasti mereka telah diwar-warkan tentang kehebatan ilmu-ilmu berkenaan. Oleh itu, mereka meneruskan pelajaran dan ingin tahu penghujungnya.

Manakala satu sebab lagi yang menyebabkan ahli-ahli SC meneruskan pembelajaran pada ilmu berkenaan ialah kegagalan penuntut itu untuk menarik diri, keluar dari kumpulan berkenaan. Kalau pun ahli itu tahu bahawa ilmu yang dituntut itu tidak sehaluan dengan SC, menarik diri bukannya mudah. Banyak tekanan yang diterimanya, termasuk bentuk ugutan. Tidak ada sesiapa yang dapat membantu diri ahli berkenaan, melainkan beliau sendiri perlu berusaha ’melepaskan diri.’

Itu sebabnya, saya sarankan kepada Jurulatih, ketika menuntut jenis-jenis ilmu berkenaan, perlulah ada kawan. Hal yang demikian akan memudahkan kita membanding-bandingkan antara kelebihan yang ada dalam SC dengan ilmu-ilmu lain yang dituntut.
Ustaz selalu menegaskan bahawa ilmu yang bertentangan dengan SC akan menyebabkan jiwa ahli akan menjadi tidak tenteram. Hal yang demikian bermaksud, bertentangan dengan SC bermakna ilmu-ilmu itu adalah bertentangan dengan agama. Ustaz menyebarkan fahaman SC berasaskan agama Islam.

Ada dalam kalangan ahli berkenaan terpaksa beramal hingga gagal mengurus waktu makan dan tidur. Semakin lama, diri terasa “panas”. Panas bukan kerana ilmu yang dituntut tapi kerana makan, minum dan tidur tidak terurus. Fikiran tidak tenteram dan akhirnya sasau. Bila terjadi keadaan demikian, ibu bapanya akan menuding jari pada Ustaz dengan mengatakan ajaran yang diajar Ustaz adalah salah. Pada hal, ahli itu sendiri yang mencampuradukkan pelajaran SC dengan ilmu-ilmu lain.

Pernah berlaku satu kejadian yang saya tidak dapat lupakan. Abang kepada seorang penuntut SC telah “menyerang” Ustaz pada suatu petang. Kejadian berlaku di pejabat Jalan Putera. Kebetulan abangnya seorang yang berpangkat tinggi dalam tentera. Beliau menuduh Ustaz menyebarkan ajaran sesat atau ajaran salah hingga menyebabkan adik beliau menjadi sasau kerana berfikiran tidak tentu hala. Berlaku dailog ketika itu dan akhirnya abang berkenaan meninggalkan tempat tersebut. Dalam ruangan ini saya tidak menceritakan tentang dailog tersebut. Bukan salah Ustaz. Salah ahli berkenaan. Ingin menjadi megah dengan kepelbagaian ilmu.

Dalam SC tak ada konsep ilmu batin seperti yang biasa diperkatakan oleh ahli silat melayu yang lain. SC tidak mengamalkan jampi serapah atau amalan-amalan ayat buat hafalan. Ketika saya mula masuk SC, terasa betapa mudahnya pembelajaran SC. Dari mula belajar SC hingga tamat, tidak ada ayat-ayat yang perlu dihafal. Tidak ada acara buka gelanggang dengan bacaan ayat-ayat tertentu. Saya telah sentuh dalam tulisan yang terdahulu. Cuma, kita sering dianjurkan supaya berselawat dan sentiasa bertaubat. Hal yang demikian adalah merupakan satu amalam biasa yang sering dinyatakan oleh tuan-tuan guru agama di masjid-masjid. Namun begitu, Ustaz memberi fokas dan penegasan pada amalan tersebut. Banyak gunanya pada diri kita yang bertahap hamba.

Walau bagaimanapun ada juga dalam kalangan pesilat yang ingin mendapat pengalaman atau menambahkan ilmu ’gah’ daripada sumber yang lain. Semacam rasa tidak puas ketika menuntut pelajaran SC. Kekosongan yang dianggapnya ada dalam SC telah cuba diisi dengan pembelajaran ilmu-ilmu lain. Hal yang demikian telah terjadi pada diri saya sendiri. Sambung