Monday, November 1, 2010

POTONG SELENDANG.

Walau pun kaedah mengambil buah jatuh Selendang dan Kidung Kiri, hampir sama tetapi proses jatuhan dan akhirannya adalah berbeza. Proses jatuhan yang ada sikit perbezaan, telah menyebabkan gerak potong buah Selendang terdapat perbezaan jika dibandingkan dengan buah Kidung Kiri. Perbezaan ini telah mempengaruhi cara pesilat membuat potong.

Sifat Kidung Kiri menyebabkan tangan kanan pesilat akan terus menerus dipegang setelah ditepis dengan Kaedah A. Setelah tangan kanan pesilat itu ditetak maka barulah dibuat jatuhan. Banyak masa dapat digunakan pesilat untuk membuat potong secara sisipan pada tangan kiri pasangan. Walau bagaimanapun, belum sempat pesilat menerima tetakan maka gerak potong masih berjaya dilakukan.

Sifat buah Selendang agak berbeza. Walaupun Kaedah menepis adalah sama dengan kidung Kiri, namun begitu tangan kiri pasangan adalah tidak lama berada pada siku tangan pesilat yang ditepis. Tangan kiri tersebut mempunyai tugasan lain bagi menghalang badan pesilat ketika berlakunya jatuhan. Hal yang demikian menunjukkan terdapatnya proses lain yang berturutan bagi membuat jatuhan. Tangan kanan pesilat yang membuat tumbukan akan disudahi dengan pegangan hujung tangan pesilat. Tangan pesilat yang dipusingkan akan menyulitkan pesilat itu membuat gerak potong jika gerak pertama ketika tepisan kaedah A telah gagal dipintas sebagai maksud gerak potong.

Oleh sebab itu, potong kaedah A ketika pasangan membuat jatuhan adalah perlu dilakukan dengan pantas ketika proses jatuhan buah Selendang sedang dilakukan oleh pasangan itu. Walaupun kaedah potong dengan kidung Kiri adalah seakan-akan sama, namun tindak balas yang berbeza pada jatuhan Selendang telah menyebabkan gerak potong buah Selendang terdapat sedikit perbezaan pada geraknya.

Potong pada buah Selendang agak menyulitkan pesilat untuk melakukannya jika tidak bersungguh-sungguh. Tepisan Kaedah A buah Selendang adalah berterusan dalam proses meletakkan tangan di atas bahu pesilat. Cengkaman tangan pasangan semula jadi akan menjadi keras dan padat. Hal yang demikian boleh mewujudkan dua keadaan yang boleh menyusahkan pesilat untuk membuat gerak potong.

Pertamanya tangan pasangan yang mencengkam tangan kanan pesilat adalah begitu kuat kerana berlakunya proses ’memusing’ sikit tangan pesilat bagi diletakkan atas bahu pasangan. Cengkaman yang kuat ini amat menyusahkan pesilat untuk membuat lurutan bagi tujuan potong. Ramai yang ’tidak menjadi’ membuat potong buah Selendang. Hinggakan tangan kanan pesilat berjaya ditangkap di hujung tangan dan hal yang berkenaan telah menyebabkan pesilat berkenaan terus dikenakan jatuhan. Buah pesilat dan pasangan akan menjadi kelam kabut. Dalam keadaan sesak maka terpaksalah pesilat membuat gerak potong pada hujung tangan kanan yang dipegang pasangan.

Keduanya jatuhan Selendang menyebabkan tangan pesilat diangkat melebihi aras dada. Hal yang demikian boleh menyusahkan pesilat untuk membuat gerak potong kerana jarak tangan pasangan yang jauh daripada paras dadanya. Hal yang demikian juga tentunya berbeza dengan gerak potong Kidung Kiri yang berada pada paras dada.

Berdasarkan dua keadaan tersebut, para Jurulatih perlu memastikan teknik menumbuk bagi maksud potong dilakukan dengan kemas, yakin dan bersungguh-sungguh. Tumbuhan pesilat yang keras pasti akan menyulitkan pasangannya untuk membuat buah jatuh. Dalam keadaan gerak pasangan yang dilewatkan maka pesilat perlu segera membuat potong. Kecepatan memotong akan banyak membantu pesilat bagi mendapatkan gerak yang sepatutnya bagi menyelamatkan diri dan berada dalam zon selamat.

Setelah tangan pasangan dapat dibuat tangkapan secara sisipan, maka proses potong adalah sama dengan buah Kidung Kiri. Tumit kaki kanan pesilat mula digunakan. Baru berguna tumit kaki. Seperti dikata, ada juga puak-puak yang suka pulak hujung kaki. Hujung kaki pulak yang digunakan untuk membuat sapuan. Menongkah arus dalam gerakan. Tak tahu meletakkan sesuatu pada tempatnya. Malas nak komen. Tak suruh, dibuat. Disuruh, tak nak buat. Aparahh.

Namun begitu, dalam proses yang berterusan, siku tangan kanan pesilat perlu membuat pukulan pada muka pasangan. Payah digambarkan secara tulisan. Walau bagaimanapun, tangan kiri pasangan yang berjaya ditangkap secara sisipan akan disendal atau dialaskan pada lutut kanan pesilat. Ketika itu , berilah satu pukulan siku di badan pasangan. Cukup setakat itu. Jangan ditambah-tambah lagi pukulan. Ada yang saya perhatikan lutut kiri pesilat digunakan untuk membuat pukulan pada badan pasangan. Hal yang demikian mungkin sesuai semasa pertunjukan.

Ketika membuat gerak menyendal tangan pasangan pada lutut pesilat, nampak sangat kaki pesilat berkuda-kuda. Ada yang kata tidak boleh berkuda-kuda. Maka berdirilah mereka umpama robot yang tak tentu hala. Walau bagaimanapun, sebagai pesilat dan pengamal SC, lakukan gerak potong dalam SC dengan bersungguh-sungguh bagi mempastikan ketepatan dan kekemasan buah potong terutamanya buah Selendang dapat dilakukan dengan sesempurna mungkin.

Sekian dan terima kasih.