Sunday, November 7, 2010

POTONG PARAS

Buah jatuh Paras tersangat mudah asasnya tapi payah sikit pada jatuhannya. Namun begitu, memotong buah Paras juga boleh dikatakan juga susah berdasarkan kaedah pembelajaran potong yang ada. Pergerakan pesilat perlu tangkas, tepat dan kemas di samping perbuatan yang bersungguh dan yakin pada gerak potong.

Sifat buah Paras adalah lebih banyak mengadap secara berhadapan. Hal yang demikian agak berbeza dengan jatuh Kidung Kiri atau buah-buah lain yang menggunakan gerak kaedah yang sama. Ketika pasangan menarik atau merentap tangan kanan pesilat ke bawah, genggaman atau cengkaman tangannya adalah kuat. Hal yang demikian akan menganggu atau menyusahkan pesilat untuk membuat gerak potong. Namun begitu, dengan teknik yang betul, masalah tersebut dapat diatasi dengan mudah dan berkesan.

Setiap pecahan pada buah Paras mempunyai cara potong yang tersendiri. Pecahan pertama buah Paras mempunyai dua cara potong. Potong pertama hampir sama dengan buah Kidung Kiri. Namun perbezaan yang nyata, potong buah Paras perlu lebih bersungguh dan berhati-hati. Hal yang demikian kerana belakang badan pasangan pesilat adalah berada di hadapan dan bukannya selari di sisi pesilat seperti mana yang terdapat pada Kidung Kiri. Tambahan pula langkahan kaki kanannya menyebabkan kaki kiri pasangan ketinggalan di belakang. Kita diarah membuat sapuan pada kaki kiri yang ’tertinggal’ di belakang dan berada jauh daripada posisi kita. Di situlah datangnya masalah kepada pesilat kerana gerak potong memakan masa dan tidak mudah dilakukan segera dalam kiraan saat dan ketika.

Walau bagaimanapun, masalah tersebut boleh diatasi dengan teknik potong yang betul. Ketika proses menyisip tangan kiri pasangan, tiga perkara perlu diberi perhatian. Pertamanya, sisipan tersebut perlu dilakukan dengan pantas. Jika terlewat, genggaman atau cengkaman tangan pasangan menjadi kuat dan ini menyulitkan pesilat membuat sisipan bagi memintas potong buah Paras pecahan pertama.

Keduanya, ketika menyisip tangan pasangan, badan kita perlu gelek sedikit dalam posisi selaras dengan pasangan yang mengadap ke hadapan. Siku tangan kanan pesilat boleh mengenakan pukulan ke bahagian muka pasangan ketika sisipan tangan kiri pasangan berjaya dilakukan. Cara ini menjadikan diri pesilat dalam keadaan selamat. Perkara ketiga yang perlu diberi perhatian ialah sapuan atau seretan adalah perlu dibuat ke arah luar. Jika sapuan cuba dibuat ke arah dalam maka akan menyulitkan pesilat untuk menggerakkan kaki kiri pasangan kita.

Penyudah potong Paras cara pertama tersebut adalah sama seperti Kidung Kiri atau buah-buah yang bersamaan dengannya. Setelah dibuat satu pukulan di badan, memadailah gerak jatuhan potong berkenaan. Jangan ditambah dengan pukulan lutut kiri pesilat. Kita ingin belajar dan bukannya bergaduh.

Satu lagi cara membuat potong pada pecahan pertama ini ialah menumpukan perhatian pada kaki kanan pasangan yang melangkah ke depan. Kaki kanan pesilat akan membuat sapuan pada kaki kanan pasangan yang berada di depan. Gerak sapuan dilakukan, setelah proses sisipan tangan berjaya dilakukan beserta gerak pukulan siku kanan pesilat pada bahagian muka pasangan. Gerak pukulan tersebut secara acahan kerana mengenakan pukulan akan memudaratkan pasangan. Jarak masa setiap turutan dalam proses membuat gerak potong adalah begitu rapat sekali. Pasangan akan jatuh telentang kerana sapuan yang dilakukan pesilat.

Cara kedua ini kurang popular di satu ketika. Saya difahamkan bahawa pelajaran potong kedua itu pernah ditiadakan pada satu ketika yang lalu. Namun begitu saya difahamkan juga bahawa gerak potong cara kedua itu telah digunakan semula oleh Jurulatih yang ada. Di cawangan pimpinan saya, pelajaran tersebut sentiasa ada dan diturunkan kepada para pesilat yang menuntut di cawangan saya. Hal yang demikian kerana itulah pelajaran yang diterima ketika belajar dengan Ustaz tempoh hari.

Untuk pecahan kedua Paras, cara potong hanya satu cara sahaja. Proses jatuhan pecahan kedua ini memerlukan pasangan melangkah kaki kiri ke hadapan sambil tangan kanan pesilat direntap ke bawah. Bentuk buah Paras pecahan kedua lebih mudah dipotong oleh pesilat. Maka hal yang demikian lebih menyenangkan pesilat membuat gerak potong kerana kaki kiri pasangan berada di hadapan manakala kaki kanannya ketinggalan di belakang. Kita diarah menumpukan gerak potong pada kaki kiri pasangan.

Walaupun jarak kaki kiri pasangan agak jauh dari pesilat, namun kaedah potong masih senang dilakukan. Tangan kiri pesilat akan menyisip tangan kiri pasangan. Pesilat lebih nampak yakin dan kurang ’bekerja’ bagi membuat potong, berbanding pada buah pecahan pertama. Kaki kanan pesilat mudah membuat sapuan pada kaki kanan pasangan kerana kaki berkenaan berada di hadapan. Jaraknya lebih rapat, berbanding dengan pecahan Paras pecahan pertama. Manakala tangan kiri yang disisip akan disendalkan sikunya pada lutut kiri pasangan.

Walau bagaimanapun, waktu kelas kemahiran, Jurulatih akan memudahkan pergerakan pesilat membuat potong dengan lebih kemas, pantas dan tepat. Hal yang demikian adalah merupakan usaha yang bersesuaian dengan gerak semula jadi pesilat ketika itu, dengan awasan keselamatan pesilat. Sambung dengan buah lain.